Saturday, May 26, 2012

HARI LAHIR

Assalamualaikum...
26 May, hari ini ulang tahun kelahiran saya yang ke 32 tahun. Macam biasa sahaja, tidak ada apa-apa yang luar biasa segalanya berjalan seperti hari-hari yang lain, berharap hari ini lebih baik berbanding hari semalam. Begitulah juga yang diharapkan pada hari-hari seterusnya. Bab kek harijadi tiup lilin tu tidak sinonim dengan saya, cuma setelah berkahwin ini kami suami isteri just makan di luar saja sempena ulang tahun kelahiran.
Harapan, impian, azam tidak bermula pada sekian tarikh yang dianggap keramat misalnya tarikh lahir, awal tahun baru atau pun anniversary perkahwinan. Bila-bila masa sahaja boleh memulakan sekian usaha doa dan tawakal untuk mencapai sesuatu. Waduh macam serius punya bunyinya! hahaha...
Bertambahnya lagi umur yang diberi olehNya membawa maksud semakin sedikit umur yang kita ada. Melihat ke belakang mengutip pengajaran dan iktibar, saya bertanya apa yang telah saya lakukan untuk mengisi ruang kehidupan yang telah berlalu? Sesekali merenung sejarah tidak salah kalau untuk renungan diri sendiri, kerana namanya pun sejarah ianya akan berulang semula sekiranya dilupakan. Kalau cemerlang yang diulang-ulang tak mengapalah juga tapi kalau sebaliknya itu yang tak best.
Berbintang Gemini, bermacam-macam juga yang saya telah baca berkaitan dengan personaliti ini seawal usia saya menginjak remaja. Biasalah tu kan...sekadar suka-suka sahaja yang penting kita menjadi diri kita sendiri berdasarkan acuan yang bersesuaian dengan tuntutan agama, itu yang terbaik.
  
Denyut nadi kehidupan kadang kala tenang kadang berdebar rancak. Tidak selamanya mendatar begitu sahaja, itulah lumrah kehidupan. Doa saya di hari ulang tahun kelahiran ini saya memohon kepada Allah semoga sentiasa diberkati, dipanjangkan usia, murah rezeki dikurniakan harta dan anak yang banyak, kesihatan diri bebas penyakit, kebahagiaan hidup berumahtangga, sentiasa diberi petunjuk hidayahNya.... kalau nak disenaraikan semuanya memang banyak...
Doa yang menghimpunkan segala kebaikan:
"Ya Allah ya Tuhanku,  sesungguhnya aku memohon kepada-Mu segala kebaikan yang sekarang dan yang akan datang, yang aku telah ketahui dan yang belum aku ketahui. Dan aku berlindung diri kepada-Mu daripada segala kejahatan, yang sekarang dan yang akan datang, yang saya telah ketahui dan yang belum saya ketahui. Dan saya memohon kepada-Mu syurga dan segala yang boleh mendekatkanku kepadanya daripada perkataan ataupun amalan. Dan saya berlindung diri kepada-Mu daripada api neraka dan segala yang boleh mendekatkanku kepadanya daripada perkataan ataupun amalan. Aku memohon kepada-Mu segala kebaikan yang dipohon dengannya oleh hamba-Mu dan utusan-Mu Muhammad s.a.w. Dan aku memohon kepada-Mu agar segala yang Engkau putuskan buatku dari apa-apa urusan sekalipun biarlah Engkau jadikan akibatnya yang baik belaka."
Sumber doa ini saya ambil dari buku Doa, Zikir dan Munajat yang Didengari ALLAH terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment