Wednesday, March 28, 2018

SEBELUM DAN SELEPAS - EDISI MAKAN MINUM TIDUR

Assalamualaikum…
(Ini siaran tertunda, baru petang ini dapat di upload di blog)


Hujan gerimis di luar rumah sudah berhenti, berganti cuaca cerah sekarang. Pagi tadi bangun, sejuk amat, rasa malas menguasai diri ikutkan hati hendak berlingkar saja sepanjang hari, tapi kalau diikut sangat perasaan tu… hmmm apa kerja pun tak siap jadinya, rasa lapar sekejap sekejap lapar, lepas makan beberapa jam kemudian lapar lagi, penangan hujan agaknya. Hujan dan lapar berpisah tiada – ayat kegemaran saya. Ditambah lagi menghadap baca group makan-makan di fb tu sah-sah lapar sepanjang masa.


M*******p sentiasa memanggil-manggil minta dibelek disiapkan cepat, ternyata melayan mood taipsudahkannya tidak mudah, ada cabaran yang tersendiri. Sentiasa berlegar di ruang fikir, siang dan malam. Seperti serangga kecil terperangkap dalam balang kecil, sentiasa mencari jalan keluar. Iringan doa saya sepanjang masa – semoga semua urusan saya dipermudahkan, diberikan ilham, ilmu pengetahuan, kesihatan fizikal dan mental yang cemerlang. Seterusnya ‘tutup’ balang kecil itu akan terbuka sedikit demi sedikit… dan serangga kecil itu akan  dapat terbang bebas. Ok, ok sudah… singgah blog sekejap untuk lapor diri di bulan May 2017.


Sebelum dan selepas (edisi makan-minum-tidur). Membawa maksud cara makan-minum-tidur saya bermula di Sabah dan setelah saya bermastautin di sini – Klang, Selangor. Beza memang berbeza. 19 tahun di Sandakan, Sabah dan sekarang memasuki tahun ke 17 di Selangor/KL.
Untuk memudahkan perjalanan/pemahaman cerita, saya pick up beberapa main poin. Guna bahasa mudah, ringan ala-ala karangan budak sekolah rendah.


@cili, kicap, sos, belacan@


Sandakan – My family hanya makan cili padi yang ditumbuk sendiri, letak air atau cuka. Tidak ada cili kering, cili merah atau cili hijau dalam campuran masakan. Tak pernah beli pun. Banyak guna kicap, sos membawa maksud sos tomato. Resepi sambal belacan kami – belacan, cili padi, garam, ajinomoto dan jus asam jawa ditumis sehingga pekat. Tidak ada masakan bertajuk ‘masak merah’ atau asam pedas atau apa sahaja masakan yang berkaitan dengan cili kering, cili merah atau cili hijau. Malah cili padi itu kami sebut lada padi atau lada. No sebutan cili, hihihi… apa-apa makanan yang ‘bersifat’ berwarna kicap/gelap adalah sedap dan warna merah adalah sesuatu yang sangat ganjil. Dan… kami suka makan kari. Kari ayam/kari daging dan cicah kicap sangat sedap!


Malaya (sebutan kebiasaan kami tentang Semenanjung Malaysia) – berbelas tahun duduk di sini,  tentunya ada banyak pengaruh terhadap selera makan minum saya. Ianya jadi terbalik, pada kebanyakan waktu. Saya sering dan agak gemar mengguna cili kering, cili merah dan cili hijau dalam masakan yang saya masak.


Sambal belacan saya lebih bervariasi dan lebih luas – saya guna beberapa resepi hanya untuk sambal belacan. Basic belacan, bawang merah, bawang putih, garam gula – kemudian dipelbagaikan sama ada campuran tomato dan cili merah/cili biasa atau gabungan cili dan jus limau atau ikan bilis. Selalu masak merah, sambal cili, asam pedas, masakan berasaskan warna merah. Kurang guna kicap.

@telur dan sayur@


Sandakan - Yang paling saya ingat, makan telur tidak boleh perah limau, ini peraturan makan arwah bapa kami. Telur tidak boleh seiring dengan limau. Entah apa sebabnya. Zaman itu jenis didikan orang tua kita hanya boleh menurut tanpa banyak soal. Tidak boleh bertanya. Hanya perlu mengiyakan.


Sayur perlu dimasak sehingga lembut. Saya kurang senang dengan ini, saya tak suka sangat sayur lembik. Tapi kita diam-diam sajalah. Semasa duduk di asrama, isu sayur ini menjadi debat antara warden dan sebilangan ibu bapa pelajar, sampaikan warden terpaksa ‘berceramah’ menjelaskan kenapa sayur di dewan makan perlu dimasak sekejap saja.
Malaya – banyak ulam, sayur tertentu dimakan mentah. Zaman study dulu, housemate saya peminat ulam cicah budu. Setakat timun dan taugeh saya larat lagi nak menelannya, tapi yang lain ambik masa untuk tekak saya terima.


Tapi campuran kerabu dalam nasi kerabu yang selalu saya beli… saya boleh terima. Mungkin formasi lauk pauk bergabung dengan kerabu itu yang membuatkan saya mudah menerimanya. Formasi kegemaran saya – nasi biru + solok lada + daging bakar + telur masin + kerabu sayur + sedikit budu dan kuah sambal yang lemak-pedas-manis + sambal ikan/serunding.


@gunting vs pisau@


Sandakan – tidak ada gunting dapur di dapur emak saya, segala-galanya menggunakan pisau/parang.

Saya balik kampung, beli gunting dapur siang ikan dan gunting cili kering. Pandangan my mom, maksud saya cara pandang dia tu melihat ulah saya siang ikan dan gunting cili kering, adalah sesuatu yang… agak ganjil dan sedikit ‘menakutkan’ hahaha…beberapa hari selepas itu gunting dapur yang saya beli itu sudah hilang. Entah dihilangkan secara sengaja atau terrrhilang… no komen hihihi…(saya rasa saya tahu apa sebabnya *jom senyum*).

Di dapur saya di Klang ini, sewaktu saya menggunting sayur kangkung (bahagian batang kangkung yang semacam straw minuman itu), saya tersenyum sendiri teringat reaksi my mom.


@ayam vs ikan@


Sandakan  - Alhamdulillah dan syukur sangat-sangat… my parents mengajar kami makan minum sihat, eat clean. Momen terbaik dan kekal dikenang sepanjang hayat. Mereka contoh terbaik. Makanan tiruan, segala macam datuk nenek moyang jajan hanya kami kenali ketika bersama-sama rakan sebaya di sekolah, tapi my parents tidak pernah menggalakkan kami makan benda-benda begitu.


Kami makan ikan, ketam udang sotong kerang-kerangan lebih banyak berbanding ayam. Seafood yang dipukat dijala sendiri oleh arwah bapa, terjamin kesegaran dari laut terus ke kuali, tanpa ais, tanpa bahan pengawet. Dan percuma. Cara masak yang sangat sihat dan mudah – bakar, rebus kosong/serai begitu saja. Diregukan dengan sambal belacan atau air asam. Makan dengan nasi panas pergh! menyengat kau sedap amat. Kami adik-beradik jarang sakit, kalaupun sakit cepat sangat baiknya. Mungkin asbab makan minum yang terjaga dan air tangan kasih sayang seorang ibu.


Menu ayam sesuatu yang sangat istimewa, hanya muncul di Hari Raya dan majlis perkahwinan. Menu utama dan sedap – masak kicap dan masak kari. Kepak ayam panggang, sekali sebulan arwah bapa akan beli ini setiap kali gaji. Dapatlah seorang 1 kepak. Berharga 50sen/pc ketika itu.


Pertama kali saya makan KFC ketika umur 16 tahun. Ketika saya dan kawan-kawan ‘merasmikan’ biasiswa yang baru masuk. Masa tu saya rasa KFC tak lah sedap sangat, biasa-biasa saja pun. Mungkin sebab tunas rasa saya sudah sebati dengan sumber protein dari seafood.


Waktu remaja, saya duduk asrama, dalam seminggu ada beberapa kali menu ayam – ayam kicap, nasi ayam, kari ayam. Berselang seli menu ikan. Tapi tetap tidak dapat mengubah kebiasaan saya terhadap ikan. Harga ikan/seafood lebih murah berbanding harga ayam.
Ketika itu saya dan family ada satu kepercayaan, menu ikan termasuklah ikan kering, udang kering adalah makanan orang miskin seperti kami, sebab itu kami kurus sentiasa, dan menu ayam khusus untuk orang-orang kaya yang gemuk.


Kadang-kadang arwah bapa beli ikan di pasar, biasanya dia akan beli ikan saiz besar, kemudian sampai rumah dia yang akan menyiang ikan itu. Amat jarang dia membeli ikan kecil-kecil. Zaman remaja saya, jarang sekali saya menyiang ikan, sebab arwah bapa selalu/suka buat benda ni. Saya just masak saja. Setiap kali saya balik kampung dan kebetulan ada ikan besar… saya akan suruh adik lelaki yang siang ikan.(setelah ketiadaan arwah bapa)


Malaya – ikan lebih mahal berbanding ayam, tapi sekarang harga ikan dan ayam lebih kurang sama  harganya, sejak bermulanya zaman GST, penghapusan subsidi gula minyak dan yang segarisnya.


Kami suami isteri sanggup bangun awal sebelum jam 5 pagi pergi ke pasar besar Meru, Klang beli stok lauk ikan, udang, sotong dan ketam. Stok lauk seminggu. Tak menahan makan ayam hari-hari, sedangkan pasaraya terdekat dengan rumah lebih dekat berbanding pasar besar, tapi sanggup ke pasar besar. Pilihan makanan laut lebih berbaloi-baloi dari segi kesegaran  dan harga yang ditawarkan.


Sentiasa ada rindu di hati teringat-ingat kesegaran seafood yang arwah bapa saya bawa balik dari laut. Kesegaran seafood dan cara masak yang saya nikmati sewaktu zaman kanak-kanak dan remaja saya itu sekiranya ‘di forward’ pada zaman ini… di atas meja restoran, bukankah itu kelas makanan mewah?


@manisnya gula@


Sandakan – kami terbiasa makan nasi berlauk kemudian sekadar minum air kosong. Tidak ada air manis. Kecuali hadir di majlis kahwin kenduri kendara di kampung itu lain ceritalah.
Mula-mula datang Malaya saya mengambil masa bertahun-tahun menerima makan nasi berlauk kemudian minum air manis. Peringkat permulaan saya biasakan diri dengan minuman ais lemon teh. Dan saya selalu hairan macam mana orang lain boleh makan nasi berlauk lawan dengan minuman nescafe tarik/milo/susu…


Saya pernah makan nasi panas dan tomyam campur. Kemudian saya terminum minuman yang bercampur susu. Maaf cakap, beberapa minit kemudian saya termuntah.
Sehingga sekarang, selepas makan nasi berlauk, saya hanya serasi dengan minuman sitrus – limau/lemon/air kosong atau air kelapa. Selain itu saya akan rasa mual. Selepas ‘tergelintir’ seketika – maksud saya, saya pernah melalui zaman ketagihan gula/minuman makanan manis untuk beberapa waktu sehingga akhirnya paras gula
dalam darah saya mencecah 11 mmol, kemudian saya reversed diet makan minum puasa bekam sehingga gula dalam darah mencecah paras selamat.


Alhamdulillah sekarang, ketagihan gula/ benda-benda manis itu sudah dapat diatasi. Bukannya saya tak sentuh langsung makan minum yang manis-manis, cuma bahagian ketagihan itu sudah hilang.


@garam gula vs garam ajinomoto@


Saya balik kampung tahun lepas kebetulan dapat berhari raya haji di sana. Masak rendang saya just letak garam gula. Langsung tak letak ajinomoto. Tiba-tiba salah seorang adik saya bertanya tentang ini. Dia perasan saya tak letak ajinomoto. Sebab kami sudah terbiasa masakan garam ajinomoto.
Tapi di sini, kadang-kadang saya masak letak garam ajinomoto atau garam gula, mana-mana pun boleh.


@kunyit vs asam jawa@


Asam jawa adalah nadi utama masakan ikan, ayam dan daging versi emak saya. Saya tak suka sangat asam jawa dan perasaan itu terzahir selama saya duduk di Selangor/KL ini. Saya goreng/bakar ikan lumur kunyit dan garam, langgar peraturan memasak emak saya – tidak semua masakan ikan ayam daging saya letak asam jawa, paling ringan pun saya letak cuma sedikit atau sekeping asam keping.


Adik saya hairan melihat saya goreng ikan lumur kunyit dan garam, dia bertanya kenapa saya tak buat macam emak biasa buat? Saya jawab, minyak cepat kotor/hitam dan tak sedap. Tapi masak asam pedas boleh pula tekak saya terima, mungkin sebab bergabung dengan kepedasan cili tu.


@sarapan pagi@


Mee goreng kicap, pisang goreng, kuih kering (seakan roti puri) dan lempeng (kami panggil tumpi-tumpi). Ini sarapan kebiasaan kami di rumah bergabung aroma kopi pekat emak. Sejak duduk KL/Selangor saya jumpa ‘sepupu jauh’ nasi kuning, iaitu nasi lemak. Dan sekarang saya dan suami peminat nasi lemak berlauk. Dalam seminggu sekurang-kurangnya sekali saya akan masak nasi lemak berlauk lengkap aksesori ikan bilis, kacang tanah, telur, sambal, timun atau sayur dan lauk pauk pilihan.



@pasar@


Ini cerita zaman bujang berkisar tahun 2005. Kisah lama yang diceritakan semula disini. Dapur menjadi lebih dekat dengan saya setelah berpeluang bekerja hampir setahun di pasar besar. Buat kerja kerani membawa ke supervisor. Memulakan kerja seawal jam 3 pagi dan berakhir seawal tengah hari atau lewat petang. Timbang ayam seawal jam 3 pagi, kemudian kami bersegera menyiapkan tempahan pelanggan tetap dan tak tetap. Tidak ada istilah cuti. Hari-hari kerja beb, dan gaji tak banyak mana pun. Tak sampai pun seribu ringgit. Tiada epf socso.


Bermula 3 pagi membawa ke 7 pagi, kami seperti lipas kudung, banyak tempahan perlu disiapkan masa ini, pandai-pandailah adjust masa atau curi masa untuk solat Subuh. Sebab pelanggan kami terdiri daripada peniaga kantin sekolah, penjaja tepi jalan dan pasar malam, makcik jual kuih muih tradisional, catering, pemilik restoran. Puncak tempahan pada waktu cuti sekolah dan perayaan sebab waktu ini ada banyak majlis kahwin, akan ada caterer tempah ayam dan daging dalam skala besar.


Waktu itu sekilo ayam purata RM 4.50 ke RM 5 sekilogram (harga pasar). Paling tinggi pun di bawah RM 6. Peniaga yang beli/tempah ayam/daging dalam skala besar kebiasaannya dapat diskaun 10 sen ke 20 sen sekilogram. Untuk special request contohnya 100 pcs ayam bulat perlu dipotong potongan tertentu/daging 50kg potong dadu/nipis…peniaga perlu bayar deposit untuk elakkan kerugian di pihak kami sekiranya tempahan dibatalkan.  


Di sini saya menghadap segala macam bentuk dan bau rempah ratus masakan, akrab dengan wangian santan, beras, tepung, bawang atau berkenalan dengan bahagian daging yang tak pernah saya dengar sebelum ini – tenderloin (daging batang pinang), chuck tender… ayam potong 4, 8, 12, potong kecik-kecik dan segala macam bahan kering dan basah yang ada di dapur dan peti sejuk kita.


Bahagian menyeronokkan – melalui senarai bahan-bahan yang perlu disediakan untuk customer, kami suka meneka resepi yang mereka buat. Contoh, ada seorang pakcik yang akan datang beberapa kali seminggu, dia order ayam potong 4 beberapa beg (dalam satu beg ayam ada 10 pcs ayam bulat), laici tin, gula, sirap ros, daun pandan, lada hitam. Pakcik ini berniaga pasar malam. Menu nasi ayam bakar dan air sirap.


Santan beku, santan cair, kelapa parut untuk peniaga kuih muih dan nasi lemak. Mesti dihantar di rumah sebelum 7 pagi. Kalau lambat dia akan bising.
Ada seorang kakak ini order ayam potong 8, dia berniaga nasi lemak ayam berempah di tepi jalan. Yang paling saya ingat, dia bagi petua nak sedapkan tomyam katanya letak batang sup yang dipotong kecik-kecik. Dan sedikit taburan daun ketumbar katanya, yang lain saya tak ingat, sudah lupa.


Sebenarnya ada banyak resepi dan rahsia masakan yang peniaga kongsi dengan kami, tapi itulah masa itu saya masih bujang, single available, agak kebudak-budakkan dan tak kisah sangat banyak benda. Sekadar melayan karenah pelanggan kedai yang ramah, apa-apa yang diceritakan kepada saya masuk telinga sebelah kemudian keluar di telinga yang lagi satu, hahaha…facebook pun tiada masa tu. Agaknya kalau sudah ada fb masa tu, mungkin ada gambar selfie saya ketika timbang ayam. Disudahi dengan hashtag #timbang ayam 3 am, #kerja pasar kerja halal, agaknya aduilah terlebih sudah.


Di Sandakan saya sering ikut arwah bapa ke pasar. Fungsi utama saya ketika itu – menjadi ‘security guard’ di tepi pasar Sandakan. Menjaga barang-barang makanan yang sudah dibeli sementara arwah bapa mencari ikan di dalam pasar. Dilarang ke mana-mana. Tunggu sampai arwah bapa siap beli ikan. Zaman sekarang kita tak boleh dan tak dapat buat begitu dekat anak-anak kita, lain benar zaman sekarang berbanding tahun 80-an dulu. Faktor keselamatan.


Selama saya menunggu arwah bapa shopping ikan, saya akan baca berulang-ulang ayat terjemahan berkaitan menipu timbangan di satu sudut pasar. Peniaga ikan yang paling hampir dengan tempat saya berdiri tu…mata dia sentiasa ‘sakit’, tak sudah-sudah berkelip-kelip kenyit mata aduh, gatal! Sebaik saja arwah bapa sampai, sakit mata peniaga tu dah baik dah, tak adanya kelip kenyit, tiba-tiba normal.


@tradisional vs hipster@


Selera saya dan suami jenis tradisional, tak layan langsung menu-menu yang sudah dimoden hipsterkan – donut, roti canai segala macam kuih muih, makan minum yang diwarnakan, biarlah kami kekal tradisional. Zaman berbeza, selera juga berbeza dengan kebanyakan generasi millenium sekarang. Kami ini generasi sebelum ledakan IT info di hujung jari. Dan sekarang sedang menuju zon old school.


Bermula tahun 2000 saya datang ke KL/Selangor, dari zaman bujang sehingga berumahtangga… saya sudah puas merasa aneka makan minum di luar sana. Sekarang amat mudah mencuba buat resepi masakan kegemaran/eksperimen di dapur sendiri. Godek saja resepi di smartphone itu. Selesa memasak sendiri, berusaha untuk eat clean, back to basic. Sesekali kami makan di luar, cuma dari sudut teruja itu sudah agak kurang. Kita menjadi pemilih, hanya makan di tempat tertentu.  


Saya teringat pengalaman makan di p***a h*t beberapa tahun sudah. Kami suami isteri teruja untuk makan udang masak tempura sekali pakej sup cendawan, spageti, roti dan minuman bergas. Total kos menghampiri angka RM50. Sampai rumah rasa tak puas hati, menyesal pula ke sana. Tak patut sungguh, udang tempura tu indah nama dari rupa. Sudahlah 6 ketul udang saja, sebesar jari pula tu, entah di mana silapnya bancuhan tepung tempura konon…berminyak-minyak jadinya.


Sekarang ini yang paling western kami makan, cukuplah sekadar KFC dan chicken chop, diiringi nasi. Hahaha…nampak sangat kampungnya. Tak kisah kampung pun kampunglah, janji bahagia. Kitaran yang sentiasa berulang, kerja, makan minum, bayar bil-bil, pergi ke pasar beli stok lauk pauk, dan beberapa perancangan kehidupan untuk masa hadapan… alaaa… sama macam orang lain juga.


@tidur@


Semasa masih bermastautin di Sandakan… tidur saya jenis tidur awal bangun awal. Kitaran kehidupan yang sederhana.
Di sini KL/Selangor – kalaulah Batman itu memang benar-benar wujud, sebahagian daripada makhluk manusia, mungkin saya akan teruja berjumpa dengannya sambil bertanya… “Boleh kita bersaudara? Adik-beradik angkat, mungkin, kalau Mr. Batman tak kisah.”  Selalu sangat kita tidur lewat atau bergadang sepanjang malam.
Selain baju kelawar (baju tidur) adalah baju kegemaran kebanyakan daripada kita.


Anehnya, setiap kali saya balik ke kampung halaman, spontan saya akan tidur awal,mengantuk yang tak dapat ditahan-tahan, tapi di sini, melihat jam baru 10 malam pun mata rasa segar dan minda pun set begini – awal lagi ni, sambil menghadap tv.


@masa@


Duduk KL/Selangor masa terasa bergerak pantas, laju. Sehari seakan beberapa jam dan seminggu seperti hanya beberapa hari. Kadang-kadang tersilap tarikh dan hari, menyangka hari ini hari Selasa misalnya, rupa-rupanya dah Jumaat. Entah sibuk ala-ala menteri agaknya.


Beza memang berbeza di kampung halaman… sungguhpun matahari sejam awal terbit berbanding di sini, Alhamdulillah saya menikmati setiap saat, jam yang berlalu… ada masanya terasa masa bergerak sangat perlahan. Mungkin sebab sekarang kami bermastautin di KL/Selangor mencari rezeki di sini, balik ke kampung halaman sekali sekala memang tujuan bercuti ‘bonding time’ bersama family…tu yang rasa nyaman je, tak ada tekanan hendak kejar itu ini. Makan minum tidur sembang bersama family, berjalan-jalan di hujung kampung sebelah menikmati laut atau turun ke bandar Sandakan… pun nampak laut.
Menikmati ‘angin’ yang berbeza. 



love,
monalizahrais
Bt.3 Jln Kapar, Klang
Selangor
6 Mei 2017 Sabtu




NASI LEMAK CINTA


Assalamualaikum…


Waduh-waduh tajuk… nasi lemak cinta…bukan alang-alang, ini kalau jenis fikiran double triple berlapis-lapis lain yang difikirkan. Apapun, terserah kamu hendak fikir apa pun. Di luar rumah hujan renyai-renyai, redup, sejuk, di dalam hati cerah, ceria.


Ada satu restoran yang melekat kuat di ruang ingatan saya, Nasi Lemak Cinta Sayang, area Shah Alam. Tak pernah lagi kami makan di situ, mungkin satu hari nanti.

Saya menonton satu program tv berkaitan makanan. Cerita tentang nasi lemak. Seorang wanita, ibu dan isteri ditemuramah tentang resepi nasi lemak yang diwarisi daripada ibu mertua.


Keluarga suaminya jenis ‘tertutup’ hanya berkahwin dengan bangsa dan keluarga sendiri untuk menjaga keturunan. Tapi kalau dah jodoh..kerana suaminya sangat cintakan dia, sebab itu dia bertahan di dalam family suaminya.


Selepas berbelas tahun berkahwin… dia sentiasa sabar dan tabah, keluarga suaminya dapat menerima kehadirannya, dianggap seperti keluarga sendiri. Itupun selepas dia berjaya menguasai beberapa masakan warisan keluarga.


Saya teringat family sebelah suami. Pun jenis konservatif dan skeptical (generasi old school yang lahir tahun 70-an dan ke bawah). Hanya berkahwin dengan keluarga sendiri, cara fikir, budaya, kepercayaan berlegar dalam perimeter yang dihadkan ruangannya, bersifat tertutup agak sukar menerima sesuatu yang baru, di luar kebiasaan.


Tapi kami tiada pula konflik atau gaduh-gaduh dengan family suami hanya kerana saya ‘orang luar’. Cuma dalam situasi tertentu ada satu mimik muka yang saya perasan… memandang saya dengan perasaan hairan, yalah kita kan ‘orang luar’. Semasa kami merancang untuk berkahwin, awal-awal lagi saya tegaskan dengan bakal suami – kami akan berumah sendiri, berdikari, tak kira rumah sendiri atau rumah sewa, yang penting duduk asing dari family.


Tahun demi tahun berlalu, generasi  sebelah suami yang lahir tahun 90-an akhirnya ada yang berkahwin dengan bangsa lain yang tiada langsung kaitan keluarga. Ruangan ‘tertutup’ itu sedikit demi sedikit terbuka perlahan oleh banyak perkara yang bertentangan dengan kebiasaan/pemikiran mereka.


Family sebelah saya banyak kahwin bangsa luar, tiada kaitan kekeluargaan so kami memang agak open dengan adat, kebiasaan bangsa lain.


Sewaktu saya mula-mula datang Malaya (sebutan kebiasaan kami untuk Semenanjung Malaysia), parents saya  tegas mengingatkan… saya TIDAK DIBENARKAN berkahwin orang sini. BIG NO. Dilarang berkahwin dengan orang jauh, nanti susah balik Sabah, kata my parents. Ironinya, walaupun saya berjodoh dengan suami yang juga Sabahan… selepas majlis kahwin, di Klang inilah kami melalui alam rumahtangga, mencari rezeki di sini bertahun-tahun.


Pun tetap ‘jauh’ dari family, hehehe…tak pula my parents bising-bising, sebenarnya asal usul kampung halaman suami saya sangat ‘jauh’ nun di seberang lautan – sebuah tempat yang sangat indah dan legend (tempat asal mutiara yang terkenal – Pearl of Lao Zu)  iaitu Barangay Oring-Oring, Brooke’s Point yang terletak di Pulau Palawan, Filipina. Perlu tukar/transit flight beberapa kali untuk sampai ke kampung dia tu apabila melibatkan perjalanan KLIA – Puerto Princessa (PPS).


Pinjam sekejap ayat glamour ini – kalau dah jodoh.

love,
monalizahrais
Bt.3 Jln Kapar,Klang
Selangor
28 Mac 2018 Rabu

Monday, January 8, 2018

CEMBURU?

Assalamualaikum…


Waduh-waduh kemain tajuk, cemburu gitu. Ilham menulis datangnya spontan, ada di mana-mana, paling mudah dan terdekat apalagi kalau bukan media social facebook. Untuk tajuk cemburu, asal ilham saya terbaca isu bonus RM 1000 yang dibayar kepada kakitangan kerajaan hari ini. Membaca komen-komen di fb melalui beberapa page berpengaruh yang highlight bonus RM 1000…membuatkan saya teringat sesuatu peristiwa ‘mengejutkan’ beberapa tahun sudah. Dan membuatkan saya berfikir begini ~ bersyukur dengan apa yang kita ada, sesungguhnya syukur itu indah.  


Melalui komen-komen netizen, ada yang marah merasakan tidak adil, berat sebelah kerana katanya kerja kerajaan bukannya kerja berat banyak mengular berbanding kerja swasta kebanyakannya silap sedikit saja terus dipecat. Ada yang membidas katanya walaupun dia kerja kerajaan tapi bonus yang diberi itu habis begitu saja untuk menampung bermacam keperluan sekolah anak-anak dan bil-bil tertangguh. Hanya kerana isu bonus, ada yang sampai bergaduh di ruangan komen.


Setiap tahun setiap kali pembentangan bajet oleh PM kita, di ruangan komen akan sentiasa ada gaduh-gaduh, isu bonus kakitangan kerajaan vs swasta. Setakat yang saya tahu, sebenarnya saya pun hairan juga kenapa ada yang marah-marah dengan penjawat awam…maksud saya kalau kamu kerja swasta biasanya bonus tahunan atau perayaan berganda lebih tinggi berbanding kerajaan! Mungkin netizen yang tidak berpuas hati itu majikannya tidak beri bonus agaknya. Ada rakan-rakan saya yang kerja swasta, dia punya bonus akhir tahun, sangat-sangat lumayan…bukan seribu dua tapi bonus GAJI ENAM BULAN! Bayangkan kalau gaji minimumnya saja mencecah RM 2 ribu X 6 bulan = RM 12 ribu bukan?Sempat lagi kami mengusik kalau kawan tu nak kahwin lagi, jangan lupa jemput kami. Yang penting makan percuma.


Alangkan suami saya yang kerja biasa-biasa saja pun (tapi sektor swasta) pun ada bonus tahunan dan perayaan, lebih kurang kerajaan jugalah jumlahnya, cuma semakin lama kerja semakin banyak bonusnya, Alhamdulillah rezeki kami, tidak perlu saya tulis secara detail di sini.  


Kesimpulannya masing-masing punya rezeki tidak perlulah kita pertikai itu ini begitu begini. Tapi kita juga sama-sama tahu sudah namanya social media memang begitulah akan ada pro dan kontra dalam apa-apa isu. Ok, terus kepada poin utama ~ bahagian yang saya sebut tadi teringat sesuatu tu.


@cemburu@


Mood hari raya, kami berhari raya di rumah XXX. Seperti biasa bersembang sambil menikmati juadah raya yang sedap-sedap tu. Seronok sembang sampai meleret cerita macam-macam. Sebab jarang-jarang jumpa, saya pun layankan saja, bukannya setiap hari kita sembang panjang-panjang.


Di luar jangkaan, tiba-tiba XXX mengatakan dia sangat cemburu dengan kehidupan saya. Katanya saya sangat bertuah dapat datang ke Semenanjung Malaysia, setiap tahun dapat naik kapal terbang balik kampung beraya, honeymoon sepanjang masa dengan suami sebab kami masih berdua, belum punya anak lagi. Dapat shopping baju cantik-cantik sebabnya konon saya duduk di Semenanjung Malaysia, banyak pilihan. Seronoknya kehidupan begitu, tambahnya lagi.


Segan pula dia kata begitu, balas saya ~ masing-masing punya rezeki. Tetapi kemudiannya dia mengulang ayat yang sama berulang kali, bukan sekali dua, dan nadanya macam tak puas hati sangat, berbaur cemburu. Kau bayangkan face to face ada orang yang tiba-tiba bercakap begitu, kau rasa?


Perbualan mesra tadi beransur-ansur suram dan sepi, melihat XXX bersungguh dan berulangkali mengatakan dia sangat cemburu melihat saya… membuatkan saya hairan dan ‘terkejut’. Tak tahu nak kata apa lagi, saya alihkan perhatian dengan buat-buat sibuk membelek smartphone, sambil jari jemari melayan skrin telefon… fikiran saya bergerak laju memikir kenapa XXX berkata begitu. Jika dibandingkan kehidupan dia dengan saya dari sisi kecantikan, rezeki anak dan keluarga… XXX jauh lebih baik. 


Ada anak yang comel dan sihat, XXX sekali pandang macam anak dara, persis model pun ya dengan badan langsing, putih. Langsung tak nampak macam mak-mak yang dah bersalin banyak kali. Dan dia pun bergaya orangnya bukannya pakai serabai. Berfesyen dan pakai make up. Ada parents yang sihat, dikelilingi keluarga besar dan meriah. Itu pasal saya hairan sangat kenapa dia kata begitu.


Membuatkan saya insaf, bahawa syukur itu indah, sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada. Kalau ya pun nak cemburu dengan kelebihan rezeki orang lain, diam-diam saja dah lah, nak lebih kita usaha pun kena lebih. Seram beb! Orang kata gitu. Kita yang biasa-biasa ni pun ada yang cemburu, agaknya kalau saya terkenal dan kaya raya…entahlah dia punya stail cemburu tak dapat saya bayangkan. Beberapa tahun kemudiannya saya terjumpa XXX lagi, cara cakap dia dengan saya memang dah lain macam, acuh tak acuh sambil memandang saya dengan pandangan yang kurang menyenangkan. Seolah-olah kita ada buat salah dekat dia.



Dalam setiap doa selepas solat, saya selalu panjangkan doa memohon dijauhkan daripada kejahatan yang nampak dan kejahatan yang tersembunyi. Untuk diri sendiri, suami dan keluarga. Kita tidak nampak isi hati orang lain, bukan hendak berprasangka jahat, tapi kita doa yang baik-baik, minta yang baik-baik kepada Allah. Doa itu kan senjata  mukmin.


So, sekali lagi kita simpul kemas ikat kuat-kuat… bersyukurlah dengan apa yang kita ada, syukur itu indah. Syukur itu indah. Nak lebih? Usaha lebih, doa lebih. Peringatan dan pengajaran untuk diri saya juga. Dah, dah, tak payah nak cemburu sangat, fokus kehidupan masing-masing. Aman hidup dan jiwa pun tenang.
 ☘☘♡♡♡♡

love,
monalizahrais
Selangor
8 Disember 2018 Isnin



1/1/2018 I CITY, SHAH ALAM

Assalamualaikum…

Hari ke 8 di tahun 2018. Sebelum itu sebut bab cuaca dulu, hari ini cerah sepanjang hari, dalam hati pun cerah terang benderang juga.


Malam 31 Disember 2017 menghampiri jam 10.30 malam. Suami belum balik kerja, dalam hati saya tak mengharapkan sangat kami sempat ke I City, Shah Alam. Selepas Maghrib saya masak nasi berlauk siap-siap, kalaupun kami tak sempat makan malam… nasi tu boleh jadi nasi goreng esok paginya. Saya fikir untuk ambang tahun baru 2018 mungkin di rumah saja, sambil saya focus tengok movie. 

Tiba-tiba suami telefon suruh bersiap, sekejap lagi dia sampai rumah dan kami terus ke I City Shah Alam. Masa itu jam sudah 11 lebih.
Seperti tahun sudah kami naik motor saja menuju I City Shah Alam… masih mood sesak berasak kenderaan menuju ke sana. Kali ini kami agak terlewat sedikit, berbanding tahun sudah sebelum jam 11 malam 31 Disember 2016 kami sudah di sana. Kami sampai tepat-tepat jam 12 malam ketika bunga api berdentum-dentum di ruang udara. Sesak padat dengan pengunjung.


Bukan tentang teruja sangat tapi sekadar suka-suka ke sana…tujuan utama hendak bergambar ambik port happy new year 2018 tu. Malam itu kami lepak di I City Shah Alam sampai jam 3 pagi. Sambil kami mengulang ayat mungkin sampai ke siang agaknya orang-orang ni. Dalam fikiran saya…setiap tahun ke hadapan akan semakin ramai, lebih ramai daripada biasa pengunjung ke I City sempena ambang tahun baru, sebabnya kemudahan Uber/Grab amat mudah diapply oleh siapa pun.


Tentang sampah sarap, bahagian ini tetap sama seperti tahun lalu, saya lihat tong sampah banyak disediakan tapi tetap tidak dapat menampung sampah yang ada. Tong sudah penuh, sampah bertabur di sekeliling merata tempat. Saya masuk di kedai KK Mart, stesen soft drinks dan jajan tinggal sedikit yang tinggal, saya tidak banyak pilihan membeli, so kita beli apa yang ada.


Malam itu saya dan suami lebih banyak duduk-duduk saja, di tepi jalan melihat gelagat pengunjung. Selesai mengambil gambar…kami menuju Klang lepak sekejap order makan minum nasi goreng u.s.a, nasi goreng ayam dan minuman teh o ais limau kosong, nescafe tarik, ais kosong. Total RM 20.


Next, balik rumah, tidur sampai ke pagi. Sebelum menutup tirai cerita, jom layan gambar.











Nota kaki : abaikan muka kami  yang tak ready tu... dan lagi satu baju yang saya pakai tu saiznya besar, automatik saya pun terrrr...lebih saiz, bukan saya yang besar ya...kita sedang-sedang saja ☺☺☺
Ok lah...tatatititutu...lain kali kita jumpa di entry yang lain ya! ✌✌✌ 

love,
monalizahrais
Selangor
8 Januari 2018 Isnin




Wednesday, December 27, 2017

2017 (SUMMARY)

Assalamualaikum…

Cuaca di luar rumah mendung, cuaca di dalam hati cerah. Rindunya hendak tulis begini ~ ‘bab cuaca’ tu, agak lama meninggalkan blog bersawang berhabuk, banyak cerita tersimpan terperap begitu saja di fail laptop… dah siap tulis cuma belum upload di blog.
Hari ini bertarikh 27 Disember 2017, bersamaan Rabu, saya ringkaskan kisah kami sepanjang 2017 ini. Berbaki kurang seminggu memasuki tahun 2018… kalau dah masuk 2018 baru nak tulis benda-benda dari 2017 rasa macam kurang fresh pula.

@Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji@

Kedua-dua raya kami di Klang, Selangor. Atas sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan… kami terpaksa beraya di sini. Beberapa hari menghampiri hujung bulan puasa… tiba-tiba suami cadangkan kami turun KL pergi tengok Tugu Negara. Pergi sana waktu Hari Raya pertama. Kata encik suami, selama dia duduk Malaya dia tak pernah jejak kaki ke sana lagi, kurang sikit sedih sebab tak dapat balik beraya.

Kami pun pergilah ke Tugu Negara, dari KL Sentral kami ambik teksi, RM 15 sehala, perjalanan lancar, nasib baik kami pergi awal puas bergambar. Menjelang tengah hari, ada banyak kumpulan pelancong yang datang ke sini, sampai tahap nak bergambar kena ikut giliran. Selesai di Tugu Negara… ambil teksi sekali lagi drop dekat Dataran Merdeka, seterusnya kami bergambar lagi, jalan-jalan, makan-makan. Plan asal kami naik LRT saja menuju KL Sentral seterusnya ambik komuter menuju Klang.

Realitinya? KL dan pekerja asing Bangladesh, Myanmar, Nepal berpisah tiada kalau dah cuti umum. Tambah-tambah lagi waktu perayaan…hmm…melihat mereka memenuhi segenap segi pelosok Kuala Lumpur (dalam cerita ini Pasar Seni dan sekitarnya) rasa menyesal pula turun KL, sesak padat nak bergerak pun susah. Akhirnya kami cari teksi lagi menuju KL Sentral, RM 10 sehala.

So, kesimpulannya… kalau dah hari raya tu cuba sedaya upaya untuk balik kampung, kecuali ada kekangan yang tak dapat dielakkan.


@Azam 2017@

Soalan untuk diri sendiri, ‘apa citar’ azam 2017 tu? Langsai tak langsai? Atau kena sambung bawa ke hadapan 2018? Aduh duh duh pedih rasa… ada yang kena sambung 2018, tak apa, yang penting FOKUS. Teruskan berazam dan teruskan usaha merealisasikan azam kita tu. Sebenarnya azam saya bukannya luar biasa sangat pun…lebih kurang sama dengan azam orang lain, tapi hendak ditulis di sini rasanya kurang sesuai pula.

@Balik kampung 2017@

Saya sangka sebab tak dapat balik beraya kedua-dua raya puasa dan haji…mungkin tahun 2017 ini memang tak jejak kaki ke Sabah. Tapi itulah, siapa kita hendak menduga kejadian pada masa hadapan. Ingat lagi tak tahun sudah 2016 saya balik kampung berbulan lamanya atas urusan rumah kami? Sangkaan saya semuanya ok, no problem bilang orang puteh, baik-baik belaka gitu.

Rupa-rupanya… individu yang kami amanahkan sebagai wakil membayar sewa rumah kami, entah apa masalah dia sebenarnya, bayaran rumah kami ditangguhkan begitu saja. Duit kami dah kirim tapi tak dibayar ke majlis. Macam-macam alasan, ayat-ayat ‘back up’ diberi. Bertembung pula dengan pelarasan akaun dari pihak majlis perbandaran yang memerlukan kehadiran tuan rumah…akhirnya saya tergesa-gesa balik kampung halaman.

 Itu ini begitu begini… makan masa lebih kurang dua bulan saya balik Sandakan 18/09/2017 sampai tarikh 15/11/2017. Malas mau cerita panjang-panjang bimbang ter…laser tercakap yang jahat-jahat tapi untuk ingatan kita bersama…amanah dan tanggungjawab dalam setiap apa yang kita lakukan, mudahkan urusan orang lain, InsyaAllah urusan kita dipermudahkan. Marah memang marah tapi biarlah…Allah  Maha Adil, biarlah Allah membalasnya, yang penting kami tidak menyusahkan orang lain, kami usaha untuk kesenangan kami suami isteri di masa hadapan. Zaman sekarang agak mencabar mencari orang yang amanah, jujur dan ikhlas…lagi-lagi melibatkan urusan wang ringgit.

@Happy Birthday!@

Bukan budaya dalam keluarga kami ucapan birthday kek tiup lilin bagai tu. Tapi kita dah join facebook, rakan-rakan fb kita akan tahu birthday kita sekian-sekian haribulan, ada yang ucap, so kita terima sajalah. Menariknya birthday saya 26 Mei pada tahun 2017 ini sehari sebelum bulan puasa, iaitu sehari sebelum 1 Ramadhan. Mengingatkan saya momen mula-mula berblog tujuh tahun lepas…sehari sebelum bulan puasa masa tu, Jun 2011.


@Dengarlah Ceritaku@

Saya mula berblog Jun 2011 seperti yang saya nyatakan dalam poin di atas. Setiap kali menghampiri tahun baru, hujung tahun… saya selalunya blur memikirkan display, heading, theme dan yang segelas dengannya, tentang blog ini. Untuk tahun 2018, saya masih belum menetapkan sebarang tema mencantikkan, ‘renovation’ blog. ‘Dengarlah Ceritaku’ itu asalnya dari perkataan ‘Mari Bercerita’ atau ‘Cerita Saya’ atau ‘Aku Bercerita’  tapi setelah ditolak campur bahagi darab akhirnya saya memilih ‘Dengarlah Ceritaku’, rasa macam sedap sikit didengar dan agak unik. Lama kelamaan, bertahun berlalu saya terjumpa satu novel bertajuk Aku Bercerita penulisnya RAM. Masa itu saya terfikir rupa-rupanya perkataan Aku Bercerita itu ‘wujud’. Nasib baik tak letak jadi heading blog.

Kemudiannya saya cuba berfikir terbalik ‘Dengarlah Ceritaku’ dari sisi negatif mungkin seakan luahan emosi terpendam yang orang lain tidak tahu, tidak mengetahui apa yang saya pendam, rahsiakan. Sebenarnya dalam kebanyakan tulisan saya di blog ini… ianya bahagian diri saya, sisi saya yang lain, keluarga dan rakan-rakan tak tahu. Malah kalau saya bercerita kepada mereka… mungkin mereka akan menyangka saya bergurau.

Baru-baru ini sewaktu saya balik kampung… kebetulan saya dan adik bercerita tentang sekolah/kolej/university yang menawarkan pengajian seni. Saya berkongsi cerita yang saya tahu, sambil sempat bercerita tentang kursus Seni Persembahan (Drama) atau senang sebut Teater yang saya ikuti sewaktu zaman belajar di UM 2000 – 2004.
Reaksi adik saya? Dia semacam hairan, menyangka saya sekadar bergurau. 

Sememangnya keluarga hanya tahu saya belajar ‘kebudayaan’ sebab itulah yang saya beritahu mereka. Ditambah lagi buat masa sekarang saya ‘jauh’ dari aktiviti teater… siapa mau percaya kan? Sah-sah kita disangka bergurau. Alangkan suami saya pun buat muka pelik setiap kali saya sebut teater, inikan pula orang lain.

Sentiasa berharap blog ini menjadi medium pembacaan orang lain yang mungkin akan ada manfaatnya, tak dapat banyak, sedikit pun sudah cukup baik. Yang baik-baik dijadikan teladan, yang tak baik cepat-cepat buat sempadan. Seronok menulis, dan dalam masa yang sama saya kena beringat, niat menulis tu bukan kondem hentam marah maki hamun pihak lain. Saya ini bukannya orang terkenal, orang biasa-biasa saja, sekadar berblog melayan pendapat sendiri tentang isu-isu yang berlegar di sekeliling kita. Masing-masing punya fikiran dan pendapat.  

‘Usia’ blog saya +- 7 tahun, kalau budak sekolah dah masuk darjah satu. Semoga tahap tulisan saya lebih baik pada hari-hari mendatang, lebih matang, mantap dan sentiasa malar segar (amboi malar segar kau, bukan alang-alang).


@Graduation Day@

Julai 2017 adik saya konvo, yang datang adik dan emak. Hari graduasi… saya, suami, emak, adik Not memeriahkan majlis adik Amin saya di ILP, KL. Majlis berjalan lancar – gambar family, terima skrol, cari hotel, shopping sikit-sikit. Sekejap saja adik Amin dan emak di sini hanya 4 hari, datangnya Sabtu baliknya Rabu, atas kekangan kerja. Walaupun sekejap, yang penting momen manis itu, bukan selalu emak dapat datang ke sini.

Dan lain-lain berjalan seperti biasa, buat rutin harian, rasanya summary 2017 setakat ini saja. “Tidak semua cerita perlu diceritakan” – pinjam sekejap petikan dialog dari filem Tombiruo ini.


love,
monalizahrais
Klang, Selangor
27 Disember 2017
Rabu