Wednesday, February 29, 2012

TUTUP TINGKAP

Sukar untuk mengubah kebiasaan yang sudah berakar umbi di dalam diri. Tetapi akan ada masa-masa tertentu kita perlu keluar dari kebiasaan. Sering kita mendengar bangun pagi dan buka tingkap rumah akan memudahkan rezeki datang bertandang.

Kalau di kampung yang persekitarannya masih belum tercemar memang patutlah buka tingkap rumah seawal pagi. Malah udara segar itu bagus untuk kesihatan diri. Mengimbas pengalaman lalu sejak mula duduk di rumah ini, saya sering batuk, selsema dan demam malah alahan. Penat bah jumpa doktor. Sudahlah saya ni jenis yang tak suka makan ubat.

Selepas tukar langsir, saya tidak buka tingkap hadapan rumah. Sebelum ini bangun pagi dan usai saja solat subuh saya akan terus buka tingkap. Hasilnya dalam tempoh dua minggu ini setiap kali saya menyapu rumah, habuk berkurangan tidak seperti dahulu sewaktu saya membuka tingkap rumah. Bahkan kalau tidak disapu selama dua hari pun, masih bersih lagi. Tapi saya usahakan juga sapu rumah hari-hari.

Tak dapat siang, malam. Rumahku syurgaku... Bayangkan ada satu restoran yang tidak jauh dari rumah kami dan kami suami isteri selalu juga menjamu selera di situ...setiap kali datang ke sana memang jelas habuk melekat di kerusi dan mejanya yang terletak pada bahagian tepi restoran.

Restoran ini pula mula beroperasi lewat petang sehingga lewat tengah malam. Oklah tu. Kalau beroperasi mula pada waktu siang, rasanya habuk bukan alang-alang lagi kan.

Waktu malam pula sejuk sikitlah. Dan kami pun buka tingkap sekejap untuk aliran udara jugakan. Lagipun waktu malam lori-lori besar yang bawa pasir dan konkrit tu sudah berkurangan. Walaupun tutup tingkap rumah pada waktu siang, tetapi tingkap di bahagian dapur saya buka sebabnya tingkap itu tidak bertentangan dengan jalan menghala ke jalan raya utama. Itupun nasib baik ada rumah di hadapan rumah kami ini, kalau rumah inilah yang betul-betul berhadapan dengan jalan raya...banyaknya habuk.

Pembangunan bukan main rancak lagi di kawasan ini. Kena pula tu berhampiran dengan kilang simen dan kilang papan. Mengenangkan ini membuatkan saya merindukan suasana di kampung halaman di Sabah yang  persekitarannya masih bersih.

Jauh di sudut hati saya sentiasa berdoa dan mengharapkan akan ada peluang kami suami isteri menetap semula di Sabah. Menyambung kehidupan berumahtangga yang dimulakan di bumi Semenanjung Malaysia ini. Tidak mudah untuk melakukannya tapi bilang orang tua-tua...agi hidup agi ngelaban!

No comments:

Post a Comment