Sunday, October 28, 2012

RUMAHKU SYURGAKU

Assalamualaikum pembuka bicara di awal pagi Ahad, pagi minggu hari ketiga Aidiladha. Agak baik mood saya menulis ketika ini. Suami sudah hanyut dibuai mimpi (agaknya lah, hehe) tapi mata saya masih segar, jari jemari masih sanggup menari membuahkan perkataan di blog ini. Minggu ini ada beberapa segmen yang menyentuh hati saya, melihat rancangan ini secara tidak sengaja sebenarnya, kita sungguh bertuah menjadi rakyat Malaysia. Oh, tidak ada kaitan dengan politik ya. Maklumlahkan, bahang politik sudah mula membara perang poster sudah dapat dilihat di sekeliling jalan di kawasan perumahan kami ini. Dunia tersembunyi - salah satu rancangan kegemaran saya memaparkan tentang sebuah kehidupan terasing, kawasan setinggan di tanah perkuburan. Di negara kita ini, hendak melintas di kawasan perkuburan sahaja sudah membuatkan kebanyakan kita berfikir panjang dan mula mencongak untuk melalui jalan lain, terutama sekali pada waktu malam. Aneh bagi saya yang melihatnya, tetapi biasa seperti tidak ada apa-apa kepada penghuni tersebut. Ada yang menetap lebih dari 40 tahun dan semua anaknya lahir di situ!.
Anak-anak kecil menjadikan kawasan sekitar perkuburan sebagai taman permainan mereka. Langsung tidak terlihat riak wajah gelisah dan  ketakutan. Desakan hidup membuatkan mereka memilih kehidupan seperti itu. Dengan nada bergurau saya berkata kepada suami, bukan lagi manusia yang takut dengan hantu/alam mistik tetapi hantu sudah yang takut kepada mereka. Sukar untuk diterima logik akal tetapi itulah kehidupan mereka. Sememangnya negara Filipina punya ceritanya yang tersendiri. Keunikan inilah yang menggamit kedatangan mereka yang berada di luar negara untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang warna kehidupan
Berbeza di tempat kita, orang mendiami kawasan perkuburan hanyalah si penggali kubur, itupun bukannya dia tinggal di kawasan perkuburan, tetapi hanya berhampiran sahaja. Generasi seterusnya pula apabila ditanya tentang impian mereka , selain pekerjaan yang baik termasuklah rumah yang lengkap untuk dimiliki suatu hari kelak. Bertambah menarik, apabila ditunjukkan tulang-tulang yang dibungkus dalam plastik hitam dilonggokkan di satu tempat, hanya kerana waris si mati tidak melunaskan bayaran sewa kubur. Sudahlah hidup berhadapan dengan kos sara yang tinggi termasuklah sewa rumah, sesudah mati hanya tinggal tulang sahaja pun terpaksa 'menyewa' kubur yang didiami. Sungguh, sampai begitu sekali desakan kehidupan yang dipaparkan. Patutlah penghuni setinggan kawasan perkuburan itu sudah tidak takut apa-apa lagi, tidak kisah dengan cara kehidupan mereka yang unik itu... siap ada tv, kipas dan tempat tidur lagi. Tidak terkecuali rumah atas pokok turut ditunjukkan. Sampaikan begitu sekali kehidupan yang daif dan miskin.


Selain rancangan Dunia Tersembunyi... sebentar tadi cerita tentang perjanjian damai Bangsamoro di wilayah Mindanao, Filipina dengan kerajaan Filipina turut menarik perhatian saya. Juga selama lebih kurang 40 tahun perjuangan mereka mendapatkan kemerdekaan untuk Bangsamoro yang seakan-akan tiada berkesudahan... akhirnya bertitik dengan perjanjian damai. Yang mengagumkan, Bangsamoro ini berjuang untuk Islam, mereka sanggup bersusah payah kerana menegakkan agama dari dipengaruhi unsur Kristian. Sesuatu bangsa itu menjadi kuat apabila kesatuannya kukuh dan tidak mudah ditindas oleh unsur luar. Walaupun terdapat sedikit perpecahan di dalam Bangsamoro antaranya terpecah kepada Abu Sayyaf dan MILF, tetapi tujuan utama mereka tidak lain mendapatkan hak mereka terutama sekali hak beragama.
Hendak mengulas dengan lebih mendalam... saya bukanlah orang yang tepat untuk membicarakannya tetapi sesuatu perjuangan memang ada harga yang perlu dikorbankan, antaranya ratusan nyawa melayang disebabkan peperangan. Kesedihan, keperitan kehilangan keluarga tersayang, sentiasa hidup dalam keadaan ketakutan dan sentiasa berjaga-jaga dari serangan musuh untuk satu tempoh yang agak lama juga tu, akhirnya berhasil dengan perjanjian damai, itulah yang sebaik-baiknya.
 

No comments:

Post a Comment