Awan merah, laut pun berwarna merah. Menghampiri waktu Maghrib di hujung Tanjung Aru Beach, Kota Kinabalu, Sabah. Berdekatan Kota Kinabalu International Airport.
Seperti ada mata sedang memerhati... saya tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan bentuk awan ini, jujur saya katakan di sudut hati saya... terdetik perasaan kagum, sedar betapa kerdilnya diri ini sebaik sahaja melihat ciptaan Allah S.W.T. Lokasi yang sama dengan gambar di atas. Malah gambar profile saya untuk blog ini, juga di lokasi dan waktu yang sama.
Semalam saya buka fb dan nampak cerita berkaitan formasi awan aneh di sekitar Kota Kinabalu, Sabah. Turut disertakan ramalan cuaca ribut petir dan angin kencang. Tapi kedua-dua gambar di atas tidak ada kaitan langsung dengan berita awan aneh di KK tu, cuma saya terinspirasi hendak mengabadikan antara koleksi gambar awan yang ada dengan saya, diambil sendiri oleh kamera milik saya.
Sayangnya kamera murah itu dicuri orang, rasa macam 'burung patah sayap' sekejap mengenangkan 'rakan baik' saya iaitu kamera yang sering berkepit dengan saya itu sudah tiada. Banyak sudah jasa kamera yang hilang itu... nasib baik jugalah hanya tinggal sedikit sahaja lagi gambar yang tidak dapat diupload dari kamera ke notebook saya.
Bercerita mengenai awan, ada satu pemandangan kekal di ingatan saya sehingga ke hari ini. Berbelas tahun saya berulang alik Sabah - Kuala Lumpur bermula sebagai pelajar sehingga menjadi orang awam ini... sayangnya saya tiada kamera pada masa itu dan saya pula bukanlah seorang pelukis... kepulan awan putih bersih seperti kapas membentuk formasi bangunan castle lama seperti yang selalu kita lihat dalam wayang orang putih, contohnya macam dalam cerita Barbie... Rapunzel.
Formasi awan itu saya lihat dari tingkap kapal terbang... cahaya matahari menyinari dari sudut tepi formasi awan berbentuk castle itu, cantik memang cantik...Subhanallah...tiada yang setanding ciptaannya.
Tahun lepas pula saya menaiki kapal terbang dari LCCT menuju Sandakan penerbangan jam 5:30 pm maknanya akan sampai pada waktu malam di Sandakan Airport. Formasi awan yang tadinya cerah akhirnya menjadi dua lapis dan dua warna, warna hitam di bahagian atas dan warna putih di bahagian bawah... sempadan warna itu lurus melintang seperti digaris dengan pembaris, sangat sempurna.
Ya... saya suka tengok awan terutama sekali dari tingkap kapal terbang... dan saya sebenarnya ada azam untuk memiliki kamera jenis DSLR supaya saya dapat mengambil gambar alam dan manusia sebanyak-banyaknya serta mempelajari banyak rahsia alam - kecantikan, keajaiban, misteri.
Masa kecik-kecik dulu, saya sering bertanya dengan diri sendiri... takkanlah rumah, kampung dan bandar yang saya diami dan pergi pada masa itu, hanya sebesar itulah dunia? Tidak ada yang memberikan jawapan kepada soalan saya itu. Tambah membingungkan saya, kenapa dalam tv (masa tu tv hitam putih lagi dan cuma ada TV1 dan TV2) ada macam-macam tempat menarik. Saya sering dan suka melihat rancangan berbentuk dokumentari yang berkaitan dengan alam semulajadi pada masa itu. Saya masih ingat lagi, dokumentari berkaitan air terjun Maliau di Sabah dan ketam biru dan ketam merah di Pulau Krismas, Australia.
Melihat rancangan dokumentari ini, saya katakan pada diri saya rupa-rupanya dunia ini luas cuma saya masih kecik lagi belum sampai lagi ke tempat lain. Saya berharap pada masa itu saya akan mengembara ke tempat lain melihat kehidupan orang lain... itulah yang pernah saya harapkan di zaman kanak-kanak saya dulu. Biasalah dulu mak bapa kita jenis yang terikat dengan adat resam, kalau banyak bertanya disuruh diam sahaja, kalau diberikan arahan buat saja, tidak boleh tanya sebarang soalan.
Sewaktu berumur 12 tahun, saya dan dua orang adik saya pernah sesat di ladang kelapa sawit. Arah matahari naik itulah yang kami jadikan panduan untuk mencari jalan keluar, selain arah air sungai yang mengalir. Dokumentari yang selalu saya tengok tu... sedikit sebanyak mempengaruhi personaliti saya barangkali sehinggalah tanpa sedar terbawa-bawa ke hari ini.
Kena beli kamera baru juga ni... janggal rasanya tanpa kamera, walaupun setakat tangkap gambar hanya hobi semata-mata, tapi banyak juga idea muncul sebaik menatap gambar-gambar yang dirakamkan.
No comments:
Post a Comment