Friday, June 29, 2012

NOSTALGIA

Entah kenapa sebentar tadi melihat fb rakan-rakan lama terutama sekali rakan dari sekolah rendah... membuatkan saya terfikir banyak perkara. Ada di antara mereka yang tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke kampung halaman sebaik-baik sahaja habis bersekolah sehinggalah sekarang melalui kehidupan masing-masing - bekerja atau berumahtangga.
 
Berjumpa atau terjumpa rakan-rakan sekolah rendah merupakan sesuatu yang sangat manis, ianya berlainan dengan rakan-rakan dari sekolah menengah/universiti. Apatah lagi berpeluang menghadiri perkahwinan salah seorang rakan sewaktu kanak-kanak dulu, spontan terbayang semula kenakalan yang lalu, betapa cepatnya masa berlalu. Nostalgia sungguh kan. Menikmati zaman kanak-kanak tahun 80-an dulu berbeza dengan zaman kanak-kanak sekarang.
 
Pendapat saya secara peribadi, pulang atau tidak kita ke kampung halaman ada kaitannya dengan orang tua masing-masing. Ada antara rakan-rakan saya itu menjadi yatim piatu sejak sekolah rendah dijaga oleh adik-beradik orang tua mereka dan setelah dewasa, bekerja dan berumahtangga... ibu bapa pasangannya masih ada lagi, sudah tentu perhatian akan memberat kepada pasangan hidupnya. Yalah, siapa lagi yang hendak dijenguk di kampung halaman kalau memang tiada yang wajib diziarahi. Melainkan kubur orang tua mereka ada di kampung halaman... itupun setakat singgah sekejap sahaja.
 
Mengambil contoh terdekat, mak saya sendiri berpuluh tahun tidak balik kampung halamannya sendiri setelah kedua orang tuanya/ datuk nenek kami meninggal dunia. Sehinggakan rumah kelahiran mereka adik-beradik menjadi usang, rebah menyembah bumi... hanya semak samun tumbuh subur sewaktu kami datang semula ke kampung mak awal tahun ini, disebabkan urusan tanah dan ladang kelapa sawit.
 
Kedatangan kami ke sana tentunya mengundang perhatian orang-orang kampung, hanya beberapa warga emas sezaman dengan datuk nenek kami sahaja yang mengenali mak saya. Tidak jauh dari tapak asal rumah, ada seorang adik mak yang setia menetap di kampung mereka sehingga kini walaupun peluang berhijrah ke tempat yang lebih baik terbuka luas. Dialah yang selalu membersihkan tapak asal rumah itu.
 
Walaupun adik beradik, sampai masanya berkahwin, bekerja, akan terpisah jua. Jarang sekali dapat berkumpul bersama-sama terutama sekali Hari Raya. Maklumlahkan... masing-masing ada giliran berhari raya di kampung halaman pasangan.
 
Saya patut bersyukur... kerana mendapat peluang balik kampung halaman setiap tahun bermula dari tahun 2000 saya mula datang ke Semenanjung ini. Sedangkan yang lain walaupun bekerja berumahtangga di negeri sendiri... ada yang sukar hendak balik kampung halaman sendiri disebabkan kekangan tertentu.
 
Bersyukurlah dengan kehidupan yang sedang dijalani, walaupun ianya mungkin biasa-biasa pada pandangan orang lain, tapi siapa tahu itulah kebahagiaan kita di sini.
 
Tidak ada yang kekal di dunia ini kerana yang abadi hanya di sana... di akhirat. 
 
 
 
 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment