Simple saja makanan tengah hari kami, tahun lepas... masih dalam mood raya. Jemu makan ayam dan daging, makan lain pula. Tendakal, ulas buah terap ditumis dengan belacan, ikan masin, sedikit ikan goreng dan sayur. Makan ramai-ramai satu keluarga.
Bercakap tentang makanan dan masakan. Beza antara yang pandai memasak dan tahu memasak bagi pendapat peribadi saya - pandai memasak maknanya tahu selok belok masakan, sebaliknya tahu memasak tidak semuanya masakan dia tahu buat hanya masakan tertentu sahaja. Seseorang yang berniaga restoran sebaik-baiknya pakar dalam masakan kerana dia akan berhadapan dengan bermacam jenis pelanggan, walaupun setakat berniaga nasi ayam.
Saya bukan pakar memasak, tapi yang pastinya saya tahu masak makanan yang saya suka makan dan tahu masak masakan kegemaran suami saya, sekalipun saya tidak makan makanan itu. Contoh... suami saya suka makan ikan cencaru, saya boleh makan ikan cencaru setakat secubit sahaja, ikan cencaru bukan makanan pilihan saya tapi saya berusaha belajar resepi berkaitan ikan cencaru dan Alhamdulillah suami suka dengan setiap masakan saya, malah tidak cerewet.
Bukan memuji diri sendiri... saya menulis seperti itu sebabnya sering kita mendengar menjadi isteri perlu pandai memasak pelbagai masakan dan kuih muih. Betul... tapi tidak semua wanita berpeluang mempelajari pelbagai masakan sewaktu bujangnya, ada yang terikat dengan kerja dan pelajaran, jadi fokus utama di situ. Hanya setelah menempuh alam perkahwinan barulah fokus itu mengarah kepada topik masak memasak. Tidak semuanya begitu tapi memang wujud situasi sebegini di zaman serba moden dan pantas ini.
Minat atau tanggungjawab antara sebabnya. Mula-mula saya datang ke Semenanjung Malaysia ini melanjutkan pelajaran di UM, sukar untuk saya menerima rasa makanan yang baru seperti tomyam, pelbagai masakan goreng yang mesti ada kepingan/cebisan isi ayam dicampur, minum manis selepas makan dan bermacam lagilah resepi yang sukar diterima tekak saya. Nasib baik ada satu gerai Kelantan tidak jauh dari rumah sewa saya pada masa itu yang menjual ikan bakar, ayam bakar dan sayur-sayuran.
Di tempat inilah saya membeli makanan setiap hari kerana itu sajalah yang dapat diterima tekak saya. Malah nasi lemak sukar juga untuk saya menerima rasanya kerana saya sudah terbiasa dengan nasi kuning... sama juga cuma berbeza dari segi warna sahaja. Nasi kuning yang sering saya makan lauknya ikan tongkol yang dimasak merah dan mee goreng kicap dengan telur dadar sarapan yang banyak disediakan di mana-mana gerai atau restoran di Sandakan. Tapi itu dulu, sekarang lebih kurang sama macam di sini juga sudah ada pelbagai pilihan.
Persekitaran mempengaruhi diri seseorang itu, lambat atau cepat kita akan serasi juga dengan situasi baru. Pertama kali menyewa rumah sewa sekali duduk dengan rakan serumah pelbagai negeri dan secara kebetulan rakan-rakan saya ini semuanya hebat dalam bidang masakan malah kuih muih tradisional dan moden... tempias itu terkena saya juga. Daripada seorang yang hanya tahu masak nasi dan masakan biasa-biasa sahaja, saya akhirnya tahu juga memasak tomyam, pelbagai jenis masakan goreng dan sedikit kuih muih, pengat. Minat itu muncul perlahan-lahan bermula dengan belajar secara langsung dengan housemate, menyalin resepi di majalah dan surat khabar sehinggalah mengumpul buku masakan siap bawa balik kampung kasi dekat mak.
Sekarang... bermula dari bahan mentah memilih membeli di pasar sehinggalah masak dan berhidang di pinggan, tidak ada masalah untuk memasak makanan untuk tetamu sekiranya ada majlis kenduri doa selamat di rumah saya. Kebiasaannya sekitar 50 orang tetamu akan bertandang ke rumah untuk majlis kecil-kecilan. Hanya kami adik beradik ipar duai mengendalikan hal-hal dapur tidak perlu menyuruh orang lain masak atau katering. Malah kenduri tahlil arwah bapa kami yang dihadiri hampir seluruh penduduk kampung...+- ratus juga yang datang.... Alhamdulillah kami adik beradik ipar duai dapat menyediakan semua masakan kecuali nasi yang dimasak oleh makcik kami.
Kemahiran memang boleh dipelajari, adanya minat mendalam memudahkan lagi pembelajaran itu. Sekiranya setakat tuntutan tanggungjawab sahaja, kemahiran itu tidak akan berkembang hanya di aras itu sahaja, disorong oleh minat mendalam pula banyak perkara baru yang dapat dipelajari malah kita sendiri terfikir... rupa-rupanya aku boleh buat macam ni!
No comments:
Post a Comment