Yang paling menarik tentang ayam, bagi saya ianya seperti kelapa juga, bermacam variasi masakan yang dapat dihasilkan malah berkait rapat dengan adat resam misalnya perlu ayam hitam atau putih sepenuhnya sahaja bagi tujuan perbomohan. Hendak bermula dari mana ya, bermacam cerita berlegar di kepala ini tetapi hendak menyusunnya yang perlu difikir. Semasa zaman kanak-kanak saya, dapat jugalah merasa penyediaan ayam secara tradisional. Bermula dari menyembelih, merebus ayam untuk memudahkan bulunya dicabut sehinggalah proses akhir - tersedia di pinggan untuk dinikmati kami sekeluarga. Orang tua kami menyembelih ayam kemudian direndam direbus sepenuhnya ayam itu di dalam belanga atau kuali besar menggunakan dapur kayu. Saya turut sama mencabut bulu ayam setelah ayam itu dikeluarkan dari kuali/belanga dan diletakkan di dalam talam.
Proses seterusnya setelah ayam tadi bogel, akan disalai sekejap di atas bara api bertujuan untuk memudahkan bulu-bulu halus yang tinggal sedikit di badan ayam itu dicabut dan dibersihkan sepenuhnya. Kemudian ayam itu akan dipotong dan selalunya ayam masak kicap menjadi pilihan emak saya untuk memasaknya. Terasa sedap sangat, maklumlahkan kami jarang menikmati masakan ayam. Ayam dianggap mewah ketika itu, kehidupan seharian kami berkisar kepada ikan laut dan sayur-sayuran. Sekiranya kami turun bandar Sandakan... harga menu ayam lebih mahal berbanding ikan sehingga dua kali ganda!.
Sekarang setelah bertahun-tahun menetap di bumi Semenanjung Malaysia ini, ayam sebahagian daripada makanan seharian sehinggakan saya terpaksa menjadualkan pemakanan ayam di dalam kehidupan seharian kami. Saya sering bertanya kepada suami, adakah dia suka makan ayam setiap hari?, jawapan yang saya perolehi... suami saya suka makan ayam tapi kalau itulah lauk setiap hari, dia akan berasa jemu. Kemudian saya melanjutkan pertanyaan bagaimana pula dengan ikan. Balasnya ikan boleh tahan lagi kalau makan setiap hari, yalah ada pelbagai jenis ikan kan. Nasib baik saya 'sekepala' dengan suami, hanya makan ayam sesekali dan lebih kepada menu ikan. Rasanya ini juga berkait rapat dengan latar belakang geografi kami yang berasal dan lahir, membesar berhampiran laut.
Zaman saya remaja dahulu, sebagai 'budak asrama', sudah tentu jadual pemakanan kami ditentukan. Saya masih ingat lagi, setiap tengah hari Jumaat merupakan waktu puncak di dewan makan asrama, sebabnya sesi pagi akan balik awal untuk solat Jumaat dan begitu juga dengan sesi petang akan lewat sedikit memasuki kelas. Kena pula menu istimewa apalagi kalau bukan nasi ayam. Sehinggakan kalau terlambat makan, ada yang tidak dapat menikmati makanan isitimewa itu, sama ada makanan tidak cukup ataupun ada yang makan lebih dari sekali. Dalam keadaan padat dan sesak, mustahil makcik dewan akan mengecam pelajar asrama yang sudah makan. Apatah lagi kalau awal-awal sudah siap dikautkan nasi dan lauk di tray makanan, kami hanya perlu berbaris untuk mengambil makanan. Yang seronoknya ada di antara rakan kita yang memang tidak makan ayam, rasa bertuah sungguh dapat ayam lebih. Kenangan manis yang sentiasa manis, tidak pernah luput di ingatan ini. Selain nasi ayam, ayam masak kurma dan ayam masak kari antara juadah istimewa di asrama. Yang melucukan, sampai masa menu ikan rebus... suasana begitu lengang di dalam dewan asrama, sampaikan saya terfikir pada masa itu, hanya pelajar yang benar-benar susah kehidupannya sahaja yang sanggup datang ke dewan makan, kerana mereka tidak atau hanya sedikit sahaja wang saku yang perlu dibelanjakan secara berhemah, dan golongan ini termasuklah saya sendiri pada masa itu. Walaupun setakat ikan kembung rebus dipadankan dengan sedikit sayur, saya tetap menghargainya kerana kesusahan keluarga kami pada masa itu yang seringkali tidak berlauk.
Di usia ini setelah berumahtangga, sesekali saya dan suami balik ke kampung halaman, turun sahaja dari lapangan terbang dan memasuki kereta , selalunya saya akan menyuruh adik saya supaya singgah di pasaraya berdekatan untuk membeli bahan-bahan memasak ayam. Dua kali ganda harganya berbanding di sini, sekilo mencecah RM13. Pun begitu, saya sudah sediakan bajet awal-awal untuk menjamu keluarga saya di kampung halaman di Sandakan, Sabah. Saya akan memasak pelbagai jenis juadah berasaskan ayam dan daging, hampir setiap hari sepanjang saya berada di kampung. Hari-hari yang dilalui sepanjang bercuti di kampung halaman saya gunakan sepenuhnya untuk memasak makanan isitimewa, maklumlahkan bukan selalu kami dapat berkumpul beramai-ramai. Terutama kami yang jauh ini yang menetap dan mencari rezeki di perantauan. Sesekali saya merindui suasana zaman kanak-kanak dan remaja saya yang begitu indah, ah sememangnya seronok kepada kebanyakan orang. Lagi-lagi kalau kita anak kampung.
Mengimbas lagi, sayap ayam juga termasuk juadah istimewa yang hanya dapat dibeli hanya pada waktu-waktu tertentu, misalnya genap sebulan gaji. Saya masih ingat lagi, arwah bapa kami akan membeli sayap ayam panggang, seorang akan dapat satu. Sehingga sekarang, sayap ayam yang mudah didapati di sekitar bandar utama di kawasan Sandakan tetap menjadi antara juadah istimewa yang selalu kami beli untuk dimakan beramai-ramai. Di sini pun kawasan Klang, sudah ada orang Sabah berniaga sayap ayam dan mudah didapati di pasar-pasar malam. Sedap memang sedap, tapi lumrahnya kita akan cepat jemu sekiranya itulah lauk yang dimakan setiap hari. Seperti yang saya katakan pada perenggan di atas, saya terpaksa menjadualkan pemakanan ayam di dalam kehidupan seharian kami. Ayam terlalu mudah dan murah harganya untuk dibeli. Malah kalau kita ke restoran kemudian memesan sebarang jenis masakan nasi bergoreng, bagaikan tidak sah menu itu sekiranya tidak terdapat potongan kecil daging ayam. Tujuan utama saya menjadualkan pengambilan makanan berasaskan ayam, berkait rapat dengan penjagaan kesihatan, dan seimbangkan makanan seharian yang kami ambil. Sekurang-kurangnya seminggu sekali ataupun sebaik-baiknya dua kali dalam sebulan. Mungkin bagi mereka yang sudah terbiasa dengan masakan ayam semenjak kecil lagi, agak sukar untuk berbuat sedemikian tetapi bagi kami suami isteri, ianya tidak sukar kerana latar keluarga kami lebih banyak memakan ikan berbanding ayam. Apapun bersyukur dengan rezeki yang ada. Jangan terlalu cerewet dan membazirkan makanan. Ada banyak orang di luar sana yang tidak menikmati makanan sedap, rentetan kesempitan hidup.
Sekarang di zaman moden ini kalau kita tidak pakar dalam masakan, tidaklah susah sangat untuk menikmati makanan yang digemari. Sekurang-kurangnya pilihan peket segera berlambak di rak-rak pasaraya, merangkumi serbuk ataupun yang siap diblender dan dibungkus khas, hanya perlu gunting penutup peket sahaja dan tuang isinya ke dalam periuk belanga kuali kita diikuti ayam. Itupun kalau tak tahu potong ayam, kebanyakan pasaraya menyediakan khidmat percuma potong ayam, daging dan ikan sebaik sahaja lauk tersebut ditimbang. Malah siap ada arahan lagi di peket segera itu, begitu juga dengan nasi, serahkan sahaja kepada si periuk nasi elektrik. Tetapi seni memasak itu saya akui, sudah berkurangan berbanding penyediaan secara original. Nak buat macam mana kan, kehidupan kita yang pantas berlalu bagi mereka yang bekerja banyak menyekat kegemaran atau kebiasaan orang tua kita dahulu. Nak yang segera? Beli yang sudah siap misalnya ayam golek atau order sahaja dari restoran kegemaran kita, atau yang glamournya makan/bungkus KFC, Mc Donald.
Wah, cerita pasal ayam sahaja meleret leret menjangkaui masa bermula dari zaman kanak-kanak sehingga sekarang. Tidak diempang aliran cerita itu sebabnya saya hendak berbicara secara bebas dan tenang mengikut apa sahaja yang terlintas dan dapat diterjemahkan ke dalam bentuk tulisan saya berkaitan ayam. Saya pernah bekerja dengan orang perseorangan yang mengkhususkan penjualan ayam sahaja. Antara ilmu yang saya perolehi, rupa-rupanya ayam boleh dipotong empat selalunya untuk nasi ayam/ayam panggang, ayam potong lapan untuk rendang atau lauk nasi lemak, ayam goreng berempah, ayam potong dua belas, enam belas atau potong kecik-kecik untuk jenis masakan yang lainnya. Di tempat kerja itu jugalah saya mengenal jenis-jenis rempah , malah sering mendengar tips atau bermacam cerita dari pelanggan yang datang. Ilmu bersifat sangat luas, tidak hanya diperolehi melalui pendidikan formal sahaja, malah terdapat dimana-mana, sekiranya kita hendak mendapatkan ilmu pengetahuan.
Saya masih ingat lagi, masakan pertama saya yang berkaitan ayam adalah ayam masak kicap. Potong bawang putih, bawang merah kemudian saya tumis dan masukkan ayam, garam dan ajinomoto. Setelah itu saya perah sedikit asam jawa dan saya masukkan air. Setelah mendidih agak lama dan airnya semakin sedikit dan saya berasa yakin ayam juga sudah hampir masak, saya kecilkan api masukkan kicap kemudian sedikit tepung jagung. Sehingga dihidangkan, saya masih lagi ragu-ragu tentang masin tawarnya, hehe. Itu cerita zaman remaja saya. Saya langsung tidak tahu memasak, sentiasa ragu-ragu dan berusaha mengelak untuk memasak, mungkin kerana saya sering berada di asrama dan menumpukan sepenuhnya perhatian terhadap pelajaran. Hanya setelah memasuki universiti dan berdikari dengan menyewa rumah sewa bersama rakan-rakan, barulah saya berjinak-jinak dan belajar bersungguh-sungguh tentang masakan kegemaran saya.
Oh, ayam oh ayam, terasa panjang sangat cerita saya tentang ayam ini di dalam kehidupan kami. Tetapi satu yang saya bangga, kaum Melayu di Semenanjung ini banyak yang terlibat dengan ternakan ayam, sama ada bermula dari perladangan sehinggalah kepada menjual hasilnya. Ini juga salah satu faktor yang menyebabkan harga ayam dikawal pada harga tertentu oleh kerajaan kita. Berbeza di tempat kelahiran saya, perniagaan berasaskan ayam ini kurang sedikit dipelopori oleh kaum bumiputera dan harganya masih berlegar pada RM 13 sekilo (harga runcit). Tentu best sekiranya harga ayam di Sabah dapat selaraskan sama dengan harga semenanjung. Oklah, stop di sini dulu ceritanya, InsyaAllah lain kali sambung cerita tentang isu yang lain pula. Tata...
No comments:
Post a Comment