Assalamualaikum, salam hari Rabu. Cuaca hari ini bermula cerah dan beransur-ansur suram sehinggalah hujan lebat. Menulis dari cc sebabnya hujan lebat di luar sana... pergerakan tersekat sekejap, rancangan awal hendak membeli sedikit keperluan berpuasa, InsyaAllah...
Ramai yang belajar tinggi-tinggi dan mendapat pekerjaan yang gajinya beribu-ribu ringgit setiap bulan, malah ada yang hidup mewah. Mewah mengikut tafsiran masing-masing, mampu membeli set wangian dan handbag berjenama yang ratusan ringgit. Tapi berapa ramai yang mengamalkan/menyampaikan ilmu yang mereka dalami sewaktu di universiti dahulu? Misalnya seorang graduan berkelulusan sains dan menjadi seorang guru, adakah dia benar-benar mendalami ilmunya ataupun sekadar menyampaikannya mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan? Pernahkah dia mengaitkan tentang sains dan kehidupan atau dari sudut pandang agama sambil bercerita tentang itu kepada anak muridnya?
Saya teringat satu kisah yang bagi saya ianya lucu dan tidak patut diucapkan oleh seorang guru. Beberapa tahun lepas, seseorang yang saya kenali... dan dia seorang guru bertanyakan soalan lazim - kenapa saya tidak mempunyai anak lagi?, bila hendak beranak dan yang paling melucukan ialah... katanya jangan tunggu lama-lama, cepat-cepat buat anak.
Spontan respon saya sebaik sahaja mendengar setiap patah katanya itu... ketawa sesuka hati... tak dapat ditahan-tahan lagi ketawa saya itu sebabnya kalau yang bertanya itu seseorang yang tidak berpelajaran tinggi, hidupnya biasa-biasa sahaja dan hanya duduk di kampung kahwin dan beranak pinak, tidaklah menghairankan sangat, tapi yang bertanya itu seorang guru berlatarbelakangkan jurusan sains dan pembawaan dirinya seolah-olah dia tahu semua perkara. Senang cerita temberang, bilang orang Sabah.
Itulah bahananya kalau berpendidikan tinggi tapi bekerja untuk duit semata-mata. Sayang sekali, ilmu yang dipelajari berkarat begitu sahaja kan. Oh ya, jawapan saya sangat mudah... kalaulah aku tahu jawapannya, soalan seperti itu tidak akan wujud, lagipun kita cuma berusaha Allah juga yang menentukan bukan?
Dia tersengih-sengih mendengar jawapan saya itu... saya tidak suka dengan situasi ini, maksud saya dia sebagai seorang yang berpendidikan tinggi, janganlah temberang atau bangga sangat dengan kedudukan yang kita ada. Ilmu bersifat sangat luas. Dugaan bagi orang yang berilmu bukan untuk dibanggakan ilmunya itu, tetapi cabarannya mengamalkan/menyampaikan kepada mereka yang tidak tahu.
Kadang-kadang kita lihat datuk nenek kita dengan bangganya bercerita tentang warisan keris pusaka dari nenek moyang, sekurang-kurangnya dia bercerita tentang sesuatu dan mengaitkannya dengan kehidupan/keberanian orang terdahulu. Tapi kalau sekolah tinggi dapat kerja bagus tunggu cukup bulan dapat gaji, menghabiskan duit membazir begitu sahaja... apalah yang dapat diwariskan terhadap anak-anak, takkan ilmu membeli-belah secara mewah kan?
No comments:
Post a Comment