Disebabkan gambar terlalu lambat diupload dan akhirnya tidak jadi diupload, saya perasan adakalanya tulisan saya di blog ini meleret-leret dan bersimpang-siur. Setelah saya fikir-fikir... ah biarlah bukannya aku terikat dengan formaliti menulis sekian sekian itu ini, hanya sekadar hobi sahaja ditambah lagi tidak semua post saya publish ada yang saya simpan untuk tatapan saya seorang.
Semakin kita meningkat dewasa, saya terfikir seperkara setahun itu terlalu cepat berlalu. Dahulu saya jarang melihat kalendar melihat itu ini merancang sekian-sekian. Tetapi sekarang kalau saya menangguh sesuatu perkara... selalunya tak terbuat dan kelam kabut jadinya. Dan saya juga sentiasa melihat kalendar setiap kali teringatkan banyak perkara mahupun hendak berbuat sesuatu.
Merancang pembelian tiket misalnya... untuk perjalanan beberapa bulan yang akan datang, kalendar juga yang dicari. Untuk pelbagai tujuan, selain kalendar kecik yang diselit di dalam dompet, sebesar-besar kalendar juga yang digantung tidak jauh dari peti tv. Maklumlah kan, tv selalu mendapat tempat istimewa kerana ianya antara bahan utama santapan mata terutama sekali di zaman yang siarannya tanpa had ini.
Selain jam handset, ada beberapa jam lagi yang diletak di tempat yang berlainan. Jam berwarna kuning diletak di atas tv, jam warna pink di bilik yang lagi satu dan jam 'nurse' saya sangkut di tingkap dapur berhampiran sinki dan dapur memasak.
Saya sebenarnya teringat tentang puasa ganti. Sekarang sudah April dan melihat kalendar jangkaan puasa pada bulan Julai dan Hari Raya pula bulan Ogos sebelum tarikh ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang sudah memasuki usia emas, sama seperti kebanyakan orang tua yang sudah atau bakal menerima menantu/cucu.
Tolak cuti bulanan wanita... itu ini saya fikir berapa banyak ruang yang ada untuk mengganti puasa nanti. Jangan pandang remeh walau hanya seminggu atau setakat dua tiga hari sahaja puasa yang hendak diganti itu... ingatan untuk diri saya sendiri. Memandang remeh+tangguh lagi kadang tak tersedar bulan puasa semakin menghampiri mengetuk bertanya diri kita adakah saya sudah melangsaikan hutang puasa yang lalu. Memikirkan itu saya merasakan betapa diri ini banyak kekurangannya banyak yang perlu dipelajari untuk memajukan diri sendiri.
Kalau sudah menyebut puasa sudah tentu kembarnya kena sebut juga apalagi kalau bukan Hari Raya. Mengingatkan kisah tahun lepas... ada tetamu cilik yang menangis dan merajuk dengan adik saya yang bertugas sebagai tukang bagi duit raya. Datang dua kali beraya minta duit raya itu oklah lagi tapi dia datang sampai lima kali! Merayu-rayu minta diberi duit raya. Adik saya yang kehairanan berkata kepada tetamu cilik itu mana boleh bagi lagi duit raya, sudah adakan, hendak bagi duit dengan budak lainlah pula.
Tanpa diduga budak yang minta duit raya untuk kali kelima itu menangis sekuat hati dan beredar dari rumah kami dengan tangisan yang belum surut. Mestilah kami risau juga kami panggil semula budak itu tapi budak itu memang sudah berpatah arang tidak berpaling ke arah kami. Berair mata kami mendengar kisah ini apabila diceritakan semula oleh adik saya, bukan berair mata sebab sedih tapi berair mata sebab ketawa kelucuan.
Mungkin budak itu ada pertandingan siapa yang paling banyak dapat duit raya di kalangan kelompoknya, kata pakcik saya. Ada kebenarannya kata-kata pakcik saya itu... kita pun pernah jadi budak juga kan. Sering juga kita mendengar alangkah seronoknya menjadi kanak-kanak yang tidak terikat dengan pelbagai ujian kehidupan, sedangkan di tempat lain ada yang trauma dari zaman kanak-kanak sehinggalah dewasa, misalnya di negara yang bergolak politiknya.
Di luar garisan... tajuk di atas terjelma/inspirasi sebaik sahaja saya melihat kalendar sambil memikir itu ini sebentar tadi.
No comments:
Post a Comment