Friday, July 6, 2012

RAYA

Raya di mana? Di kampung halaman sendiri atau kampung halaman pasangan kita. Soalnya  hari raya pertama itu kadang-kadang membuatkan suami isteri berselisih faham. Ada juga yang dapat bertolak ansur bincang elok-elok mengatur giliran tapi tidak kurang juga yang bersifat kuku besi, sama ada di pihak isteri atau suami.
 
Saya dan suami tidak ada masalah tentang raya di mana, setakat ini raya di Sandakan dahulu kemudian barulah di KK. Ada kaitan dengan faktor flight juga, lebih mudah menaiki penerbangan terus dari KL menuju Sandakan berbanding KL ke KK. Dari KK hendak ke Sandakan itu akan menyekat/memperlahankan urusan di Sandakan. Berdasarkan pengalaman lepas... hanya setelah semua urusan penting selesai barulah kami gerak ke KK.
 
Malam tadi suami bercadang hendak singgah di KK semasa cuti kami di Sabah yang cuma 14 hari saja itu. Minggu pertama kami sekeluarga akan ke Semporna untuk majlis kahwin adik saya dan selang seminggu kemudian majlis di Sandakan. Usai majlis dari Semporna suami saya bercadang ingin singgah di KK bertemu keluarga. Mungkin hanya suami sahaja yang singgah ke KK. Katanya sekadar singgah untuk satu malam. Saya tak kisah kata saya, terpulanglah kepada dia hendak berapa hari pun... tapi saya terus terang katakan... saya tidak dapat ikut sekali ke KK kerana selang masa seminggu itu sebenarnya terlalu singkat, banyak yang perlu dibuat di Sandakan untuk majlis resepsi nanti.
 
Ada sebab kenapa saya berkata seperti itu. Ikut pengamatan saya, keluarga suami saya jenis yang terlalu berpegang dengan adat resam... lebih gemar berkahwin dengan kaum keluarga sebangsa misalnya ada yang berkahwin dengan sepupu sekali, diringkaskan perkahwinan yang diatur sesama keluarga terdekat. Bertujuan untuk memelihara ikatan keluarga dan adat resam itu sendiri. Jadi maknanya dari segi pemikiran pun ada masanya sukar untuk menerima perubahan/idea baru. Yang lucunya ada masa-masa tertentu kami bakal bertemu ahli keluarga yang tinggal jauh... saya sudah dapat mengagak raut wajah ahli keluarga tersebut. Mesti muka paten macam ini itu... dan memang banyak acuan serupa, yalah kalau dah kahwin sesama keluarga.
 
Berbeza dengan keluarga saya yang berkahwin dengan pelbagai bangsa, kami tidak kisah sangat tentang adat resam ni, sekadar ambik cukup syarat saja selagi tidak menyalahi agama. Malah sifat tolak ansur itu memang menonjol mungkin disebabkan ada banyak jenis bangsa dalam keluarga kami, bebas memberi dan menerima pendapat.

Sepatutnya saya perlu ikut suami singgah ke KK, tapi saya fikir macam ni... memandangkan kedua-dua orang tua suami saya telah lama meninggal dunia, saya berhak untuk tidak ikut. Bukannya apa... kita cakap singgah sekejap sebabnya ada urusan di Sandakan tapi selalunya akan ditahan untuk beberapa hari... itu yang saya tak nak. Lain dirancang lain yang jadi... Seperti yang saya katakan sebelum ini, berdasarkan pengalaman lepas... hanya setelah urusan penting siap dijalankan barulah singgah di KK. Lagipun...masalah bas tu, faham-faham sajalah mood perayaan, saya risau tiket tiada ataupun takut dapat tiket yang cuma sehari dua sebelum majlis di tempat kami. Kereta keluarga ada tapi tentunya sibuk turun naik bandar membeli belah persiapan kahwin. Kalau bergerak sendiri ok jugalah tapi namanya pun kereta keluarga +- macam kereta syarikatlah...
 
Bukan terlalu risau, sebabnya kita tidak tahu apa sebenarnya akan terjadi di masa hadapan. Kita cuma merancang dan inilah yang saya terjemahkan melalui tulisan di blog ini... proses berfikir itu mengambil kira pelbagai faktor termasuklah pengalaman lepas. Secara peribadi, sejak saya remaja lagi, saya sudah memasang impian untuk tinggal di KK tetapi setelah dewasa dan melalui alam berumahtangga... setelah terjadi bermacam peristiwa pahit manis, yang terbaik buat masa ini menetap di Malaya.
 


 
 


 

No comments:

Post a Comment