Monday, August 13, 2012

TANGGUNGJAWAB

Assalamualaikum dan salam hari Isnin. Semakin hampir hari yang ditunggu-tunggu apa lagi kalau bukan hari lebaran. Kita sudah semakin sibuk menyiapkan keperluan diri dan keluarga, menghias rumah, membeli baju baru dan bermacam lagilah. Semalam petang, jiran-jiran saya sibuk mencuci halaman hadapan dan belakang rumah mereka. Lampu pelita bertangkai buluh juga sudah siap mereka pasang di sepanjang laluan memasuki kejiranan kami ini.
 
 
Merujuk kepada diri sendiri... saya bukanlah orang yang tepat untuk membicarakan isu agama atau mengkritik/menegur orang lain tentang amalan seharian mereka berkaitan dengan solat dan puasa. Tetapi kita boleh berfikir apa yang patut dan tidak patut, sekurang-kurangnya pengajaran untuk diri kita sendiri sekiranya kita melihat/mendengar sesuatu yang kurang enak.
 
 
Seseorang yang saya kenali mengatakan kerisauannya tentang anak bujangnya yang sedang meningkat remaja. Katanya, dia risau anaknya tidak ada di rumah sepanjang malam di bulan puasa ini, malah berbuka puasa dan bersahur pun di luar rumah. Saya pun bertanya, anaknya pergi mana? Balasnya...anaknya ada di MASJID. Tidak tahu hendak memberikan reaksi yang bagaimana, mengikut pengamatan saya, dia yang sepatutnya perlu risau tentang diri sendiri, sebabnya dia tidak solat, tidak berpuasa, tidak ke masjid. Risau kerana anak entah ke mana atau sibuk berpeleseran tak tentu hala... itu masuk akal jugalah, tapi risau kerana anaknya dekat dengan masjid?


Sungguh! Saya terkejut, tapi siapalah saya untuk menegurnya membetulkan persepsinya itu. Ditambah lagi dia jenis yang hanya berpegang teguh dan percaya dengan setiap yang dikatakannya, bukan jenis orang yang mendengar pendapat orang lain. Mudah-mudahan satu hari nanti pintu hatinya diberi petunjuk dan hidayahNya.


Berkahwin bukan sekadar beranak pinak, perlu ada ilmu, tidak semestinya perlu menjadi pakar, tetapi satu yang saya pasti takkanlah kita tak tahu langsung perkara-perkara asas, wajib, halal dan haram? Sekurang-kurangnya kita sedar andai kata kita tidak tahu/ tidak pandai mengajar anak kita mengaji disebabkan kita sendiri pun masih mengaji teragak-agak sebutannya... tetapi kita tahu apa yang patut dilakukan, anak kita itu dihantar mengaji dengan ustaz ke, ustazah supaya mereka menjadi lebih baik dari kita. Bukannya mewarisi kejahilan kita.

 
Kita tahu hari ini hari Jumaat, wajib ke masjid bagi yang lelaki kecuali disebabkan keuzuran yang dibenarkan... tapi kalau hari Jumaat pun tidak perasan, parah juga tu. Maaf sekali lagi, saya menulis sebegini bukan hendak mengatakan mereka jahat sangat, kita tidak tahu mungkin di masa hadapan mereka lebih baik amalannya dari kita, tetapi apa yang berlegar di fikiran saya sekadar diluahkan di sini, rasa sedih kan.


Berkahwin, menjadi ibu bapa perlu ada ilmu. Ilmu agama yang terpenting sekali, sekalipun bukan pakar sekurang-kurangnya kita tahu perkara asas, fardhu ain dan fardhu kifayah. Ingatan untuk diri saya sendiri.
 
 
 

No comments:

Post a Comment