Rasa mengantuk masih menguasai diri tetapi keinginan untuk update status di blog mengatasi perasaan itu. Sebenarnya sejak semalam lagi hendak menulis tentang 'Pages' tapi terlalu penat sampai tertidur-tidur, sebabnya kami suami isteri membuat pembersihan menyeluruh kawasan rumah, dari sawang, kipas siling, basuh baju, sapu, mop, cuci longkang dan halaman hadapan belakang rumah. Sebelum itu awal-awal lagi kami berangkat menuju pasar borong berdekatan untuk membeli keperluan dapur - lauk pauk dan sayur.
Pages yang saya maksudkan yang selalu kita 'like' di laman facebook, selalunya mencecah ratusan ribuan pengikut. Contohnya pages XYZ yang selalu memaparkan kisah artis dan gossip tentang mereka. Katakan admin pages XYZ menulis sebegini - artis ABC akan berkahwin bertemakan bla bla bla, apa pendapat anda?. Maka respon dari pengikut pages ini akan memberikan bermacam-macam pendapat, membaca respon ini kadang-kadang ada pendapat yang tidak terlintas di fikiran sehingga kita terfikir sendiri... oh, ada juga yang berpendapat seperti itu.
Situasi ini mengingatkan saya tentang borang soal selidik/survey. Cuma bezanya respon yang diberikan di laman pages tersebut lebih 'jujur', bebas dan tidak terikat dengan ruang lingkup jawapan yang sudah ditentukan... seperti dalam kertas survey. Walaupun ianya bukan 100% tepat, paling kurangpun kita akan nampak dominan pendapat yang mana lebih menyeluruh/lebih kuat. Misalnya, katakan daripada seribu respon yang ditulis, kebarangkalian 50% atau melebihi separuh responden bersetuju artis ABC melangsungkan perkahwinan bertemakan bla bla bla. Kalau tidak setuju melebihi 50%... maknanya ada sesuatu yang tidak kenalah tu, mungkin tema yang diutarakan sesuatu yang bertentangan dengan budaya masyarakat, misalnya.
Segalanya begitu pantas sekarang, kejadian XYZ terjadi hanya kurang dari setengah jam, tetapi sudah dibincang dikupas di facebook bertalu-talu. Bukan main hangat lagi. Seperti yang terjadi beberapa hari lepas, lawak Rosyam Nor di Anugerah Skrin 2012 cepat sahaja tersebar di laman facebook apatah lagi dikuatkan dengan respon pantas dari seorang pendakwah terkenal. Dahulunya sebelum ada facebook, kita perlu menunggu majalah atau program tertentu di kaca tv mengulas tentang sesuatu isu. Sekarang ini, yang saya suka tentang facebook tentunya berita terkini yang lebih pantas tersebar di laman sesawang sebelum berita perdana disiarkan. Banyak perkara yang dahulunya istimewa dan ditunggu-tunggu sudah hilang keistimewaannya disebabkan laman sosial.
Dahulu, sekiranya kita hendak tahu perkembangan terkini rakan kita, dia sedang kerja apa, anak berapa, isteri atau suaminya orang mana, menetap kat mana, kaya atau miskin rakan kita itu... selain berhubungan melalui surat, telefon ataupun e-mail, ada ketikanya kita perlu berkunjung ke rumahnya bercerita panjang-panjang sambil dihidangkan makan minum dan menatap koleksi album mereka. Setiap gambar ditatap dan ditanya apakah cerita gambar itu. Tetapi sekarang? Sekadar 'add friend' dan setelah 'accept' pun... sendiri cari maklumat di profile rakan kita itu melihat setiap gambar atau mengikuti status yang dikemaskini tanpa sebarang sapaan ataupun pertanyaan khabar yang paling minimum dan standard "apa khabar, lama tak jumpa". Ianya bermacam situasi, ada juga yang terlebih ramah di laman maya. Macam-macam ada.
Bertemu muka di luar dari laman maya sudah tidak seistimewa seperti sebelum adanya facebook. Kita sudah tahu serba serbi atau 50% cerita terkini rakan kita itu melalui fb, sekurang-kurangnya pun menatap gambar terkininya kita mungkin berfikir seperti ini - 'dia sudah gemuk/kurus berbanding dahulu' atau 'kehidupannya lebih baik daripada aku'.
Dunia di hujung jari... kehidupan semakin pantas bergerak walaupun kita cuma duduk-duduk bersantai di hadapan laptop ataupun sekadar memegang gadget telefon bimbit yang macam-macam fesyen itu. Boleh sahaja kita online atau offline bila-bila masa. Alangkan semasa memandu dan berhenti beberapa ketika di hadapan lampu merah... sedikit masa terluang itu dapat dicuri pantas, menulis seperti ini misalnya - 'tak sabar nak sampai, cepatlah lampu hijau, my hubby dah lama tunggu kat taman'.
Dunia semakin laju, pantas, saya terfikir sendiri - adakah langkah kita semakin laju atau semakin perlahan?
No comments:
Post a Comment