Thursday, May 10, 2012

KEROPOK LEKOR

Alamak... masih tak dapat upload gambar lagi, nak upload gambar keropok lekor basah tadi yang baru saja saya rebus, lepas tu goreng semula. Adik saya hantar malam tadi, buah tangan dari housematenya yang berasal dari Terengganu.

Sebenarnya ini pengalaman pertama kali saya merebus keropok lekor basah. Sebelum ini saya cuma membeli yang kering yang ditimbang sama ada di pasar borong ataupun pasar malam. Nampak gayanya lain kali saya teringin juga membawa balik keropok lekor basah untuk family di Sabah. Pengalaman lucu seorang rakan saya ditahan sekejap oleh kastam sebaik sahaja kotak berisi keropok lekor basah discan... bayangkan nampak macam hos paip yang dipadatkan, rupa-rupanya makanan sedap itu mengundang curiga di skrin, alahai... Mudah untuk mendapatkan bekalan keropok ini kerana ianya sudah dikomersialkan sejak sekian lama. Bahkan tulisan saya berkaitan keropok lekor ini tidak ada apa-apa yang luar biasa, kebanyakan rakyat Malaysia sedia maklum tentang produk ini.

Sesuatu yang wajib setiap kali saya pulang kampung. Pesanan / ingatan dari adik-adik saya akan kedengaran sebaik sahaja memasuki bulan puasa ataupun setiap kali menghampiri tarikh balik ke kampung. Paling banyak saya pernah beli lima kilo, baru sebentar tadi ejen tiket telefon beritahu tentang harga tiket, yang seronoknya kemungkinan kami akan menaiki penerbangan MAS Airlines... free berat beg 20 kg. Entah berapa kilo keropok lekor yang akan dibawa, tak termasuk buah tangan untuk family tersayang. Aduh! Semperiding kecil juga yang terbayang di kepala saya... rindunya hendak memeluk cium dan bermain dengan mereka.

Saya memang meminati masakan, kuih muih, manisan dan pelbagai produk makanan keluaran Terengganu dan Kelantan. Sememangnya bergelar anak perantau membuka ruang seluas-luasnya untuk memesrai kebudayaan orang Melayu di kedua-dua negeri itu. Pengalaman lepas semasa saya masih bergelar pelajar... rakan serumah saya adalah mereka yang berasal dari Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak. Bukan itu sahaja, rakan sekuliah dari seluruh negeri dan saya berpeluang merasai buah tangan masakan mereka seperti masakan Nogori masak lemak cili api, misalnya. Inilah keunikan negara kita kan.

(macam nada suara skema pula!)

Dan sekarang sudah makan keropok lekor... kenyang perut senang hati sudah. Sikit lagi terlupa tulis, yang saya suka bab lekor ni adalah sosnya. Kalau yang menjual itu memang orang Terengganu... sosnya agak berlainan dengan sos yang ada di pasaraya kan, ada seorang rakan saya memberikan resipi berkaitan sos ini tapi sudah lupa...isk isk isk.

Saya katakan pada suami, tempat kita pun dekat dengan laut juga banyak ikan sama macam Terengganu. Tapi tidak ada pula perusahaan keropok lekor ini, mungkin lebih kepada ikan kering/ikan masin termasuklah udang dan sotong yang juga dikeringkan untuk pasaran makanan.
Saya masih ingat lagi, ada seorang cikgu yang berasal dari Kelantan dan baru berpindah mengajar di Sandakan. Dia berkata kepada kami, buatlah masakan tomyam dan keropok lekor, bahan segar berlambak di sini, katanya. Memang betul katanya itu, itu satu ilmu yang berguna kepada kami yang masih di alam persekolahan yang tidak tahu apa-apa lagi tentang realiti kehidupan. Tetapi itu kisah berbelas tahun sudah. Sekarang di Sabah di bandar-bandar utama seperti Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan sudah banyak restoran yang menghidangkan pelbagai jenis masakan, bukan hanya masakan Sabah tetapi juga hampir seluruh Malaysia. Diusahakan sama ada anak jati Sabah itu sendiri ataupun mereka yang berasal dari Malaya, menetap dan bekerja di Borneo.

Saya balik ke Sandakan beberapa bulan lepas, dan saya ternampak ada restoran yang menggunakan 'tomyam' di nama kedainya, menu seperti nasi goreng cina/pattaya/USA/ikan masin/kampung/cendawan, nasi padprik, tomyam campur/ayam/seafood, masakan Thai/Siam dan sewaktu dengannya.

Saya perlu lebih banyak travelling selepas ini. (boleh bah, kerja kuat-kuat dan stand by duit banyak-banyak!) Jauh berjalan luas pengalaman dan luas juga minda itu kan. (kenapalah aku terbayang-bayang negeri bersejarah Melaka...menyusuri sungai Melaka barangkali).







No comments:

Post a Comment