Tuesday, December 25, 2012

PEMBANTU RUMAH II

XYZ mengatakan begini - "Duduk rumah saja, tiada kerja juga yang hendak dibuat". Pendapat saya secara peribadi, hanya orang malas atau memandang rendah mereka yang menjadi surirumah sahaja mengatakan sedemikian.
 
Kalau tiada langsung kerja di rumah yang hendak dikerjakan... kenapa pula ada yang pening kepala disebabkan bajet duit sampai mencecah ribuan ringgit semata-mata hendak mendapatkan pembantu rumah dari seberang? Itu menunjukkan sejelasnya, betapa rumah kita yang tidak pandai bersuara seperti kita itu perlu diselenggara - kemas, basuh, makanan dan sebagainya. Malas atau rajin atau sibuk bekerja yang menjadi alasan. 
 
Sekiranya kita bekerjaya, janganlah pandang rendah mereka yang hanya bergelar surirumah. Jangan sesekali menyindir atau membandingkan. Pengorbanan yang mereka lakukan, sangatsangatsangat besar dan lebih tinggi nilainya jika dibandingkan dengan RM yang terpaksa dilabur kepada pembantu rumah yang selalunya tidak ada kaitan keluarga itu. Malah tidak jelas pun latar belakang mereka.
 
Hargai isteri, ibu atau saudara terdekat kita yang sanggup menjaga anak kita, sanggup melakukan kerja-kerja rumah yang tidak pernah berpenghujung itu tanpa meminta sebarang upah daripada kita. Mereka ikhlas melakukannya kerana kita saudara terdekat mereka. Orang lain ada yang sanggup buat macam tu? Ada, tetapi dengan syarat dibayar upah mereka.
 
Malah pengemis yang meminta merayu dengan kita walau apapun tujuan mereka mengemis, sama ada terdesak/sindiket atau lakonan semata-mata, pun kita dilarang menghina mereka apatah lagi keluarga kita sendiri yang tinggal serumah dan membantu meringankan kerja-kerja rumah.
 
Duit memang penting, tetapi tidak semua perkara dapat diatasi dengan duit. Sesetengah perkara hanya memerlukan kasih sayang sahaja. Sudah namanya manusia, bermacam ragam yang dapat diperhatikan. Ada yang memilih kawan berdasarkan duit dan beruntunglah mereka yang memilih kawan/sahabat berdasarkan agama Islam.
 
Pagi ini saya menulis tentang pembantu rumah II kerana seseorang yang saya kenali, saya perasan dia memandang rendah mereka yang menjadi surirumah yang hanya ditanggung suami. Kononnya duduk rumah sahaja tidak buat apa-apa kerja. Berbanding dia yang bekerja dan dapat duit gaji setiap bulan, sentiasa berpeleseran di pusat membeli belah. Dia menilai seseorang berdasarkan kaya atau miskin. Yang miskin dicemuh dan yang kaya dipuji-puji. 
 
Biarlah si Luncai hanyut dengan labu-labunya. Pepatah ada mengatakan, roda kehidupan sentiasa berputar, ada masanya kita di atas, siapa tahu di lain waktu mungkin kita di bawah roda.  Kalau kaya menjadi ukuran bahagia, renungkan pula kisah Qarun yang kaya raya sehinggakan kunci gudang-gudangnya dipikul oleh berpuluh-puluh unta akhirnya tenggelam ditelan bumi disebabkan kesombongannya itu? Dan kalau cantik menjadi ukuran kebahagian rumahtangga, kenapa artis yang dilabel jelita, cantik, menawan itu banyak yang kecundang rumahtangga mereka?
 
Nikmat rezeki yang diberi tetapi digunakan untuk menghina orang lain, kita tidak tahu Allah berhak menariknya bila-bila masa sahaja. Janganlah sombong sangat, kerana sombong itu memandang rendah kepada orang lain dan menolak kebenaran.  
 
 
  
 
 

No comments:

Post a Comment