Saturday, March 17, 2012

TAK BAIK TAU !

Setiap pasangan yang sudah berkahwin sudah tentu menginginkan anak. Begitu juga yang belum berkahwin ada naluri untuk berpasangan. Perjalanan hidup setiap kita berbeza. Kerana perbezaan ini tidak dapat difahami oleh semua orang, menjadikan kadang-kadang seseorang itu merasakan betapa tidak adilnya dia diperlakukan sebegitu.

Menyebabkan orang lain tersinggung malah ada segelintir yang berdendam hanya kerana kata-kata. Kata-kata memang lebih tajam dari mata pedang. Seperti yang selalu kita dengar hidup ini umpama roda ada masanya kita berada di atas dan pada ketika yang lainnya kita terjunam ke bawah.

Macam menjadi budaya sudah setiap kali pasangan yang telah berkahwin bertahun-tahun tapi belum punya cahayamata lagi, dihujani dengan pertanyaan tentang anak. Setakat bertanya itu tidak salah tapi yang kurang sedap didengar akan terbit bermacam andaian seperti mandul, menyalahkan si polan itu ini malah dibandingkan dengan orang lain yang berderet anaknya lagi-lagi kalau tarikh perkahwinan di tahun yang sama.

Kalau sungguh prihatin dengan nasib pasangan yang belum ada anak itu, kenapa tidak beri cadangan/pendapat/info/petua? Itu lebih baik daripada terus-terusan mencemuh, menyakitkan hati pasangan suami isteri tersebut. Ingatlah putaran roda kehidupan itu. Siapa tahu anak,  ataupun cucu kita satu hari nanti akan ditakdirkan seperti itu. 

Allah Maha Adil. Begitu juga dengan orang bujang yang belum bertemu jodohnya. Saya terbaca di wall fb, ada kebenarannya juga madah itu dan ianya lebih kurang seperti ini : Ramai orang berusaha keras mencari jodohnya tetapi sangat kurang yang berusaha mencari hidayah petunjuk-Nya. Jodoh sudah ditentukan tetapi hidayah dan petunjuk tidak perlu ditunggu ianya perlu dicari. Sudah tahu si polan itu bujang terlajak, doakanlah dia mendapat jodoh yang baik. Itu lebih baik daripada mencemuh.

Mungkin pasangan yang belum dapat anak itu pernah mengandung dan keguguran sebelum ini. Ataupun salah seorang tiba-tiba sakit hingga terhalangnya daripada mendapat anak dan bermacam-macam lagi. Begitu juga dengan si bujang terlajak. Mungkin dia punya tanggungjawab besar terhadap keluarganya sehingga tumpuan lebih ke situ berbanding mencari jodoh. Ada juga yang bertunang banyak kali tapi tak jadi kahwin akhirnya.
Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Cuma cepat atau lambat sahaja untuk kita menyedari apakah hikmahnya itu.

Yang paling penting...jangan cepat sangat berprasangka yang tidak baik. Dahulukan prasangka yang baik itu berbanding prasangka yang tidak baik. Sukar sekali menjadi ikhlas. Luaran dapat dilihat tapi dalaman, dalam hati itu hanya tuan punya badan dan Allah saja yang tahu kan.

Tapi saya percaya seperkara. Macam yang selalu kita dengar, buat baik balas baik dan sambung sendirilah...

Masih lagi memandang rendah orang lain walaupun dalam hati. Itu yang paling sukar dikikis kan. Barangkali orang yang dipandang rendah itu tidak tahu pandangan kita terhadapnya tetapi siapa tahu satu hari nanti kita ditunjukkan semula sekali lagi orang yang sama tetapi situasinya berbeza membuatkan kita berasa lebih rendah diri malah tidak layak untuk dibandingkan dengannya. Peperangan dalam diri kita sendiri. Orang lain tidak tahu kerana emosi itu berperang di dalam diri kita.





No comments:

Post a Comment