Masaknya mudah, sekejap sahaja cuma penyediaannya pada pendapat saya kita perlu cerewet. Contohnya untuk penyediaan sayur kangkung, saya akan membasuhnya di sinki, toskan sekejap airnya dan barulah dipotong ikut suka. Batangnya saya suka belah kerana kalau kerat macam tu sahaja kita tidak tahu apa yang ada didalamnya, manalah tahu ulat atau benda-benda lain yang licin. Saya pernah terbaca di internet ada budak yang meninggal dunia kerana termakan kangkung yang terdapat lintah di dalam batangnya. Sama ada betul atau tidak berita itu, maklumlahkan dalam internet sukar dipastikan kesahihan sesuatu cerita... tetapi ada logiknya. Bayangkan pula bayam, kena pula tu 'baby spinach' selalunya masih terdapat pasir pada daun dan batangnya, kalau tidak dicuci bersih berpasir juga kuali kita dan sudah pasti selera kita juga terencat. Alangkan sehelai rambut di dalam makanan boleh membuatkan kita ribut inikan pula benda-benda yang lainnya. Lebih mudah menyediakan brokoli atau cauliflower berbanding sayur berdaun. Ikut suka hati dan mood saya, kalau hendak cepat saya tinggalkan sekejap sayur berdaun dan memilih sayur yang senang disediakan seperti carrot, brokoli, cauliflower, timun, tomato.
Sekarang, setiap kali kami makan di mana-mana restoran sama ada restoran yang menghidangkan masakan Melayu ataupun stail mamak, saya akan cuba elakkan memakan sayuran hijau seperti kacang panjang, bayam, kangkung, sawi dan sama spesies dengannya. Selalunya padanan lauk saya lengkapkan dengan ulaman timun ataupun acar. Tidak baik bersangka buruk tetapi sekiranya kita tidak pasti penyediaannya di bahagian dapur... bagi saya tidak salah juga bersikap cerewet sesekali. Pengalaman kami menyediakan makanan untuk hidangan orang kampung, kebersihan amat dipentingkan, agak cerewet, penat dan kadang kala membosankan.
Di peringkat perbincangan, pemilihan lauk pauk dan sayur mempengaruhi masa yang diperlukan sebelum sesuatu majlis kenduri kesyukuran diadakan. Contoh, bahagian ayam sama ada paha/dada/ayam bulat, sayur pula jika terung yang dipilih lebih cepat penyediaannya berbanding sayur kacang panjang yang selalunya akan dipotong serong atau sayur daun yang lainnya, bimbang terlepas pandang ulat sayur tersebut.Bayangkan kita ada pilihan beberapa jenis ikan, pilihan pertama ikan tongkol bersaiz besar berbanding ikan kembung bersaiz kecil. Lebih mudah menyiang ikan tongkol bersaiz besar, ikan kembung pula kerana saiznya yang kecil, banyak tumpuan ke arah membuang insang dan isi perut. Malah kesegaran ikan tongkol yang bersaiz besar dapat dipastikan, katakan ikan tongkol kesemuanya 40 kilogram diperlukan tetapi semuanya bersaiz besar berbanding 40 kilogram ikan kembung bersaiz kecil/medium.
Berbalik kepada penyediaan sayur, bayangkan kita perlu memasak sayur kacang panjang untuk seramai +- 50 orang. Kami biasanya akan merendamnya seketika sebelum dibilas dengan air bersih beberapa kali. Dibandingkan dengan sayur terung misalnya, memotongnya dalam saiz sederhana dan panjang-panjang kerana ia akan mengecut setelah dimasak nanti. Membuat persediaan makanan untuk sesuatu acara seperti majlis kesyukuran iaitu menyediakan makanan dalam kuantiti yang banyak... lebih kurang juga menyediakan makanan di restoran untuk pelanggan. Bezanya yang satu percuma dan yang satu lagi bertujuan mendapatkan keuntungan. Kalaulah peniaga tadi tidak peduli soal kebersihan, asal masak dan jadi duit...
Kesegaran sayur daun yang hijau-hijau tu bertahan sekejap sahaja, tetapi tidak saya nafikan memang sedap ditumis/masak lemak/sup sayur, tetapi sekali lagi saya tegaskan untuk diri saya sendiri, penyediaannya perlu cerewet/teliti. Lagi cerita berkaitan sayur... ada di antara rakan dan keluarga yang tidak makan sayur. Maksudnya mereka memang jenis tidak makan sayur sejak kecil lagi, masaklah macam mana sedap sekalipun, tidak akan disentuh sayur tersebut. Pada mulanya saya rasa pelik terutama sekali melibatkan nasi goreng misalnya, dengan teliti mereka akan memilih satu-satu sayur yang ada di dalam nasi goreng itu dan meletaknya di tepi pinggan. Tetapi kemudiannya saya terfikir, saya sendiri pun ada beberapa jenis makanan yang memang sukar untuk saya memakannya (buat masa ini, masa hadapan tidak tahu), misalnya durian dan daging kambing, sudah tentu mereka yang menggemari dua jenis makanan tersebut akan berasa hairan sama seperti yang saya rasakan melihat mereka yang tidak makan sayur.
Dari sayur, meleret sekejap kepada tabiat pemakanan. Bermacam-macam, lain orang lainlah seleranya kan, biasalah tu semua orang pun tahu. Kadang-kadang nampak pelik tapi itulah hakikatnya.Manusia sentiasa berbeza antara satu dengan yang lainnya. Salah seorang adik saya, semasa zaman kanak-kanaknya dia cukup pantang makanan yang bercampur dengan bawang putih dan bawang merah. Selain itu dia juga tidak makan udang kering, ikan kering. Memang sukar setiap kali saya memasak, kena masak dua jenis masakan, misalnya sayur sawi yang dimasak seperti biasa - tumis dengan bawang putih merah tambah sedikit udang kering dan satu lagi jenis masakan sayur sawi ditumis begitu sahaja dan ditambah dengan garam dan bahan perisa. Nasiblah udang dan ikan basah dimakannya pula. Sekarang setelah dewasa dia masih tidak makan udang kering dan ikan kering tetapi masakan berbawang sudah dapat diterima tekaknya.
Durian yang baru dikopek yang masih segar wangi tu... tidak dapat lalu di tekak saya walaupun berulang kali mencubanya, baunya sahaja sudah membuatkan saya pening dan hendak muntah, tetapi tempoyak boleh pula saya makan, siap tambah nasi lagi. Begitu juga dengan kacang, hanya kacang yang nampak kacangnya dapat saya makan tetapi kacang yang sudah hancur sebati menjadi kuih/biskut ataupun masakan berkuah... hanya sedikit sahaja yang masuk di tekak, tetapi itu kisah lalu sekarang sekurang-kurangnya kuah kacang yang disediakan untuk nasi himpit dan sate itu sudah dapat saya nikmati. Bercerita tentang makan ini membuatkan perut saya tiba-tiba berkeroncong minta diisi, padanlah jadi begitu pagi ini sahaja banyak kerja yang saya lakukan dan hanya mengalas perut dengan maggi goreng segera + telur mata + teh kosong. Tetapi mata pun agak berat, malam tadi tidurnya lewat dan kena bangun awal. Perut lapar dan mata mengantuk...
No comments:
Post a Comment