Thursday, September 6, 2012

CERITA KAHWIN

Assalamualaikum pembuka bicara, rindu sudah menggebu apa tidaknya agak lama juga tidak menulis meluah rasa di blog saya yang 'gitu-gitu' ini.

Dua minggu seperti dua hari sahaja, dan setiap hari yang dilalui bagaikan beberapa jam. Apabila mengimbas... itulah yang dirasa, betapa cepatnya masa berlalu. Terpenting sekali, majlis kahwin adik saya, Mazlan dapat disempurnakan tanpa sekatan yang tidak diingini, Alhamdulillah diucapkan.

Letih masih bersisa, tetapi suasana sibuk terlibat kerja-kerja kahwin ini bukan selalu dirasai terutama sekali di zaman serba moden, penuh cabaran sentiasa ingin pantas di dalam setiap perkerjaan yang dilakukan. Begitupun, aktiviti rewang (pinjam sekejap istilah orang Malaya) masih diamalkan di kampung halaman kami di Sandakan walaupun ianya semakin berkurangan.

24082012 kami sekeluarga bertolak menuju Semporna. Konvoi dalam tiga buah kereta - Avanza, Kancil, Myvi. Mendekati simpang Bukit Garam, Viva join sekali. Semuanya keluarga, bermula dari pangkat cucu sehingga ke nenek, pakcik dan makcik. Meriah sungguh meriah. 25082012 akad nikah di Masjid Kg. Simunul sekali dengan sanding sehingga ke malamnya. Mengalai melengkapkan lagi majlis, termasuklah pengantin juga diwajibkan mengalai.

26082012, pulang semula ke Sandakan bersiap untuk resepsi majlis pihak kami, pengantin lelaki atau lebih mesra disebut majlis tingkuang. Pengantin lelaki kami tinggalkan di Semporna, hanya 28082012 barulah pasangan pengantin itu dijemput Avanza. Saya tidak melepaskan peluang ikut ke Semporna untuk kali kedua, kerana bukan selalu saya berada di Sabah.

Sekali lagi... letih sangatlah letih, saya bukan merungut tapi secara jujurnya saya kasihan terhadap adik dan adik ipar saya yang terkejar-kejar antara membuat kerja-kerja di dapur dan melayan karenah anak kecil mereka. Nasib baik emak sudi mengupah tukang cuci pinggan mangkuk. Kami berusaha membuat yang terbaik untuk majlis ini.

Menu daging masak kari, ayam masak merah, nangka masak lemak udang basah dan ikan tongkol masak sweet and sour. Yang memasaknya saya, adik saya Manan dan isterinya yang belum habis pantang itu dan seorang lagi adik saya Malisa yang juga punya anak kecil. Nasi dimasak oleh jiran dan seorang lagi makcik yang rumahnya dekat dengan sekolah. Kuih basah serta potong daging, ayam dan sayur nangka, penyediaan santan dan sewaktu dengannya dibantu ringankan beban oleh kerabat keluarga dan orang kampung.

Daging 50kg, ayam 50kg, ikan tongkol 40kg dan buah nangka muda. Itulah budget untuk majlis tingkuang yang dijadualkan bermula sebelas pagi sehingga jam empat petang. Sekitar jam sepuluh, kami mulakan dengan majlis khatam Al-Quran. Seperti biasa ramailah orang kampung berduyun-duyun datang ke rumah kami, ditambahserikan lagi dengan kugiran dan sudah tentu pasangan pengantin.

Cerita-cerita sampingan... ada yang hilang selipar, perkara biasa yang sering terjadi di majlis perkahwinan. Alangkan di masjid boleh hilang selipar jepun inikan pula majlis sebegini. Oh ya, majlis tingkuang diadakan pada 01092012 bersamaan hari Sabtu.

Mengambil pengajaran apa yang terjadi di sebalik tabir bermula dari majlis bertunang sehingga majlis kahwin ini, saya bukan merajuk cuma saya tidak mahu berbalah... selepas ini untuk majlis kahwin adik-beradik saya yang lain, saya tidak akan memberi buah fikiran lagi, misalnya memberikan cadangan tukang masak, katering dan sewaktu dengannya. Biarlah diserahkan semuanya bulat-bulat kepada orang tua. Saya hanya akan melibatkan diri seadanya, mengikut kemampuan, InsyaAllah.

Lebih baik saya tumpukan kepada perkara lain yang lebih penting. Diri sendiri juga yang tenang. Ampun maaf terlebih dahulu kerana saya terlalu berterus terang, itulah sifat saya berterus terang walaupun pahit untuk dikatakan.

Ok, memandangkan adat berbeza, terselit juga situasi yang agak lucu, bagi pandangan saya itulah proses memahami adat yang berlainan. Sebelum itu untuk memudahkan pemahaman cerita, kebanyakan dari kita tentu pernah merasai suasana makan di hotel, misalnya terlibat dengan majlis makan malam. Katakan kita sudah siap makan minum tapi rakan semeja kita belum siap lagi, pelayan akan segera mengemaskan pinggan mangkuk kita bukan. Dan begitulah seterusnya. 

Mengikut adat kami di pihak lelaki, pinggan mangkuk gelas hanya akan dikemas setelah semua orang dalam sesuatu kelompok selesai makan. Contoh, katakan ada sepuluh talam makanan berhidang. Setiap talam dikelilingi lima orang yang menjamah makanan, misalnya. Maknanya ada lima puluh orang yang sedang makan. Hanya setelah lima puluh orang ini siap makan sepenuhnya... barulah boleh mengemas pinggan mangkuk. Kalau sebaliknya, orang yang mengemas itu dianggap biadap dan melanggar adat.

28082012 saya, suami dan seorang lagi adik saya datang semula ke Semporna menjemput pengantin. Adik saya ini tidak dapat ikut sewaktu majlis 25082012 sebabnya kekangan kerja. Dan dia juga tidak tahu tentang adat yang berlainan ini. Seperti biasa kami sampai pada waktu pagi waktu bersarapan, sebabnya kami gerak seawal jam tiga pagi dari Sandakan, meredah kabus pagi yang masih menebal di daerah Kinabatangan dan Lahad Datu... pemandangan yang sangat cantik.

Mee goreng sudah habis dimakan, dan kami sedang minum, tiba-tiba pinggan itu dikemaskan. Spontan adik saya yang sedang minum itu tergesa-gesa menghabiskan minumannya. Kami menenangkannya supaya terus minum seperti biasa, yalahkan sekali lagi kalau di pihak keluarga kami, dilarang kemas pinggan mangkuk selagi tidak siap sepenuhnya aktiviti makan minum.

Perkahwinan saling melengkapkan, bukan sekadar penyatuan dua jiwa yang berbeza tapi adat resam yang berlainan juga. Tidak mahulah saya lebih-lebih ulas itu ini, saya menulis seperti ini berdasarkan dari sudut pandangan saya, apa yang saya nampak dan rasa. Diri sendiri pun banyak kekurangan yang perlu direnungi.

Dalam waktu yang sangat singkat itu, sempat juga kami suami isteri mencuri sedikit waktu menziarahi keluarga yang pernah ingin memberikan anaknya kepada kami sewaktu sehari selepas kami berkahwin, cerita lama tahun 2008. Pernah juga saya menulis tentang ini di entri saya yang terdahulu.

Saya hairan kenapa suaminya begitu beremosi sekali seolah-olah kedatangan kami ini ingin merampas anak kecilnya (mereka dikurniakan anak ramai dan berderet setiap tahun tetapi sayangnya tidak ada dokumen sijil kelahiran kesan daripada sikap ibu bapa mereka yang tidak memiliki kad pengenalan).

Rupa-rupanya isterinya sahaja yang bersungguh hendak menyerahkan anak mereka tanpa pengetahuan suaminya... isk isk isk patutlah suaminya bersikap begitu. Pun tidak mahu ulas lebih-lebih, cukuplah cerita yang umum sahaja. Wajah kehidupan bermacam warnanya. Kepelbagaian warna itu terselit bermacam pengajaran untuk difikirkan dan dijadikan teladan serta sempadan.





No comments:

Post a Comment