Saya kurang minat membaca buku yang tebal-tebal, terutamanya novel. Tetapi saya suka membaca buku bergambar. Saya suka membaca buku kanak-kanak. Tetapi akhirnya minat membaca itu beralih perlahan-lahan terhadap novel dewasa. Lagi tebal lagilah saya suka. Apa saja genre saya tidak kisah yang penting seronok membacanya.
Walaupun begitu, minat terhadap buku kanak-kanak tetap tidak dilupakan. Oh ya, saya hendak bercerita tentang dua buku yang begitu terkesan di hati saya, seterusnya membawa kepada pertemuan dengan penulisnya untuk mendapatkan tandatangannya.
Seorang ayah yang bekerja sebagai tukang kayu, tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah tetapi dia tidak jemu berusaha untuk menunaikan tanggungjawabnya terhadap anak-anaknya. Kadang-kadang dia tidak dibayar upah tetapi dia tidak pernah bermusuhan dengan orang tersebut. Sangat penyabar, sentiasa sarat dengan nasihat terhadap anak-anaknya, berpandangan jauh serta mementingkan nilai-nilai Islam.
Kisah yang kedua pula ada kaitan dengan negara Jepun, konflik antara anak dengan ibu bapanya. Tetapi yang membuatkan ianya terkesan di hati saya, ada satu peristiwa yang sama dan berulang pada hari tertentu, tanpa sedar ianya berlanjutan sehingga beberapa bulan.
Apabila saya selesai membaca novel-novel tersebut, saya berazam akan menemui penulisnya untuk mengucapkan tahniah kerana watak tukang kayu itu 80% sama dengan watak bapa saya yang juga seorang tukang kayu.
Kisah yang kedua pula ada satu peristiwa yang saya alami,kisah yang berlainan dengan novel tersebut tetapi yang samanya cara ianya terjadi iaitu berulang pada hari tertentu dan berlanjutan beberapa bulan.
Tetapi apabila berhadapan dengan penulis tersebut, saya tidak dapat menyatakan seperti yang telah saya rancang. Tiba-tiba rasa sedih menerpa mengingatkan ayah saya yang sedang sakit. Sudahnya saya hanya mendapatkan tandatangannya dan membeli bukunya yang terbaru.
No comments:
Post a Comment