Tuesday, November 13, 2012

MAKANAN UTAMA - NASI

13 November 2012 (Selasa) - Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada mereka yang beragama Hindu.
Makanan utama/ruji di negara kita tentunya nasi sehinggakan harga beras tertentu dikawal harganya. Malah penetapan bayaran zakat fitrah berhubung kait dengan harga beras sekilo, beras terpilih mengikut negeri masing-masing. Secara peribadi, beras kegemaran saya jenis beras berjenama Pearl, bungkusannya berwarna pink, beras ini berasal dari negara Thailand dan ketika memasak nasi ini... harum semerbak baunya ke seluruh rumah. Rasa nasi ini seakan-akan nasi pulut. Di zaman bujang saya dahulu, saya siap-siap beli beras ini satu kampit lima kilo dan menghabiskannya dalam masa +- tiga bulan, maklumlahkan bukan hari-hari saya masak, sibuk dengan kerja dan aktiviti orang bujang. Setelah berkahwin, kami suami isteri kerap membeli beras Jasmine yang warna bungkusannya ungu, sesekali saya membeli beras 'mahal' yang dipacking sedia dalam berat satu kilogram, antaranya pelbagai jenis beras wangi dan beras basmathi, beras herba ponni keluaran Syarikat Faiza.
Bajet untuk sekilo beras 'mahal dan berkualiti' itu tak banyak, sekadar RM 10 sudah mencukupi, sesekali masak nasi berperisa sedap juga kan. Tidak semestinya kita perlu menjadi pakar masakan untuk memasak yang sedap-sedap, yang penting bagi saya kesungguhan untuk memasak.
Malam tadi saya memasak beras basmathi yang dibeli secara timbang, sekilo di Pasar Borong Klang, Ahad lalu. RM5.50 sekilo, berbaloi untuk memasak nasi berperisa. Tadinya saya masak ala-ala nasi hujan panas, cuma saya gantikan minyak sapi dengan marjerin dan hanya pewarna merah sahaja saya gunakan, dicantikkan lagi dengan biji gajus dan kismis hitam, sebelum itu saya rendam sekejap beras basmathi kemudian saya tumis bawang merah putih halia. Sedikit kayu manis + bunga lawang, cengkih dan buah pelaga turut saya masukkan ke dalam masakan.  Kelmarin... saya cuba memasak beras ini, tetapi tidak berapa menjadi teksturnya, tersalah sukat air,  Alhamdulillah malam tadi sudah menunjukkan peningkatan dan menjadi juga resepi mengikut citarasa saya, dipadankan dengan gulai ikan tongkol. Minggu ini kami makan ikan/aneka seafood sepanjang hari, selalunya minggu berikutnya akan makan ayam, begitulah pengaturan jadual lauk kami seharian, untuk balance diet dan kesihatan yang maksimum. Sayur tetap ada dalam senarai, kalau tidak ada, saya yang tidak senang duduk.
Disebabkan makanan utama kita nasi, pada pendapat saya lebih baik kita berusaha mengenali pelbagai jenis beras yang dijual di pasaran. Memang, beras yang diimport lebih sedap tetapi mahal, pun begitu dengan adanya paket sekilo yang dijual berasingan... apa salahnya kita mencuba sesekali untuk hidangan istimewa di rumah, dinikmati bersama pasangan dan anak-anak, datuk nenek cucu malah tetamu kita!
Masih kekal segar di ingatan, semasa saya masih bergelar pelajar di UM, ada beberapa kali saya membawa beras padi huma/beras bukit keluaran Syarikat Sazarice, Sabah yang tidak ada dijual di Semenanjung Malaysia. Yang terbaik bungkusannya berwarna ungu dan ada gambar anggur, awal-awal lagi arwah bapa saya sudah membeli beras ini sebaik sahaja dia mendengar saya hendak bawa sedikit beras ini ke Semenanjung.
Sarat dengan nostalgia tentunya beras kampung yang diproses secara tradisional, dimasak atas dapur kayu menggunakan kayu belian. Harum, wangi, segar. Jiran kami pernah tersalah faham, sebaik sahaja dia mendengar kami ingin balik ke kampung halaman, dia minta kami bawakan beras Bario, dia ingatkan kami ini orang Sarawak.
Bulan sudah sewaktu kedatangan pakcik saya sekeluarga sempena konvokesyen isterinya di UPM, memandangkan pilihan restoran yang terdekat  dengan hotel hanyalah restoran mamak muslim, hampir setiap hari  kami menjamu selera stail mamak. Sekali duduk makan, bajet untuk kami empat orang RM30+++. Tetapi memang berbaloi dengan rasa dan aneka warna makanan yang diperagakan. Rupa-rupanya pakcik saya ini gemar masakan mamak muslim, dipanggil Keling kalau di Sandakan, Sabah. 
Sesekali makan stail mamak memang sedap, penuh rasa dengan rempah ratus dan yang menarik tentunya nasi beriyani selain rangkaian rotinya - roti canai kosong, telur, sardin, pisang dan banyak lagilah. Tak larat untuk senaraikannya, senang cerita gerak sahaja ke restoran mereka dan terus buat order.
Rangkaian nasi yang saya gemari - nasi kerabu, nasi dagang, nasi ulam dan sewaktu dengannya, pun banyak pilihan juga. Bermula dari hanya beras menjadi nasi yang dapat dipelbagaikan menunya.
 Sebab itulah saya katakan sebelum ini, memandangkan makanan utama kita berasaskan nasi, adalah lebih baik kita mengenal jenis-jenis beras yang pelbagai itu. Disebabkan roti bukan makanan ruji di negara kita, saya percaya tidak ramai termasuklah diri saya sendiri yang mengenali jenis-jenis roti apatah lagi cara-cara membuatnya. Paling glamour pun roti canai, roti telur.
Tentunya berbeza mereka yang menjadikan roti sebagai makanan ruji, sudah pasti mereka tahu jenis-jenis tepung yang juga pelbagai itu. 
Bersyukur kita kerana harga beras di negara kita tidak dijual mengikut pasaran sebenar, kecuali beras import itu lainlah ceritanya, banyak pilihan beras yang mampu kita beli, malah ada yang berlebihan dan tidak tahu menghargai beras. Saya sedih, kurang suka pun ya, melihat mereka yang makan nasi tetapi tidak dihabiskan. Walaupun kita tidak merasai penat lelah petani bersawah padi, janganlah kita membazirkan walau sebutir pun nasi tersebut, makanlah ikut keperluan. Di tempat lain pada kebanyakan tempat yang rakyatnya kebuluran, sedikit makanan yang tidak mencukupi itupun sudah membuatkan mereka mengucap syukur kerana sekurang-kurang dapat mengalas perut yang sentiasa lapar.
Orang tua kami selalu mengingatkan semasa masih kecik-kecik dahulunya, jangan bazirkan nasi walau sebutir, nanti nasi itu merajuk, atau ketulahan, kata mereka. Pastikan pinggan nasi kita licin, jadi maksudnya makan ikut keperluan sama ada banyak atau sedikit, yang penting elakkan pembaziran.  Dan sekiranya tidak dapat dielakkan, kadang-kadang nasi kita itu basi atau memang berlebihan, rasa sedih juga untuk membuangnya ke dalam plastik sampah atau kurang senang untuk memberikan makan kepada kucing. Kucing, burung, ayam, anjing, itik sememangnya kategori binatang, tetapi sedekah makanan kita kepada mereka itu turut dikira sebagai amal jariah. 
Sedikit fakta berkaitan nasi... dikatakan kalau nasi yang kita masak itu cepat basi daripada yang sepatutnya dan selalu terjadi sebegitu, maknanya ada sihir di dalam rumah kita, Allah Lebih Mengetahui. Air rebusan beras ada yang diminum atau disapu ke muka, antara petua yang pernah saya dengar, entah berkesan atau tidak... saya tidak pernah mencubanya, teapi seingat saya emak pernah meminum air rebusan beras/nasi yang sedang mendidih cuma saya tidak ingat sebabnya. Yang paling menarik, air mencuci beras itu dapat dijadikan bahan siraman tanaman kita malah kami juga pernah membasuh pinggan mangkuk menggunakan air basuhan beras. 
Macam-macam juga petua/amalan berkaitan beras/nasi ini. Dahulu di kampung, saya selalu membuat bedak sejuk dicampur dengan sedikit kunyit. Nasi kangkang? Semoga kita dijauhkan daripada perkara sebegitu.
Lagi satu petua yang saya selalu ingat, emak cakap kalau kita tengah sakit perut, berak-berak, kena pula waktu itu jam dua tiga pagi dan tiada sesiapa yang dapat menghantar kita ke klinik/hospital... goreng tanpa minyak/sangai beras sehingga hitam dan tumbuk kemudian diminum airnya, InsyaAllah sembuh sakit perut kita dek cirit birit itu. Malah lebihan beras itu boleh digunapakai melumur ke seluruh badan, ala-ala spa gitu, bertujuan menghaluskan kulit kita, menulis sebegini membuatkan saya rindu untuk melakukan itu semua seperti zaman remaja dahulu.
Bubur nasi - untuk kami adik beradik sehinggalah cucu emak saya, bayi yang sudah boleh makan diperkenalkan dengan bubur nasi, tidak dibiasakan dengan makanan nestum atau bijiran lain. Selain menjimatkan kos, kebersihan dan kandungan makanan awal bayi terjamin bebas daripada campuran yang tidak kita ketahui. Ahad lepas sewaktu kami bersarapan di restoran Kak Jee, ada sebuah keluarga yang membawa anak kecil mereka, di samping mereka suami isteri bersarapan, anak kecil itu disuapkan bekal bubur dalam tupperware kecil yang saya pasti dibawa siap-siap dari rumah kerana setahu saya tidak ada sarapan bubur disediakan di restoran tersebut. Saya tersenyum dan dalam hati saya berkata-kata, pasangan ini barangkali berasal dari kampung, sama seperti saya.
Lagi satu yang nostalgia, padi muda yang ditumbuk kemudian biasanya kami tuang dengan air panas dan letak sedikit gula kemudian diminum. Boleh juga dicampur begitu sahaja dengan gula dan dimakan begitu sahaja. Entah lupa pula saya namanya, kalau tak silap saya di sini dipanggil emping, di tempat kami disebut dalam bahasa ibunda. 
Bubur nasi sentiasa menjadi kegemaran saya, semasa kecik sama ada di campur dengan kicap manis atau garam sahaja malah kadang-kadang gula. Tetapi dewasa ini sudah terdedah dengan bermacam resepi bubur nasi sama dalam peket segera atau buat sendiri, bubur lambuk selalu juga saya buat setiap kali balik kampung, tapi ikut resepi yang diubah suai sendiri, hehe...
Wah, menghampiri jam 4.30 pagi, sampai di sini dahulu setakat ini, InsyaAllah lain kali sambung cerita lain pula. Tata...  
 
  
 
 
    
 
 

No comments:

Post a Comment