Tuesday, April 17, 2012

TULIS SURAT LAGI

Assalamualaikum, morning Yong... sudah breakfast kah? Pagi ini saya sarapan biasa-biasa saja, milo susu dan roti. Sambil taip surat sambil juga bersarapan. Aduh Yong, tempoh hari kau pernah bertanya kepada saya tentang surat-surat mama. Masih ingat lagi? Maaflah lambat sikit membalas surat dan menjawab pertanyaan cepu emas mu itu.
 
Begini bah tu ceritanya Yong. Kau taulah kan dulu-dulu zaman kita sekolah rendah, menengah dan di awal-awal tahun kita di universiti. Berutus surat masih lagi mendapat tempat, berbanding sekarang jauh mana pun di kebanyakan ceruk bumi ini, adanya jaringan laman sosial menjadikan semuanya dekat di hujung jari jemari kita. 
 
Mama saya kan Yong sentiasa utus surat sama saya, setiap minggu akan ada surat. Kadang-kadang tu sampai dua surat dalam seminggu. Teman-teman serumah saya tidak pernah percaya bahawa surat-surat yang sampai ke tangan saya itu surat dari mama. Sudah tentu mereka menyangka surat itu dari buah hati.Sampaikan ke satu tahap saya menyuruh mereka melihat sendiri membaca surat-surat itu barulah mereka percaya.
 
Ada seorang rakan saya mengatakan dia jealous dengan saya sebabnya dia merasakan saya begitu istimewa di mata mama. Saya katakan padanya bukan berkaitan dengan istimewa tapi itu sahaja cara kami berhubung pada masa itu, sedangkan telefon rumah pun tidak ada. Jadi hanya dengan berutus surat sahaja kami dapat mengetahui khabar masing-masing. Lagipun, saya yang pertama dalam keluarga di antara adik-beradik yang berpeluang menyambung pelajaran sehingga peringkat universiti dan untuk maklumanmu Yong... dahulunya keluarga kami menganggap Semenanjung Malaysia itu sesuatu yang sangat asing dan jauh. Jadi cuba kau bayangkan Yong betapa bimbangnya hati seorang ibu melepaskan anak gadisnya sejauh itu. 
 
Demi masa hadapan yang lebih baik, segala kesusahan ditempuh jua Yong. Hanya kawan-kawan keluarga saya di sini pada masa itu tanpa seorang pun ahli keluarga. Alhamdulillah Yong... berbelas tahun saya di sini banyak kebaikan yang saya perolehi dan kemanisan di atas setiap dugaan/ujian mula menampakkan hasilnya Yong. Tapi, perjuangan tetap diteruskan, masih banyak yang perlu saya lakukan Yong. Sesudah kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan ada kemudahan. Saya sentiasa berdoa kepadaNya... agar dipermudahkan semua urusan saya, dibukakan jalan dan peluang ke arah mencapai impian-impian saya Yong.

Surat-surat itu masih tersimpan kemas sehingga ke hari ini. Sebahagian besarnya saya bawa pulang semula ke Sabah dan disimpan di laci di bilik tidur saya. Ada beberapa surat masih berada dengan saya tersimpan kemas juga di kotak kecil bekas limau mandarin hadiah majikan suami saya setiap kali menjelang Tahun Baru Cina.
 
Begitulah Yong antara cerita berkaitan dengan surat yang kau pinta itu. Jangan lupa ceritakan pendapatmu  di lain surat nanti ya! Saya tunggu tu... dan sampaikan salam saya kepada keluarga di sana. Sampai jumpa lagi di lain lembaran.

salam sayang,
monalizahrais

No comments:

Post a Comment