Thursday, September 6, 2012

WARNA KACA MATA

Selain latar belakang pendidikan... pekerjaan yang sedang kita lakukan sedikit sebanyak akan mempengaruhi sikap kita. Jarang sekali misalnya seorang guru bersikap pasif, pendiam di luar dari waktu kerjanya. Sesekali akan 'tersasul' juga, terbawa-bawa sikap itu ketika bercampur gaul dengan masyarakat. Ada sekali tu kami sekeluarga berkunjung ke rumah pakcik yang pekerjaannya seorang guru. Dia dan isterinya sudah mengajar lebih dari 20 tahun, maknanya cukup sebati meresap jiwa mendidik itu dalam diri mereka, dikuatkan lagi dengan pembawaan diri mereka sewaktu melayan makan minum kami di rumahnya.

Jadi, senyuman saya pun bercabang juga maksudnya... senyuman kerana orang senyum saya pun senyum juga dan dalam masa yang sama saya sedar, kalau sudah namanya cikgu, sukar untuk memisahkan identiti itu untuk tidak dikenali sebagai seseorang yang bergelar guru. Sewaktu majlis kahwin tingkuang 01092012 yang lepas, kami sebagai tuan rumah terutama sekali emak saya begitu risau dengan tetamu kalau-kalau tidak cukup makan mereka, manalah tahu ada yang segan.

Emak tanya saya sudahkah pihak keluarga pengantin perempuan makan?. Saya jawab ya, sebab saya sendiri melihat dan memastikan mereka makan, cuma saya tidak menjemput mereka makan sahaja, maklumlahkan stail katering layan diri. Saya katakan pada emak, mereka jenis orang yang bekerja, biasa dengan konsep katering ini, tak payah susah-susah nak jemput makan, berbeza dengan segelintir orang kampung yang bekerja sendiri dan terikat dengan adat resam... kadang kala kita perlu jemput mereka untuk makan, rasa malu itu masih menebal lagi.

Dan di hari yang berlainan juga, secara kebetulan saya dan adik saya yang polis itu berkunjung ke rumah seseorang yang kami kenali. Saya, suami dan adik... sebenarnya sekali jalan ke sana. Kami terkejut melihat perubahan mendadak XYZ (nama samaran). Dia yang kami kenali sebelum ini berpakaian sopan dan seorang yang peramah. Tetapi pada hari itu semuanya terbalik, maaf cakap tersangatlah seksi, kurus kering sekali pandang seperti penagih dadah, siap hisap rokok lagi, kuku tangan dan kaki semuanya bercat merah (kutex).

Menurut suaminya, XYZ sedang sakit, sekejap normal sekejap isterinya seperti berada di dunianya sendiri. Dia juga sudah membawa XYZ ke hospital dan kononnya isterinya itu disahkan sihat oleh doktor, jadi dia bercadang untuk menghantar XYZ ke rumah ibu bapanya berubat cara tradisional. Polan satu dan polan dua percaya XYZ sedang stress ataupun terkena santau tetapi adik saya beranggapan dibimbangi XYZ sedang ketagih 'benda' itu berdasarkan sikap XYZ. Itulah warna 'kaca mata' yang berbeza bukan. Pekerjaan kita akan mempengaruhi proses berfikir, pandangan kita terhadap sesuatu.


No comments:

Post a Comment