Friday, May 25, 2012

RAKAN-RAKAN FB

Assalamualaikum...
Hari ni nak cerita sikit pasal rakan-rakan fb saya. Untuk privacy akaun fb, saya telah setting hanya friend sahaja yang boleh menengok gambar dan status di wall fb saya. Saya tidak memilih rakan-rakan tidak hanya terhad dengan mereka yang saya kenali sejak zaman sekolah rendah, menengah, universiti dan alam pekerjaan sahaja. Sesekali saya blogwalking, ada juga blogger yang saya request friend kerana tertarik dengan kisah mereka - contohnya cabaran kehidupan, resepi masakan, bakat mereka dalam bidang tertentu. Malah personaliti tertentu di dalam bidang tertentu misalnya ahli agamawan, pakar motivasi.

Malam tadi saya terpaksa remove seorang rakan, saya kenal sebenarnya dia itu tapi fbnya meragukan. Tanpa gambar profile, kosong begitu sahaja. Saya tidak kisah sangat dengan latar belakang rakan-rakan fb... maksud saya parti mana yang disokong, pendapat masing-masing tentang sesuatu isu, emosi yang turun naik... semuanya saya baca. Saya selalunya akan komentar hanya di wall fb yang saya kenal semasa zaman persekolahan rendah menengah dan universiti.

Selain itu saya menjadi tukang baca bagi mereka yang hanya saya kenali di laman sosial ini. Pernah saya accept fb yang pada mulanya tidak meragukan, namun pada satu hari entah kenapa saya tergerak hati membaca fbnya, rupa-rupanya banyak gambar perempuan seksi malah ada yang separuh bogel! Cepat-cepat saya remove, tambah-tambah lagi pada masa itu saya menerima beberapa mesej misteri daripada individu yang tidak dikenali.

Dua tahun lebih saya berfb... saya semakin mengenali rakan-rakan fb yang lainnya, maksudnya turun naik emosi mereka serta pelbagai peristiwa yang terjadi di sekeliling mereka. Saya simpulkan lebih kurang 20% rakan-rakan fb saya yang aktif berfb sepanjang hari. Ada yang senyap seketika kemudian tiba-tiba muncul berderet untuk beberapa hari dengan cerita terkini. Antaranya cerita kelahiran ahli baru - anak cucu menantu dalam keluarga mereka dan perkahwinan.

Perbezaan ketara pada awal-awal berfb dulu, selalu sahaja orang lain tag fb kita dengan iklan yang merimaskan. Selalunya saya akan terus remove iklan-iklan tersebut. Bukan saya seorang malah ramai yang merungut tidak suka iklan ditampal percuma di 'dinding rumah mereka'. Lama-kelamaan fenomena menampal iklan percuma itu sudah berkurangan dan sekarangpun sudah tidak ada/ jarang berlaku, mengikut pemerhatian sayalah.
Saya pernah remove sebuah page yang bersungguh-sungguh mempromosi barangannya bukan hanya di wall fb malah bertalu-talu mesej masuk di inbox. Walaupun saya sudah x di wall fb kerana terlalu semak sampaikan fb itu seolah-olah bukan fb saya lagi. Terlebih bersemangat agaknya. Begitulah manusia, hendak hairankan sangat pun tak boleh juga, kerana sememangnya setiap individu itu berlainan perwatakannya. Alangkan kembar seiras tetap ada bezanya, inikan pula yang langsung tidak seiras dan tiada talian keluarga.

Yang saya suka sangat berkaitan fb sudah tentu gambar-gambar yang diupload oleh rakan-rakan yang lainnya. Kebanyakan kita punya kamera kalau pun tidak secanggih DSLR... sekurang-kurangnya hampir semuanya memiliki kamera telefon bimbit, betapa lagi yang mampu memiliki galaxy tab dan I Phone. Cerita gambar membawa pelbagai cerita, mengikut tafsiran tukang tatap gambar tersebut, malah boleh jadi pemangkin perasaan sayu, gembira, sedih, teruja, benci, iri hati, cemburu.

Zaman yang semakin pantas bergerak tanpa batasan ini (maksud saya dari sisi alam maya, talian internet)... cara baru kita bersembang/bergaduh/bertukar pendapat/bercinta/belajar walaupun kita dilihat memerap di rumah/bilik tetapi hanya luaran sahaja, kita merentas tanpa sempadan, hendak pergi jauh manapun hanya di hujung jari sahaja. Sekarang bayi yang tidak tahu apa-apa itu pun sudah memegang gadget terkini berbeza dengan zaman saya sendiri sampai ke tahap sekolah menengah pun masih terkial-kial memandang komputer malah komputer yang berderet di bilik komputer pada masa itu lebih banyak tersadai daripada digunakan untuk pembelajaran. Melihat hari ini, betapa kepentingan teknologi semakin diutamakan/tak dapat elak dalam kebanyakan agenda kehidupan seharian kita.
Beberapa hari lepas saya membayar bil internet yang tertangguh dua bulan. Hanya setelah talian tidak dapat diakses barulah kami tersedar tentang bil. Dua tiga malam juga tanpa internet, siaran tv pun tidak ada yang menarik perhatian malah radio pun malas hendak dengar. Rasa janggal juga tapi situasi ini membuatkan saya dan suami masuk tidur lebih awal berbanding biasa malah kami berdua tiba-tiba lebih rajin daripada biasa membersihkan rumah. Sampaikan kawasan halaman rumah yang baru sahaja dibersihkan... diulangbersihkan sekali lagi. 
Sebab itulah balik kampung sesuatu yang sangat-sangat melegakan bagi saya. Tanpa internet dan telefon, malam-malam yang senggang tanpa sebarang aktiviti, selalunya berisi dengan mendalami tafsir Al-Quran. Suasana sunyi, udara malam yang sejuk hanya kedengaran bunyi unggas malam berlagu. Maaf, bukan hendak bagitau saya ni arif sangat tentang agama, cuma suasana sebegitu agak berbeza dengan keadaan di sini yang kadang-kadang panasnya sama sahaja tidak kira malam dan siang. Jarang sekali saya berselimut sewaktu tidur semasa di sini, tapi kalau di kampung halaman kalau tidak berselimut waktu malam boleh menggigil demam jawabnya. Sudah tentu waktu Subuhnya nanti rasa air itu macam baru keluar dari peti sejuk. Itulah indahnya kampung halaman yang selalu di ingatan.
salam sayang,
monalizah rais



No comments:

Post a Comment