Saturday, March 10, 2012

BUAH SUKUN

Saya buntu sebenarnya setiap kali jiran memberi buah sukun. Sebabnya saya hanya tahu goreng buah ini macam kita selalu buat pisang goreng tu. Disebabkan jiran selalu beri buah ini, saya terfikir mesti ada masakan lain yang tidak saya ketahui.

Jadi...saya pun jalan-jalan di internet cari info tentang buah ini. Rupa-rupanya boleh dibuat macam-macam antaranya dibuat kerepek, masak lemak, dibakar, direbus malah dapat dibuat tepung dan arak. Tapi bab arak itu tidaklah saya berminat, sekadar info saja kan. Buah ini juga mengingatkan saya tentang durian belanda.

Ada sekali tu masa saya balik Sabah, arwah bapa menyuruh saya menggoreng durian belanda yang masih mentah. Rasa pelik dengan permintaannya itu tapi setelah merasa durian belanda goreng, rasa sedaplah pula. Lepas ni saya kenalah lebih rajin daripada biasa mencari dan menambah pengetahuan tentang makanan.

Lagi satu nak bagitau hari ini saya belum makan nasi lagi, buah sukun yang diberi semalam itu saya potong tebal-tebal kemudian gaul dengan serbuk kunyit dan garam dan digoreng, saya makan dengan lebihan lauk malam tadi - ikan tongkol goreng. Sedap jugalah dan sampai sekarang masih terasa kenyang lagi. Biasanya kalau saya makan kudapan yang bergoreng seperti ubi dan pisang selalunya rasa kenyang saya tu sekejap sahaja. Bukan tentang sikit atau banyak yang dimakan tapi maklumlah kan, perut yang sudah terbiasa dengan nasi.

Ada lagi balance buah sukun goreng tadi. Yang belum dimasak pun ada juga. Kena pula hari ini ada pasar malam di Klang, INSYAALLAH cuaca baik petang ke malam nanti saya dan suami akan ke sana juga tu, membeli sedikit keperluan. Manalah tahu kan tiba-tiba teringin hendak mencuba resepi masakan buah sukun seperti yang saya tulis di awal perenggan di atas.

Ada jemputan kenduri selepas Isyak malam karang. Baru sekejap tadi jiran sebelah rumah bagitau, tengah menulis entri terkini ni dia bagi salam. Patutlah awal pagi lagi sudah sibuk masak-masak jiran depan rumah kami ni. Jiran depan rumah ni memang selalu buat kenduri hari Sabtu, agaknya hari yang paling sesuai untuk mereka sekeluarga berkumpul barangkali.

Dan...sekarang ambil handset dan sms suami bagitau tentang jemputan tu, kot2 suami dapat pulang awal hari ini.


CERITA IKUT SEDAP MULUT BERCAKAP

Lain macam pula tajuk tu. Haha..sengaja bah tu bikin gempak sekejap. Semalam saya pi gunting rambut di salon nine to nine, bayar RM 20 untuk gunting dan cuci rambut sekali. Puas hatilah dengan servisnya. Saya ni cerewet sikit kalau hal-hal yang berkaitan dengan rambut.

Pengalaman sebelum ini tukang gunting rambut saya kasar caranya menggunting rambut, rasa macam nak tercabut rambut saya itu ditambah lagi dengan sikap tidak mesra pelanggannya. Sabar sajalah aku.

Tapi semalam memang puas hatilah, teringat saya dengan satu kedai gunting rambut di bawah menara MPS di Sandakan, langsung tidak terasa rambut sakit seperti ditarik. Dulu-dulu tukang gunting rambut saya arwah bapa, jiran sebelah rumah dan seorang lagi sahabat saya siapa lagi kalau bukan si Jun.

Tapi sejak duduk di Semenanjung ni, kenalah saya gunting rambut di salon. Itu pun kena servay dulu. Yalah, takkan kita masuk salon yang banyak lelaki di dalamnya, saya kan bertudung. Bukannya nak tunjuk 'alim' sangat tapi lebih baik masuk salon yang pekerja dan pelanggannya perempuan.

Melihat news feed di fb semalam, ada rakan fb yang meletakkan berita emak lumpuh ditinggalkan sendirian di hotel murah. Memang menyayat hati tengok muka orang tua tu, siap gambar menangis lagi. Cerita yang sebenarnya hanya ibu tua dan anaknya yang tahu. Sudah tentu Allah Maha Mengetahui berbanding pengetahuan kita.

Kita doakan anaknya insaf dan kembali menjaga ibunya seperti yang sepatutnya. Hargai ibu bapa kita bukan hanya semasa mereka masih bernafas, tanggungjawab kita tidak terhenti di situ. Sekalipun telah terpisah oleh dua alam berbeza, doa perlu dipanjatkan kepada Yang Maha Esa.

Bersyukurlah sekiranya umur mencecah 40 tahun ke atas dan masih punya ibu bapa, bagi saya itu satu bonus dan tidak semua orang berpeluang merasainya. Ditambah lagi kalau keduanya bergelar haji dan hajah serta sihat tubuh badannya. Saya sendiri cukup bersyukur dan bertuah merasai kehadiran seorang bapa sehingga berumur 31 tahun. Adik bongsu saya berumur 11 tahun pada masa tu.

Memang akan ada masa-masa tertentu kita tidak sependapat dengan orang tua kita misalnya hal-hal yang berkaitan perkahwinan, pekerjaan, belajar, adat resam tapi itu bukan alasan utama kita mencipta jurang antara mereka. Zaman mak bapak kita dengan zaman kita memang berbeza dan ianya akan berulang di zaman anak-anak kita nanti...di mana kita akan merasakan ketinggalan dan sesekali sukar menerima zaman mereka nanti. Maka akan berulanglah kata-kata seperti : budak zaman sekarang ni, bukan macam kami dulu...kalau kami dulu-dulu tiadalah macam ni tapi sekarang...lebih kurang macam tu lah.

Jasa yang paling besar sekali kerana merekalah kita ada di dunia ini. Jangan terlalu difikir sikap mereka terhadap kita, yang lebih utama bagaimana kita sebagai seorang anak. Kita dikurniakan akal fikiran dan zaman yang maju daripada mereka. Mereka tetap ada sesuatu yang tidak ada pada kita. Kalaupun tidak mampu dari sisi kemewahan untuk kesenangan mereka, bukankah yang terbaik adalah doa-doa yang selalu kita panjatkan di dalam solat kita?

Selesai mengemas membersih rumah disebabkan banjir Jumaat minggu lepas, hari Rabu sudah tiba-tiba pula hujan lebat. Jadi macam trauma pula kami suami isteri sampaikan tidak dapat tidur malam, bimbang banjir lagi. Berulangkali kami melihat longkang di belakang rumah, memang air naik tapi nasib baik belum tahap masuk rumah lagilah. Lebih kurang jam 4 pagi barulah hujan berhenti sepenuhnya.

Kesannya mata bengkak dan badan letih lesu, jadi macam handphone low battery pula balik-balik bising minta charge mata dan badan tu. Pengalaman pertama rumah banjir kan. Jadi memang kalut jugalah. Bukan tidak pernah merasai banjir, tapi ianya tidak melibatkan rumah yang didiami.

Dan... apa yang terlintas di fikiran kami, macam mana kalau tiba-tiba banjir time kami balik bercuti di Sabah. Bukannya balik Sabah itu dengan kereta tapi tiket flight pulang balik siap-siap dibeli awal-awal lagi. Mestilah tension kan, muka macam kena sembelit memikir rumah banjir kalau tiba-tiba berbaki seminggu atau beberapa hari lagi masa untuk pulang semula ke sini kan?

Jiran di sini memang cukup baik dan prihatin, seolah-olah kami ini berada di rumah milik sendiri dan bukannya penyewa. Awal-awal lagi tuan rumah mengingatkan kami supaya menyerahkan kunci rumah setiap kali kami balik kampung, katanya senang kalau terjadi apa-apa misalnya banjir atau kecurian. Logik akal memanglah begitu sebab dia tuan rumah. Kalau penyewa yang ikut sedap hatinya saja keluar begitu sahaja dari rumah, tidak mahu menyewa lagi...tidaklah menyusahkannya di kemudian hari.

Semalam pun dihantarkan lagi buah sukun. Kalau bab makanan ni memang tidak terbalas saya budi jiran-jiran di sini. Selalu sahaja dihantarkan makanan sedap-sedap malah berlebihan pula tu. Kadang-kadang tu baru sahaja saya terdengar bunyi memasak dan bau masakan yang wangi itu sampai ke rumah, tidak lama kemudian makanan panas-panas lagi sudah dihantar ke rumah.  Yang menjadi kemusykilan saya, dia orang ni sudah makankah, cepat saja hantar makanan ke rumah padahal jemputan kenduri ke rumah mereka lambat lagi?

Balik sahaja suami saya dari majlis mereka, selalunya dikirimkan lagi makanan yang sama yang dihantar sebelum majlis. Inilah satu-satunya tempat yang memang terlalu mewah dengan makanan sepanjang saya berada di semenanjung ini. Maksud saya mereka jenis orang yang tidak berkira dan terlalu pemurah.






Wednesday, March 7, 2012

KAHWIN - CATERING @ TRADISONAL?


Khemah warna merah, pengalaman pertama saya melihat khemah berwarna merah. Ini majlis perkahwinan anak majikan suami saya bertempat di Meru, Klang. Meriah sungguh, faham-faham sajalah kalau kaum Cina mengadakan majlis memang warna merah menjadi keutamaan.

Tetamu Melayu boleh dibilang dengan jari, itupun dari pihak pekerja termasuklah suami saya. Pekerja dijemput sekali dengan family masing-masing, dapatlah saya menyelit dan kemudiannya menceritakan semula di blog saya ini. Saya, suami dan adik datang ke sini bersama beberapa rakan suami. Naik motor saja kami, senang untuk cilok.

Makanan ada yang non-halal dan halal pula ditempah dari caterer Melayu. Sedap memang sedap tapi tak boleh juga makan banyak sebabnya air halal seperti air kotak dan minuman tin cepat habis. Selebihnya air yang 'gitu-gitu' takkan nak diteguk sekali kan?

Oh! makanan halal dan non-halal itu letaknya berasingan malah jauh. Jadi rasa selesa jugalah menjamu selera. Sekadar memenuhi undangan kan.

Sesuatu yang menarik perhatian saya berkaitan dengan pinggan mangkuknya yang pakai buang. Tidak perlu fikir tentang tugas cuci piring, walaupun duit bukannya masalah besar untuk mengupah tukang cuci piring tetapi saya percaya cara ini dapat menjimatkan masa, hanya perlu mengumpul sampahnya sahaja, itupun dilakukan oleh pembantu rumah mereka.

Tukang masak ramai dan bermacam jenis masakan, tetapi ianya non-halal dan awal-awal lagi kami sudah diingatkan tentang ini oleh pihak keluarga pengantin. Yalah, negara kita ini memang sedia maklum berbeza bangsa dan agama, itu belum dicampur lagi dengan etnik Bumiputera Sabah dan Sarawak. Keunikan negara bernama Malaysia.

Berbalik tentang pinggan mangkuk sudu garfu pakai buang itu, jika dibandingkan dengan majlis perkahwinan dan kenduri kendara di kampung halaman saya, walaupun kebanyakannya sudah beralih kepada catering, tetapi masih menggunakan pinggan mangkuk sudu garfu yang perlu dibasuh.

Terbayang  mak saya yang masih  teguh pegangan adat resamnya, apalah reaksinya kalau tiba-tiba saya mengesyorkan supaya guna cara pakai buang itu? Haha...sudah pasti perkataan pemalas yang muncul dari mulutnya. Memang letih sangat-sangat setiap kali ada majlis kahwin di pihak keluarga saya, bukan merungut tetapi betapa sukarnya hendak mengubah kebiasaan orang tua kita yang membesar di dalam lingkungan adat resam kan?

Untuk majlis kahwin saya dahulu, berbulan saya 'berunding' dengan mak hanya semata-mata supaya makanan dihidangkan dengan cara catering, hanya perlu upah tukang masak sahaja. Itupun hasil rundingan menyebabkan saya sponsor...alamak apalah namanya itu...dulang catering yang berkaki tu, siap beli di carrefour satu set dan sudahnya lebih muatanlah jawabnya sewaktu daftar masuk di airport. Catering punya pasal.

Untuk majlis tunang pula, saya yang memasak lauk pauk untuk tetamu dan ianya cara tradisional,  berhidang di talam. Siap masak sahaja saya cepat-cepat mandi dan berdandan sendiri. Memang letih tapi adik-beradik saya kan ramai lelaki. Adik-adik lelaki saya ni selalu juga terlibat dengan hal-hal dapur terutama sekali bab potong daging dan menyiang ikan , tapi kalau sudah datang tetamu perempuan kat dapur...apa lagi diorang pun 'blah' lah sebab malu.

Sesungguhnya saya sedar betapa sukarnya mengubah walau cuma sedikit, maksud saya tembok tinggi adat resam orang tua kita. Bukannya apa,semakin ramai generasi muda bekerja dan tidak menetap di kampung halaman sendiri, begitu berbeza dengan zaman orang tua kita dahulu yang sangat akrab dengan alam semulajadi...sama ada menjadi petani atau nelayan.

Kena pandai diplomasi juga walaupun ianya bukan jaminan 100% untuk dipersetujui oleh orang tua kita, ditambah lagi dengan perasaan mereka yang cepat terasa dan ianya akan bertambah sensitif terutama yang sudah ada cucu.

Friday, March 2, 2012

GOSSIP

Sekarang saya sedang mengikuti perkembangan telenovela Bella Calamidades. Memanglah ianya setakat lakonan, tetapi kebanyakan penulis skrip sudah tentu mendapat idea untuk menulis daripada kehidupan seharian. Kemudian ada yang ditokok tambah untuk menyedapkan cerita. 

Oh ya, hari ini tiada tayangan cerita Bella sebabnya telenovela ini bersiaran sejam bermula jam 3 petang setiap Isnin hingga Khamis. Latar tempatnya banyak berkisar di sebuah pekan kecil bernama Horneros. Menariknya, gossip dan mengumpat itu sering ditonjolkan, walaupun ianya banyak berkisar tentang kehidupan Lola yang dikatakan pembawa malang.

Kebanyakan cerita tersebar melalui watak pembantu rumah, Juana dan Nicolasa seterusnya membawa kepada pengetahuan penduduk pekan kecil itu.
Saya bukan pengkritik drama, saya cuma terfikir rupa-rupanya perihal mengumpat dan bergossip itu terjadi di kebanyakan tempat. Hanya berbeza bahasa, budaya dan agama.

Setiap kali saya balik ke kampung halaman, selalu juga saya mendengar macam-macam cerita yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Apabila kita berada di dalam lingkungan kecil, memang mudah sesuatu isu itu akan berkembang pesat kerana ianya dibincang dan dibahaskan oleh bermacam jenis manusia yang beragam pemikirannya.

Yang menjadi masalahnya ialah, kadang-kadang boleh menjadi fitnah. Sebab itulah kita disaran sentiasa menjaga tutur kata dan tidak selalu berprasangka buruk terhadap orang lain. Kalau tidak tahu hal sebenar, lebih baik mendiamkan diri. Kecuali yang memang jelas terbukti ada sesuatu yang tidak kena.

Menjaga tepi kain orang lain itu memang perlu malah ada ketikanya menjadi wajib, kerana kita tidak hidup bersendirian tetapi perlu diingat mesti kena pada tempatnya. Misalnya perkara-perkara yang berkaitan maksiat, kecurian dan keselamatan serta kebajikan jiran.

Rasanya kalau setakat bertandang ke rumah jiran setakat nak sembang kosong...baik tak payahlah. Sesekali tu boleh tahan jugalah tapi kalau itulah hari-hari...tak ada kerja ke?

Wednesday, February 29, 2012

CERITA GAMBAR

Saya lebih suka letak gambar dan bercerita sedikit sahaja. Itu lebih baik sebabnya dengan sekeping gambar sahaja banyak yang dapat ditafsirkan. Tapi...line internet saya ni lambat sangat, ibaratnya kalau kereta bergerak tu 20 kmj rasanya.

Jadi...menjadilah saya seorang pembebel. Di dalam blog saja, di luar tidak begitu ( ye ke? ). Download gambar sekeping saja pun kadang2 mengambil masa sehingga setengah jam. Waduh-waduh lambat bangat.

Banyak yang perlu dibuat untuk mencantikkan dekorasi blog saya ini. Tetapi mungkin buat masa ini belum sesuai lagi. Lagipun saya bukannya siapa-siapa lagi. INSYAALLAH akan sampai masanya akan dibuat juga tu.

Mungkin cerita-cerita dalam blog ini hanyalah cerita biasa bagi kebanyakan orang. Untuk diri saya sendiri, ada sebab kenapa saya menulis di blog ini. Apakah sebab itu tidak perlu dijelaskan kerana ianya akan menjadi jelas juga pada hari-hari mendatang. 

POLITIK

Saya telefon mak, tanya dia tentang BR1M tu. Alah...bantuan duit RM500 tu. Legalah rasa hati mendengar mak dapat duit itu akhirnya...itupun setelah berulangkali turun naik sekejap ke LHDN sekejap ke pejabat UMNO dan berakhir di dewan dekat Sungai Kayu. Memanglah bergerak guna kereta sendiri. Tapi sempat jugalah kami bergurau di telefon, balik modal juga setelah ditolak duit minyak dan makan untuk uruskan RM500 tu.

Macam-macam reaksi negatif dan positif tentang BR1M ni. Tapi lantaklah, orang politik punya kerja biar dia buatlah. Ada bantuan ambil dan kalau diorang gaduh pun, itu asam garam orang berpolitik.
 Kita cuma orang kecil. Kalau nak jadi orang besar pun, biarlah mampu dari segi kewangan dan pengaruh.

Bercakap pasal politik, di mana-mana pun sentiasa ada unsur politik, di dalam rumahtangga, di tempat kerja malah di tempat belajar di dalam kelas itupun ada unsur politik. Hanya situasinya sahaja yang berbeza.

Saya cakap macam tu sebab anak buah saya yang berumur setahun lebih tu yang selalu kami panggil kinit cepat sahaja berubah perasaannya. Dia boleh menangis sakan tetapi sekejap lagi boleh ketawa sesuka hati. Sampaikan kami cakap kinit ni pandai berlakon dan  minta diberi perhatian lebih. Biasalah tu budak-budak kan. Sama macam potician jugakan?

Mak dia suapkan nasi dan lauk yang sama dengan makcik dan pakciknya, tapi kadang2 dia menggeleng tidak mahu makan, dan dalam masa yang sama dia lebih berminat dengan makanan pakcik dan makciknya...padahal piring saja yang  berlainan tapi isinya sama juga. Unsur politik lah tu...hehe

Gurau-gurau saja...

Pendapat peribadi : politik memang tidak dapat dielakkan di kebanyakan negara di dunia ini. Ada di pihak menyokong dan menentang. Memang begitulah...sentiasa ada pro dan kontranya.

TUTUP TINGKAP

Sukar untuk mengubah kebiasaan yang sudah berakar umbi di dalam diri. Tetapi akan ada masa-masa tertentu kita perlu keluar dari kebiasaan. Sering kita mendengar bangun pagi dan buka tingkap rumah akan memudahkan rezeki datang bertandang.

Kalau di kampung yang persekitarannya masih belum tercemar memang patutlah buka tingkap rumah seawal pagi. Malah udara segar itu bagus untuk kesihatan diri. Mengimbas pengalaman lalu sejak mula duduk di rumah ini, saya sering batuk, selsema dan demam malah alahan. Penat bah jumpa doktor. Sudahlah saya ni jenis yang tak suka makan ubat.

Selepas tukar langsir, saya tidak buka tingkap hadapan rumah. Sebelum ini bangun pagi dan usai saja solat subuh saya akan terus buka tingkap. Hasilnya dalam tempoh dua minggu ini setiap kali saya menyapu rumah, habuk berkurangan tidak seperti dahulu sewaktu saya membuka tingkap rumah. Bahkan kalau tidak disapu selama dua hari pun, masih bersih lagi. Tapi saya usahakan juga sapu rumah hari-hari.

Tak dapat siang, malam. Rumahku syurgaku... Bayangkan ada satu restoran yang tidak jauh dari rumah kami dan kami suami isteri selalu juga menjamu selera di situ...setiap kali datang ke sana memang jelas habuk melekat di kerusi dan mejanya yang terletak pada bahagian tepi restoran.

Restoran ini pula mula beroperasi lewat petang sehingga lewat tengah malam. Oklah tu. Kalau beroperasi mula pada waktu siang, rasanya habuk bukan alang-alang lagi kan.

Waktu malam pula sejuk sikitlah. Dan kami pun buka tingkap sekejap untuk aliran udara jugakan. Lagipun waktu malam lori-lori besar yang bawa pasir dan konkrit tu sudah berkurangan. Walaupun tutup tingkap rumah pada waktu siang, tetapi tingkap di bahagian dapur saya buka sebabnya tingkap itu tidak bertentangan dengan jalan menghala ke jalan raya utama. Itupun nasib baik ada rumah di hadapan rumah kami ini, kalau rumah inilah yang betul-betul berhadapan dengan jalan raya...banyaknya habuk.

Pembangunan bukan main rancak lagi di kawasan ini. Kena pula tu berhampiran dengan kilang simen dan kilang papan. Mengenangkan ini membuatkan saya merindukan suasana di kampung halaman di Sabah yang  persekitarannya masih bersih.

Jauh di sudut hati saya sentiasa berdoa dan mengharapkan akan ada peluang kami suami isteri menetap semula di Sabah. Menyambung kehidupan berumahtangga yang dimulakan di bumi Semenanjung Malaysia ini. Tidak mudah untuk melakukannya tapi bilang orang tua-tua...agi hidup agi ngelaban!