Sunday, April 7, 2013

KLANG KE PANTAI DALAM

Assalamualaikum...


Dari Klang ke Pantai Dalam (PD) kami suami isteri menaiki motor ke tempat adik saya, Mazlan. Banyak perubahan yang dapat dilihat di sepanjang perjalanan. Biasalah tu kan. Pembangunan akan terus berlaku setiap masa, sepanjang zaman. Sentiasa ada peralihan dan sesuatu yang baru. Generasi baru dengan idea baru diterjemahkan melalui pelbagai bangunan yang dapat kita lihat.

Namun saya ingin mengimbau kenangan sekitar tahun 2005 ke 2007. Bangunan seperti Bangsar South City, The Sphere pada masa itu masih dalam pembinaan. Saya berjalan kaki dari Bukit Angkasa ke Flat 17 tingkat, Kerinchi berhadapan dengan Vista Angkasa dibasahi hujan renyai kemudiannya bertambah lebat. Basah lencun saya sebaik sahaja sampai ke rumah. Saya pada masa itu sedang bekerja di Texas Instrument, berdekatan dengan Jelatek. Hal itu terjadi disebabkan masalah komunikasi dan pengangkutan menyebabkan saya terpaksa berjalan kaki.

Suasana di kiri kanan masih dipenuhi hutan lagi, agak sunyi juga...berbeza sungguh dengan pemandangan yang saya lihat sewaktu dua hari kami di sana. 25/03/2012 - 26/03/2012.

Yang seronoknya melihat rumah lama dengan atap lama juga halaman yang luas, agak tradisional berbanding rumah pangsapuri yang tumbuh bak cendawan di sekitar Pantai Dalam dan Kerinchi. Adik saya duduk di kawasan Pantai Permai 5. Masih ada suasana kampung walau cuma sedikit.

Saya melihat juga orang tua yang duduk-duduk di tangga salah sebuah rumah tradisional itu. Agaknya apalah yang ada di fikirannya setiap kali dia melihat bermacam muka baru yang muncul dan menyewa di kawasan perumahan itu. Situasi itu juga saya percaya menjadikannya seorang pemikir sentiasa membandingkan zamannya dengan zaman sekarang.

Siapa sangka kawasan yang satu masa dahulu kawasan paya dan tanah lembut akhirnya berubah menjadi kawasan yang sangat padat dengan penduduk, kewujudan komuniti baru. Semasa bujang dahulu, saya dan suami sebenarnya pernah meninjau di kawasan ini melihat rumah pangsapuri yang pada ketika itu sudah siap tapi belum diduduki lagi. Apabila kami datang segalanya sudah terisi dan meriah. Macam-macam ada. Pada masa itu kami terfikir...agak-agak macam manalah nanti tempat ni ya? Dan sekali lagi jawapannya terlihat dua hari yang lepas...

Datang dan pergi, yang patah berganti tumbuh semula...gambaran yang saya berikan sewaktu berkunjung ke sini. Kawasan yang tidaklah asing bagi saya sebenarnya. Sebagai bekas pelajar Universiti Malaya, kawasan Vista Angkasa, Pantai Dalam dan Kerinchi memang tumpuan pelajar UM untuk mencari rumah sewa.

Selalu dan akan kekal di ingatan saya...Isnin dan Jumaat pasar malam Kerinchi. Rabu dan Sabtu pasar malam di Pantai Dalam. Sehingga semalam sewaktu saya berkunjung ke pasar malam Kerinchi, saya masih mengingati wajah-wajah peniaga pasar malam yang saya kenali sejak tahun 2000. Wah...itu baru 12 tahun entah pada tahun bilakah mereka mula berniaga di situ?

Kekal di ingatan juga kelibat Along Gas...pembekal gas yang nombor telefonnya mesti ada di kebanyakan rumah sewa student UM. Dan semalam juga saya ada melihat dia minum sambil bersembang di kedai makanan di bawah Flat 17 tingkat, Kerinchi. Juga Sekolah Menengah Pantai yang tidak jauh dari situ...dua kali saya mengambil MUET kerana syarat untuk konvokesyen pada masa itu kena dapatkan band 3.

Banyaknya memori...van-van sekolah warna kuning, hanya perlu bayar 50 sen sahaja untuk masuk ke UM sebelum bas UM beroperasi sepenuhnya mengambil pelajar memasuki kawasan kampus. Sekitar tahun 2000-2003. 50 sen juga tambang ke MidValley kemudian RM 1 untuk dua hala perjalanan MV ke LRT Universiti. Kali terakhir saya naik bas ke Mid Valley, RM 1 untuk perjalanan sehala. Saya maksudkan bas RapidKL.

Terlalu banyak kenangan sebenarnya...tak terlarat untuk dinukilkan di sini. Di kepala saya kenangan itu bergerak terlalu laju, jari jemari saya terlalu perlahan tak terkejar untuk menterjemahkannya melalui medium tulisan ini.

Nostalgia sungguh...syukur kepadaMu ya Allah kerana memberikan pengalaman dan kenangan yang sungguh berharga ini dan dapat hambaMu ini abadikan di blog ini...Alhamdulillah...

love,
monalizahrais


No comments:

Post a Comment