Wednesday, May 9, 2012

CENDOL

Maaf... masih lagi cerita berkaitan mama saya datang ke sini. Mungkin ianya biasa-biasa sahaja bagi orang lain, tetapi momen ini sungguh bermakna untuk diri saya. Saya memikirkan di masa hadapan nanti pada tahun-tahun mendatang... momen ini bertambah manis dan wangi untuk dikenang semula. Bukan hanya untuk diri saya sendiri, teman-teman, adik-adik dan anak-anak buah saya (keluarga terdekat), anak-anak saya (INSYAALLAH), cucu cicit ?. Dengan kecanggihan teknologi maklumat yang semakin diperbaharui di pasaran malah bermacam fesyen dan pilihan setiap masa, akan ada waktunya keluarga terdekat saya ini 'terbaca' blog saya. Saya tidak pernah menceritakan tentang kehadiran blog ini terhadap mereka... lebih selesa begini.

Saya berjanji belanja mama makan cendol di Pasar Jawa, Klang sebaik sahaja kami selesai shopping keropok lekor. Tidak jauh dari Masjid Diraja Klang yang tersergam indah itu. Saya katakan sama mama... cendol di sini sedap dan murah, original guna santan asli bukan santan pek ataupun susu cair dalam tin. Penjualnya seorang 'mamak' India Muslim dan kalau di tempat kita mak dipanggil Keling, jelas saya kepada mama. Dan kami pun menikmati cendol yang saya war-warkan itu. Disahkan asli oleh mama... kerana mama memang mementingkan keaslian sesuatu bahan sama ada dalam masakan, kuih muih dan manisan.

Maklum sajalah... daun pandan, serai, daun herba turun tangga rumah sahaja terus petik tak macam di sini semuanya dibeli dan kebanyakannya tidak original lagi. Sampai di rumah barulah mama memberitahu... sebenarnya dia ingin tambah lagi minum cendol, tapi malu! Sedap katanya. Lain kali kalau mama datang sini lagi... dia cakap kalau boring duduk rumah, temankan dia minum cendol, hehe...

Dalam perjalanan, mata mama cepat sahaja menangkap spesies bunga yang bermacam jenis setiap kali kami melalui kawasan perumahan. Sememangnya diri mama begitu rapat dan akrab dengan alam semulajadi. 

Sebelum menikmati cendol, mama teringin hendak makan pisang goreng panas-panas. Tapi pisang untuk pisang goreng di sini kami panggil pisang kilong (bahasa Sungai) berbanding pisang sanggar/ pisang Sabah di tempat sendiri. Akhirnya mama membeli samosa. Ada kenangan sentimental rupanya mama dengan kuih samosa ini. Menurut mama, sewaktu kami masih kecik-kecik dulu, mama selalu berpesan samosa setiap kali arwah bapa kami turun ke bandar Sandakan. Dahulunya kuih samosa ini berharga 30 sen satu berbanding kuih lain 10 sen sahaja. Lama-kelamaan mama tidak menjumpai samosa lagi di tempat kami. Pada masa itu kuih samosa ini hanya dijual di kedai Keling. Memang sedap katanya sebab isi samosa itu penuh padat dengan isi ayam dan daging. Barulah saya tahu rupa-rupanya mama penggemar kuih samosa!

Nampak gayanya selepas ini saya akan cari resepi samosa sama ada di internet mahupun buku resipi... dan itu pasti! Boleh buat time balik Sabah nanti dan makan ramai-ramai sama family.





 


 

No comments:

Post a Comment