Assalamualaikum…
(Ini siaran tertunda, baru petang ini dapat di upload di blog)
Hujan gerimis di luar rumah sudah berhenti, berganti cuaca cerah
sekarang. Pagi tadi bangun, sejuk amat, rasa malas menguasai diri ikutkan hati
hendak berlingkar saja sepanjang hari, tapi kalau diikut sangat perasaan tu…
hmmm apa kerja pun tak siap jadinya, rasa lapar sekejap sekejap lapar, lepas
makan beberapa jam kemudian lapar lagi, penangan hujan agaknya. Hujan dan lapar
berpisah tiada – ayat kegemaran saya. Ditambah lagi menghadap baca group
makan-makan di fb tu sah-sah lapar sepanjang masa.
M*******p sentiasa memanggil-manggil minta dibelek disiapkan
cepat, ternyata melayan mood taipsudahkannya tidak mudah, ada cabaran yang
tersendiri. Sentiasa berlegar di ruang fikir, siang dan malam. Seperti serangga
kecil terperangkap dalam balang kecil, sentiasa mencari jalan keluar. Iringan
doa saya sepanjang masa – semoga semua urusan saya dipermudahkan, diberikan
ilham, ilmu pengetahuan, kesihatan fizikal dan mental yang cemerlang.
Seterusnya ‘tutup’ balang kecil itu akan terbuka sedikit demi sedikit… dan
serangga kecil itu akan dapat terbang
bebas. Ok, ok sudah… singgah blog sekejap untuk lapor diri di bulan May 2017.
Sebelum dan selepas (edisi makan-minum-tidur). Membawa maksud
cara makan-minum-tidur saya bermula di Sabah dan setelah saya bermastautin di
sini – Klang, Selangor. Beza memang berbeza. 19 tahun di Sandakan, Sabah dan
sekarang memasuki tahun ke 17 di Selangor/KL.
Untuk memudahkan perjalanan/pemahaman cerita, saya pick up
beberapa main poin. Guna bahasa mudah, ringan ala-ala karangan budak sekolah
rendah.
@cili, kicap, sos, belacan@
Sandakan – My family hanya makan cili padi yang ditumbuk
sendiri, letak air atau cuka. Tidak ada cili kering, cili merah atau cili hijau
dalam campuran masakan. Tak pernah beli pun. Banyak guna kicap, sos membawa
maksud sos tomato. Resepi sambal belacan kami – belacan, cili padi, garam,
ajinomoto dan jus asam jawa ditumis sehingga pekat. Tidak ada masakan bertajuk
‘masak merah’ atau asam pedas atau apa sahaja masakan yang berkaitan dengan
cili kering, cili merah atau cili hijau. Malah cili padi itu kami sebut lada
padi atau lada. No sebutan cili, hihihi… apa-apa makanan yang ‘bersifat’
berwarna kicap/gelap adalah sedap dan warna merah adalah sesuatu yang sangat
ganjil. Dan… kami suka makan kari. Kari ayam/kari daging dan cicah kicap sangat
sedap!
Malaya (sebutan kebiasaan kami tentang Semenanjung Malaysia) –
berbelas tahun duduk di sini, tentunya
ada banyak pengaruh terhadap selera makan minum saya. Ianya jadi terbalik, pada
kebanyakan waktu. Saya sering dan agak gemar mengguna cili kering, cili merah
dan cili hijau dalam masakan yang saya masak.
Sambal belacan saya lebih bervariasi dan lebih luas – saya guna
beberapa resepi hanya untuk sambal belacan. Basic belacan, bawang merah, bawang
putih, garam gula – kemudian dipelbagaikan sama ada campuran tomato dan cili
merah/cili biasa atau gabungan cili dan jus limau atau ikan bilis. Selalu masak
merah, sambal cili, asam pedas, masakan berasaskan warna merah. Kurang guna
kicap.
@telur dan sayur@
Sandakan - Yang paling saya ingat, makan telur tidak boleh perah
limau, ini peraturan makan arwah bapa kami. Telur tidak boleh seiring dengan
limau. Entah apa sebabnya. Zaman itu jenis didikan orang tua kita hanya boleh
menurut tanpa banyak soal. Tidak boleh bertanya. Hanya perlu mengiyakan.
Sayur perlu dimasak sehingga lembut. Saya kurang senang dengan
ini, saya tak suka sangat sayur lembik. Tapi kita diam-diam sajalah. Semasa
duduk di asrama, isu sayur ini menjadi debat antara warden dan sebilangan ibu
bapa pelajar, sampaikan warden terpaksa ‘berceramah’ menjelaskan kenapa sayur
di dewan makan perlu dimasak sekejap saja.
Malaya – banyak ulam, sayur tertentu dimakan mentah. Zaman study
dulu, housemate saya peminat ulam cicah budu. Setakat timun dan taugeh saya
larat lagi nak menelannya, tapi yang lain ambik masa untuk tekak saya terima.
Tapi campuran kerabu dalam nasi kerabu yang selalu saya beli…
saya boleh terima. Mungkin formasi lauk pauk bergabung dengan kerabu itu yang
membuatkan saya mudah menerimanya. Formasi kegemaran saya – nasi biru + solok
lada + daging bakar + telur masin + kerabu sayur + sedikit budu dan kuah sambal
yang lemak-pedas-manis + sambal ikan/serunding.
@gunting vs pisau@
Sandakan – tidak ada gunting dapur di dapur emak saya, segala-galanya
menggunakan pisau/parang.
Saya balik kampung, beli gunting dapur siang ikan dan gunting
cili kering. Pandangan my mom, maksud saya cara pandang dia tu melihat ulah
saya siang ikan dan gunting cili kering, adalah sesuatu yang… agak ganjil dan
sedikit ‘menakutkan’ hahaha…beberapa hari selepas itu gunting dapur yang saya
beli itu sudah hilang. Entah dihilangkan secara sengaja atau terrrhilang… no
komen hihihi…(saya rasa saya tahu apa sebabnya *jom senyum*).
Di dapur saya di Klang ini, sewaktu saya menggunting sayur
kangkung (bahagian batang kangkung yang semacam straw minuman itu), saya
tersenyum sendiri teringat reaksi my mom.
@ayam vs ikan@
Sandakan - Alhamdulillah
dan syukur sangat-sangat… my parents mengajar kami makan minum sihat, eat clean.
Momen terbaik dan kekal dikenang sepanjang hayat. Mereka contoh terbaik.
Makanan tiruan, segala macam datuk nenek moyang jajan hanya kami kenali ketika
bersama-sama rakan sebaya di sekolah, tapi my parents tidak pernah menggalakkan
kami makan benda-benda begitu.
Kami makan ikan, ketam udang sotong kerang-kerangan lebih banyak
berbanding ayam. Seafood yang dipukat dijala sendiri oleh arwah bapa, terjamin
kesegaran dari laut terus ke kuali, tanpa ais, tanpa bahan pengawet. Dan
percuma. Cara masak yang sangat sihat dan mudah – bakar, rebus kosong/serai
begitu saja. Diregukan dengan sambal belacan atau air asam. Makan dengan nasi
panas pergh! menyengat kau sedap amat. Kami adik-beradik jarang sakit, kalaupun
sakit cepat sangat baiknya. Mungkin asbab makan minum yang terjaga dan air
tangan kasih sayang seorang ibu.
Menu ayam sesuatu yang sangat istimewa, hanya muncul di Hari
Raya dan majlis perkahwinan. Menu utama dan sedap – masak kicap dan masak kari.
Kepak ayam panggang, sekali sebulan arwah bapa akan beli ini setiap kali gaji.
Dapatlah seorang 1 kepak. Berharga 50sen/pc ketika itu.
Pertama kali saya makan KFC ketika umur 16 tahun. Ketika saya
dan kawan-kawan ‘merasmikan’ biasiswa yang baru masuk. Masa tu saya rasa KFC
tak lah sedap sangat, biasa-biasa saja pun. Mungkin sebab tunas rasa saya sudah
sebati dengan sumber protein dari seafood.
Waktu remaja, saya duduk asrama, dalam seminggu ada beberapa
kali menu ayam – ayam kicap, nasi ayam, kari ayam. Berselang seli menu ikan.
Tapi tetap tidak dapat mengubah kebiasaan saya terhadap ikan. Harga
ikan/seafood lebih murah berbanding harga ayam.
Ketika itu saya dan family ada satu kepercayaan, menu ikan
termasuklah ikan kering, udang kering adalah makanan orang miskin seperti kami,
sebab itu kami kurus sentiasa, dan menu ayam khusus untuk orang-orang kaya yang
gemuk.
Kadang-kadang arwah bapa beli ikan di pasar, biasanya dia akan
beli ikan saiz besar, kemudian sampai rumah dia yang akan menyiang ikan itu.
Amat jarang dia membeli ikan kecil-kecil. Zaman remaja saya, jarang sekali saya
menyiang ikan, sebab arwah bapa selalu/suka buat benda ni. Saya just masak
saja. Setiap kali saya balik kampung dan kebetulan ada ikan besar… saya akan
suruh adik lelaki yang siang ikan.(setelah ketiadaan arwah bapa)
Malaya – ikan lebih mahal berbanding ayam, tapi sekarang harga
ikan dan ayam lebih kurang sama harganya, sejak bermulanya zaman GST,
penghapusan subsidi gula minyak dan yang segarisnya.
Kami suami isteri sanggup bangun awal sebelum jam 5 pagi pergi
ke pasar besar Meru, Klang beli stok lauk ikan, udang, sotong dan ketam. Stok
lauk seminggu. Tak menahan makan ayam hari-hari, sedangkan pasaraya terdekat
dengan rumah lebih dekat berbanding pasar besar, tapi sanggup ke pasar besar.
Pilihan makanan laut lebih berbaloi-baloi dari segi kesegaran dan harga yang ditawarkan.
Sentiasa ada rindu di hati teringat-ingat kesegaran seafood yang
arwah bapa saya bawa balik dari laut. Kesegaran seafood dan cara masak yang
saya nikmati sewaktu zaman kanak-kanak dan remaja saya itu sekiranya ‘di
forward’ pada zaman ini… di atas meja restoran, bukankah itu kelas makanan
mewah?
@manisnya gula@
Sandakan – kami terbiasa makan nasi berlauk kemudian sekadar
minum air kosong. Tidak ada air manis. Kecuali hadir di majlis kahwin kenduri
kendara di kampung itu lain ceritalah.
Mula-mula datang Malaya saya mengambil masa bertahun-tahun
menerima makan nasi berlauk kemudian minum air manis. Peringkat permulaan saya
biasakan diri dengan minuman ais lemon teh. Dan saya selalu hairan macam mana
orang lain boleh makan nasi berlauk lawan dengan minuman nescafe
tarik/milo/susu…
Saya pernah makan nasi panas dan tomyam campur. Kemudian saya
terminum minuman yang bercampur susu. Maaf cakap, beberapa minit kemudian saya
termuntah.
Sehingga
sekarang, selepas makan nasi berlauk, saya hanya serasi dengan minuman sitrus –
limau/lemon/air kosong atau air kelapa. Selain itu saya akan rasa mual. Selepas
‘tergelintir’ seketika – maksud saya, saya pernah melalui zaman ketagihan
gula/minuman makanan manis untuk beberapa waktu sehingga akhirnya paras gula
dalam darah saya mencecah 11 mmol, kemudian saya reversed diet
makan minum puasa bekam sehingga gula dalam darah mencecah paras selamat.
Alhamdulillah sekarang, ketagihan gula/ benda-benda manis itu
sudah dapat diatasi. Bukannya saya tak sentuh langsung makan minum yang
manis-manis, cuma bahagian ketagihan itu sudah hilang.
@garam gula vs garam ajinomoto@
Saya balik kampung tahun lepas kebetulan dapat berhari raya haji
di sana. Masak rendang saya just letak garam gula. Langsung tak letak
ajinomoto. Tiba-tiba salah seorang adik saya bertanya tentang ini. Dia perasan
saya tak letak ajinomoto. Sebab kami sudah terbiasa masakan garam ajinomoto.
Tapi di sini, kadang-kadang saya masak letak garam ajinomoto
atau garam gula, mana-mana pun boleh.
@kunyit vs asam jawa@
Asam jawa adalah nadi utama masakan ikan, ayam dan daging versi emak
saya. Saya tak suka sangat asam jawa dan perasaan itu terzahir selama saya
duduk di Selangor/KL ini. Saya goreng/bakar ikan lumur kunyit dan garam, langgar
peraturan memasak emak saya – tidak semua masakan ikan ayam daging saya letak
asam jawa, paling ringan pun saya letak cuma sedikit atau sekeping asam keping.
Adik saya hairan melihat saya goreng ikan lumur kunyit dan
garam, dia bertanya kenapa saya tak buat macam emak biasa buat? Saya jawab,
minyak cepat kotor/hitam dan tak sedap. Tapi masak asam pedas boleh pula tekak
saya terima, mungkin sebab bergabung dengan kepedasan cili tu.
@sarapan pagi@
Mee goreng kicap, pisang goreng, kuih kering (seakan roti puri)
dan lempeng (kami panggil tumpi-tumpi). Ini sarapan kebiasaan kami di rumah
bergabung aroma kopi pekat emak. Sejak duduk KL/Selangor saya jumpa ‘sepupu
jauh’ nasi kuning, iaitu nasi lemak. Dan sekarang saya dan suami peminat nasi
lemak berlauk. Dalam seminggu sekurang-kurangnya sekali saya akan masak nasi
lemak berlauk lengkap aksesori ikan bilis, kacang tanah, telur, sambal, timun
atau sayur dan lauk pauk pilihan.
@pasar@
Ini cerita zaman bujang berkisar tahun 2005. Kisah lama yang
diceritakan semula disini. Dapur menjadi lebih dekat dengan saya setelah
berpeluang bekerja hampir setahun di pasar besar. Buat kerja kerani membawa ke
supervisor. Memulakan kerja seawal jam 3 pagi dan berakhir seawal tengah hari
atau lewat petang. Timbang ayam seawal jam 3 pagi, kemudian kami bersegera menyiapkan
tempahan pelanggan tetap dan tak tetap. Tidak ada istilah cuti. Hari-hari kerja
beb, dan gaji tak banyak mana pun. Tak sampai pun seribu ringgit. Tiada epf
socso.
Bermula 3 pagi membawa ke 7 pagi, kami seperti lipas kudung,
banyak tempahan perlu disiapkan masa ini, pandai-pandailah adjust masa atau
curi masa untuk solat Subuh. Sebab pelanggan kami terdiri daripada peniaga
kantin sekolah, penjaja tepi jalan dan pasar malam, makcik jual kuih muih
tradisional, catering, pemilik restoran. Puncak tempahan pada waktu cuti
sekolah dan perayaan sebab waktu ini ada banyak majlis kahwin, akan ada caterer
tempah ayam dan daging dalam skala besar.
Waktu itu sekilo ayam purata RM 4.50 ke RM 5 sekilogram (harga
pasar). Paling tinggi pun di bawah RM 6. Peniaga yang beli/tempah ayam/daging
dalam skala besar kebiasaannya dapat diskaun 10 sen ke 20 sen sekilogram. Untuk
special request contohnya 100 pcs ayam bulat perlu dipotong potongan
tertentu/daging 50kg potong dadu/nipis…peniaga perlu bayar deposit untuk
elakkan kerugian di pihak kami sekiranya tempahan dibatalkan.
Di sini saya menghadap segala macam bentuk dan bau rempah ratus
masakan, akrab dengan wangian santan, beras, tepung, bawang atau berkenalan
dengan bahagian daging yang tak pernah saya dengar sebelum ini – tenderloin
(daging batang pinang), chuck tender… ayam potong 4, 8, 12, potong kecik-kecik
dan segala macam bahan kering dan basah yang ada di dapur dan peti sejuk kita.
Bahagian menyeronokkan – melalui senarai bahan-bahan yang perlu
disediakan untuk customer, kami suka meneka resepi yang mereka buat. Contoh,
ada seorang pakcik yang akan datang beberapa kali seminggu, dia order ayam
potong 4 beberapa beg (dalam satu beg ayam ada 10 pcs ayam bulat), laici tin,
gula, sirap ros, daun pandan, lada hitam. Pakcik ini berniaga pasar malam. Menu
nasi ayam bakar dan air sirap.
Santan beku, santan cair, kelapa parut untuk peniaga kuih muih
dan nasi lemak. Mesti dihantar di rumah sebelum 7 pagi. Kalau lambat dia akan
bising.
Ada seorang kakak ini order ayam potong 8, dia berniaga nasi
lemak ayam berempah di tepi jalan. Yang paling saya ingat, dia bagi petua nak
sedapkan tomyam katanya letak batang sup yang dipotong kecik-kecik. Dan sedikit
taburan daun ketumbar katanya, yang lain saya tak ingat, sudah lupa.
Sebenarnya ada banyak resepi dan rahsia masakan yang peniaga
kongsi dengan kami, tapi itulah masa itu saya masih bujang, single available, agak
kebudak-budakkan dan tak kisah sangat banyak benda. Sekadar melayan karenah
pelanggan kedai yang ramah, apa-apa yang diceritakan kepada saya masuk telinga
sebelah kemudian keluar di telinga yang lagi satu, hahaha…facebook pun tiada
masa tu. Agaknya kalau sudah ada fb masa tu, mungkin ada gambar selfie saya
ketika timbang ayam. Disudahi dengan hashtag #timbang ayam 3 am, #kerja pasar
kerja halal, agaknya aduilah terlebih sudah.
Di Sandakan saya sering ikut arwah bapa ke pasar. Fungsi utama
saya ketika itu – menjadi ‘security guard’ di tepi pasar Sandakan. Menjaga
barang-barang makanan yang sudah dibeli sementara arwah bapa mencari ikan di
dalam pasar. Dilarang ke mana-mana. Tunggu sampai arwah bapa siap beli ikan.
Zaman sekarang kita tak boleh dan tak dapat buat begitu dekat anak-anak kita,
lain benar zaman sekarang berbanding tahun 80-an dulu. Faktor keselamatan.
Selama saya menunggu arwah bapa shopping ikan, saya akan baca
berulang-ulang ayat terjemahan berkaitan menipu timbangan di satu sudut pasar. Peniaga
ikan yang paling hampir dengan tempat saya berdiri tu…mata dia sentiasa ‘sakit’,
tak sudah-sudah berkelip-kelip kenyit mata aduh, gatal! Sebaik saja arwah bapa
sampai, sakit mata peniaga tu dah baik dah, tak adanya kelip kenyit, tiba-tiba
normal.
@tradisional vs hipster@
Selera saya dan suami jenis tradisional, tak layan langsung menu-menu
yang sudah dimoden hipsterkan – donut, roti canai segala macam kuih muih, makan
minum yang diwarnakan, biarlah kami kekal tradisional. Zaman berbeza, selera
juga berbeza dengan kebanyakan generasi millenium sekarang. Kami ini generasi
sebelum ledakan IT info di hujung jari. Dan sekarang sedang menuju zon old
school.
Bermula tahun 2000 saya datang ke KL/Selangor, dari zaman bujang
sehingga berumahtangga… saya sudah puas merasa aneka makan minum di luar sana.
Sekarang amat mudah mencuba buat resepi masakan kegemaran/eksperimen di dapur
sendiri. Godek saja resepi di smartphone itu. Selesa memasak sendiri, berusaha
untuk eat clean, back to basic. Sesekali kami makan di luar, cuma dari sudut
teruja itu sudah agak kurang. Kita menjadi pemilih, hanya makan di tempat
tertentu.
Saya teringat pengalaman makan di p***a h*t beberapa tahun
sudah. Kami suami isteri teruja untuk makan udang masak tempura sekali pakej
sup cendawan, spageti, roti dan minuman bergas. Total kos menghampiri angka
RM50. Sampai rumah rasa tak puas hati, menyesal pula ke sana. Tak patut
sungguh, udang tempura tu indah nama dari rupa. Sudahlah 6 ketul udang saja,
sebesar jari pula tu, entah di mana silapnya bancuhan tepung tempura
konon…berminyak-minyak jadinya.
Sekarang ini yang paling western kami makan, cukuplah sekadar
KFC dan chicken chop, diiringi nasi. Hahaha…nampak sangat kampungnya. Tak kisah
kampung pun kampunglah, janji bahagia. Kitaran yang sentiasa berulang, kerja,
makan minum, bayar bil-bil, pergi ke pasar beli stok lauk pauk, dan beberapa
perancangan kehidupan untuk masa hadapan… alaaa… sama macam orang lain juga.
@tidur@
Semasa masih bermastautin di Sandakan… tidur saya jenis tidur
awal bangun awal. Kitaran kehidupan yang sederhana.
Di sini KL/Selangor – kalaulah Batman itu memang benar-benar
wujud, sebahagian daripada makhluk manusia, mungkin saya akan teruja berjumpa
dengannya sambil bertanya… “Boleh kita bersaudara? Adik-beradik angkat, mungkin,
kalau Mr. Batman tak kisah.” Selalu
sangat kita tidur lewat atau bergadang sepanjang malam.
Selain baju kelawar (baju tidur) adalah baju kegemaran
kebanyakan daripada kita.
Anehnya, setiap kali saya balik ke kampung halaman, spontan saya
akan tidur awal,mengantuk yang tak dapat ditahan-tahan, tapi di sini, melihat
jam baru 10 malam pun mata rasa segar dan minda pun set begini – awal lagi ni,
sambil menghadap tv.
@masa@
Duduk KL/Selangor masa terasa bergerak pantas, laju. Sehari seakan
beberapa jam dan seminggu seperti hanya beberapa hari. Kadang-kadang tersilap
tarikh dan hari, menyangka hari ini hari Selasa misalnya, rupa-rupanya dah
Jumaat. Entah sibuk ala-ala menteri agaknya.
Beza memang berbeza di kampung halaman… sungguhpun matahari
sejam awal terbit berbanding di sini, Alhamdulillah saya menikmati setiap saat,
jam yang berlalu… ada masanya terasa masa bergerak sangat perlahan. Mungkin sebab
sekarang kami bermastautin di KL/Selangor mencari rezeki di sini, balik ke
kampung halaman sekali sekala memang tujuan bercuti ‘bonding time’ bersama
family…tu yang rasa nyaman je, tak ada tekanan hendak kejar itu ini. Makan minum
tidur sembang bersama family, berjalan-jalan di hujung kampung sebelah
menikmati laut atau turun ke bandar Sandakan… pun nampak laut.
Menikmati ‘angin’ yang berbeza.
love,
monalizahrais
Bt.3 Jln Kapar, Klang
Selangor
6 Mei 2017 Sabtu
No comments:
Post a Comment