Friday, April 6, 2012

ALLAH MAHA ADIL

Allah Maha Adil. Sesungguhnya Allah Maha Adil. Pada mulanya saya tidak ambil pusing sangat, malas mau melayan/memikirkan perkara-perkara yang nampak remeh/kecil walaupun rasa sakit hati/ geram/tersinggung itu berbekas di hati. Puas juga memujuk hati sendiri agar tidak menyimpan dendam walaupun sukar untuk dilakukan. Maksud saya dendam itu bukanlah membalas dengan perbuatan yang tidak baik, lebih kepada membenci sebenarnya. Seboleh mungkin saya tidak mahu menjadi pembenci/ pendendam sebabnya diri sendiri juga yang akan resah gelisah sedangkan ada banyak perkara penting dan bermanfaat yang perlu saya dilakukan.

Ceritanya begini, sepanjang arwah bapa saya sakit selama setahun lebih, saya yang berada di Semenanjung ini... setiap kali saya balik ke kampung halaman menjenguk/menjaga arwah bapa, telinga saya terpaksa menadah bermacam-macam perkara negatif yang dilemparkan terhadap saya, khususnya. Mendengarnya, membuatkan saya terfikir mereka mengaku Islam, tetapi kenapa berfikir seperti itu? Siapalah kita hendak menduga masa hadapan yang bukan di dalam genggaman kita, kita hanya mampu merancang hakikatnya Allah perancang yang terbaik.

Ada seseorang yang cukup lantang mempertikaikan kenapa saya berada di Semenanjung Malaysia ini. Seseorang yang saya maksudkan ini seorang perempuan yang sudah punya anak cucu dan kami memanggilnya makcik. Terus kepada poin utama - segalanya yang negatif disebut, kalau mati di semenanjung nanti kononnya menyusahkan keluarga di Sabah nanti dan kubur pun jauh dari keluarga di Sabah, bertahun-tahun di semenanjung sampai tidak ingat keluarga di Sabah, ada yang kahwin dengan orang semenanjung dan semakin rengganglah hubungan keluarga kerana bangsa yang berlainan, nanti kena rompak/culik, ada yang mati dibunuh kejam, dan yang sangat menyinggung perasaan saya sudah tentu saya tidak dapat melihat wajah arwah bapa saya sekiranya dia meninggal dunia pada bila-bila masa, sebabnya konon KL dan Sandakan itu sangat jauh dan kami tiada duit untuk membeli tiket flight. Makcik itu memandang saya dan suami seolah-olah kehidupan kami ini teruk sangat.

Mendengar setiap yang dikatakannya itu, saya hanya mampu memujuk hati sendiri supaya bersabar, sabar dan terus sabar. Allah Maha Adil. Berdebat bergaduh bukan penyelesaian terbaik apatah lagi dengan emosi yang turun naik. Lebih mudah memindahkan batu besar berbanding mengubah pemikiran kolot dan negatif. Kadang-kadang kebenaran/kesedaran terlihat dengan berlalunya masa dan apabila sampai masanya nanti, tanpa perlu bercakap pun kadang-kadang mampu menepis segala tanggapan negatif itu.

Bayangkan kalau ibu atau ayah kamu sedang sakit kuat dan kamu berjauhan dengan mereka disebabkan tuntutan tugas dan kewajipan sebagai seorang isteri/ suami dan disogokkan pula dengan cerita-cerita negatif seperti itu?

Alhamdulillah dengan izin-Nya... makcik itu tidak mendapat kepuasan yang diharapkannya/disebut-sebutnya itu. Sebaik sahaja dia ternampak saya dan adik saya Mazlan dapat menghadirkan diri sebaik dimaklumkan ayahanda tercinta kami meninggal dunia... sejak hari itu juga dia tidak menyebut lagi kata-kata negatif.

Malah kami adik beradik dan ipar duai menjadi tulang belakang utama menguruskan kenduri tahlil arwah. Adik lelaki saya seramai lima orang semuanya itu terlibat secara langsung dengan pengurusan jenazah arwah bapa, bermula dari memandikan, mengkafankan sehinggalah proses mengebumikan dengan bantuan orang kampung jugalah. Saya sendiri dapat membacakan Surah Yassin berulang kali sebelum arwah bapa disemadikan. Dan ingatan untuk diri saya sendiri... amalan membaca Surah Yassin biarlah diteruskan bukan dalam situasi tertentu sahaja.

Saya juga melihat dengan mata kepala saya sendiri, bermula dari saat jenazah arwah bapa diturunkan di liang lahad sehinggalah saat bacaan talkin.

Di sebalik kesedihan kehilangan arwah bapa... saya bersyukur kerana dapat meluangkan masa selama tiga bulan mengambil giliran menjaga arwah bapa di hospital DOK, Sandakan. Malah diberi peluang berhari raya selama sebulan tahun lepas, walaupun selepas saya balik ke sini saya bergegas semula ke Sabah kurang dua minggu rentetan pemergian arwah bapa ke alam abadi. 

Semua peluang dan kemudahan yang diberikanNya ini sedikit sebanyak menjawab segala kata-kata negatif yang dilemparkan. Untuk diri saya sendiri rasa bersyukur itu perlu malah wajib di atas segala ruang dan peluang untuk bersama-sama dengan arwah bapa sebelum pemergiannya.

Sebenarnya beberapa hari selepas saya balik semula ke semenanjung setelah sebulan berhari raya di Sandakan...ada sekali tu tiba-tiba ingatan saya terhadap arwah bapa begitu kuat. Entah kenapa saya merasakan seolah-olah ada beban berat di bahu saya dan beban berat itu menjadi ringan, hati saya begitu damai, tenang dan gembira. Wajah arwah bapa saya terbayang-bayang di fikiran. Mungkin dia sedang mengingati saya pada masa itu dan rasanya hasrat arwah bapa saya tercapai hendak meluangkan saat-saat terakhirnya bersama semua kami adik beradik dan ipar duai. Jalinan emosi antara anak- beranak sesuatu yang unik kan.

 20 Mei 2012 genaplah 12 tahun saya tinggal di KL - Klang ini. Setiap tahun yang sudah berlalu saya sentiasa menyediakan ruang dan peluang balik ke kampung halaman, semoga ini juga berterusan pada tahun-tahun mendatang. Bermula dari belajar, bekerja dan berkahwin, bekerja sendiri. Arwah bapa seorang yang berbakat dalam bidang pertukangan. Saya melihat bakatnya itu dari sisi seni, tanpa kertas dia meluahkan kreativitinya pada meja, kerusi, pagar malah rumah orang kampung yang dibinanya.

Tidak terhad di kampung sendiri, malah di luar kawasan sehingga ke Tawau dan KK, cuma dalam skala kecil dan Teoh Ban Tong bekas majikannya yang bertanggungjawab membawanya sehingga di luar kawasan Sandakan. Dan saya ada perjuangan saya sendiri, meneruskan legasi bakatnya dalam bidang seni, cuma medium sahaja yang berlainan.

Sesudah kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan ada kemudahan. Di dalam al Quran, kita disaran mencari rezeki di segenap ruang ceruk muka bumi ini, Dia menjadikan bumi mudah untuk kita manfaatkan, dan daripadaNya kita datang dan kepadaNya kita akan dikembalikan.








 

No comments:

Post a Comment