Thursday, August 15, 2019

OLD SCHOOL VS NEW SCHOOL



 Assalamualaikum...

 Kali terakhir saya update cerita di blog ini pada Januari 2019. Sekarang bulan Julai 2019, melepasi pertengahan tahun sesudah Hari Raya Puasa kemudian kita akan melalui Hari Raya Haji…seterusnya hari-hari mendatang. Cerita untuk entri ada banyak tapi entahlah apa yang disibukkan sangat tu. ‘Tertulis’ di minda kemudian terbiar begitu saja, entah bila dapat dipindahkan ke blog.


Malam ini saya cuba menulis cerita untuk simpanan di sini. Cuaca siang tadi cerah, panas dan cuaca di hati tenang-tenang saja.


Memudahkan perjalanan cerita dan ‘refresh’ jari jemari yang dah lama tak menaip guna keyboard laptop, kita gunakan poin penting kemudian cerita sikit-sikit. Yang menaip mudah dan diharap yang membaca pun mudah faham dan seronok membaca.

@ Teksi vs Grab @


Kadang-kadang rasa kasihan melihat pakcik teksi termenung panjang menunggu penumpang. Ada di antara pakcik teksi yang saya kenal, siap simpan kad dan seringkali mengguna khidmat teksinya terutama trip ke airport setiap kali kami balik kampung halaman atau waktu kecemasan.


Tapi harga Grab jauh lebih murah dan selesa berbanding teksi, malah kita boleh pilih nak kereta jenis Economy/Premium/Specialty (info selebihnya boleh search dalam Grab). RM 65 adalah harga tetap KL ke KLIA/KLIA2 tidak termasuk bayaran tol.


Berbanding harga teksi, dulu saya akan standby awal-awal duit dalam dompet paling kurang RM 150-RM 200 dari airport ke rumah di Klang atau sebaliknya. Dan kena pula flight kita mendarat di airport waktu tengah malam, cas teksi RM 100 ke atas, harga kawan-kawan pun kita hulur RM 100 juga.


Dan ada banyak kelebihan menaiki Grab. Tak perlu saya jelaskan panjang-panjang, kebanyakan kita ada smartphone dan apa saja info boleh dicari dengan mudah. Yang sedia ada akaun Grab lebih dari faham apa yang saya tuliskan ini.


@ Sambung belajar @


Tiba-tiba satu petang mesej whatsapp saya berbunyi. Buka mesej… adik bongsu saya bertanya tentang UPU. Saya sedia maklum proses memasuki pusat pengajian tinggi ketika ini hampir 100% online. Sangat-sangat berbeza zaman saya sambung belajar sekitar tahun 2000 – 2004. Manual sepenuhnya. Berbulan menunggu keputusan. Telefon guna telefon rumah. Tunggu surat sampai rumah.

Tidak banyak maklumat yang dapat saya kongsikan dengan adik saya…sudahnya saya menyuruh dia bertanya rakan-rakan sekelasnya yang terlebih dahulu sambung belajar.


@ Member Card @

Kad oren fungsinya kumpul poin kemudian dapat tebus barang atau dapat diskaun barang berdasarkan berapa banyak poin terkumpul.


Kemudian pihak pasaraya A (nama samaran), naiktaraf kad oren kepada kad ungu yang banyak kelebihan berbanding kad oren. Kad oren dimansuhkan dan pelanggan digalakkan tukar kad ungu. Antara kelebihan kad ungu ianya dapat disambung terus dengan kad kredit atau kad debit yang kita ada. Selain itu poin terus dapat dikumpul seperti biasa.


Kami request dekat staf kami nak yang biasa-biasa saja, setakat kumpul poin macam kad oren sebelum ini. Kami tak mau sambung kad ungu dengan kad bank kami.

@ Bank In @


Ada beberapa perkara yang tidak dapat kita elakkan. Akhirnya kami “terpaksa” membuka akaun bank online. Kami sedia maklum melalui maybank2u atau cimbklik banyak urusan kita menjadi mudah. Bayar bil, transfer duit, beli tiket flight dan bermacam lagi kemudahan di hujung jari.


Mula-mula buka bank online, saya ‘tersasul’ sekejap ~ saya pergi bank beratur di mesin ATM untuk bank in duit ke akaun emak saya. Kemudiannya saya tersedar, kenapa tidak transfer saja duit tu, kan senang tak payah beratur hahaha…


Kemudian saya teringat seorang ejen tiket yang setiap tahun kami akan beli tiket flight dengannya, mungkin selepas ini kami akan beli tiket flight sendiri…sebab dah ada bank online kan… pukul 3 pagi pun boleh beli tiket, dapat check in awal dari rumah sebelum gerak ke airport. Sampai sana hanya perlu print out boarding pass dan drop barang di kaunter.

@ Kahwin @

Bab ini semua orang sedia maklum. Dulu lain sekarang lain. Zaman saya kahwin tahun 2008, tidak ada pelamin tunang, tiada hantaran dulang, tak perlu fikir tukang gambar siapa, tiada baju tema. Semasa bertunang pihak kami menetapkan wang hantaran di bawah RM 10,000. Pelamin emak saya buat sendiri. Yang perlu dibawa semasa bakal suami saya meminang hanyalah cincin tunang dan sedikit gulungan kain kuning sekadar memenuhi adat saja. Dan yang perlu dibawa semasa hari nikah selain mas kahwin…perlu bawa cincin nikah, duit sagu hati untuk tok kadi dan saksi. Itu saja.


Duit hantaran untuk majlis kahwin kami… diguna sepenuhnya untuk makan minum tetamu dan bilik pengantin. Baju pengantin kami suami isteri kami sewa sendiri guna duit kami. Mak andam saya sepupu sendiri, solek pengantin stail dulu-dulu. Pertama kali saya cukur kening seumur hidup. Nak make up sendiri tak reti buat. Tukang ambik gambar pengantin guna kamera dan telefon bimbit kurang pintar. Tidak ada FB dan lain-lain media social. Hanya tahun 2010 barulah saya mula berFB.


Sekarang… saya ambil contoh terdekat adik sendiri yang kahwin masa Hari Raya sudah Jun tahun ini. Beza memang berbeza. Hantaran 20K, bermula meminang sudah ada pelamin tunang, hantaran dulang nikah, tukang gambar, MUA (mak andam) sehingga hari nikah pun ada pelamin nikah, hantaran dulang nikah, hari sanding ada pelamin sanding, MUA, tukang gambar, door gift, baju tema…dan apa lagi? Yang biasa jalan-jalan di media social akan biasa melihat ada banyak pakej perkahwinan lalu lalang di wall fb kita.


Zaman saya nikah 2008, mendengar hantaran 10 ribu itu sesuatu yang sangat besar nilainya di kampung kami dan bakal menjadi bualan orang-orang kampung. Kemudian sedikit demi sedikit hantaran itu bertambah perlahan-lahan mencecah belas ribu ke puluh ribu.


Sekarang saya ada 2 orang adik yang masih bujang. Satu lelaki dan satu perempuan. Untuk tahun-tahun seterusnya, entah berapa belas ribu atau puluh ribu yang perlu dihantar untuk adik lelaki atau diterima oleh adik perempuan kami. Saya yang sulung dan 5 orang adik saya sudah berkahwin. 

Syukur semasa majlis kahwin saya tahun 2008 itu orang tua saya setuju untuk hidangan makan minum kepada tetamu undangan – guna stail hidangan buffet/stail katering. Asalnya emak nak buat stail kampung jenis hidang bertalam. Memikirkan banyak ahli keluarga terdekat bekerja, ianya sangat susah untuk direalisasikan. Semua sibuk dengan kerja masing-masing. Saya beli dulang catering dari Klang kebetulan ada promosi harga murah. Bawa naik kapal terbang ke Sabah.


Next, majlis kahwin adik-adik saya selepas itu kami masih kekal stail buffet/katering. Juadah dimasak sendiri oleh orang kampung dan ahli keluarga. Semangat rewang masih ada di kampung halaman kami walaupun bukan 100% seperti zaman mak bapa kita.


Petang tadi semasa saya sedang print out dokumen di cyber cafe (CC), ada seorang customer CC bertanyakan saya cara-cara mengisi borang nikah online. Saya jawab saya tak tahu sebab tiada pengalaman. Zaman saya dulu semuanya manual. Terus pergi jabatan agama. Dan isi borang. Kemudian customer itu menjelaskan sekarang sudah wajib isi borang nikah online kemudian print out borang dan hantar ke jabatan agama.


Usia saya 40 tahun pada tahun hadapan namun dalam hal teknologi maklumat, gajet  hampir setiap hari ada benda baru… saya merasakan seperti seorang tua yang sedang berhadapan dengan dunia baru teknologi yang kadang-kadang tak masuk akal…tapi realitinya wujud. Tak terkejar kita dibuatnya. Ibarat seorang tua dan seorang cucu yang saling berhadapan.


@ Kedai gajet vs kedai buku @


Awal tahun ini, saya dan suami pergi ke Plaza Low Yat, mencari telefon pintar yang sesuai dengan bajet kami – anggaran RM500 sehingga di bawah seribu ringgit. Terkejut sekejap melihat di celah-celah kedai gajet dalam Plaza Low Yat… ada satu kedai buku terselit di situ. Rasa pelik pun ada. Jangkaan saya kedai buka itu akan tutup akhirnya terkalah oleh kedai gajet yang sentiasa ramai pengunjungnya.


Tahun 2000-2004 ketika saya masih bergelar pelajar Universiti Malaya, waktu-waktu cuti saya sering habiskan masa dengan meluangkan masa berjam-jam atau seharian di kedai buku MPH di Mid Valley. Saya memikirkan dengan hanya tambang bas seringgit pulang balik stesen Universiti – Mid Valley… saya dapat membaca percuma pelbagai buku di MPH. 

Bermula harga buku di bawah 5 ringgit sehingga buku berharga ratusan ringgit.
Sekarang dengan hanya RM 50 sebulan keperluan internet saya, saya dapat 7 GB + 90 GB percuma sebulan dengan hanya membaca di smartphone. Rasa sedih ketika membaca berita, ada kedai buku terpaksa gulung tikar, ianya tidak dapat dielakkan.


Ada sekali saya naik Grab pemandunya orang lama, dan ada surat khabar di sebelahnya. Tiba-tiba juga saya rasa pelik atau ironi mungkin? Entahlah.


E-book atau buku elektronik. Selain buku fizikal, kini telah wujud eBook. Apa itu eBook? Google saja kawan, semua ada jawapannya, sama seperti saya yang bertanya kepada ‘Pakcik Google’ apa itu eBook. Saya tak nak ulas lebih-lebih sebabnya saya pun dalam proses mempelajari apa itu eBook. Kecuali kalau saya dah ada pengalaman tentang eBook mungkin saya dapat berkongsi cerita di sini.


@ Media Sosial @


Tiba-tiba satu hari melintas di dinding news feed fb saya… ada hantaran berbentuk screenshot dari page yang agak terkenal di fb. Page LM (nama samaran), tunjuk mesej seorang makcik yang menyuruh supaya namanya di ‘remove’ dari ‘group’. Page LM dengan lantangnya menegaskan mereka tidak pernah ‘add’ makcik tu dalam ‘group’ kerana page LM bukan ‘group’ tapi page LM adalah page.


Pengguna tegar media social tentu faham perbezaan antara Page dan Group. Malangnya makcik ini menjadi bahan kecaman ahli-ahli page LM. Siap kena ‘serang’ di fb nya.
Tiba-tiba saya teringat emak di kampung dan rasa bersyukur sangat emak tidak ada akaun facebook. Tidak semua orang dapat melayan arus media social, ombaknya sangat kuat membadai perasaan, kena hati kering beb.

Cerita ini siaran tertunda, sepatutnya bulan lepas kena simpan di sini. petang ini saya sudahkan cerita, terus upload di sini. 

💚💚💚
🌸🌸🌸

love,
monalizahrais
Klang,
15 Ogos 2019,
Khamis 








No comments:

Post a Comment