Monday, October 22, 2012

PERMUDAHKAN, JANGAN MENYUSAHKAN

Sekali lagi, pembuka bicara sudah pasti Assalamualaikum dan salam sejahtera. Malam ini seperti minggu-minggu sudah saya akan menghadap tv menonton siri kegemaran saya di tv 8 - NCIS dan Criminal Mind, bermula 9:30 pm ke 11:30 pm. Saya memang suka menonton siri penyiasatan sejak kanak-kanak lagi. Buku-buku penyiasatan tulisan Enid Blyton semuanya saya 'khatam' saya pinjam dari perpustakaan sekolah, masa tu saya di sekolah rendah. Tidak terhenti di situ, saya setia dengan siri X-File di TV2 sewaktu remaja dahulu. Tetapi keinginan saya menonton siri penyiasatan ini terbatas kerana saya tinggal di asrama.

Tinggalkan sekejap kegemaran saya itu, saya hendak menulis pendapat saya tentang tajuk di atas, permudahkan dan jangan menyusahkan. Macam mana hendak mula ya? Ok, bayangkan kita ada ramai adik-beradik katakan dua belas orang. Maknanya ada dua belas tabiat, perangai yang berbeza-beza. Kita bagi contoh, sulung agak rapat dengan adik yang nombor dua tetapi selalu bergaduh dengan adik bongsu. Sekadar contoh sahaja, tetapi di kalangan adik beradik kita yang ramai itu, mesti ada di antaranya yang agak rapat dengan kita, malah kita boleh meluahkan perasaan bercerita apa sahaja tanpa bimbang rahsia kita itu akan dibocorkan. Ada juga yang tidak boleh sebumbung, tengok muka sahaja mesti nak gaduh. Bukannya tidak sayang dengan adik beradik, realitinya memang macam tu. Hanya mereka yang punya adik beradik ramai akan memahami sepenuhnya apa yang saya katakan ini. Lebih-lebih lagi kalau anda anak sulung, betul kan?


Dan begitu jugalah dengan orang tua kita, di kalangan adik beradik kita yang ramai itu, mesti ada seorang dua yang seperti anak emas, seolah-olah lebih disayangi berbanding anak yang lain. Apa sahaja yang diperlukan, tidak banyak soal, terus dapat, tapi adik beradik yang lain tidak pula macam tu? Bayangkan keadaan ini berterusan sehingga kita berkahwin, beranak pinak dan punya rumah sendiri, tapi rumah saudara kita itu juga yang sering dikunjungi oleh orang tua kita berbanding rumah kita. Tentulah kita kecik hatikan? Tak banyak, sedikit mesti ada, walaupun tidak diluahkan, dalam hati mesti berkata-kata juga, misalnya 'kenapa mak macam tu?' Kenapa dan kenapa sehinggalah kita bosan.

Kadang-kadang kita jangan terlalu sensitif, biarkan sahaja, ada hikmah di sebaliknya. Saudara kita yang anak emas itu kita tidak tahu, mungkin berapa banyak impian yang terpaksa ditolaknya ke tepi hanya kerana mengikut sepenuhnya kemahuan orang tua kita. Misalnya dia ada kekasih hati yang hendak dijadikan isteri tetapi terpaksa ditinggalkan kerana mak kita hendakkan dia berkahwin dengan pilihan orang tua. Atau, kita pun ada duit hendak mengirim kepada orang tua kita tetapi orang tua kita cuma terima duit dan tak kata apa-apa, tak puji kita atau sekadar ucap terima kasih, tetapi anak emas tadi kirim duit juga tapi dipuji disanjung disebut kebaikannya berulang-ulang. 


Hikmah tersirat, kita perlu belajar ikhlas, yang penting tanggungjawab kita terhadap ibu bapa, yang lain tu biarlah Allah menilainya. Disebabkan kita tidak menjadi anak emas, kita tidak terlalu memikirkan tentang keputusan yang perlu kita buat dan pilih dalam kehidupan, misalnya hendak membeli kereta warna apa ataupun rumah yang bagaimana kerana kita sudah sedia maklum orang tua kita takkan kisah sangat pun. Tetapi ianya berbeza dengan anak emas, perkara sekecil seperti berapa hari bermalam di rumah ibu bapa pasangan kita mungkin akan dipengaruhi oleh permintaan orang tua kita, anak emas kan. 


Setiap segi kehidupannya akan sentiasa dipantau oleh ibu bapa. Jadi, waktu bilakah anak emas ini akan membuat keputusannya sendiri? Kesimpulannya, sekiranya kita termasuk kategori bukan anak emas... itu tandanya kita seorang yang berdikari dan pandai membuat keputusan sendiri dan sekali lagi permudahkan, jangan menyusahkan merumitkan keadaan. Jadilah diri sendiri tapi jangan lupa juga tanggungjawab terhadap orang tua kita selain tanggungjawab terhadap pasangan dan zuriat kita.

 

No comments:

Post a Comment