Wednesday, June 6, 2012

BERBEZA

Assalamualaikum  dan salam hari Rabu, wah waktu tengah hari sekarang ni masa untuk lunch. Saya sudah makan tadi dan sambung balik kerja, menulis di blog ini sekejap.
Ingatan untuk diri saya sendiri, mendengar kisah rakan saya semoga saya menjadi seorang yang bersyukur dan menghargai apa yang dimiliki/yang dipinjamkanNya kepada kita. Dunia tidak selama-lamanya kerana akhirat jua yang kekal abadi, tapi itu tidak bermakna kita mengasingkan peranan kita berada di 'sini', terpenting sekali keperluan di 'sana' diutamakan.
Nama kawan saya itu Rose, nama samaran tak boleh pakai nama real kena jaga juga kan. Rose sudah berkahwin, kehidupannya biasa sahaja. Walaupun suaminya tidak memiliki ciri-ciri lelaki idamannya, namun dia pasrah dan bersyukur menerima seadanya suaminya. 
Satu hari Rose terjumpa dengan rakan lama, satu sekolah dengannya. Rakannya itu masih bujang lagi dan sebenarnya Rose pernah menyukai rakan lamanya itu dalam diam-diam sewaktu zaman sekolah dahulu. Man juga rupa-rupanya meminati Rose dalam diam. Pertemuan semula setelah berbelas tahun lamanya disebabkan satu urusan.

Sepanjang berurusan... akhirnya Man meluahkan rasa cintanya terhadap Rose. Hampir terkalih juga kesetiaannya terhadap suami kerana Man sememangnya memiliki ciri-ciri lelaki idamannya. Sehinggalah Rose terfikir seakan menyesal... kenapalah aku tidak berjumpa Man terlebih dahulu berbanding suamiku sekarang? Dalam masa yang sama Rose sedar dia tidak boleh mengkhianati perkahwinannya hanya kerana Man.

Dia perlu melakukan sesuatu dan itu Rose pasti. Walaupun sukar, Rose akhirnya membatalkan urusan yang melibatkan dia dan Man. Urusan antara Rose dengan Man itu sebenarnya memerlukan Rose outstation, maknanya kena berjauhan dengan suami. Urusan itu sebenarnya melibatkan masa depan Rose dan suaminya dan Man diperlukan kerana pengaruh yang ada padanya.

Rose memujuk dirinya sendiri berulangkali, ada hikmah di sebaliknya. Dia memohon kepada Allah supaya meneguhkan imannya dan rumahtangganya terpelihara daripada segala perkara yang tidak baik.
Sedikit demi sedikit peribadi Man terserlah. Rose terserempak dengan seorang lagi rakan lamanya dan diringkaskan cerita, Man sebenarnya sudah bertunang dan akan berkahwin tidak lama lagi. Tersentak juga Rose mendengarnya, rupa-rupanya lelaki idamannya itu sudah bertunang, tapi kenapa dia merahsiakannya? Kenapa... dan bermacam kenapa lagi menyerbu di kotak fikirnya sehinggalah dia akhirnya tersedar kenapa dia perlu berfikir tentang Man sedangkan dia sudah bersuami?
Mungkin ianya tidak masuk akal, setakat perkara remeh sahaja tapi ada juga betulnya. Pada satu hari Rose dan suaminya dijemput menghadiri majlis kahwin yang secara kebetulan keluarga terdekat Man, hanya sepupu sekali sahaja. Di majlis itu dia melihat hanya kaum wanita sahaja bertungkus lumus melayan tetamu, menyediakan makanan malah ada yang terkejar-kejar turun naik tangga menguruskan anak kecil sambil melakukan kerja-kerja kenduri. Lelaki? Duduk diam-diam bersembang seolah-olah mereka adalah tetamu yang datang berkunjung.
Rose terkejut dan hairan... keluarga Rose ramai adik beradik, sepupu lelaki berbanding perempuan, tapi semua kerja dibuat bersama-sama malah kadang-kadang memasak pun adik lelakinya buat juga. Keluarga Rose pula setiap kali ada kenduri kendara, tidak kira lelaki perempuan akan sama-sama potong daging, bawang, masak dan sewaktu dengannya. Rose bertanya kepada ibunya tentang situasi yang dilihatnya di majlis kahwin tersebut. Balas ibunya keluarga mereka ramai perempuan, senanglah buat kerja rumah tapi... mengikut pengamatan Rose, keluarga Man ini terlalu terikat dengan adat dan kepercayaan hanya perempuan sahaja yang perlu buat kerja rumah, itu bukan kerja orang lelaki. Soalnya kalau bab kenduri kendara pun macam tu jugakah? Fikir Rose.

Nasib baik Man bukan jodoh aku, Alhamdulillah... sela suara hati Rose sambil memandang suami di sebelahnya yang sudah tidur nyenyak sekembalinya mereka dari majlis kahwin sepupu Man. 

Walaupun suaminya tidak punya ciri-ciri lelaki idamannya, tapi dia bersyukur sangatsangatsangat kerana suaminya rajin membuat kerja rumah - membersihkan longkang, menyapu halaman rumah, membersihkan tandas dan bilik mandi tanpa disuruh. Malah kerja membersihkan kipas siling dan mengemop lantai pun suaminya juga yang buat. Kalau Rose demam sakit pening, suaminya yang memasak walaupun masakannya tidak sesedap yang Rose masak. Malah suaminya juga cekap menukar lampin bayi, pandai menidurkan anak dan membuat susu anak.


Sekurang-kurangnya Rose boleh memasak dengan tenang, membuat kerja rumah lain seperti mengemas dan basuh kain baju (walaupun guna mesin basuh tapi nak kena jemur dan sudah keringnya ada yang perlu dilipat, nampak macam remeh kan tapi campur kerja rumah lain boleh tahan juga tu masa dan tenaga yang diperlukan) tanpa terkejar-kejar menguruskan anak dan suami. Rose membayangkan kalaulah suaminya hanya tahu duduk duduk sahaja minta dilayan seperti VIP tanpa sedikit pun membantu membuat kerja rumah... pastinya rumah mereka seperti kapal pecah, berselerak. 



Rose sedar hidup berumahtangga bukan untuk sehari dua, suaminya mungkin tidak punya ciri-ciri lelaki idamannya, tidak romantik tapi punya ciri-ciri suami yang matang dan bertanggungjawab. Hidup berumahtangga bukan semata-mata setakat I Love You, Miss You romantik segala tapi realitinya bagaimana menjalani hidup berumahtangga, menjadikan rumahku syurgaku dan institusi melahirkan generasi cemerlang sahsiahnya. Kehidupan dan peribadi anak terbentuk bermula di institusi keluarga... bermula dari peranan ibu bapa.

Kata Rose lagi, kehidupan berumahtangga juga dapat ditamsilkan seperti kita memijak tanah dengan tapak kaki kita sendiri, bukannya sentiasa memandang bintang yang tidak mungkin tercapai tangan. Maksud Rose kita perlu berpijak di bumi nyata bukannya memikirkan perkara-perkara yang tidak ada faedahnya dan merencatkan kebahagiaan berumahtangga.



 

No comments:

Post a Comment