Friday, November 23, 2012

FAST FOOD VERSUS MASAK SENDIRI

Sekadar pendapat sahaja, lain orang lain pengalamannya. Walaupun aku dah 12 tahun duduk di Semenanjung Malaysia ini, duduk di kawasan bandar pula tu, tetap ada sesuatu yang tidak dapat aku ubah. Barangkali ianya ada kaitan dengan cara pemakanan yang sudah diterap oleh kedua orang tua kami sejak kecik lagi. Masa masih bujang dahulu, biasalah tu jarang sangat masak kat rumah, aktiviti penuh dengan bekerja seharian selain aktiviti orang bujang seperti shopping dan berjalan-jalan.


Mengenang kembali suka duka 12 tahun yang lalu, paling kurang aku bersyukur kerana aku tidak terlalu hanyut dengan arus moden. Alhamdulillah setiap tahun aku dapat pulang ke kampung halaman meluangkan masa bersama keluarga terdekat - ibu bapa dan adik beradik. Semoga tahun-tahun mendatang rezeki aku semakin murah di bumi Malaya ini, amin...


Ok, cerita tentang fast food atau terjemahannya makanan segera, antaranya KFC, Mc Donald, Pizza Hut, Starbucks dan aneka yang lainnya, terlalu banyak untuk disebut, tak larat nak menyebutnya. Pertama kali aku merasa KFC sewaktu tingkatan empat, itupun kawan ajak ramai-ramai sebaik sahaja kami mendapat biasiswa. Pada masa itu aku tak rasa sedap pun KFC tu, rasa macam membazir pun ada, tapi tidak aku nafikan seronok berjalan beramai-ramai bersama rakan sekelas, tambahan pula ada di antara rakan kami yang memang 'anak bandar'. Bandar Sandakan pada tahun 90-an tentulah berbeza suasananya berbanding sekarang, tetapi sebagai anak kampung, berjalan-jalan di sekitar bandar Sandakan pada ketika itu seperti satu kebebasan sementara, setelah jenuh terperuk di asrama.

(ok, tukar sayalah pula, tak biasa lagi dgn penggunaan aku)


Saya tidak ada pengalaman menanti bas sebelum dan selepas pergi ke sekolah, sebabnya saya hanya menaiki bas setiap kali pulang ke rumah dek cuti hujung minggu/cuti sekolah atau turun ke bandar. Hari-hari persekolahan, saya hanya perlu berjalan kaki dari asrama menuju kawasan sekolah. Saya tidak begitu memahami 'stress' rakan-rakan sekelas yang selalu merungut ketinggalan bas, yuran bulanan bas, hujan di waktu pagi ataupun bosan/tidak suka naik bas sekian-sekian dan bermacam kesusahan lagi yang terpaksa mereka lalui.



 Di saat rakan-rakan saya yang tidak tinggal asrama ini bergegas menuju stesen bas sebaik sahaja loceng berbunyi... saya dengan selamba menuju dewan makan sebelum balik ke asrama berehat, solat Zohor, mandi dan bersiap-siap untuk belajar terarah tepat pada jam 2 petang sehingga 4 petang. Setelah itu bergegas ke asrama, solat Asar, mengikuti riadah atau aktiviti bergotong-royong sebelum bersiap-siap mandi, makan, solat Maghrib dan Isyak kemudiannya belajar terarah mula jam 8 malam sehingga 10 malam. Balik asrama, seterika baju sekolah untuk keesokan harinya, kemas buku, berborak, minum minuman panas sambil mencecah biskut ping pong atau biskut marie, berus gigi dan tidur. Kena bangun awal sebelum Subuh untuk solat di surau. Itulah rutin harian saya di asrama sepanjang 7 tahun saya menjadi budak asrama di SMKE, Sandakan, Sabah.


Makanan di asrama pula sudah ditentukan jadual menunya, jadi bila masa hendak makan fast food? Ada dijual mudah juga didapati di koperasi sekolah dan kantin, malah Maggie yang paling glamour di asrama pada ketika itu. Tetapi bagi diri saya sendiri, wang saku tidaklah sebanyak manapun, kena berjimat cermat, setiap sen yang dibelanjakan akan digunakan sebaik-baiknya. Orang tua saya selalu mengingatkan tentang kesusahan kami pada masa itu dan pentingnya berjimat cermat. Alangkan bayar yuran peperiksaan dan persatuan pun bukan main susah lagi mengumpulnya. Selalunya saya antara orang terakhir yang membayar yuran pada saat-saat akhir.


Sehingga sekarang mencecah usia awal 30-an, apabila kerap makan fast food (selalunya dapat makan free atau kena belanja dalam waktu yang terdekat), saya rasa lain macam jer perut tu, macam ada yang tak beres. Rasa kembung semacam maklumlahkan padanan air selalunya air bergas kalau kita makan fast food ini, rasa tak selesa sungguh. Sekarang, saya dan suami hanya sekali atau dua kali akan makan fast food KFC sahaja, itupun pilihan nasi ayam dan air bergas ditukar kepada jus oren atau ice lemon tea. Lebih dari mampu jika kami hendak makan di restoran makanan segera yang lainnya, tetapi Alhamdulillah tekak kami ini sudah terbiasa dengan masakan rumah. Melucukan apabila diingat kembali, ada sekali kami masuk ke restoran XXX jenis fast food jugalah, kamipun tempah makanan mengikut menu pilihan. Sebaik sahaja menu dihidangkan dan menikmatinya, membuatkan kami menyesal dan berazam tidak akan memasuki restoran XXX tu, alasan utama RM 40 ++++ yang dibelanjakan kami rasa tidak berbaloi dengan hidangan di hadapan kami, tak rasa sedap langsung! Bahan perasa yang digunakan terlalu banyak dan tidak selesa dengan tekak kami. Rasa macam membazir sangat-sangat.


Pada pendapat saya, lebih berbaloi menghabiskan ratus RM di restoran yang berkonsepkan buffer misalnya steamboat. Katakan satu kepala dikenakan charge RM +- 20 tetapi pilihan makanan pelbagai - aneka nasi, aneka sayur, aneka seafood, aneka pencuci mulut/desert/aiskrim, ayam, daging, aneka mee malah aneka sos. Bayangkan kita keluar beramai-ramai, satu keluarga yang terdiri dari pangkat cucu sehingga ke datuk nenek... setiap peringkat usia keperluan makanan itu berbeza mengikut selera dan kesihatan masing-masing. Contoh, mak kita yang berumur 50-an ada sedikit darah tinggi dan kencing manis, mustahil baginya untuk minum minuman bergas dan makan yang bergoreng, berminyak banyak, berempah, pedas-pedas. Jadi konsep steamboat memudahkannya untuk memilih sayur dan ikan kegemaran, mak hanya perlu rebus atau grill di atas 'dapur' yang disediakan di atas meja. Dalam masa yang sama, si cucu yang meningkat remaja itu bebas makan sepuas-puasnya aneka aiskrim yang disediakan. Atau ada saudara kita yang tidak makan ayam daging, dah memang macam tu patennya, masih lagi boleh memilih makanan yang lainnya, bukankah ada pilihan seafood dan sayur-sayuran? Malah kalau salah seorang saudara kita baru habis pantang disebabkan bersalin, juga tidak sukar untuk dia memilih makanan, tak gitu?. Yang penting keluarga kita happy, bukankah itu yang kita harapkan?


Tepuk diri tanya selera masing-masing. Ikut pendapat saya macam itulah. Terima kasih kepada kesusahan hidup yang saya alami semasa remaja dahulu. Setelah kehidupan menjadi mudah dan agak senang pada ketika ini, inilah masanya menggunakan sedikit kesenangan dan nikmat yang diberikan itu secara berhemah. Mentang-mentanglah mudah sahaja membeli makanan kegemaran just hulur duit sahaja, tidak bererti kita perlu membazirkannya. Beli setakat yang kita perlu makan. Duit banyak manapun, tidak ada maknanya jika dihabiskan begitu sahaja tanpa tujuan. Bukan bersifat kedekut tetapi jangan sampai hidup seakan-akan tidak diberkati, Nauzubillahiminzalik...



Saya percaya apabila kita terbiasa membazir, kemanisan menikmati makanan yang paling sedap dan mahal sekalipun akan pudar sehingga ke satu tahap kita merasakan, nak makan apa ya? Bosanlah makan itu ini, asyik makan yang itu jer... Saya pernah menemankan anak buah yang bertamu ke rumah kami untuk beberapa hari. Saya perlu menghantarnya ke KL untuk membeli tiket penerbangan ke Dubai sebelum berjumpa dengan ahli keluarga yang lain. Dalam perjalanan kami menuju ke KL, setelah membeli tiket flight, dia mengajak saya makan. Ok, dan kami pun makan. Saya order ikut selera tekak dan dia pun begitu juga. Melihat variasi makanan yang ditempahnya membuatkan saya terfikir... agaknya anak buah saya ini sedang lapar sangat-sangat.


Menyedihkan malah mengejutkan saya, dia hanya makan beberapa suap dan sisa makanan terbiar begitu sahaja, saya menghabiskan makanan yang saya tempah sebab itulah keperluan tekak saya buat masa itu. Kemudian bayaran makanan dilunaskan dan kami beredar. Tidak lama kemudian setelah dia shopping dan sementara menunggu ketibaan ahli keluarga, dia hendak makan lagi dan seperti yang saya jangka, peristiwa di restoran sebelumnya berulang kembali. Sayang sekali dia tidak menikmati makanan yang dipilihnya sendiri, begitulah pada pengamatan saya. Makan hanya beberapa suap dan selebihnya terbazir begitu sahaja.


Menghargai makanan selalunya dilakukan oleh mereka yang benar-benar dalam kesusahan hidup. Ada yang merasakan telur goreng itu lauk yang paling sedap tetapi di tempat lain mereka yang hidup senang segelintirnya sesuka hati membazir makanan. Alangkah baiknya jika kita hidupnya senang, mudah mendapatkan makanan yang diingini tetapi makan ikut keperluan bukannya nafsu semata-mata. Dan saya percaya keberkatan hidup kita juga salah satunya berkait rapat dengan cara pemakanan yang kita amalkan. Kita tentu tahu, para tahfiz Al-Quran yang bersungguh-sungguh menghafal bermula dari juzuk 1 sehingga juzuk 30, mereka perlu menjaga pemakanan untuk ingatan yang kuat dan cerdas. Sebab itulah mereka perlu makan kismis dalam bilangan tertentu setiap hari, berpantang dengan makanan tertentu. Bukankah itu menunjukkan betapa makanan memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan kita? Apatah lagi membazirnya?


Semasa zaman bujang dahulu setiap hari saya akan makan di luar, tetapi selalunya selera saya kurang menggebu sebabnya rasa jemu itu selalu bertandang. Saya selalu merindui masakan rumah. Walaupun masakan biasa-biasa sahaja, tetapi masakan di rumah juga yang dapat membuatkan selera saya berganda, hehehe... sekarang setelah berumahtangga, setiap hari saya dapat memasak di rumah, hanya sesekali kami makan di luar... rasa sedap dan berbaloi melihat wang yang dibelanjakan. Nasib baiklah suami saya ini selera makannya jenis selera orang kampung, memudahkan saya untuk memasak makanan kegemarannya.


Kadang-kadang saya membeli sosej, burger dan kentang goreng segera jenis frozen dan disimpan di peti ais untuk dimakan sekali-sekala. Ada ketikanya saya tiada selera makan nasi terutama sekali sewaktu datang bulan. Maklum, orang perempuan ini hormonnya selalu berubah, melibatkan perasaan dan selera makan juga, jadi saya akan makan makanan sejuk beku untuk 'up' semula selera makan saya seperti biasa, tetapi bukanlah sepanjang masa, sesekali sahaja. Jadinya, lamalah produk sejuk beku ini akan tersimpan di peti ais kerana saya seorang sahaja yang membalunnya. Pun begitu saya cuba seimbangkan, maksudnya katakan saya makan sosej pada waktu siang, waktu malamnya saya akan makan sayur rebus ataupun sup, atau sewaktu makan sosej tu saya minum jus oren atau makan buah. Jika saya makan berterusan produk segera ini tanpa diseimbangkan dietnya, perut saya juga yang menggelabah, huhuhu...


Terpulang kepada keselesaan tekak masing-masing, ayat-ayat di atas sekadar pandangan saya sahaja dan apa yang cenderung kami lakukan, tidak ada kaitan dengan sesiapapun, setiap manusia berbeza latar belakang begitu juga selera makannya.


 


  

 


    





No comments:

Post a Comment