Assalamualaikum...
Hari ini memasuki 10 Ramadhan 1434, dah 10 hari dah kita berpuasa bermakna kita bakal melepasi 1/3, lagi 2/3 menjelang Hari Raya. Yang tak seronoknya setiap kali memasuki ruangan pasaraya, lagu raya juga yang diputarnya, malas nak komen lebih-lebih nanti kurang markah puasa. Jujur, saya kurang selesa mendengar lagu-lagu raya dimainkan pada bulan mulia ini, ianya bercanggah dengan mood Ramadhan.
Nostalgia bersahur dan berbuka puasa, ingatan itu sentiasa bertandang setiap kali menjelang puasa. Teringat zaman kanak-kanak dan remaja di awal tahun 80-an sehingga akhir tahun 90-an... tentunya emak yang menyediakan juadah bersahur. Tidak pernah sekalipun emak culas menyediakan juadah bersahur dan berbuka.
Ketika itu keluarga kami lengkap dengan ayah dan emak. Mengantuk macam mana sekalipun, seingat saya, saya mesti bangun sahur bersama kedua orang tua dan adik-beradik. Puasa tak puasa... itu belakang cerita.
Situasi yang sangat berbeza dengan sekarang, tapi itulah kehidupan. Setelah kita sambung belajar dan terpaksa merantau di tempat orang, bekerja dan berkahwin... sekarang saya yang memasak untuk sahur dan berbuka puasa - untuk kami suami isteri. Pilihan makanan berlambak di bazar Ramadhan, malas masak beli makanan siaplah jawabnya. Alhamdulillah, setakat ini, belum lagi saya membeli makanan luar untuk berbuka puasa bersama suami, semuanya dimasak sendiri.
Dulu-dulu jarang sekali kami membeli makanan luar untuk berbuka. Seingat saya, hanya sayap ayam panggang sahaja lauk yang paling istimewa yang sesekali dibeli arwah bapa, selepas terima gaji peneroka. Semalam, saya telefon emak di kampung bertanyakan juadah berbuka puasa mereka. Semuanya juga dimasak sendiri, maklum kawasan kampung bukannya ada bazar Ramadhan untuk dikunjungi.
Mengimbas, masih teringat lagi setiap kali sungkai/berbuka puasa, arwah bapa akan makan sedikit garam, sedikit sahaja kemudiannya barulah dia menjamah yang manis-manis dan menikmati juadah berbuka. Kebiasaannya kami berbuka dengan bubur dan kuih-muih yang dibuat sendiri oleh emak. Makan nasi berlauk itu kemudian, selepas usai solat terawih. Arwah bapa juga yang selesai makan berbanding kami semua, dia akan bersegera menunaikan solat Maghrib kemudian bergegas menuju masjid menunaikan solat Isyak dan solat terawih.
Memandangkan waktu remaja saya dari tingkatan satu sehingga tingkatan enam banyak dihabiskan di asrama, saya sudah terbiasa berbuka puasa dengan hidangan nasi. Ketika bulan puasa, tray makanan kami sentiasa penuh, hidangan nasi berlauk, buah-buahan dan aneka kuih muih. Selalunya nasi berlauk itu akan habis dimakan, selebihnya buah-buahan dan kuih muih dibawa balik asrama.
Setiap hari, seluruh dewan makan penuh dengan budak asrama dan ada seorang ketua yang membacakan doa berbuka puasa. Meriah memang meriah, rasa seronok pun ya dapat berbuka puasa beramai-ramai. Ketika waktu sahur sekitar jam 2 pagi sehingga sebelum Subuh, di pintu pagar asrama perempuan selalunya ada yang melaungkan "Bangun! Sahur!" berulangkali sambil menggoncang pagar asrama. Jarang sekali budak asrama perempuan atau aspuri pergi bersahur, ada tapi tak ramai.
Saya sendiri seingat saya, tidak pernah bersahur di dewan makan, sekadar meneguk sedikit air dan sambung tidur sehingga tiba waktu Subuh baru saya bangun. Ketika itu saya memikirkan, betapa waktu tidur itu amat berharga, aktiviti persekolahan bermula seawal sebelum Subuh sehingga malamnya sekitar jam 10 malam... sukar sekali mencuri-curi masa untuk tidur, kalaupun tertidur hanyalah sekejap, kata orang tidur-tidur ayam, kira nasib baiklah tu dapat 'tidur nikmat' - tidur sekejap tapi nyenyak. Padat dengan bermacam aktiviti.
Memang ada ketikanya kerinduan terhadap masa silam itu menjenguk pintu rasa kita. Nasib baiklah ada kenangan... itulah cara kita mengimbas kembali. Selain sahur dan berbuka puasa, tentu tidak lengkap dengan aktiviti berterawih di asrama. Kami diwajibkan berterawih setiap malam kecuali uzur, sesiapa yang culas, selalunya hukuman menanti. Kebetulan warden asrama kami berasal dari negeri Kelantan dan berlatarbelakang pendidikan agama Islam pula tu. Kami berterawih di surau sekolah agama berdekatan dengan sekolah kami, hanya setelah SMK Elopura mempunyai surau sendiri barulah kami berterawih di surau sendiri.
Berjalan beramai-ramai menuju surau sesekali mengusik sesama rakan, kami siap sedia dengan memakai telekung, perlu berjalan dari asrama menuju surau sekolah agama yang jarak jauhnya +- 500 meter. Kena pula tu bukannya semua lampu jalan berfungsi dengan baik. Bayangkan, kumpulan bertelekung putih berjalan beramai-ramai.
Yang nakal-nakal tu sempat juga menjeling mengintai buah hati mereka. Alaa... maklum zaman remaja bukan.
Saya pernah kena denda sebab ponteng terawih, so dendanya cuci longkang asrama selama seminggu + kena mengaji di surau seawal pagi selepas Subuh dan sebelum masuk sekolah + kena ikut program kem bina semangat yang dikendalikan oleh askar. Teruk juga kami dikerjakan selama seminggu, kena jemur tengah panas di tengah padang, tidur di jalan raya di waktu tengah malam, berkawat tengah malam, lari tengah panas, bab kena marah dan jerit tak payah ceritalah, semuanya cukup, sampai berbelang muka ini yang terdedah hitam dan yang tertutup oleh tudung, putih. Perit memang perit. Ketika itu tahap prihatin ibu bapa tidak seperti sekarang. Ibu bapa menyerahkan sepenuhnya kepada guru-guru dalam proses mendidik anak-anak.
Itu antara nostalgia bersahur dan berbuka puasa di zaman kanak-kanak dan remaja saya, nostalgia sungguh, rasa sedih pun ya apabila diingat kembali, sayangnya tetap sahaja ianya tidak dapat diputar kembali, hanya mampu dikenang...ketika itu kita tidak memikirkan banyak perkara seperti sewa rumah, bil-bil dan sebagainya, kita hanya memikirkan belajar, belajar dan terus belajar untuk masa hadapan yang lebih baik.
love,
monalizahrais
No comments:
Post a Comment