Assalamualaikum dan salam hari Isnin, sekarang petang dan sebentar lagi malam akan tiba. Tulisan pertama di bulan Oktober, saya sibuk sedikit, bermula dengan kedatangan pakcik saudara sekeluarga ke sini atau lebih tepat lagi datang untuk konvokesyen UPM 2012 yang ke-36. Isteri kepada pakcik saya ini yang konvokesyen, setelah berjuang selama empat tahun mendapatkan ijazah melalui pendidikan jarak jauh (PJJ). Kerja sambil belajar malah mengurus anak dan suami lagi, sesuatu yang tidak mudah dilakukan sekiranya kita tidak punya azam yang kuat. Melihat makcik saya meyarungkan jubahnya, saya terfikir kalaulah saya berkemampuan dari segi kewangan dan material... hendak juga sambung master atau ambil double degree ataupun sebarang course jangka masa pendek. Masa belajar memang seronok, jiwa kita akan lebih muda daripada usia sebenar walaupun kita sudah termasuk kategori 'remaja purba'.
Kedatangan mereka ke sini, waktu saya bersama mereka dan bersembang bermacam perkara, banyak perkara baharu yang saya ketahui. Tentang sepupu angkat saya misalnya, menguruskan pengambilan anak angkat tidak semudah seperti yang kita lihat di kaca tv. Saya terfikir, macam manalah suami isteri yang merahsiakan identiti sebenar anak mereka walhal anak tersebut anak angkat. Maksud saya dari segi dokumentasi anak berkenaan.
Pakcik saya dan isterinya ini mengambil anak angkat dari sebuah rumah kebajikan di daerah Papar. Sehingga sekarang mereka sering berulang alik Sandakan - Kota Kinabalu hanya kerana urusan dokumentasi anak angkat mereka, sepupu saya ini. Turun naik Jabatan Pendaftaran Negara dan lain-lain tempat yang berkaitan. Perlu kedudukan kewangan yang kukuh dan stabil, tempoh percubaan tinggal bersama anak angkat bertujuan untuk serasi atau sebaliknya - antara syarat yang perlu dipatuhi.
Yang menyentuh hati, warganegara anak yang membesar di rumah kebajikan ini rupa-rupanyanya tidak ditentukan sehinggalah sudah tinggal bersama ibu bapa angkat dan memenuhi syarat yang ditetapkan. Tidak warga asing, tidak juga warganegara Malaysia. Yang bersalah ibu bapa anak-anak yatim ini, yang menjadi mangsa anak yang dilahirkan. Bersyukur dan berterima kasih sekiranya kita lahir dan membesar melalui keluarga yang sah dan lengkap, atas nama perkahwinan. Ada banyak lagi orang di luar sana yang tidak memiliki keluarga, anak-anak yatim piatu yang tidak merasai kasih sayang berkeluarga.
Bersyukur dengan apa yang kita ada, jangan dibanding apa yang kita ada itu dengan mereka yang lebih baik kehidupannya. Misalnya, kita mengatakan kenapalah rumah kita kecil sahaja, kenapa tidak sebesar dan semewah seperti rumah si polan bin si polan? Sedangkan ramai lagi di luar sana yang menjadi gelandangan, menjadi tumpuan nyamuk, kesejukan dan kelaparan dek tiada rumah.
Ketika kita mengeluh tentang pasangan kita, ada banyak lagi orang bujang yang sentiasa berdoa semoga dikurniakan pasangan hidup, ketika kita mengeluh kerana belum dikurniakan anak kandung, ada banyak orang yang beranak pinak tetapi huru-hara kehidupannya, begitu juga ketika kita mengeluh tidak mendapat pekerjaan yang diidam-idamkan, ada banyak lagi yang sedang menganggur malah lebih teruk ada yang menjadi pencuri!.
Sekiranya kita tidak bersyukur yang sedikit, mendapat yang banyak pun tiada gunanya, tetap tidak akan tahu mensyukurinya.
Ingatan saya terimbas kisah semasa zaman kanak-kanak dahulu. Masih segar di ruang memori, kata-kata salah seorang guru saya yang bercerita tentang kerjaya guru dan kaitannya dengan kelulusan, kelayakan akademik semasa. Dia mengatakan setelah kami dewasa kelak, dia yang bergelar guru dan memohon memasuki maktab perguruan hanya dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa itu, sekiranya dia tidak berusaha mendapatkan ijazah, dia akan ketinggalan dengan anak muridnya nanti.
Sebabnya kelayakan menjadi pendidik akan semakin bertambah sengit dan ketat syaratnya. Pada masa itu sekitar hujung tahun 80-an sehingga awal tahun 90-an (masa tu saya di sekolah rendah) saya tidak begitu memahami apa yang dikatakan guru saya itu. Tetapi kemudiannya makcik saya bercerita sekiranya dia tidak mengambil PJJ ini, kemungkinan tangga gajinya tidak atau lambat naik dan yang merisaukannya ialah, ditukarkan ke sekolah pedalaman. Kerisauannya bukan tentang sekolah pedalaman tetapi perubahan kehidupan seharian yang berubah secara mendadak sedikit sebanyak membimbangkannya - rumah sudah dibeli, tukar sekolah anak dan bermacam lagi.
Tidak melibatkan guru sahaja, malah kakitangan awam yang lain juga antaranya polis. Untuk kenaikan pangkat selain tangga gaji, kelayakan akademik tingkat ijazah diperlukan. Dan ingatan saya juga sekali lagi terimbas... akan sampai masanya ijazah itu seperti SPM, maknanya semakin ramai orang yang berkelayakan akademik berijazah. Jawatan yang dahulunya hanya bersyarat SPM sedikit demi sedikit tarafnya dinaikkan sehingga memerlukan kelayakan ijazah, ijazah sarjana dan doktor falsafah.
Kehidupan semakin sengit, kita sentiasa berlumba, berlari demi sebuah kehidupan. Kos kehidupan semakin naik walaupun tidak secepat sepantas masa berlalu... tetapi tetap berbekas di hati sebaik sahaja kita melihat resit pembelian barang keperluan seharian. Bukan merungut atau menyindir atau berpolitik, tetapi realitinya begitulah. Apa sahaja yang percuma? Alangkan masuk tandas pun berbayar, nasib baik udara yang kita sedut dan pemandangan alam sekitar yang kita tatap tidak berbayar. Nikmat yang diberikanNya. Pun begitu, sekiranya makan pakai cukup, tempat tinggal kita selesa, kita perlu bersyukur, berterima kasih. Hendak lebih, termasuk kategori impian, perlu usaha dan doa yang berbeza caranya berbanding biasa-biasa sahaja.
No comments:
Post a Comment