Friday, May 11, 2012

TIKET

RM 840 untuk dua orang, sudah tentu saya dan suami. Tiket sudah siap dibeli malam tadi. Si Erin jugalah yang cekap menjalankan tugasnya itu. Tidak pernah dia menghampakan kami setiap kali kami berurusan tiket dengannya, memang puas hati. Sememangnya lebih mudah kalau kita ada talian internet dan guna kemudahan seperti Maybank2u.com untuk beli tiket secara online. Bahkan setiap kali ada promosi, member yang akan dapat faedahnya terlebih dahulu.
Hmm...tapi buat masa sekarang biarlah kami berurusan dengan Erin dulu.

Berbaki lebih kurang tiga bulan sebelum penerbangan... sebelum ini kami akan membeli tiket enam bulan sebelum tetapi special case adik saya yang baru bertunang beberapa minggu sudah dan tunggu sudah confirm tarikh nikah/sanding/tingkuang... barulah kami beli tiket.
 Kira murah tu sebabnya naik MAS Airlines dari KLIA ke Sandakan, tiada transit, free berat beg 20 kg dan free makan. Suami saya awal-awal lagi sudah target kalau ada topi lambang MAS dia nak beli. Setakat ini suami sudah ada topi Airasia dan Firefly.

Ingatan saya tidak dapat ditahan-tahan terhadap satu peristiwa tahun lepas semasa kami balik untuk Hari Raya Puasa, sekali dengan majlis kahwin adik saya, Abdul Manan. Jerak/serik kami. Harapan saya nanti ianya tidak akan berulang lagi.

Bukan niat saya mencari kesalahan tambah-tambah lagi di hari Jumaat yang mulia ini... tapi kalau kita di pihak pekerja bermajikan dan berhadapan dengan pelanggan yang mempunyai latar belakang berbeza, karenah bermacam-macam, jalankan saja tugas tu sebaiknya mengikut peraturan syarikat, apapun cerita peribadi jangan campur baur dengan urusan kerja.

Kami naik MAS Airlines. Saya check-in di machine yang disediakan setelah itu drop baggage di kaunter. Di luar jangkaan pekerja di kaunter itu bersikap tidak seperti pekerja MAS Airlines yang saya biasa lihat. Sewaktu saya drop bag di situ, ada seorang penumpang yang lain overload bag dan ingin tumpang sekali dengan bag kami. ***Kami tanya petugas di kaunter itu, bolehkah macam tu, dia kata boleh.

Kami pun bagi 'boarding pass' yang diperolehi dari machine 'self check-in' tadi. Sekali dengan penumpang yang lagi satu. Petugas itu meneliti kedua-dua 'boarding pass' dan melekat 'tag' di tangkai beg masing-masing. Selesai... dia mengucapkan terima kasih dan menyerahkan semula 'boarding pass'. Penumpang yang lagi satu tiba-tiba bertanya sesuatu tentang penerbangan mereka menuju ke Tawau. Dan di sinilah bermulanya konflik antara saya, penumpang tadi dan petugas kaunter.

Saya dan suami menuju ke Sandakan, rupa-rupanya penumpang yang tumpang beg saya itu ke Tawau dan petugas kaunter itu tersalah tag beg, diringkaskan cerita dia telah tag beg saya menuju ke Tawau dan begitulah sebaliknya dengan penumpang yang lagi satu, begnya telah ditag menuju ke Sandakan. Kurang sejam sebelum penerbangan yang dijadualkan jam 7 pagi, hanya satu kaunter untuk bag drop sahaja dibuka dan barisan di belakang kami sudah panjang.

Mungkin kami salah, tapi kami juga keliru kerana 'tv' yang selalu memaparkan sekian kaunter untuk penerbangan ke sekian destinasi off. Rupa-rupanya kaunter untuk drop baggage itu bukan untuk satu-satu penerbangan sahaja. Lihat semula perenggan sebelum ini dan saya ada tanda ***Kami tanya....

Petugas di kaunter ada melihat 'boarding pass' kami sebelum tag beg. Seorang pekerja yang cekap dan peka akan cepat mengesan ada yang tidak kena sebaik sahaja kami beri 'boarding pass'. Pada masa itu dia boleh menegur kami supaya tidak boleh tumpang beg tambahan pula penerbangan kami berlainan. Apa sebenarnya yang dilihatnya di 'boarding pass' kami dan apa yang ada di kepalanya pada masa itu?. 

Kami disalahkan dibebel kerana kononnya kami menyusahkan petugas kaunter itu. Yang lucunya kononnya kami tidak memaklumkan dia terlebih dahulu tentang destinasi kami sehingga menyebabkan dia salah teg bag. So... apa fungsi 'boarding pass' itu?. Suami saya meledakkan kemarahannya di kaunter kerana sepatutnya dia perlu peka, itu tugasnya. 

Penumpang lain yang berbaris panjang di belakang kami mula gelisah, menjenguk-jengukkan kepala masing-masing malah ramai yang ke hadapan bertanya kenapa barisan tidak bergerak sedangkan masa semakin singkat untuk penerbangan. Sekali lagi, bukan hanya untuk satu destinasi sahaja. Malah ramai yang keliru bertanya di manakah tempat sebenar check-in.

Petugas kaunter itu dengan selamba menyuruh kami mendapatkan beg di satu tempat yang dipersetujui oleh kami sebaik sahaja kami sampai ke Sabah. Katanya sama-sama Sabah juga senang jumpa untuk tukar beg. Dengan marahnya suami saya membentak petugas itu, Tawau dan Sandakan itu bukannya dekat walaupun satu negeri, kenapa tidak tengok 'boarding pass' itu dengan teliti.

Konflik itu berakhir dengan campurtangan rakannya yang lagi satu, bersebelahan dengannya. Melihat situasi yang berlarutan hampir SETENGAH JAM, rakannya itu menyuruh dia tutup kaunter, turun ke bawah untuk tag semula beg kami. Malah rakannya yang meminta maaf kepada kami, buka kaunter baru dan melayan pelanggan yang lain dengan senyuman.

Kesan dari peristiwa itu, saya dan suami nekad tidak akan bermurah hati lagi untuk membenarkan penumpang lain tumpang beg kami. Untuk keselamatan kami, kerana kita tidak tahu apa yang ada di dalam beg orang lain itu. Curiga itu perlu di dalam situasi tertentu kerana kita tidak berseorangan dan setiap makhluk bernama manusia tidak sama perwatakannya, bukan.


Kita selalu mendengar slogan PELANGGAN ADALAH RAJA, terutama sekali kalau kita berada di pasaraya. Memang akan ada waktu-waktu tertentu kita seakan tercabar/ tidak sabar dengan karenah pelanggan yang cerewet. Tetapi memang begitulah bekerja, bermacam situasi yang perlu ditangani sepatutnya membentuk pekerja itu menjadi bijak menangani sesuatu permasalahan malah itu juga antara kayu ukur prestasi seseorang pekerja bermajikan.

Sekali lagi, janganlah berulang perkara yang sama. Semoga semuanya dipermudahkan urusan selepas ini. Siapalah saya untuk menilai orang lain, tapi yang pastinya saya bercakap dari kacamata seorang pengguna. Tidak semua begitu tetapi kadang-kadang yang seorang itulah yang selalu menjadi nila setitik, merosakkan susu sebelanga.



No comments:

Post a Comment