Saturday, September 1, 2018

HELAH DI MUKA BUKU


Assalamualaikum…


Awal pagi lagi dah hujan, sejuk. Berhenti hujan lebih kurang jam 9 pagi. Kemudian panas menyengat sehingga sekarang. Seperti hari-hari sebelumnya, hujan awal pagi diikuti panas sehingga penghujung hari siang. Yang penting cuaca di hati kita stabil, kalaupun ada waktunya mendung atau hujan sesekali, asas perasaan itu mesti cerah (amboi ayat)
Ok, tajuk Helah di Muka Buku. Atau senang faham ayat-ayat helah di facebook. Selama 8 tahun menjadi warganegara Facebook… tanpa sedar kita menjadi saksi kepada banyak peristiwa bertulis/bergambar/video rakan-rakan fb. Bukannya niat kita menyibuk hal ‘rumah’ rakan-rakan fb… maksud saya news feed yang terhidang di hadapan kita ada yang seperti episod drama yang bersambung-sambung. Dalam diri masing-masing ada elemen drama.


Semakin banyak kita menulis, semakin terserlah sisi baik buruk diri kita. Pernah saya mengikuti kuliah berkaitan tanda-tanda kiamat, di akhir zaman akan terjadi banyak aktiviti penulisan. Tidak semestinya dalam bentuk buku…yang terdekat, platform Facebook, Whatsapp, Instagram dan  yang sewaktu dengannya. Semua benda kita nak tulis cerita kat orang lain. Ada banyak urusan menggunakan tulisan. Dan sekarang kita sama-sama tahu… sampai tahap tak larat baca melayan tulisan tanpa sempadan di fb.


Sekarang kita ‘U turn’ tajuk utama ~ helah di mukabuku. Cerita pertama… salah satu group komuniti di fb yang saya join…ada ahli group upload sekeping gambar tanpa dialog…sebelum pilihanraya PRU14 yang sudah. ‘Menceritakan’ seorang YB (Yang Berhormat) sedang menghulurkan bantuan kepada orang miskin. Jadi kami ahli group pun berduyun-duyun menulis di ruangan komen. Secara keseluruhannya…komen-komen kami jenis positif, tidak ada unsur maki hamun atau fanatik parti. Semua positif bersetuju dengan gambar tersebut.


Sebab kita dah tulis komen…setiap kali ada komen baru, automatik notification fb kita merah. Sambil saya membaca news feed yang lalu lalang di fb…notification merah semakin bertambah… kemudian saya bertandang semula di group komuniti, nak tahu sangat apa yang meriah ni... rupa-rupanya tuan tanah yang post gambar sekeping tadi… dia dah tambah beberapa keping gambar berbaur provokasi dan semacam ayat-ayat fitnah, selepas beberapa minit dia upload gambar yang pertama. Maknanya dia ‘add picture’. Komen-komen juga semakin panas, hangat dan membakar jiwa… sudah ada yang maki hamun bergaduh di ruangan komen.


Saya sound direct jer… tuan tanah tak patut buat begitu, seolah-olah perangkap kepada ahli group yang komen positif awal-awal tadi, saya tanya apa helah dan tujuan dia buat begitu? Kalau ya pun hendak berpolitik… politiklah secara matang, hujah dengan fakta bukan fitnah. Selain saya… ada beberapa ahli group yang menyedari helah tuan tanah tadi… juga tidak bersetuju dan ingin leave group.


Cybertrooper tuan-tuan dan puan-puan, saya klik profile dia, hanya sekeping gambar bangunan nampak sangat akaun fake. Next, dia siap tekan emoji ‘haha’ ~ gelak di komen saya. Beberapa minit kemudian, dia request friend fb saya. Accept tak? Sorry naik lorry ya! Kenapa saya kena accept orang sebegitu? Fake akaun pula tu? Apa niat? Kemudian ada beberapa friend request menyusul. Semuanya fake akaun, saya syak geng dia. Akhirnya saya terpaksa block kerana semakin ramai pula friend request – semuanya fake akaun…pergh!!!!serrremmmm…


Cerita kedua ~ saya tulis status throwback/campak balik/flashback kisah zaman remaja saya selalu menunggu kenderaan balik kampung di satu tempat. Saya bercerita tentang angan-angan pada masa itu kalaulah rumah saya di situ kan senang…tak perlu menunggu berjam-jam lamanya, balik sekolah terus menapak ke rumah. Angan-angan itu menjadi kenyataan beberapa tahun sudah, ada perumahan baharu siap dibina khusus untuk anak-anak peneroka (kami lah tu). Saya sendiri turun naik ke Majlis Perbandaran mengurus rumah kami. Jadi mana helahnya? Kemudian ada friendlist datang berkunjung ke post fb saya… cuma komennya berbaur politik, dia bercerita tentang ragam orang politik, rasa tidak puas hati itu ini begitu begini…saya pun layankan saja macam biasa, sebab apa yang dia cakap tu ada betulnya…


Selesai berbual…jam demi jam berlalu…tiba-tiba saya rasa tak sedap hati, saya scroll semula fb saya. Dia yang rancak komen post status saya tadi tu…tiba-tiba delete semua komennya, tinggal komen saya. Membawa maksud kalau orang lain baca post saya sekali baca ruangan komen… seakan-akan saya yang tidak berpuas hati, banyak komplen tentang itu ini begitu begini…tanpa komennya akan menampakkan seolah-olah saya yang banyak songeh merungut macam-macam. Akhirnya saya terpaksa delete post, hanya kerana komen kontroversi walhal post saya langsung tidak bermotif politik. Apa boleh buat kan, manusia macam-macam pe’el.


Cerita ketiga ~ kalau di Instagram ada istilah Instafamous, di fb juga ada banyak orang sebegitu…tak tahu pula apa istilahnya kalau terkenal di fb. Ada banyak follower, apa saja yang ditulis mendapat perhatian, perbalahan, polemik, ribut minda di ruangan komen. Tidak semestinya kita sebagai follower kenal siapa pemilik akaun yang famous amous anonymous itu. Kadang-kadang follower tak kisah sangat siapa di sebalik tabir akaun fb, yang utama status post mesti 'hot and spicy, segar dari ladang'.


Ya, dan saya ada follow seseorang. Kita namakan dia samaran Encik X. Follower ratusan ribu riban…status postnya sentiasa banyak like, komen dan share. saya follow dia lebih kurang dalam 3 tahun, kemudian unfollow sebab dari sudut pandangan saya… Encik X sudah berubah, kebanyakan statusnya bersifat perangkap. Ada kepentingan sendiri.


Ceritanya begini ~ Encik X penjual online satu produk makanan kering. Di samping itu Encik X selalu up status isu-isu viral ~ menyatakan pendapatnya dari sudut pandangannya. Benda biasa, terkenal atau sendu…isu-isu viral di fb menjadi pemangkin menerbitkan idea masing-masing mesti nak tulis sesuatu… sama ada sarcasm atau tidak, sekadar melayan arus viral.


Al kisah pada satu hari, Encik X upload sekeping gambar diiringi ayat-ayat sedih…katanya beginilah nasib peniaga produk makanan kering sepertinya…mengharap sepenuhnya cuaca panas baru dapat jemur produk, kalau hujan hanya mampu berserah. Di ruangan komen ramai followernya yang mendoakan Encik X supaya tabah, sabar dan yang segaris dengannya. Dalam banyak-banyak komen, ada seorang follower menyatakan kemusykilan melihat gambar yang di muat naik itu.
Gambar yang Encik X tunjuk  tidak tally dengan caption, sebab produk makanan kering itu disusun di rak bertingkat khas untuk mengeringkan produk makanan di dalam ketuhar besar, maksudnya tidak ada masalah cuaca dalam proses pengeringan. 


Dia tanya lagi, adakah gambar itu milik Encik X atau sekadar hiasan. Encik X mengakui gambar itu miliknya dan dia juga mengaku mengeringkan produk makanannya guna ketuhar khas kalau cuaca hujan. Nampak tak helahnya? Atau pinjam sekejap ayat-ayat fb ‘nampak tak permainannya?’,  ‘Acah-acah up status kesian rupanya sengaja meraih perhatian’, ‘Batak like, komen, share’.


Kemudian follower tanya, kenapa tak cakap awal-awal Encik X ada rak dan ketuhar khas itu? Kenapa buat caption ala-ala sedih? Jawab Encik X dia sengaja menguji sejauh mana kepekaan followernya. Selepas itu ada banyak lagi status jenis ‘menguji’ followernya, yang bagi pendapat saya itu bukan menguji, tapi lebih kepada helahnya saja untuk menunjuk dia lebih ‘cerdik’ berbanding followernya. Kerana ada beberapa follower yang apabila tidak sebulu dengannya di dalam memberi pendapat, Encik X akan twist cerita seolah-olah dia yang betul, orang lain salah dan ada masanya dia berlagak ‘play victim’ padahal sudah terang lagi bersuluh Encik X salah. 

Akhirnya saya unfollow Encik X kerana saya berpendapat dia sudah berubah…banyak berubah berbanding pada mula-mula saya follow dia. Button Unfollow di fb itu bebas digunapakai sesiapapun…tak setuju tekan saja.


Cerita keempat ~ dalam satu group masakan yang agak terkenal, saya join group ini sebab ada banyak pilihan menu yang kita boleh cuba masak sendiri. Ahli group dapat berkongsi masakan dan bebas nak letak resepi atau tidak. Terpulang. Al kisah ada seorang ahli muat naik gambar masakan sambil letak caption, dia suka masak masakan itu, kemudian bertanya ada ahli group yang lain tak yang satu geng dengannya. Caption yang ditulis ok, sedap didengar dan kira meriah juga ruangan komen.


Tiba-tiba ada ahli group komen menegur post tuan tanah, gambar itu miliknya, bukan tuan tanah punya. Pemilik asal gambar itu kemudian upload gambar penuh untuk membuktikan gambarnya dicuri tanpa kebenaran, dia tak kisah kalau tuan tanah nak pinjam gambarnya cuma dia berharap disertakan kredit asal gambar. Apa jadi lepas tu?


‘Pencuri’ gambar cuba mengalihkan cerita dengan bersungguh-sungguh mengatakan dia memang penggemar masakan itu, dia masak sendiri bukan dia saja-saja buat cerita atau sekadar meraih perhatian. Alalala…isu utama kredit asal gambar bukannya orang cakap dia berbohong. Ahli yang lain menyokong pemilik asal gambar masakan tersebut sambil mendesak ‘pencuri’ gambar tunjuk bukti yang diambilnya sendiri beserta resepi masakan. Kemudian ‘pencuri’ itu upload gambar yang lain mengatakan itu gambar miliknya beserta resepi yang sering digunakannya. 


Tentang kredit kepada gambar asal, si ‘pencuri’ gambar langsung tak letak kredit walaupun dah ditegur… dia terus saja bercerita tentang masakan kegemarannya itu. Sudah terang bersuluh silau mata kesalahan mencuri pakai gambar orang lain pun tetap tidak mengaku.
Tak baik macam tu kak, lembu punya susu, sapi dapat nama. Hasil penat lelah orang lain yang memasak, tapi senang-senang jer awak pakai gambar dia tanpa kebenaran, tiada kredit dari mana dapat gambar. Usaha sendiri lebih baik, orang tak marah.


Untuk diri saya terlebih dahulu, helah-helah di fb ini kita sama-sama ambil sebagai pengajaran. Kita jangan jadi begitu. Masing-masing kita punya akaun fb, kita memang bebas berinteraksi dengan rakan-rakan fb yang lain… tapi jangan ambil kesempatan sekiranya kita ada sedikit kelebihan manipulasi orang lain. Tapi kalau nak sangat berhelah, nak tunjuk kebolehan buat ayat-ayat perangkap… boleh, jadilah penulis genre aksi/thriller. Penulis buku bercorak penyiasatan ke…baru betul-betul thrill! Tak gitu?


love,
monalizahrais
Selangor
1 September 2018
Sabtu


Monday, August 27, 2018

'IMPIAN' JADI NYATA

Assalamualaikum…


Hai semua pembaca blog saya! Alhamdulillah petang ini saya menyambung siar di blog ini. Seperti biasa kena mulakan dengan cuaca – cuaca di luar rumah cerah, panas lit-lit, mencengkam jiwa dan perasaan kita, cuaca di dalam hati pun cerah tapi agak damai sebab ada angin sepoi-sepoi bahasa menyejukkan jiwa. Amboi ayat… sejak akhir-akhir ini cuaca di Klang agak panas di siang hari namun begitu ada masanya terselit ribut seketika, angin kencang dan hujan lebat. Apatah lagi emosi kita.

Oklah, terus kepada tajuk ‘impian’ jadi nyata. Saya tulis ‘impian’ bukan impian. Ada beza tu, apa sebab? Itu tandanya kena baca cerita-cerita di bawah.

Saya percaya kita semua pernah terfikir sesuatu seakan ada lintasan di ruang fikir…tidak lama kemudian apa yang terlintas di fikiran itu menjelma di hadapan/menjadi kenyataan. Rasa terkejut pun ya. Kita bagi contoh, sedang saya duduk santai menonton tv, tiba-tiba saya terfikir suami saya di tempat kerja, sudah makan belum, dia tengah rehat atau sedang sibuk dengan kerjanya. Beberapa saat kemudian smartphone saya berbunyi, di skrin tertera nama suami, saya sambut telefon dan dia bertanya saya sedang buat apa, dah makan belum dan yang sewaktu dengannya.

Next, saya teruskan dengan cerita yang lainnya.

BURUNG/KAPAL TERBANG


Zaman kanak-kanak dulu saya suka tengok burung terbang. Ada waktunya kita dapat melihat sekawan atau sekelompok burung terbang di langit. Saya sering tertanya-tanya burung ini dari mana ke mana? Bestnya kalau aku jadi burung bebas terbang ke mana-mana. Kemudian saya terfikir lagi, alangkah seronoknya dapat terbang bersama burung-burung itu…pengaruh cerita The Neverending Story ada babak kanak-kanak duduk di atas badan binatang besar, turut mempengaruhi fikiran saya ketika itu. Ditambah lagi saya suka tengok slot dokumentari National Geographic bertambah tinggi imaginasi saya. Saya percaya dunia di ‘luar sana’ sangat luas dan besar tapi saya terlalu kecil untuk tahu apakah bentuk sebenar dunia  di ‘luar sana’ itu.


Akhirnya ‘impian’ terbang bersama burung tercapai pada penghujung usia 19 tahun seminggu sebelum birthday saya yang ke 20 tahun, saya menaiki kapal terbang sambung belajar di KL.


ALAT KAWALAN JAUH/REMOTE CONTROL


Zon cerita masih di ruang zaman kanak-kanak. TV kami jenis hitam putih. Lesen TV perlu direnew setiap tahun kalau saya tak silap ingat. Bekalan elektrik guna generator. Atau guna bateri besar tu. Adik saya selalu berangan-angan sedang memegang remote control untuk pindah siaran TV. Memindah siaran TV tidak semudah memicit butang remote control… kita kena pulas semacam tombol di tepi TV. Sekarang? TV warna, nipis pula tu, remote control di tangan bukan setakat berfungsi mencari siaran TV mana yang kita suka, malah berfungsi merakam, edit siaran dan banyak lagi yang kita sama-sama tahu fungsinya remote control itu.


GRAB CAR

Grab car - ini bahagian kegemaran. Saya sejenis manusia yang tersangat penakut memandu, memegang stereng. Lebih sanggup tunggu bas atau panggil teksi. Takut saya tu…sampai ke tahap dah pergi ambik lesen kereta pun…terbengkalai tengah jalan tak habis ambik lesen, nampak sangat penakut kan…kalau ada sesiapa yang mampu menghilangkan ketakutan memandu saya ini…silakan berbagi tips hehehe…


Sebelum saya menjadi pengguna tegar app Grab Car… saya menyimpan beberapa nombor pemandu teksi yang  dipercayai. Apa-apa keperluan segera yang memerlukan saya bergerak pantas, cepat sampai ke destinasi… saya hanya call pemandu teksi, sanggup bayar lebih. Sering juga saya terfikir kalaulah saya ini orang kaya…alangkah seronoknya ada pemandu peribadi, kita duduk santai di belakang biar driver tu penat memandu melayan traffic jem dan sebagainya. Tak perlu susah-susah panggil teksi atau berpeluh tunggu bas…berhimpit bersesak dalam bas, huhuhu…


Sekarang saya nak pergi mana-mana, saya booking Grab Car dulu..hanya perlu menapak beberapa langkah dari pintu rumah tunggu Grab Car sampai. Senang sangat-sangat dan memudahkan banyak urusan.


Pernah seorang pemandu Grab Car bercerita…dia kalau nak keluar makan dengan isteri atau membeli barang keperluan atau sekadar berjalan-jalan di mall…dia sendiri panggil Grab Car saja, malas mau driving lagi mau fikir minyak, tol dan parkir. Raya puasa baru-baru ini saya dan suami jalan-jalan di Kota Kinabalu guna Grab Car saja walaupun adik saya suruh pakai keretanya. Suami saya cakap, walaupun Kota Kinabalu itu kampung halamannya sebelum merantau ke Semenanjung Malaysia… dia sudah tidak familiar dengan jalan-jalan di KK, ada banyak perubahan, pembangunan pesat bandar-bandar baru.


HOLOGRAM, AKSES INTERNET


Sebagai peminat dan penonton filem-filem aksi, sudah tentu saya terbiasa melihat bermacam teknologi pelik yang digunapakai dalam filem. Pelik dan tak masuk akal, namanya pun wayang…sekarang melihat kembali filem-filem aksi yang lama-lama seringkali saya menyebut – rupa-rupanya benda aneh ini sudah menjadi realiti pada masa sekarang.


Beberapa tahun sudah… adik saya datang rumah bercerita tentang pensyarahnya yang memakai semacam jam tangan…kemudian pensyarahnya itu menekan butang hologram di hadapan mereka. Kata pensyarah adik saya jam tangan special itu dibelinya di Singapura. Bukan sekadar jam tangan…lebih kepada smartphone cuma dalam bentuk jam tangan.


Masa zaman kanak-kanak dulu menikmati animasi Power Rangers di kaca tv, imaginasi saya ketika itu merasakan alangkah seronoknya ada jam macam Power Rangers …tapi sekarang setelah dewasa melihat sendiri lambakan gajet pelbagai jenama di pasaran tidak pula saya berminat membelinya…mungkin sebab skrin kecik sangat tak puas tengok. Suami saya pernah beli smartphone jenis jam tangan, akhirnya dia jual balik, tak seronok pakai katanya…skrin kecil, button susah mau picit lebih senang guna swipe di skrin smartphone jenis biasa.


Ketika belajar di UM, saya selalu stress setiap kali ada assignment… saya perlu ke library dan cyber café. Buku rujukan yang diperlukan untuk tugasan sentiasa tiada, atau apabila cek rekod buku, masih dalam pinjaman pelajar lain. Cyber café pula sentiasa penuh siang malam. Kalaupun ada kosong..kurang selesa sebabnya sentiasa sesak dalam tu. Almaklum…kawasan padat student UM, perkara biasa CC sentiasa sesak. Walaupun CC bawah blok rumah sewa saja pun.  


Saya ada komputer sendiri…berharga RM5000, (sekarang sudah masuk stor di rumah di kampung halaman) tapi tiada capaian internet. Telefon pula bukan jenis skrin macam sekarang ini, telefon tangan ketika itu zaman glamour Nokia 3310. Saya selalu terfikir alangkah seronoknya kalau ada satu gajet yang semuanya apa saja info yang saya hendak tahu…semuanya di hujung jari..nah sekarang akhirnya…sampai tahap tak cukup satu smartphone, info tanpa sempadan kewujudan laman social sampai tahap tak larat nak melayannya…padan muka aku! Hahaha…saya sekarang guna 2 gajet smartphone setiap satunya berisi RM38 pakej internet sebulan, maknanya total RM76 hanya untuk pakej internet tidak termasuk kos panggilan biasa. Dan 1 laptop untuk menulis.


Saya pernah mendengar satu ceramah agama di TV, ustaz tu cakap mengikut kajian di Malaysia ini smartphone lebih banyak berbanding bilangan penduduk Malaysia. Purata seorang memiliki sekurang-kurangnya 3 gajet. Tu dia…


Gajet sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Kalau tiba-tiba kita terjumpa seorang anak muda remaja tapi tak guna gajet…ini sangat ganjil. Macam mustahil pun ya. sampaikan ada satu pesanan dari ustaz jugalah ~ zaman sekarang ibu bapa jangan risau sangat tentang apa kerja anak-anak kita di masa hadapan…tapi kita kena risaukan dulu macam mana kita hendak mendidik anak-anak kita di zaman milenia ini, kita selalu terlepas pandang apa yang anak-anak kita lihat di skrin smartphone mereka.


SURAT DAN TELEFON

Baru-baru ini saya melihat satu-satunya telefon awam dekat surau di satu shopping mall ini telah tiada. Tinggal wayar terjojol keluar di dinding. Kali terakhir saya mengguna telefon awam pun saya sudah lupa tahun bila tapi rasanya sebelum  tahun 2010 ketika saya belum ada akaun fb, sebelum daftar masuk ‘planet alam maya’.


Pernah satu ketika saya kehabisan kredit telefon, hendak call suami saya…telefon awam ada depan mata ni, syiling pun ada dalam handbag, tapi saya lebih sanggup beli top up kredit berbanding guna telefon awam. Kenapa jadi begitu? Sebab sudah  biasa dengan kemudahan yang ada, ada pilihan yang lebih baik berbanding telefon awam.


Walaupun saya dari generasi 80-an yang merasai zaman surat menyurat, e-mail, telefon awam…ternyata mengguna kemudahan terkini jauh lebih baik. Cepat dan mudah.
Semuanya tinggal kenangan. Zaman saya belajar dulu, alangkah susahnya berhubung secara terus dengan keluarga di kampung…selain berbalas surat dengan emak, saya perlu kumpul syiling, ‘hack’ telefon awam untuk call jiran sebelah rumah kami…saya kena tunggu beberapa minit untuk bercakap dengan orang tua saya sebab jiran perlu ke rumah bagitau saya call…barulah dapat bercakap dengan mereka.


Sewaktu melihat sidang video di tv pada tahun-tahun sebelum ledakan gajet ini…saya sering terfikir kalau satu hari di masa hadapan saya dapat bersidang video dengan family saya di kampung…sekarang kita sama-sama tahu salah satunya app Whatsapp membolehkan kita ‘bersidang video’ bila-bila masa, dan di mana-mana jua asalkan ada capaian internet.


Penutup cerita – banyak sangat cerita ‘impian’ jadi nyata. Posting kali ini saya tulis bab gajet sajalah. Nak tulis semuanya tak larat, hari pun dah petang ada benda lain yang perlu dibuat. Ok lah, kita jumpa di lain hari…tata...

love,
monalizahrais
Selangor
27 Ogos 2018
Isnin








Tuesday, July 3, 2018

JANGAN TEGUR?



Assalamualaikum…


Di luar rumah mendung, ada bunyi guruh… tanda-tanda nak hujan itu ada, rasa sejuk jer suasana. Cuaca di dalam hati tengah ceria, panas bersinar sebab saya nak ulas satu topik, viral di fb sekarang. Idea mencurah-curah, berduyun-duyun datang nak tulis ni, InsyaAllah kita keluarkan semuanya. Saya percaya kita sama-sama ada membaca isu tv plasma pecah, tuan rumah minta ganti rugi dengan tetamu, berita lain ikan di kolam mati lemas sebab anak tetamu pulun habis tuang makanan ikan ke dalam kolam dan cerita anak tetamu rendam kucing sampai lemas padahal sebelum itu kucing dah dikurung siap-siap dalam sangkar. Yang paling advance saya terjumpa kisah tuan rumah dah simpan barang-barang koleksi hobi dia yang mahal dalam laci siap berkunci laci tu… tapi di luar jangkaan rupa-rupanya anak tetamu ‘sangat kreatif’ dapat cari kunci laci, keluarkan dan ambil barang-barang menjadi hak milik.


Setakat tv pecah, pinggan mangkuk gelas pecah, air tumpah, kuih bertabur saya tak hairan sangat…tapi mendengar kisah ikan mati, kucing lemas…itu agak baru bagi saya, ternyata walau hanya sekadar budak tapi rupa-rupanya siapalah kita hendak memikir benda-benda begitu mampu dilakukan oleh anak-anak yang sedang melalui zaman kanak-kanaknya.
Saya masa kecil yang paling rare saya pernah terbuat ialah terrrrpijak bayi. Mujur bayi itu selamat tak jadi apa-apa. Ketika itu kami sekeluarga berhari raya di kampung halaman, saya dan sepupu-sepupu melayan perangai keanak-anakan kami sepuas-puasnya…jarang jumpa kan, so bila dah jumpa kita semacam ada tenaga ekstra, super excited semangat bermain itu lain macam.


Membaca respon netizen tentang isu tv pecah, ikan mati, kucing mati lemas, isi utamanya sudah tentu berkait adab berhari raya di rumah orang. Rata-ratanya ramai bersetuju peranan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak mereka, dan sekiranya anak mereka melakukan kesalahan, perlu bayar ganti rugi dan minta maaf. Yang menjadi kemarahan netizen apabila ibu bapa tak kisah sangat perihal perangai anak-anak mereka di rumah orang, buat tak tahu siap menangkan anak lagi.


“Budak-budak biasalah tu…namanya pun budak-budak”
“Kau belum ada anak lagi, memang tak faham perasaan mak bapak, tunggu kau ada anak nanti”
“Kau belum kahwin…apa kau tahu”


Itu antara ayat-ayat yang biasa kedengaran apabila yang menegur itu berstatus bujang atau dah kahwin tapi belum ada anak. Ayat di atas tak salah…memang ada betulnya tapi bergantung kepada situasilah. Kalau saja-saja orang lain atau saudara sendiri tiba-tiba komplen macam-macam pasal anak awak sekadar membawang tanpa ada cerita kukuh memang mengundang kemarahan jawabnya.


Tapi kalau dah terang bersuluh budak tu buat perangai tak elok...tunggu mak bapaknya tegur tapi tak ditegur juga kemudian orang lain tegur, awak marah nampak sangat awak tu yang tak betul…tak dapat terima kenyataan anaknya salah.


Saya ambil beberapa poin menarik yang saya baca di ruangan komen. Tv mahal sebaiknya lekat kat dinding supaya kejadian tv pecah dapat dielakkan. Ketika membaca komen ini saya teringat kata-kata sendiri ketika suami bercadang hendak beli tv besar setelah kami pindah bermastautin di kampung halaman suatu hari nanti. Spontan saya katakan sebab kita ini ‘big family’ ada banyak budak-budak… kita lekat jer lah tv tu di dinding supaya budak-budak tak kacau dan tv pun tak pecah.


Komen  lain ada yang syorkan kalau nak buat open house …jangan buat dalam rumah, tempah khemah buat di halaman rumah macam majlis kahwin tu. Bagus juga cadangan ni…atau sebelum jemput tetamu datang rumah, pastikan kita simpan siap-siap barang berharga di stor, apa sahaja barang yang berpotensi rosak dan dipecahkan simpan siap-siap.

Komen lain… katanya corak makan minum kanak-kanak yang terlalu banyak gula turut menyumbang kepada sikap hyperactive dan sukar dikawal.


Next..ada ibu bapa yang berkongsi pengalaman ketika umur anak-anak mereka tengah melasak dan sukar dikawal…duduk rumah saja atau kalau terpaksa beraya di rumah orang, tinggalkan anak-anak di rumah, atau kalau terpaksa juga bawa anak-anak sekali beraya, agak-agak budak tu dah naik tantrum…cepat-cepat minta izin pulang sebelum jadi apa-apa di rumah orang. Katanya lagi, anak kita sendiri kita tahu tahap kenakalannya pandai-pandailah urus, jangan menyusahkan orang lain.


Rumah adalah sekolah pertama anak-anak, membawa maksud didikan anak-anak itu bermula dari rumah, bermula dari cara mendidik orang tuanya mengajar adab berkunjung ke rumah orang. Yang ini saya setuju…


Zaman kami kanak-kanak pada tahun 80-an… kena cubit itu biasa, melihat jelingan mak kita sudah faham kita sedang buat kesalahan dan perlu diam. Atau menjadi ‘hutang’ yang akan ‘dibayar’ setelah balik rumah nanti (ditangan-tangankan kena kayu api, hanger, tali pinggang, rotan etc) itu zaman 80-an…sekarang apa yang available pada zaman kanak-kanak kita sudah tidak relevan pada masa kini atau ada yang perlu di kemaskini, di upgrade sesuai dengan peredaran zaman.



Saya nak share sedikit pengalaman menegur anak orang lain.

Kisah satu – lokasi di majlis perkahwinan. Budak-budak ini bermain di pelamin, kesannya hiasan pelamin ada yang tercabut bunganya, kain alas terangkat dan senang cerita pelamin itu ‘rosak’ sedikit hiasannya. Agak lama juga budak-budak ini bermain…lebih kurang dalam setengah jam. Saya yang melihat ‘babak’ ini tertanya-tanya mana mak bapak budak ni, pengantin dah nak naik pelamin sekejap lagi. 


Akhirnya saya ke hadapan (saya tuan rumah)…saya angkat budak-budak ni letak bawah, kemaskan pelamin sambil saya tegur secara bergurau lebih kurang begini bunyinya – “Dik, jangan main di sini ya, ini tempat pengantin sekejap lagi pengantin nak bersanding, nanti giliran adik kalau dah besar nanti dah sampai masa bersanding juga nanti” sambil senyum alaaa sambil bergurau lah tak ada marah-marah jengil mata ke, suara tinggi maki hamun jauh sekali. Cuba teka tuan-tuan dan puan-puan? Apa jadi lepas tu?


Ya ampun rupa-rupanya ibu budak-budak tu ada di depan pelamin tu…betul-betul di hadapan pelamin  menjadi saksi perangai anak-anaknya ‘merosakkan’ pelamin…adeh…common sense ke mana entah…speechless saya dibuatnya. Nak lagi menarik cerita…ibunya semacam marah dengan saya siap bertanya soalan nada menyindir “Anak yang kau angkat ni anak aku.Kau belum ada anak kan? Sudah berapa tahun kau kahwin?”


Sambil senyum saya layankan saja soalannya dan dalam masa yang sama melayan rasa hairan di hati. Alahai kita dah tolong alihkan budak tu…kemaskan pelamin sebab pengantin nak naik dah…pun kena sindir? Dah tu yang kau biarkan anak-anak main di pelamin sampai bertabur hiasan pelamin tu? Tak rasa apa-apa ke? Alalalala…tahu bukan pelamin awak itu pelamin orang lain…tapi faham-fahamlah sendiri…common sense kot…tapi kita jawab dalam hati sajalah (senyum).


Kisah dua – pun di majlis perkahwinan. Kek 10 tingkat berhias merelip mengerlip kebabom cantik gitu…pengantin sedang bersalin pakaian di rumah. Pelamin tempat bersanding di halaman rumah di bawah khemah. Ada banyak budak-budak bermain kejar-kejar di sekitar pelamin dan kek pengantin. Sampaikan kek tu dah bergegar dan ada seorang budak ini mencuit berulang kali kek pengantin…spontan saya pergi dekat budak-budak ni saya cakap “Adik-adik main di tempat lain ya, jangan main sini nanti kek jatuh, lepas kek dipotong nanti kena bagi juga tu”. Ok done menegur dan budak-budak ini pun bermain di tempat lain.


Tiba-tiba ada sorang makcik ini ternampak saya menegur budak-budak tersebut…dia tegur saya balik, katanya “Biarlah jangan ditegur sudah namanya budak-budak memang begitu, kesian budak-budak tu kena marah”, pun saya hairan juga. Bila masa pula saya marah budak-budak tu, saya just tegur suruh main di tempat lain dan budak-budak tu pun faham apa yang saya cakap. Tidak ada jerit marah suara tinggi, kita cakap macam biasa saja pun. Dah kenapa makcik tu pula yang terasa alahai…rasa lucu pun ya. Takkan dia tak nampak budak-budak tu mencuit kek, kek dah bergegar nak jatuh? Hairan bin ajaib.


Tak faham saya…sungguh saya tak faham…so lepas ni kalau kita ternampak anak jiran kita kena culik ke, beromen berasmaradana dalam semak kita jangan kisah sangat…sebab menjadi kesalahan menegur mereka. Biarkan saja, lantak dialah nak jadi apa pun. Kita buat hal kita sendiri. (sarcasm)


Ini kisah semasa raya baru-baru ni…bukan bertujuan lepas geram ya! Jangan salah sangka pula, sekadar iktibar bersama. Anak tetamu yang hyperactive sekali dengan sepupu-sepupunya tiba-tiba membuli kucing kami, memukul dengan penyapu, membaling barang dan menjerit beramai-ramai ke arah kucing kami. Mak bapanya sibuk bersembang di ruang tamu. Saya dan adik-adik spontan menjadi ‘pengawas’ kepada anak-anak tetamu. Dalam keadaan serba salah kami terpaksa menegur, menasihat budak-budak tu jangan kacau kucing kami. Syukurlah Milan selamat.


So, sekali lagi iktibar kita bersama… yang mak bapa jangan cepat melatah kalau ada yang menegur kesalahan anak anda. Sebab kita sama-sama tahu walau anak sendiri tapi belum tentu kita dapat mengawasi 100% pergerakan anak-anak kita. Ahli keluarga yang bujang dan yang sudah kahwin tapi belum beranak ini ada juga peranannya, tolong memerhati dan kalau perlu menegur anak anda. Bayangkan hendak ke tandas atau mandi tinggalkan anak itu sekejap siapa lagi yang diharapkan kalau bukan pengasuh atau ahli keluarga terdekat, betapa lagi sampai masa masuk hospital bersalin atau sakit, siapa nak jaga anak? Peranan bersama orang dewasa di sekeliling budak-budak tu sama-sama penting. Tak kisah bujang atau kahwin.


Kisah seterusnya saya hanya mampu menegur dalam hati sambil istighfar panjang-panjang…terkejut sebenarnya tapi saya tak mampu buat apa-apa. Bimbang kalau menegur kita yang disalahkan.


Dalam bas, masuk budak-budak sekolah umur remaja buat bising bercakap b*d*h si*l sund*l sesama mereka, bergurau kasar. Tak lama kemudian bas penuh padat dengan penumpang, waktu puncak orang kerja pulang rumah. Driver bas menyuruh penumpang yang berdiri supaya memenuhkan ruang belakang bas…spontan budak-budak remaja ini menyumpah seranah pemandu bas dengan kata-kata kesat. Salah siapa? Huhuhu…driver bas cakap elok dan memang macam tu kalau waktu puncak…bas memang padat sendat macam sardine dalam tin.


Syukurlah pakcik tu jenis penyabar orangnya…dibuatnya kena dengan driver bas yang darah muda dan mood kurang baik…agak-agak apa jadi lepas tu?


Saya pergi pejabat pos…ambik nombor dan duduk tunggu giliran. Nombor giliran jauh lagi, tempat duduk semua penuh. Ada seorang budak lingkungan umur 7 tahun pergi main tekan-tekan nombor di tempat mesin nombor giliran tu. Tekan sesuka hati, kertas nombor bersepah di lantai. Betapa ramai orang di situ tapi tiada seorang pun yang mampu/berani menegur budak tersebut. Termasuklah saya tak berani tegur.  Aduhai…saya dan orang sekeliling sudah berpandangan sesama sendiri…mungkin sedang memikir benda sama - mana mak bapa budak ni?


Nak tahu apa jadi lepas tu? Jengjengjeng…bapa budak ada di situ juga bai…siap urusan dia di kaunter yang tak jauh sangat dari mesin tekan nombor tu…sewaktu anaknya menekan-nekan mesin nombor tu…saya nampak dia sekadar melihat begitu saja perangai anaknya tu…sambil buat muka selamba sesudah siap urusan…dia just panggil anaknya, “Jom! Kita keluar” sambil memandang kertas bersepah di lantai macam orang yang tiada perasaan seolah-olah tiada apa-apa yang terjadi. Waduh-waduh awak…tolong saya fikir kejadian apakah ini?


Setiap kali saya balik kampung halaman dan masuk ke dalam ruangan mesin ATM nak keluar duit belanja… saya selalu melihat ‘babak’ mengharukan…saya respek kepada pengawal keselamatan di situ kerana prihatin dengan pelanggan bank yang berkunjung. Contohnya setiap kali barisan panjang dan stuck seketika, cepat-cepat pengawal keselamatan tu pergi ke hadapan barisan periksa kalau-kalau pelanggan bermasalah. Sikap prihatin, common sense tu masih kuat lagi, mungkin sebab kampung halaman saya ini bandar kecik saja. Tapi bukan bermakna di bandar- bandar besar penghuninya semuanya berperangai ‘haram jadah’ cuma kerana kesibukan bekerja membuatkan kita semakin kurang peka bahagian common sense itu.


Saya fikir macam ni, sebelum tegur anak orang lain pastikan kita kenal orang tuanya, kalau jenis mak bapa dia saja betul, orang lain salah…kita pula ternampak anaknya buat salah, biarkan saja sebab akan mengundang masalah atas kita. Sebaliknya jika mak bapa anak itu berfikiran terbuka, adil orangnya dan mampu mendengar pendapat orang lain serta saudara mara (mendengar tidak semestinya bersetuju, tapi mendengar dengan baik juga satu toleransi) bolehlah tegur dengan berhemah. Senang cerita bukan?


Ayat-ayat netizen di laman social kebanyakannya jauh lebih ‘ganas’ berbanding tulisan saya tentang hal ini, pergh memang kena hati kering membaca setiap respon di ruangan komen di fb tu.  Jadi kepada pembaca yang membaca tulisan saya ini…selamat hari raya maaf zahir dan batin ya! (rayakan sebulan). Jangan marah-marah, nanti cepat tua hehe…

love,
mr
Selangor
3 Julai 2018
Selasa