Monday, September 26, 2011

RUMAH IDAMAN


Secara kebetulan saya ada gambar ni, jadi diletakkan di blog ini untuk cerita tentang rumah idaman. Sekadar gambar hiasan saja tu (tapi orang dalam gambar tu...aku ler...). Gambar ini diambil pada tarikh 20 September 2011 - dua hari sebelum saya dan suami pulang semula ke Klang, Selangor. Lokasi di rumah Agnes Keith, Sandakan, Sabah.

Sewaktu berkunjung ke rumah kakak ipar, seperti biasa topik balik Sabah antara tajuk utama yang dibualkan. Isu yang sama juga seringkali disebut oleh keluarga dari pihak saya. Kakak ipar mencadangkan supaya saya dan suami tinggal di rumahnya, menetap dan bekerja di Sabah.

Rumah yang dimaksudkan - rumah milik kakak ipar yang didaftar atas namanya. Sederhana besar, tiga bilik tidur, satu tandas dan satu bilik air. Kalau dapat tukar nama ok, tetapi kalau sebaliknya...tak payah duduk rumah tu. Saya cakap macam tu dengan suami.

Rumah, tanah dan kereta - pendapat sayalah kan...untuk menyenangkan di kemudian hari, kalau hendak menetap yang memang itulah tempat yang dipilih untuk sepanjang kehidupan sehingga ke usia senja (INSYAALLAH) biarlah hak milik atas nama kita kan.

Bapa tengah sakit kuat dan cuma bayar beberapa ratus sahaja, kunci rumah dapat diambil dan bila-bila masa sahaja berpindah ke rumah tersebut. Betul-betul punya godaan ni! Tetapi saya yakinkan diri sendiri dan suami, yang penting kita berdua terus berusaha untuk balik semula ke Sabah. Ada juga tu rezeki, asalkan tidak berputus harap dan berdoa. Maksud saya macam tu "Sirih Pulang ke Gagang" bah.

Setakat balik setiap tahun semasa perayaan, itu lain ceritalah.

Merantau jauh manapun, kita akan ada perasaan, suara hati kita di sudut yang paling dalam...'suatu hari nanti aku akan pulang dan menetap semula di negeri/negara kelahiranku'.

Tuntutan tugas dan kekangan tertentu seringkali membuatkan hasrat itu terbantut. Cerita kehidupan kita berbeza warna antara satu dengan yang lain kan. Itulah kehidupan. Sewaktu zaman remaja, saya sering membayangkan rumah idaman saya - melihat gunung Kinabalu sebaik sahaja saya membuka tingkap rumah, merasai udara sejuk, nyaman dan menyegarkan dari daerah pergunungan. Melihat aliran sungai jernih bersih bebas dari pencemaran. Mendengar kicauan burung dan cengkerik, mendengar suara alam - hujan turun, aliran air...dan..............kalau disenaraikan terlalu banyak kan?.

Kalau saya boleh memilih, daerah Kundasang @ Ranau menjadi pilihan. Impian...memang indah terukir cantik di alam fikir.

Oh ya, rumah itu tidak dapat pindah hak milik. Jadi kami tolak secara baik tawaran kakak ipar itu. Tentang cerita impian tu pula, bermimpi boleh tetapi jangan sampai lupa yang nyata - ingatan untuk diri sendiri.

No comments:

Post a Comment