Sunday, July 1, 2012

ANAK KAMPUNG ANAK BANDAR

Lahir dan membesar, melalui zaman kanak-kanak sehingga remaja dan seterusnya dewasa di dua tempat yang berlainan... kampung atau bandar, semestinya perwatakan yang berbeza. Setiap kali saya balik kampung, kalau seseorang ada anak yang masih bayi lingkungan dua tahun ke bawah (contoh terdekat adik saya)... mesti kedengaran pesan dari orang tua-tua supaya tidak membawa anak kecil itu keluar rumah menjelang waktu Maghrib, walaupun keluar rumah menggunakan kereta. Dibimbangi anak kecil itu diganggu oleh makhluk halus yang bermacam namanya itu.
 
 
Di I - City dekat Shah Alam, malam sudah melepasi 12 tengah malam, bukan sesuatu yang asing melihat pengunjung membawa sekali bayi mereka, ada yang ditolak dengan stroller ataupun digendong begitu sahaja. Bayi itu pula terang matanya tidak ada tanda-tanda mengantuk. Di kampung, kalau si anak kecil menghampiri jam 9 malam masih tidak mahu tidur lagi, mak bapa nenek datuknya sudah bimbang kenapalah bayi ini tak mahu tidur walaupun sudah disusukan.
 
 
Mak saya yang baru pertama kali datang ke sini itu berkata, di bandar ini bukan lagi manusia yang takut dengan hantu, tapi hantu sudah yang takut dengan manusia, berani sungguh orang-orang di sini membawa keluar bayi mereka pada waktu malam. Semestinya mak berpandangan seperti itu kerana lingkungan hidupnya sentiasa di kampung halaman, hanya hal-hal penting sahaja barulah dia keluar bandar. Hendak mengajaknya setakat keluar bersiar-siar... belum tentu lagi dia setuju 100%, banyak membazir duit katanya.
 
 
Hidup di bandar terutamanya di KL memang mencabar, tinggi kos hidup walaupun bergaji tetap setiap bulan dengan RM yang ribu-ribu. Hidup di kampung walau gaji tidak setinggi mana, hati tetap senang tidak terlalu memikirkan banyak perkara yang remeh temeh. Di bandar, benda remeh pun menjadi perhatian misalnya masuk tandas sekurang-kurangnya kena stand by duit syilling. Hendak keluar sekejap membeli barang kena sedia duit kecik untuk bayar parking. Istilah sekejap di bandar memakan masa berjam-jam tanpa sedar dek ramainya orang dan kesibukannya, istilah lama di kampung pula sejam itu sudah cukup merimaskan kerana suasana yang selalunya tenang sahaja, jarang sekali hiruk pikuk.
 
 
Ambil satu sisi, kanak-kanak kampung yang tahan lasak selalu panjat pokok terjun sungai begitu dekat dengan alam semulajadi, sambil bermain kalau makan pun biasanya buah-buahan yang ada di sekitarnya. Kanak-kanak bandar mungkin lebih mengenali pelbagai jenis coklat mahupun makanan segera yang senang didapati berhampiran kediaman mereka serta bermain di taman permainan. Beza memang berbeza, saya menulis seperti ini pada lewat petang ini kerana saya lahir dan membesar dalam suasana kampung, hanya setelah mencecah umur 20 tahun sehingga sekarang saya tinggal dalam lingkungan kehidupan moden... suasana bandar walau saya rasa penampilan saya masih 'kampung' lagi. Sekurang-kurangnya saya bersyukur saya tidak terlalu terpengaruh dengan fesyen, payah juga tu kalau obses dengan bermacam stail berpakaian yang kebanyakannya 'lari' daripada yang sepatutnya.
 
Sering kita mendengar, lain dahulu lain sekarang... memang betul dan saya sedar, Al-Quran dan Hadis jugalah yang sesuai diamalkan sepanjang zaman. Itulah pegangan terbaik... ingatan untuk diri saya sendiri.





 
 
 
 


 
 
 
 

No comments:

Post a Comment