Thursday, March 29, 2012

FLIGHT

Assalamualaikum...


Saya dan adik berhasrat membawa mak dan adik bongsu kami bercuti di Lembah Klang - dari KL ke Klang. Masih dalam perancangan lagi, menyemak budget dan tarikh yang sesuai. Saya jarang bercerita tentang sesuatu yang masih peringkat draf/plan, selalunya hanya setelah ia berlaku barulah saya beritahu. Tetapi hasrat kami ini sengaja saya publish dekat blog - semoga ada doa-doa tambahan dari pembaca blog saya, dengan izin-Nya hasrat kami ini tercapai. Doakan ya!

Saya agak risau reaksi mak dan adik bongsu saya menaiki kapal terbang nanti, kerana saya telah melalui pelbagai pengalaman menyeronokkan/menyusahkan. Semoga semuanya dipermudahkan-Nya, amin...

Pengalaman pertama saya menaiki kapal terbang - kapal terbang dari negara Filipina yang transit di Kota Kinabalu International Airport menuju ke KLIA. Bertarikh 20 May 2000. Saya membeli tiket pertama MAS Airlines di Sandakan. Tiket saya itu berharga +- RM500. Saya dan arwah ayah menuju ke Kota Kinabalu, bermalam semalam kemudian menuju ke airport untuk check-in. Pada masa itu untuk ke Kuala Lumpur mesti melalui Kota Kinabalu. Entah di mana silapnya sebaik sahaja saya check-in...petugas di kaunter memandang saya dengan wajah hairan.

Dia bertanya saya membeli tiket itu di mana dan bila. Saya jawab di Sandakan, pejabat tiket MAS Airlines yang tidak jauh dari menara MPS, baru dibeli beberapa hari sebelum hari penerbangan.

Dia berkata sesuatu yang membuatkan saya kalut dan bimbang, maklumlah saya perlu mendaftar di UM sesegera mungkin. Bagaimana dengan masa depan saya sekiranya terlambat. Tidak ada fb, twitter dan pendaftaran online ketika itu. Segalanya melalui surat sahaja. Bayangkan kalau ada orang yang dengki dengan kita menyorokkan surat-surat penting? Situasi itu terjadi beberapa kali terhadap saya.

Petugas kaunter : Tiket cik tidak sah, malah penerbangan ini tidak wujud.
 Saya : Tapi...saya memang membeli tiket ini.
Petugas kaunter  : Cik tidak dimaklumkan tentang ini? Melalui telefon, misalnya.
Saya : Tidak ada sesiapa yang telefon saya.
Petugas kaunter : Tunggu sebentar ya...
Petugas kaunter menelefon siapa entah kemudiannya dia memanggil saya semula.
Petugas kaunter : Pejabat tiket di Sandakan memberitahu mereka telah memaklumkan cik tentang pembatalan ini melalui telefon.
Saya : Telefon, cik...saya tidak pernah memiliki telefon malah telefon rumah pun tidak ada. Dan kalau saya tahu tiket ini tidak sah kenapa saya perlu bergegas ke KK ini? Bukankah itu membuang masa namanya?
 Tolong buat sesuatu, saya perlu mendaftar di UM secepat mungkin.
Petugas kaunter : Tunggu sekejap cik, saya usahakan untuk mendapatkan penerbangan yang lain ke KL.
Dan dia menelefon lagi, entah siapa yang ditelefonnya. Tidak lama kemudian...
Petugas kaunter : Mengikut rekod, cik memang ada membeli tiket ini dan pihak kami minta maaf di atas kesilapan ini. Ada satu penerbangan transit ke KK dari Filipina. Itu sahaja penerbangan dalam masa terdekat ini sekiranya cik perlu cepat ke Kuala Lumpur. Tidak perlu bayar tiket. Cik setuju?
Saya : Bila tu?
Petugas kaunter : Sekarang cik boleh masuk ke boarding gate.

Sebelum itu, saya disapa oleh satu keluarga yang secara kebetulan menghantar anak gadisnya mendaftar di UiTM, Shah Alam (masa tu masih disebut ITM). Kami berkenalan seadanya. Ibu kepada gadis itu menyuruh saya menunggu di KLIA sebaik sahaja dia mengetahui inilah kali pertama saya ke Semenanjung Malaysia, sendiri pula tu. Penerbangan mereka sekeluarga ke Kuala Lumpur perlu transit di Labuan terlebih dahulu. Katanya dia akan menyuruh anak lelakinya yang sudah berada di KLIA mencari saya di sana, sebaik sahaja mereka sampai.

Berbalik kepada cerita penerbangan dari Filipina itu, hanya ada dua rakyat Malaysia sahaja yang ada di dalam kabin. Sebenarnya saya tidak henti-henti menangis sejak bertolak dari rumah di peringkat enam sehinggalah menaiki kapal terbang ini. Kenapa jadi begitu?

Emak saya baru melahirkan adik bongsu saya, dua minggu sebelum saya 'terbang' ke KL. Dia mengalami pendarahan yang banyak. Sangat pucat ditambah lagi dengan masalah buasir. Hendak mendapatkan RM 10 untuk membeli ubat buasir pun saya kena pergi meminjam duit tapi tidak diberi pinjam. Kemarau pula masa tu dan kami kena pergi ke kolam besar untuk membasuh pakaian. Jalan kaki memikul pakaian basah yang telah dibasuh, naik bukit lagi.
 Yang paling terkesan sekali, saya yang membasuh kain batik mak sehingga tiga helai penuh dengan darah!.

Duit untuk membeli tiket kapal terbang saya terpaksa tunggu pendahuluan dari PTPTN RM 1500. Itulah untuk membeli barang keperluan sehinggalah perjalanan ke KK. Duit berbaki cuma RM 200 sebaik tiba di KL. Allah memudahkan perjalanan saya menuju ke UM. Keluarga polis yang berpangkat sarjan itu yang menghantarkan saya sehingga ke hadapan Kolej Kediaman Keempat, Kolej Kediaman Bestari. Jalan sangat sesak pada masa tu, hari pendaftaran kan.

Dari KLIA saya dibawa bermalam di Subang Perdana. Kemudian keesokan paginya mereka menyewa teksi menghantar saya ke UM. Kami tersekat di hadapan Kolej Kediaman Kedua. Memandangkan mereka juga perlu ke ITM untuk pendaftaran anak mereka, anak lelakinya membawa beg pakaian saya yang memang berat itu menuju ke Kolej Kediaman Bestari. Kami berjalan kaki bersama-sama. Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada keluarga polis yang sangatsangatsangat baik hati itu.

Tidak ada sesen pun duit saya luak. Malah sewaktu bermalam di Subang Perdana...saya ditempatkan di sebuah bilik yang luas dan mereka sekeluarga pula sanggup tidur di ruang tamu. Walaupun saya menolak, saya segan dan malu diperlakukan sebegitu. Saya bukannya orang kenamaan yang perlu diberi keistimewaan sebegitu.

Siapalah saya ini. Ternyata beliau perempuan itu sangat penyayang dan terserlah kasihnya sebagai seorang ibu. Dia amat memahami saya sebagai seorang anak gadis yang sedang keseorangan manakala mereka sekeluarga sahaja, anak-anaknya ada beberapa orang lelaki. Sudah tentu tidak manis sekiranya saya bercampur dengan mereka. 

Sebelum itu dalam perjalanan menuju ke KLIA, saya duduk ditempatkan di bahagian tengah tempat duduk, dipisahkan dengan hanya jarak satu kerusi dengan seorang lagi penumpang sama-sama orang Malaysia, student senior di UUM. Diringkaskan cerita dia menyapa saya dan kami juga berkenalan seadanya.

Saya yang terlalu jujur pada masa itu tidak berselindung dengan situasi yang sedang saya hadapi. Lelaki itu tersenyum dan dia memberikan kata-kata semangat terhadap saya. Katanya dia pernah mengalami keadaan yang lebih teruk berbanding saya. Dia tersesat sehingga sampai ke Pulau Pinang sewaktu mula-mula sampai dulu. Lepas tu pula duitnya kena kebas...

Penerbangan lelaki itu transit setengah jam di KLIA sebelum menaiki penerbangan menuju ke utara. Dia memberikan saya sedikit nasihat, supaya tidak terlalu percaya dengan orang asing dan kalau dia ada kesempatan, dia sudi menghantarkan saya ke UM.

Sesudah dia beredar dengan senyuman manisnya itu, seseorang menyapa saya, lelaki berumur pertengahan 20-an memperkenalkan dirinya anak kepada keluarga polis tadi. Jadi saya bertemu semula dengan keluarga polis itu di KLIA.

(adui...panjangnya cerita, bila mau habis ni..)

Nombor telefon keluarga polis itu ada dalam tangan saya. Beliau perempuan itu mengingatkan saya agar tidak segan-segan sekiranya saya memerlukan bantuan. Tetapi saya akhirnya tidak menghubungi keluarga  polis itu lagi, diringkaskan cerita terputus hubungan begitu sahaja. Sebabnya?

Setiap minggu anak lelakinya yang berusia 20-an dan baru habis belajar itu datang ke kolej saya mengajak saya keluar. Saya tidak selesa dengan situasi itu dan saya tidak mahu terlibat dengan masalah sosial. Yalah...dia lelaki dan saya perempuan. Mak bapanya memang baik dan saya terhutang budi dengan mereka sekeluarga. Tapi...saya juga perlu mengutamakan keselamatan diri sepanjang berada di sini, tambahan pula saya perempuan kan? Banyak sempadan yang perlu dijaga.

Kenangan-kenangan ini walaupun pahit pada awalnya...tetapi ianya banyak membentuk saya menjadi dewasa dan dapat berfikir secara rasional, memilih keputusan mana yang perlu diambil di dalam situasi tertentu. Pengalaman yang berharga tidak datang dengan mudah, banyak liku yang perlu dilalui.

Secebis cerita berkaitan dengan flight - pengalaman pertama melaluinya berbelas tahun sudah. Ada juga yang lucu dan tidak terjangka...tapi memang banyak yang seronok berbanding yang tidak seronoknya...


love,
monalizahrais












No comments:

Post a Comment