Saturday, September 29, 2012

TEORI DAN CERITA-CERITA YANG LAINNYA

Assalamualaikum dan salam hari Sabtu. Agak lama saya tidak menulis di blog ini. Raya puasa yang lalu sehingga ke hari ini mood menulis saya terencat sedikit, 'menulis' di minda itu sentiasa berjalan cuma terjemahannya ke dalam bentuk tulisan yang dapat ditatap melalui blog saya ini agak lambat dilakukan. 
 
Lebih baik saya mulakan segera. Berkaitan dengan teori. Atau sesuatu yang agak dekat dengan kita - berangan-angan, bermimpi, impian. Ampun maaf, saya kisahkan seseorang yang saya kenali cuma saya tidak menyebut namanya, sekadar mengambil iktibar untuk diri saya, tidak langsung berniat mengaibkannya. 
 
XYZ terlibat dengan bisnes agak lama juga melebihi dua puluh tahun. Itulah kehidupannya bermula melangkah ke alam perkahwinan sehinggalah beranak pinak malah sudah punya cucu. Siang malam sibuk menguruskan bisnes, yalah itu sahaja mata pencarian keluarga mereka. Saya cuba meletakkan diri saya di pihaknya, rasanya saya sendiri tidak sanggup bekerja sekeras itu. 
 
Setiap kali berkunjung ke rumahnya, dia dengan bangga bercerita tentang bisnesnya. Cerita punya cerita... dan bermulalah hukum  matematik angan-angannya. Bercerita tentang untung rugi. Hampir lapan tahun saya mengenalinya, saya sudah cukup masak dengan perangainya. Pendapat saya, ceritanya memang sangatsangatsangat menarik, dia seorang pencerita yang pandai membuai rasa membuatkan kita seolah-olah ingin menjadi seperti apa yang diceritakannya.
 
Tidak salah memasang impian, ianya perkara normal yang saya percaya dialami oleh semua makhluk bernama manusia walau apapun agama dan bangsanya. Perkara semudah seperti hendak memasak ayam masak merah misalnya, sudah tentu kita akan merangka memikir bahan mentah yang hendak dibeli mengatur bajet yang diperlukan. Malah sudah membayangkan rupa masakan itu kelak siapnya nanti, memang sudah siap pun, siap di dalam kepala kita,  di alam fikiran. 
 
Tetapi menggerakkan diri kita ini, mengatur langkah menuju pasar untuk membeli bahan mentah sehinggalah memasaknya tidak semudah dan secepat yang terjadi di dalam angan-angan kita. Itupun kadang-kadang setelah ayam masak merah kita itu masak... kita menghidangkan dan merasanya, sekiranya resepi itu menjadi, kita akan gembira, kalau sebaliknya, sama ada kita berputus asa ataupun terus berusaha sehingga ayam masak merah yang dikehendaki itu menjadi seperti yang kita inginkan.
 
Tidak jauh bezanya jika dijadikan tamsilan dengan 'teori' XYZ. XYZ memang bekerja keras, tidak pernah berputus asa walaupun jatuh bangun bisnesnya saling bersilih ganti, tetapi pada pendapat saya secara peribadi, dia menjalankan bisnesnya sekadar cukup makan, jauh sekali mencapai atau menyamai teori yang dikatakannya itu. Sekurang-kurangnya mesti ada bukti kesenangan/kerja keras yang dapat ditunjukkan untuk menyokong 'teori' yang selalu disebut-sebutnya itu.
 
Dua puluh tahun lebih satu tempoh masa yang terlalu lama. Saya congak seperti ini, sepatutnya  kereta atau lori yang dimilikinya itu sudah bebas dari ansuran bulanan. Atau dapat membeli sebuah rumah, ada dua tiga orang pekerja setia. Tetapi tidak ada satu pun yang lepas, malah anak-anaknya sendiri tidak berminat mengusahakan bisnes mereka itu, lebih berminat makan gaji. XYZ selalu menyarankan supaya saya dan suami menjalankan bisnes yang sama dengannya, bersandarkan harapan kami dapat bekerjasama.
 
Berpijak di bumi nyata itu lebih baik, malah dapat mengukur kemampuan diri sendiri, mengkhayal tak sudah tetapi tidak seiring usaha yang perlu digerakkan... sia-sia sahaja. Memang saya ada menyimpan impian itu dan ini, tapi saya tidak berani menghebohkannya, biarlah setelah ianya menjadi barulah disuarakan kerana saya tidak mahu menjadi seperti XYZ. Pun begitu, saya tidak membenci XYZ, cuma sedikit simpati dengannya dan saya mendoakannya juga supaya kehidupannya akan bertambah baik, begitu juga dengan bisnesnya. Pengajaran untuk diri saya sendiri, tentunya.

**************

HIJAB

Semalam saya ke Serdang atau lebih tepat lagi saya turun di stesen komuter Serdang. Tujuan utama ke sana untuk menempah hotel yang terdekat dengan UPM, sebabnya adik ipar sebelah emak akan konvokesyen pada bulan hadapan, Oktober 2012. Mereka bertiga, suami isteri dan seorang anak, sepupu sayalah tu walaupun sepupu angkat... saya tetap menganggapnya seperti sepupu sekali yang betul. 
 
  Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Pekerja di kaunter daftar masuk itu mengatakan pada mulanya semua bilik penuh disebabkan festival konvokesyen UPM, tetapi kemudiannya sebaik sahaja saya mengatakan hendak tempah bilik hotel untuk enam hari, ada pula bilik yang kosong. Amboi... itu teknik untuk pilih pelanggan atau? Biarlah diorang pun mau jaga bisnesnya juga kan. Sudah tentu untung yang perlu diraih. Deposit RM200 saya serahkan atas nama saya dan bertukar dengan resit.

Sambil duduk-duduk menunggu train menuju ke KL Sentral sampai, saya pun cuci mata melihat gelagat orang ramai yang juga punya tujuan seperti saya cuma destinasi yang berbeza. Kalau sudah berdekatan dengan universiti, sudah tentu pengguna train kebanyakannya terdiri daripada pelajar. Jadi saya pun perasanlah sekejap menjadi pelajar kononnya sebab dikelilingi oleh anak-anak muda tersebut. Selain fesyen beg dan pakaian yang pelbagai, saya tertarik kepada satu kelompok kaum hawa yang bertudung litup, menutup muka sekadar nampak mata sahaja.
 
 Saya terfikir, alangkah berbahagianya mereka menutup aurat sepenuhnya, tidak perlu fikir tentang bedak gincu kerana ianya tersembunyi di sebalik hijab yang dipakai. Sudah tentu kita pernah melihat wanita dari negara Arab yang melancong ke negara kita, walaupun hanya nampak mata dan tangan sahaja, kecantikan mereka terserlah, sedikit yang terdedah setakat mata pun nampak bersinar-sinar, begitu juga dengan kulit tangan yang putih, halus dan gebu. Kecantikan yang tersembunyi, eksklusif untuk tatapan suami sahaja.
 
Sekadar pendapat peribadi - kelompok kaum hawa yang saya percaya wanita tempatan kita itu, bertudung litup hitam berhijab menutup muka hanya nampak mata sahaja malah ada yang bersarung tangan, tetapi mereka berseluar panjang hitam sama macam yang saya pakai dan berbaju T labuh longgar sehingga ke paras lutut, saya berpendapat ianya kurang sesuai dipadankan dengan hijab yang menutup muka, seeloknya dipadankan dengan jubah. Itulah pertama kali  saya melihat cara pemakaian seperti itu. Saya tertanya-tanya sendiri, bolehkah pakai macam tu, macam ada yang tidak kena. Kerana pemahaman dan pengalaman saya melihat mereka yang bertudung litup berhijab menutup muka hanya akan memakai jubah gelap sahaja. 

Kemudian saya terfikir, perasaan pelik saya melihat mereka berpakaian sebegitu... barangkali begitu juga mereka, akan rasa pelik melihat kaum wanita yang lainnya yang tidak berhijab muka, sekadar bertudung + berbaju kurung atau bertudung + blouse + berseluar panjang atau bermacam lagi padanan berfesyen. Saya sendiri banyak yang perlu direnungi, saya berkata sedemikian kerana saya anggap ianya sebagai proses pembangunan jiwa untuk memperbaiki diri sendiri.




 
 
 
 

No comments:

Post a Comment