Saturday, December 15, 2012

KERJA II

Assalamualaikum dan salam hujung minggu.

Sambungan kisah adik kami yang baru habis SPM itu, sambungan cerita KERJA  sebelum ini. Emak dan ahli keluarga di kampung telah sepakat, supaya biarlah adik kami itu meluangkan masa bercuti di kampung sahaja, mereka kurang berkenan dia datang ke sini untuk bekerja sementara menunggu keputusan SPM keluar. 

Alhamdulillah dan saya rasa itulah keputusan terbaik. Menurut emak saya melalui telefon saya kepadanya - dia bersetuju jika adik kami itu datang belajar (InsyaAllah rezekinya belajar di sini) ke sini selepas SPM. Pada masa itu sekiranya dia belajar dan bekerja part time sewaktu cuti semester, emak tidak membantah. Tetapi emak kurang senang, risau jika dia bekerja sebelum result keluar... bimbang adik terpengaruh dan pudar keinginan untuk sambung  belajar.

Apabila difikirkan semula... adik Jejeng belum pun berusia 18 tahun, sangatlah 'budak' walau umur remaja. Apalah sangat pengalaman hidup yang dia ada, maksud saya pengalaman berhadapan dengan kehidupan sebenar, kehidupan orang dewasa yang sentiasa dihambat dengan pelbagai tanggungjawab.
 Lingkungan hidupnya berkisar di asrama di sekolah agama, rumah di kampung dan sesekali turun ke bandar Sandakan. Selebihnya sentiasa ditemani oleh ahli keluarga dan waktu cuti sekolah pun banyak terperuk di rumah, sesekali keluar berjumpa rakan satu sekolah, tentunya dengan pengawasan ahli keluarga. Kawan yang mencurigakan, akan diperhatikan dan disuruh dijauhi agar tidak terjebak ke dalam perkara-perkara yang tidak baik.

Umur 18 tahun sehingga umur +- 25 tahun adalah masa-masa terbaik menuntut ilmu mendapatkan sekurang-kurangnya diploma atau ijazah, kebiasaannya bermula dari peringkat matrikulasi atau tingkatan enam. Peringkat seterusnya adalah pilihan dan minat seseorang - ijazah sarjana ke PHD, pada ketika ini selalunya pelajar sudah bekerja sambil belajar, sudah berkahwin dan kehidupan yang dilalui sedang menuju ke aras hidup yang semakin stabil. 

Orang tua kami mementingkan ilmu, disebabkan masa silam mereka tidak ada peluang belajar bagus-bagus di sekolah rentetan nenek moyang kami dibelenggu kemiskinan hidup dan tidak ada kesedaran tentang kepentingan ilmu.
Sebab itulah sekiranya kami adik-beradik jika ada ruang dan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi ditambah dengan minat memang mahu belajar... mereka sentiasa memberi sokongan.

 Sekarang giliran adik kami Jejeng menghampiri fasa baru menjadi remaja purba dan bakal memasuki alam dewasa. Umur 18 tahun sehingga 25 tahun (+-) saya andaikan seperti menternak mutiara, ada yang graduasi berijazah seawal usia 23 tahun atau selewat-lewatnya 25 tahun, selalunya diploma sekitar 21  atau 22 tahun - itu mengikut perkiraan biasa. Suasana luar biasa pula, ada yang bekerja dan berkeluarga dahulu sehingga beranak pinak kemudian menyambung pelajaran sehingga peringkat tertinggi, melibatkan mereka yang berusaha keras dalam kehidupan atau punya kewangan yang mantap.

Menternak mutiara, memerlukan kesabaran tinggi, air laut (suhu air) dan persekitarannya memainkan peranan penting untuk menghasilkan mutiara yang tinggi kualitinya dan dikagumi kecantikannya. Siapa yang tidak suka mutiara? Mencecah harga ribuan malah ratusan ringgit pun tetap ada pembelinya. Tamsilan kepada mutiara dan proses penternakannya yang memerlukan kesabaran tinggi  saya ibaratkan seperti menuntut ilmu seperti yang saya sebutkan di atas.

Bayangkan ditakdirkan umur si polan hanyalah berhujung pada usia 60-an sahaja, sekadar belajar sekurang-kurangnya 5 ke 6 tahun dan ada ijazah atau diploma hanya beberapa waktu sahaja jika dibandingkan dengan usia keseluruhan. Bermakna kesusahan dan cabaran semasa belajar itu samalah seperti suhu air laut, persekitaran bersih atau tidak, serta pengaruh bencana alam yang perlu dihadapi dalam menghasilkan mutiara berkualiti.

Dan... sampai masa konvokesyen itu dapat diibaratkan seperti mutiara yang sudah siap dikeluarkan dari cangkerangnya sedia untuk dipasarkan berdasarkan kualitinya. Tetapi itu tidak bermakna mereka yang tidak punya kelulusan tinggi dianggap gagal kehidupannya. Itu juga satu tanggapan salah. Kadang kala cabaran kehidupan dalam dunia sebenar menjadikan seseorang itu berjaya dalam bidang yang dipilihnya berbanding mereka yang menjadi pelajar tadi. Contoh, selesai SPM si polan memilih untuk berniaga kerana dia memang minat berniaga. Dan... dia berusaha tanpa jemu sehingga akhirnya menjadi ahli perniagaan yang sangat berjaya.

Dalam proses menternak mutiara, akan ada yang tidak berjaya. Begitu juga dalam proses belajar, ada yang kecundang di tengah jalan. Jadi, kehidupan yang bakal dicorakkan untuk dinikmati sepanjang hayat bergantung kepada usaha tanpa jemu selain doa kepada Maha Pencipta.

   

No comments:

Post a Comment