Banjir kali kedua di bulan Mac ini. Semalam melepasi waktu tengah malam, petir guruh kilat bukan alang-alang lagi. Kemudian hujan lebat tanpa henti di bumi Klang ini, setiap jam saya terbangun dan memandang suami dan keliling rumah. Semestinya saya berfikir tentang hujan/banjir. Jam 4 :30 am, saya mengejutkan suami dan kami sama-sama melihat longkang di belakang rumah, air belum naik lagi. Hujan turun tidak menentu nadanya sekejap lebat sekejap renyai.
Jam 5:30 am saya bangun menatap jam handset dan saya berfikir, waktu Subuh akan tiba tidak lama lagi. Hujan masih kedengaran iramanya, saya agak sudah banjirkah? Saya bangun menuju ke ruangan dapur dan terlihat air sudah memenuhi lantai bilik air dan tandas. Ada tanda-tanda air memasuki perlahan pintu dapur. Halaman belakang rumah sudah banjir dan saya bergegas membangunkan suami.
Kami seperti jiran yang lain mengemaskan barang meletak di tempat yang tinggi. Sambil memanaskan air membuat minuman panas. Tidak begitu kelam-kabut, kami agak tenang walaupun kami kurang senang dengan situasi itu. Bayangkan awal pagi anda berhadapan dengan banjir, bukankah kebiasaannya kita bersiap untuk pergi ke tempat kerja. Tetapi syukurlah juga banjir ketika berada di rumah, kalau di luar rumah alangkah bimbangnya kan?
Air cuma naik +- 2 inci sahaja membasahkan ruangan dapur dan bilik yang lagi satu. Tidak banyak yang perlu dilakukan berbanding banjir yang pertama di awal bulan yang lepas. Tetapi air lambat surut sehingga sekarang pun sewaktu saya menaip tulisan ini...air di halaman belakang masih memenuhi longkang.
Malam tadi saya membasuh baju sekitar jam sebelas. Ikutkan hati saya mahu menjemur/menyidai pakaian itu siap-siap di ampaian yang terletak di belakang rumah tapi segera saya terfikir...kalau hujan malam karang, ah nantilah awal esok pagi. Sewaktu membasuh pakaian itupun entah kenapa saya terfikir tentang hujan dan banjir. Rupa-rupanya memang hujan dan banjir pun awal pagi hari ini.
Siap menggulung tikar getah (kami sudah modified susunan tikar getah supaya senang digulung sekiranya banjir berlaku lagi) kami suami isteri bersarapan di ruang tamu sambil memutuskan tentang isu pindah rumah. Kena selesaikan sebelum kami bercuti balik Sabah. Kenapa perlu memikirkan banjir sekiranya kita boleh memilih, hendak tinggal di tempat yang diinginkan? Di tempat yang pastinya tidak terlibat dengan isu banjir ini.
Memilih dan mencari sambil budget kewangan untuk pindah rumah nanti...itu pasti dan semoga semuanya dipermudahkan-Nya, amin...
No comments:
Post a Comment