Sunday, June 24, 2012

MASAK RANUM



Zaman lain, kisah pun berlainan. Zaman mak bapa nenek moyang kita, walaupun umur baru belasan tahun... tapi sanggup memikul tanggungjawab berumahtangga, malah kekal sehingga anak cucu cicit/ hingga hujung nyawa. Zaman kita pula, belasan tahun masih bersifat kebudak-budakan... boleh tahan lah juga tapi kalau dah umur 20-an masih berfikir macam remaja bawah umur, payah juga tu nak dewasa lambat sikit matangnya (bukan tubuh badan tapi cara berfikir).
 
Mungkin ianya ada kaitan dengan kesedaran pentingnya pendidikan dan keperluan materialistik. Harga keperluan asas seperti makanan dan pakaian apatah lagi rumah semuanya semakin mahal dari sehari ke sehari, walaupun arus kenaikannya bergerak perlahan. Seperti jarum saat, ia terus berputar perlahan tetapi konsisten membentuk minit dan jam tanpa sedar.
 
Remaja yang terus bekerja selepas habis peperiksaan SPM dan fokus sepenuhnya dalam bidang pekerjaannya itu akan terarah kepada perkahwinan, aset seperti rumah atau kereta. Dia akan cepat menjadi dewasa kerana bergelumang di dunia realiti. Berbeza remaja yang menyambung pelajaran sehabis peperiksaan SPM pula, rasa menjadi remaja itu berpanjangan sehinggalah habis belajar dan mendapat diploma atau ijazah. Pada ketika ini remaja yang bekerja selepas SPM itu sudah memiliki sebahagian aset sama ada rumah, kereta, ataupun sekurang-kurangnya naik pangkat dan sudah berkahwin/ beranak pinak.
 
Ikut pengalaman saya sendiri, ada di antara rakan saya yang terus kahwin sebaik sahaja habis sekolah. Masa itu saya rasa hairan sangat kenapa mereka berfikir seperti itu. Tetapi kemudian saya katakan kepada diri sendiri... lain orang lainlah cerita kehidupannya.
 
Bercerita tentang perkahwinan, sesuatu yang menyeronokkan bagi saya. Opps! Jangan fikir yang bukan-bukan ya, maksud saya transformasi cara kita berfikir. Semasa bujang, mustahil saya akan dapat menulis pelbagai cerita di blog ini... kalaulah pada masa itu saya ada blog. Minat menulis ini  malah berjinak dengan dunia blog hanya setelah menjejak usia 30-an dan berbelas tahun menjadi anak perantau.  Dunia bujang kita dahulunya terbatas dengan rakan-rakan yang bujang sahaja,  membuat keputusan diri sendiri, ikut kata hati diri sendiri tanpa dipengaruhi orang lain. Setelah berkahwin kita tidak boleh sesuka hati membuat sesuatu keputusan kerana kita sudah berdua bukan. Kena saling bertolak ansur.
 
 Kalau tetamu bertandang ke rumah, saya hanya akan menghidangkan minuman sahaja lepas tu masuk bilik ataupun berperap di dapur, orang tua yang melayan tetamu tetapi setelah menjadi isteri... bermula dari menyambut salam menjemput tetamu masuk rumah hidangkan air dan melayani karenah tetamu, mahu tidak mahu itulah tanggungjawab kita sebagai tuan rumah. Itu tidak termasuk bagaimana menangani tetamu yang tidak diundang ataupun tetamu yang banyak songeh.
 
Menempuh alam perkahwinan juga bermakna kita berhadapan dengan pelbagai peringkat umur anggota keluarga kedua belah pihak suami dan isteri. Bermula dari cucu sehingga ke nenek datuk. Malah kita akan banyak pangkat dan gelaran... aunty, uncle, kakak, adik, biras malah nenek dan datuk!. Suami saya anak bongsu dan ada antara anak buah kami yang berkahwin muda dan mendapat anak... menjadilah kami datuk dan nenek...
 
Dan banyak lagi kan...
 




No comments:

Post a Comment