Tuesday, April 3, 2012

ADA APA DENGAN NAMA?

Macam-macam ada, pelbagai cerita berkaitan dengan nama. Antara nama yang kekal di ingatan saya Bulan Dijeling. Saya tidak pernah bertemu empat mata dengan pemilik nama ini, saya tahu melalui majalah sekolah pakcik saya semasa saya budak-budak dahulu. Saya selalu 'kacau' buku-buku pakcik saya yang sedang belajar di tingkatan enam pada masa itu, semua buku - geografi, pengajian am dan yang sering menarik perhatian saya buku-buku Kesusasteraan Melayu.Cerita-cerita seperti Pak Pandir, Pak Kaduk, Abu Nawas, gurindam, penglipur lara, pantun, novel Keluarga Gerilya entah sudah berapa kali diulangbaca.

Disebabkan saya membaca cerita-cerita ini sewaktu zaman kanak-kanak dahulu...saya suka membacanya walaupun tidak faham sangat terutama sekali Keluarga Gerilya. Tapi tidak pernah pula saya bertanyakan pakcik saya mungkin sebab saya membaca buku-buku ini di luar pengetahuannya. Sebenarnya walaupun masih kanak-kanak pada masa itu, saya boleh membaca laju dan menghabiskannya lebih cepat berbanding rakan-rakan lain. Bukan hendak memuji diri sendiri tetapi pada satu hari pakcik saya memberikan buku yang bertulisan besar, bergambar yang selalu dibaca oleh budak-budak selalunya dalam 10 ke 20 halaman sahaja kan.

Masa tu pakcik saya sudah bergelar guru mengajar di sekolah rendah. Hendak dijadikan cerita, dia menyuruh saya menghabiskan membaca buku cerita yang diberikannya itu. Saya pun membaca seperti biasa dan sebaik sahaja selesai saya beritahu dia saya sudah habis membaca buku itu. Pakcik saya tidak percaya saya dapat menghabiskan secepat itu, pada pandangannyalah. Dia tidak percaya walaupun berkali-kali saya menjelaskan saya sudah siap membaca buku tersebut. Saya rasa pelik masa itu, kenapalah pakcik aku ni tidak percaya...

Kadang-kadang membaca buku bersama-sama dengan rakan-rakan membuatkan saya bosan menunggu rakan saya itu siap membaca halaman yang sama. Sebab itulah saya sedar saya dapat membaca lebih cepat berbanding rakan-rakan yang lain.

(kenapa ayat aku macam ayat-ayat skema ni? isk,isk...)

Sebenarnya saya hendak bercerita tentang nama sendiri. Hari ini saya terinspirasi dengan cerita di sebalik nama kita sebaik sahaja saya mendengar siaran radio HOT fm. Saya pernah bertanya dengan mak saya, kenapa nama saya macam tu? Masa tu masih remaja lagi dan saya rimas mendengar lagu monalisa, kawan-kawan lelaki saya setiap kali tengok muka saya saja mesti nyanyi lagu tu. Bosannya rasa...masa itulah, rasa hendak marah pun ya.

Menurut mak, nama saya sepatutnya Monalisa sebabnya dia hendak saya pun terkenal seperti lukisan Monalisa itu. Tapi sebaik sahaja surat beranak siap, nama yang tertera Monalizah Rais dan kekal sehingga sekarang.

Itupun kadang-kadang mengundang pelbagai peristiwa melucukan/merimaskan. Antaranya urusan awam yang berkaitan dengan kaunter dan memerlukan nama kita dipanggil. Klinik dan hospital, bank, kaunter tiket, temuduga kerja. Setiap kali nama saya dilaungkan, semua mata yang ada di situ tertumpu ke arah saya dan akan terdengarlah bisik-bisik di belakang. Sudah pasti berkaitan dengan nama saya. Lagi 'masyuk' nama saya sering disalah sebut entah sengaja atau entahlah nama Monalisa sering digantikan dengan nama sebenar saya.

Di waktu cuti-cuti semester dahulu, saya selalu bekerja sambilan. Maknanya akan ada temuduga dengan majikan. Nama saya juga menjadi perhatian dan perbualan. Kadang-kadang tu penemuduga sebaik sahaja mengetahui nama saya, bukannya dia tanya tentang hal-hal kerja, tapi spontan dia bercerita tentang lukisan monalisa dan mahu tidak mahu saya terpaksa menadah telinga saya untuk mendengar cerita lukisan itu. Sabar sajalah...kata saya dalam hati.

Saya pernah berada di bilik temuduga selama hampir 4 jam! Apa yang terjadi dan kenapa begitu? Penemuduga itu berkata dia tidak mahu bertanya seperti temuduga biasa, dia sudah penat, bosan. Dia hanya mahu saya berbual-bual dengannya, macam sembang-sembang di kedai kopi. Katanya lagi, saya sudah diterima bekerja dan dia meminta saya berbual-bual dengannya. Adui sangatsangatsangat menyeksakan. Sudah tentu topik berkaitan dengan lukisan monalisa itu kemudian meleret kepada macam-macam topik lain.

Hanya kerana nama... saya diterima bekerja sebagai part time cashier di salah satu pasaraya ternama. Ceritanya begini, proses temuduga kena melalui beberapa peringkat dan oleh sebab itu, saya sangat bosan menunggu, sakit hati dan menyampah. Hilang minat saya hendak bekerja di situ dan saya sudah tidak peduli dengan temuduga itu. Sampaikan berhadapan dengan penemuduga yang memerlukan Bahasa Inggeris sebagai mediumnya, saya lebih banyak membisu dan buat-buat tidak faham apa yang dicakapkannya. Secara kebetulan interview itu memerlukan dua orang sekaligus dan rakan di sebelah saya fasih dan petah menjawab pertanyaan penemuduga. Hasilnya? Saya yang terpilih dan penemuduga itu mengatakan kepada saya dia tertarik dengan nama saya. Aduhai...

Tapi saya tetap protes dan berhenti sebulan kemudian kerana saya diletakkan berasingan dengan rakan-rakan lain yang perlu menjalani training seminggu...saya pula diletakkan terus berhadapan dengan customer pasaraya ada kaunter sendiri dalam situasi yang sangat sibuk. Kaunter atas nama saya dan dipantau oleh penemuduga itu sendiri yang juga merupakan trainer casheir. Saya perasan sesuatu... saya diperhatikan dari jauh oleh manager store sambil sesekali trainer cashier dan manager itu berbual-bual dan menunjuk ke arah saya.

Sudah tentu saya tidak biasa dan rimas dengan suasana ini. Setelah saya berhenti dari situ, penyelia saya terus menghubungi saya selama berbulan lamanya melalui seorang rakan supaya saya berjumpa dengannya di pejabat untuk ambil gaji. Usia pun masih muda masa tu umur baru 20 dan barangkali macam yang selalu kita dengar...darah muda panas lagi...saya tidak mempedulikan permintaan penyelia saya itu. Cashier trainer merangkap penyelia.

Empat tahun kemudian...saya masuk ke pasaraya itu membeli barang. Semasa saya membayar barangan di kaunter, tiba-tiba saya disapa mesra seseorang. Siapa tu? Siapa lagi kalau bukan bekas penyelia saya itu. Dia menyebut nama saya dengan tepat dan saya sangat terperanjat sebabnya dia masih mengingati saya lagi.

Pengalaman menakutkan berkaitan dengan nama saya, membuatkan saya tidak berani keluar rumah selama beberapa hari. Saya pergi berhari raya di Puchong dan seperti biasalah kan nama akan ditanya. Di rumah yang saya pergi itu, keluarga besar dan terdiri dari pangkat makcik dan sepupu lelaki rakan saya ini.

Diringkaskan cerita, sebaik sahaja pulang ke rumah sewa di Vista Angkasa, di luar pengetahuan kami, sepupu lelaki kawan saya ini rupa-rupanya mengekori kami sehingga ke KL. Patutlah dia beria-ia menghantar kami pulang tapi saya menolak. Dia menelefon berulang kali supaya saya sudi keluar dengannya kerana katanya dia hendak mengenali saya dengan lebih dekat lagi, dia tertarik hanya kerana nama. Bukan sehari malah beberapa hari dia tercegat menunggu sepanjang hari di stesen LRT Universiti. Menakutkan kan? eee....
Sudahlah datang tanpa diundang...memaksa -maksa pula tu. Nasib baiklah dia tidak tahu tingkat mana rumah sewa kami...

Sedih apabila orang bertanya apakah agama saya. Adakah saya Islam atau Kristian. Salah seorang adik-beradik rakan saya bertanya apakah agama saya sebaik sahaja dia mengetahui nama dan berasal dari Sabah pula tu. Saya hairan dengan pertanyaannya itu sebabnya saya bertudung dan setakat yang saya tahu mereka yang bertudung di bumi semenanjung ini semuanya Islam. Mungkin dia menyedari rasa tidak senang saya diterjah sebegitu apalagi melibatkan isu agama... dia menerangkan dia ada kenalan yang bertudung berasal dari Sabah tapi beragama Kristian. Kemudiannya dia meminta maaf di atas keterlanjurannya bertanya sebegitu.
Ada sekali saya ke klinik dan sebaik sahaja doktor yang memeriksa saya membaca nama di rekod kesihatan, terus dia bertanyakan latar belakang saya. Kemudian doktor itu bercerita tentang lukisan monalisa, selesai ceritanya barulah dia bertanya apa sakit saya.

Memandangkan nama saya bermula dengan Mo, setiap kali peperiksaan dengan mudah saya dapat mencari tempat duduk saya sebabnya banyak rakan sekelas/sedewan yang bermula dengan Mohammad/Mohd. Deretan dan lingkungan nama Mohd/Mohammad ini akan membentuk satu kelompok yang ketara, sama seperti nama yang bermula dengan Nur dan Siti. Begitu juga setiap kali perlu merujuk papan kenyataan berkaitan dengan senarai nama. Tengok dari jauh sahaja dan apabila banyak lelaki berkumpul tertumpu di satu bahagian papan kenyataan itu, saya sudah dapat mengagak nama saya ada di bahagian yang sama.

Bersyukur dengan nama yang diberi. Pengalaman-pengalaman ini saya anggap sebagai rencah kehidupan. Nama saya mudah diingati rakan-rakan walaupun terpisah bertahun-tahun. Saya yang perlu kuat ingatan dan tidak mudah lupa nama kawan-kawan, walaupun itu agak sukar dilakukan. Terutama sekali mereka yang dikenali dalam waktu singkat, rakan-rakan sekerja semasa buat macam-macam kerja part time. Mereka tetap ingat nama saya walaupun hanya kenal sekejap dan selamba sahaja menegur sekiranya terjumpa di mana-mana di Lembah Klang ini. Saya yang selalu tersengih-sengih tanya nama siapa, muka ingat tapi nama sudah lupa...hahaha..kadang-kadang diorang akan cakap macam ni. 'Apalah kau ni Mona, aku ingat nama kau biarpun dah lama akak tak jumpa, kau pula yang tak ingat.'

Nak buat macam mana kan, nama saya tu senang diingat... terima sajalah kan. Dan kalau saya menegur sesiapa yang saya kenali mudah sahaja mereka menyebut nama saya kerana sekali lagi nama saya senang kekal di ingatan.

Opps! Bukan hendak memuji diri sendiri dengan nama ini. Sekadar berkongsi cerita saja...lain orang kan lain pengalamannya.











No comments:

Post a Comment