Assalamualaikum, hari ini Sabtu bermula dengan pagi yang sekejap mendung berselangseli cerah. Sepanjang minggu ini, hampir setiap hari hujan terutama pada waktu tengah hari menganjak ke waktu petang, malah berlanjutan sehingga awal malam.
Hari ini cerita pasal surirumah. Pada zaman serba moden yang dibanjiri melimpah ruah dengan teknologi yang pelbagai, segala macam smart, antaranya smartphone... surirumah kini lebih advance berbanding surirumah zaman mak bapak kita. Masing-masing pun sama hebat pada zamannya, cuma perbezaan dari sisi teknologi yang saya maksudkan.
Kita ambil satu contoh, emak kita pada zamannya sekitar -+ 30 tahun yang lepas... sekiranya hendak membuat resepi kuih muih yang baru, sudah tentu perlu bersemuka dengan rakan-rakannya yang tahu buat resepi berkenaan. Jadi, sudah pasti rakan tadi akan demo step by step dari A to Z. Dalam proses belajar ini selalunya akan diselangseli dengan aktiviti bersembang, makan minum malah mengambil masa beberapa hari sehingga emak kita pandai membuat kuih muih yang dipelajari. Malah akan ada follow up dari sifu yang mengajar memastikan sama ada anak murid tidak rasminya itu sudah terror sama sepertinya.
Sekarang, semua orang pun tahu, on sahaja laptop atau smartphone kita walaupun setakat surirumah... taip apa saja resepi semuanya yang berkaitan akan muncul, sampaikan kita sendiri tak larat hendak pilih yang mana satu. Malah siap ada perancangan lagi hendak cuba yang mana dulu. Contoh, kita taip ayam masak merah, tetapi yang muncul di skrin bukan hanya ayam masak merah, berjenis masakan ayam yang lainnya turut terselit sama.
Kadang kala ada suri rumah yang lebih hebat berbanding wanita berkerjaya. Ada yang pandai mengaplikasikan kelebihan teknologi dengan melakukan pekerjaan dari rumah, malah mendapat pendapatan lumayan! Kesimpulannya kalau kita wanita berkerjaya, jangan pandang rendah wanita lainnya yang hanya surirumah, menguruskan rumahtangga, anak dan suami semata-mata.
Ada wanita yang berpendidikan tinggi tetapi memilih menjadi surirumah setelah berkahwin. Pastinya ada beza isteri/ibu yang menjadi surirumah jika dibandingkan dengan surirumah yang tidak berpendidikan. Maksud pendidikan yang saya sebutkan tidak menjurus kepada pendidikan formal sekolah rendah, menengah, universiti sahaja. Terpenting sekali pendidikan agama.
Ramai yang ditanya latar belakangnya apabila seseorang itu berjaya, kadang-kadang emaknya sekadar surirumah sahaja, tetapi apabila diamati... bukan sebarang surirumah tetapi begitu teguh pegangan dan amalan agamanya sehingga dia berjaya mendidik anaknya menjadi orang yang berguna kepada masyarakatnya.
Menjadi surirumah akan ada masanya sibuk dan adakalanya banyak masa terluang juga. Waktu sibuk sekiranya anak-anak dalam proses membesar dan tidak ada pembantu rumah. Masa lapang setelah anak-anak besar sedikit dan hanya memerlukan pemantauan minimum atau ketika anak-anak sedang berada di asrama/sekolah.
Saya pernah mengenali seorang kakak yang bosan duduk di rumah, ketika itu saya sedang bekerja di sebuah kilang elektronik. Menurut kakak yang saya kenali itu, dia bekerja bukan disebabkan wang, duit tidak menjadi masalah baginya, sekadar suka-suka sahaja untuk mengelakkan rasa bosan duduk di rumah. Dia berkahwin pada usia seawal 18 tahun dan pada usia 30-an ketika saya berkenalan dengannya, dua orang anaknya bersekolah menengah dan duduk di asrama, seorang lagi anaknya dihantar ke kampung bersekolah di sekolah agama. Dia dan suami berniaga pelbagai jenis tudung di pasar malam sekitar Lembah Klang.
Seorang lagi rakan sekerja saya pada masa itu, dia belum mempunyai anak lagi, dia dan suaminya juga berniaga makanan, katering dan ada pekerja sendiri. Dia juga mengisi masa terluangnya dengan bekerja. Katanya lagi kalau dia sudah bosan bekerja di situ, dia akan berhenti pada bila-bila masa. Yang menariknya ada seorang lagi rakan apabila ditanya penemuduga kenapa dia ingin bekerja di kilang tersebut... jelasnya suaminya seorang askar dan selalu outstation. Sekurang-kurangnya dengan bekerja shift siang dan malam dia tidak akan rasa keseorangan.
Elakkan bergosip, bersembang kosong yang langsung tidak mendatangkan faedah sekiranya kita banyak masa terluang. Lebih baik masa lapang itu diisi dengan mempelajari kemahiran tertentu, contohnya menjahit ataupun sekiranya berlebihan dari segi kewangan, tidak salah mengikuti kursus jangka masa pendek, ada banyak faedahnya. Menghadiri majlis ilmu juga mungkin dapat dipraktikkan. Siapa tahu ilmu yang diperolehi dapat diamalkan disampaikan kepada orang lain pada masa akan datang, kita tidak tahu. Contoh, kita mengikuti kelas agama berjadual, tak banyak setakat beberapa jam dan itupun sehari dalam seminggu misalnya, kemudian pada satu hari kita duduk dalam satu majlis keramaian dan bersembang dengan rakan semeja. Secara kebetulan rakan semeja kita itu sedang musykil tercari-cari jawapan... macammana hendak jamak solat ketika sedang dalam perjalanan. Secara kebetulan sedikit ilmu yang diperolehi sewaktu mengikuti kelas-kelas agama dapat membantu menjernihkan permasalahannya.
Menjadi surirumah tidak bermakna kita tidak tahu apa-apa. Stigma sebegitu patut digantikan dengan kepercayaan menjadi surirumah menjadikan seseorang wanita itu berkemahiran tinggi dalam bidang perniagaan online, memasak, jahitan, penulisan dan lain-lain kemahiran. Air tangan seorang isteri/ibu yang mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupannya, apabila dia memasak atau mendidik anak-anaknya, InsyaAllah tidak sia-sia dan penuh dengan keikhlasan dan keberkatan.
Ada seorang rakan fb saya, tidak perlulah disebut namanya di sini. Pada zaman sekolah menengah saya dahulu, senior saya ini merupakan seorang pelajar pintar, sangatsangat pintar pada pandangan mata saya sebabnya dari tingkatan satu sehingga tingkatan lima, kedudukannya konsisten di dalam kelas, sentiasa nombor satu dan mendapat markah 100% dalam semua subjek memang miliknya. Tidak ada seorang pun yang dapat menandinginya. Dia sentiasa menjadi pelajar terbaik, disayangi guru dan rakan-rakan. Sangat mudah baginya memasuki universiti disebabkan kecemerlangannya itu.
Bertahun-tahun berlalu, rangkaian facebook menemukan kami semua di laman maya. Sepatutnya dengan kelulusan bertaraf universiti itu, kita akan menganggap dia sedang bekerja dan berpendapatan lumayan. Tetapi saya silap, dia hanya seorang surirumah, seorang isteri dan ibu kepada seorang anak. Malah dia tidak malu mengakui dia seorang surirumah. Tetapi kepintarannya itu sebagai seorang surirumah diaplikasikannya dengan mempelajari kemahiran membuat kek dan manisan, menyulam dan menjahit, mengambil tempahan membuat baju dan kuih raya. Setiap kali dia post gambar kek yang baru dibuatnya, ratusan like dan komen positif dapat dilihat di wall fbnya. Malah melalui blognya juga, dia mempunyai rangkaian sahabat alam maya yang ramai.
Itulah antara bukti menjadi surirumah pun boleh menjana pendapatan lumayan. 9 daripada 10 sumber rezeki datangnya daripada perniagaan.
Sumber inspirasi kita sebagai seorang surirumah berkebolehan terlalu banyak, jalan-jalan sahaja di alam maya pun sudah dapat bermacam cara yang boleh dipilih. Saya mengatakan sebegitu sebagai panduan kepada diri saya terlebih dahulu. Saya juga seorang surirumah dan dalam proses menjana pendapatan lumayan dari rumah, InsyaAllah.
Yang pasti, wanita menjadi surirumah tidak janggal dilihat, tetapi kalau lelaki yang menjadi surirumah, agak pelik juga pada pandangan mata saya. Pun begitu, ada juga lelaki yang menjadi surirumah, isterinya bekerja di luar rumah, tetapi suaminya ini menjana pendapatan dari rumah sambil melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, membasuh dan menjaga anak. Terima kasih kepada teknologi kerana wujudnya mesin basuh automatik (langsung sedikit pun tangan tidak basah, just masukkan baju dan serbuk pencuci/pelembut pakaian, lepas itu tekan punat on/start), periuk nasi elektrik, cerek elektrik dan lain-lain lagi barangan rumah yang memudahkan kita melakukan kerja dengan pantas dan selamat. Sambil mesin basuh beroperasi, kita masih boleh 'curi tulang' dengan menaip sesuatu di laptop kita. Yang paling glamour sambil-sambil berfacebook. Atau sementara nasi kita sedang dimasak oleh si periuk nasi elektrik... jalan-jalan sekejap mencari resepi untuk masakan istimewa!
hakcipta terpelihara,
monalizahrais
No comments:
Post a Comment