Tuesday, June 11, 2013

KITA IBARAT MUSAFIR DI PADANG PASIR

Assalamualaikum...



 Sumber : fb

Kita ibarat musafir di padang pasir, beginilah kehidupan, hanya satu persinggahan sementara, sebelum menuju destinasi seterusnya. Spontan saya teringat soul music - 'caravansary' oleh Kitaro.

Unik tersangat unik gambar di atas, entah lukisan atau gambar yang sudah diedit... entahlah yang penting ceritanya dari sudut pandangan saya.

Saya suka menonton drama-drama Cina. Zaman kanak-kanak saya dahulu, asal jam 6 ke 7 petang mesti lekat duduk depan tv tengok drama Cina. Tentunya ini mengundang rasa tidak senang di mata arwah bapa. Maklum, bertembung dengan waktu Maghrib kan. Dan, itu time juga budak-budak datang rumah belajar mengaji (arwah bapa saya mengajar mengaji, percuma sahaja kepada anak-anak jiran). Kadang-kadang tu tengah asyik masyuk tengok tv, tiba-tiba arwah bapa akan off tv. Dan saya dengan rasa kecewa terpaksa 'angkat kaki'. Tapi tetap drama Cina juga yang saya tonton. 


Tabiat ini berterusan sehingga ke hari ini - Drama dari Taiwan, Singapore, Hongkong, China dan tidak kurang Malaysia, saya dapat mengenali sedikit sebanyak perbezaan drama Cina dari negara-negara yang berlainan ini. Minta maaf banyak-banyak, saya jarang-jarang menonton drama Melayu lagi-lagi yang jenis bersiri. Tapi, dari segi pembacaan buku dan majalah, tentunya buku-buku berbahasa Melayu yang saya pilih. Tak kira buku itu khusus untuk kanak-kanak atau dewasa, semua saya bedal, pulun, belasah baca yang penting menarik.


Ok, berbalik kepada poin utama - kita ibarat musafir di padang pasir, mengingatkan saya kepada lantunan dialog dalam sebuah drama bersiri. Sekali lagi drama itu berbahasa Cina, jenis Cina mana... sama ada hakka, hokkien atau kantonis, maaf saya tidak tahu tapi saya tertarik kepada setiap kata yang dilontarkan pelakonnya.


Drama yang saya tonton itu jenis 'alam ghaib' kisah dewa-dewi yang menjaga dunia ini. Satu hari ada seorang dewi ingin menjadi manusia kerana tertarik dengan kehidupan manusia yang dirasakannya penuh dengan bermacam cerita. Dia sudah bosan hidup bersenang lenang di alam dewa, dirasakannya dia tidak melakukan apa-apa perkara yang menarik hatinya. Tidak ada cabaran, sekali lagi hanya bersenang lenang sambil sesekali turun ke bumi 'menjalankan tugas'. 

Dewi ini meminta izin supaya dapat turun ke bumi menjadi manusia untuk satu tempoh tertentu. Dan dia diizinkan, tapi sebelum itu dewa yang lebih tertinggi kedudukannya dari dewi ini menasihatkannya supaya berfikir banyak kali sebelum turun ke muka bumi kerana kemungkinan dewi ini akan hilang banyak keistimewaan yang ada padanya.


Yang menariknya dewa itu mengatakan sesuatu kepada dewi tersebut + - begini poin utamanya - kehidupan manusia di muka bumi sangat mencabar, tidak ada yang kekal semuanya sementara sahaja akan ada penghujungnya, kehidupan bahagia selalu bersilih ganti dengan derita, penuh dengan rencah rasa baik, jahat, dan yang penting manusia itu tidak sempurna. 

Pun begitu, dewi itu tetap dengan keputusannya untuk menjadi manusia dan hilang hak istimewanya sebagai dewi. Ops! jangan fikir yang bukan-bukan, betulkan apa yang dikatakan dewa tersebut? Semua orang tahu fenomena filem 'Star Wars'. Walaupun pelik dengan bermacam rupa dan tempat tinggal di angkasa pula tu... majoriti kita tetap suka menontonnya. Sebab apa? Tentunya ada nilai kemanusiaan di situ, ada benci, marah, ada musuh ada kawan, peperangan dalam diri sendiri atau sesama lawan dan kawan, malah percintaan atau persahabatan, kekeluargaan.

Yang pasti... tidak ada yang kekal, semuanya akan ada penghujungnya. Kita ibarat musafir di padang pasir, berkelana mencari , membentuk kehidupan yang diinginkan serta menyerah diri kepadaNya agar di penghujung perjalanan yang baik-baik menjadi penutup.

Dalam Islam, syurga atau neraka adalah penghujung perjalanan kita yang kekal abadi. Tentunya, syurga yang didambakan...

love,
monalizahrais 
 



No comments:

Post a Comment