Friday, March 2, 2012

GOSSIP

Sekarang saya sedang mengikuti perkembangan telenovela Bella Calamidades. Memanglah ianya setakat lakonan, tetapi kebanyakan penulis skrip sudah tentu mendapat idea untuk menulis daripada kehidupan seharian. Kemudian ada yang ditokok tambah untuk menyedapkan cerita. 

Oh ya, hari ini tiada tayangan cerita Bella sebabnya telenovela ini bersiaran sejam bermula jam 3 petang setiap Isnin hingga Khamis. Latar tempatnya banyak berkisar di sebuah pekan kecil bernama Horneros. Menariknya, gossip dan mengumpat itu sering ditonjolkan, walaupun ianya banyak berkisar tentang kehidupan Lola yang dikatakan pembawa malang.

Kebanyakan cerita tersebar melalui watak pembantu rumah, Juana dan Nicolasa seterusnya membawa kepada pengetahuan penduduk pekan kecil itu.
Saya bukan pengkritik drama, saya cuma terfikir rupa-rupanya perihal mengumpat dan bergossip itu terjadi di kebanyakan tempat. Hanya berbeza bahasa, budaya dan agama.

Setiap kali saya balik ke kampung halaman, selalu juga saya mendengar macam-macam cerita yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Apabila kita berada di dalam lingkungan kecil, memang mudah sesuatu isu itu akan berkembang pesat kerana ianya dibincang dan dibahaskan oleh bermacam jenis manusia yang beragam pemikirannya.

Yang menjadi masalahnya ialah, kadang-kadang boleh menjadi fitnah. Sebab itulah kita disaran sentiasa menjaga tutur kata dan tidak selalu berprasangka buruk terhadap orang lain. Kalau tidak tahu hal sebenar, lebih baik mendiamkan diri. Kecuali yang memang jelas terbukti ada sesuatu yang tidak kena.

Menjaga tepi kain orang lain itu memang perlu malah ada ketikanya menjadi wajib, kerana kita tidak hidup bersendirian tetapi perlu diingat mesti kena pada tempatnya. Misalnya perkara-perkara yang berkaitan maksiat, kecurian dan keselamatan serta kebajikan jiran.

Rasanya kalau setakat bertandang ke rumah jiran setakat nak sembang kosong...baik tak payahlah. Sesekali tu boleh tahan jugalah tapi kalau itulah hari-hari...tak ada kerja ke?

No comments:

Post a Comment