Wednesday, March 7, 2012

KAHWIN - CATERING @ TRADISONAL?


Khemah warna merah, pengalaman pertama saya melihat khemah berwarna merah. Ini majlis perkahwinan anak majikan suami saya bertempat di Meru, Klang. Meriah sungguh, faham-faham sajalah kalau kaum Cina mengadakan majlis memang warna merah menjadi keutamaan.

Tetamu Melayu boleh dibilang dengan jari, itupun dari pihak pekerja termasuklah suami saya. Pekerja dijemput sekali dengan family masing-masing, dapatlah saya menyelit dan kemudiannya menceritakan semula di blog saya ini. Saya, suami dan adik datang ke sini bersama beberapa rakan suami. Naik motor saja kami, senang untuk cilok.

Makanan ada yang non-halal dan halal pula ditempah dari caterer Melayu. Sedap memang sedap tapi tak boleh juga makan banyak sebabnya air halal seperti air kotak dan minuman tin cepat habis. Selebihnya air yang 'gitu-gitu' takkan nak diteguk sekali kan?

Oh! makanan halal dan non-halal itu letaknya berasingan malah jauh. Jadi rasa selesa jugalah menjamu selera. Sekadar memenuhi undangan kan.

Sesuatu yang menarik perhatian saya berkaitan dengan pinggan mangkuknya yang pakai buang. Tidak perlu fikir tentang tugas cuci piring, walaupun duit bukannya masalah besar untuk mengupah tukang cuci piring tetapi saya percaya cara ini dapat menjimatkan masa, hanya perlu mengumpul sampahnya sahaja, itupun dilakukan oleh pembantu rumah mereka.

Tukang masak ramai dan bermacam jenis masakan, tetapi ianya non-halal dan awal-awal lagi kami sudah diingatkan tentang ini oleh pihak keluarga pengantin. Yalah, negara kita ini memang sedia maklum berbeza bangsa dan agama, itu belum dicampur lagi dengan etnik Bumiputera Sabah dan Sarawak. Keunikan negara bernama Malaysia.

Berbalik tentang pinggan mangkuk sudu garfu pakai buang itu, jika dibandingkan dengan majlis perkahwinan dan kenduri kendara di kampung halaman saya, walaupun kebanyakannya sudah beralih kepada catering, tetapi masih menggunakan pinggan mangkuk sudu garfu yang perlu dibasuh.

Terbayang  mak saya yang masih  teguh pegangan adat resamnya, apalah reaksinya kalau tiba-tiba saya mengesyorkan supaya guna cara pakai buang itu? Haha...sudah pasti perkataan pemalas yang muncul dari mulutnya. Memang letih sangat-sangat setiap kali ada majlis kahwin di pihak keluarga saya, bukan merungut tetapi betapa sukarnya hendak mengubah kebiasaan orang tua kita yang membesar di dalam lingkungan adat resam kan?

Untuk majlis kahwin saya dahulu, berbulan saya 'berunding' dengan mak hanya semata-mata supaya makanan dihidangkan dengan cara catering, hanya perlu upah tukang masak sahaja. Itupun hasil rundingan menyebabkan saya sponsor...alamak apalah namanya itu...dulang catering yang berkaki tu, siap beli di carrefour satu set dan sudahnya lebih muatanlah jawabnya sewaktu daftar masuk di airport. Catering punya pasal.

Untuk majlis tunang pula, saya yang memasak lauk pauk untuk tetamu dan ianya cara tradisional,  berhidang di talam. Siap masak sahaja saya cepat-cepat mandi dan berdandan sendiri. Memang letih tapi adik-beradik saya kan ramai lelaki. Adik-adik lelaki saya ni selalu juga terlibat dengan hal-hal dapur terutama sekali bab potong daging dan menyiang ikan , tapi kalau sudah datang tetamu perempuan kat dapur...apa lagi diorang pun 'blah' lah sebab malu.

Sesungguhnya saya sedar betapa sukarnya mengubah walau cuma sedikit, maksud saya tembok tinggi adat resam orang tua kita. Bukannya apa,semakin ramai generasi muda bekerja dan tidak menetap di kampung halaman sendiri, begitu berbeza dengan zaman orang tua kita dahulu yang sangat akrab dengan alam semulajadi...sama ada menjadi petani atau nelayan.

Kena pandai diplomasi juga walaupun ianya bukan jaminan 100% untuk dipersetujui oleh orang tua kita, ditambah lagi dengan perasaan mereka yang cepat terasa dan ianya akan bertambah sensitif terutama yang sudah ada cucu.

Friday, March 2, 2012

GOSSIP

Sekarang saya sedang mengikuti perkembangan telenovela Bella Calamidades. Memanglah ianya setakat lakonan, tetapi kebanyakan penulis skrip sudah tentu mendapat idea untuk menulis daripada kehidupan seharian. Kemudian ada yang ditokok tambah untuk menyedapkan cerita. 

Oh ya, hari ini tiada tayangan cerita Bella sebabnya telenovela ini bersiaran sejam bermula jam 3 petang setiap Isnin hingga Khamis. Latar tempatnya banyak berkisar di sebuah pekan kecil bernama Horneros. Menariknya, gossip dan mengumpat itu sering ditonjolkan, walaupun ianya banyak berkisar tentang kehidupan Lola yang dikatakan pembawa malang.

Kebanyakan cerita tersebar melalui watak pembantu rumah, Juana dan Nicolasa seterusnya membawa kepada pengetahuan penduduk pekan kecil itu.
Saya bukan pengkritik drama, saya cuma terfikir rupa-rupanya perihal mengumpat dan bergossip itu terjadi di kebanyakan tempat. Hanya berbeza bahasa, budaya dan agama.

Setiap kali saya balik ke kampung halaman, selalu juga saya mendengar macam-macam cerita yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Apabila kita berada di dalam lingkungan kecil, memang mudah sesuatu isu itu akan berkembang pesat kerana ianya dibincang dan dibahaskan oleh bermacam jenis manusia yang beragam pemikirannya.

Yang menjadi masalahnya ialah, kadang-kadang boleh menjadi fitnah. Sebab itulah kita disaran sentiasa menjaga tutur kata dan tidak selalu berprasangka buruk terhadap orang lain. Kalau tidak tahu hal sebenar, lebih baik mendiamkan diri. Kecuali yang memang jelas terbukti ada sesuatu yang tidak kena.

Menjaga tepi kain orang lain itu memang perlu malah ada ketikanya menjadi wajib, kerana kita tidak hidup bersendirian tetapi perlu diingat mesti kena pada tempatnya. Misalnya perkara-perkara yang berkaitan maksiat, kecurian dan keselamatan serta kebajikan jiran.

Rasanya kalau setakat bertandang ke rumah jiran setakat nak sembang kosong...baik tak payahlah. Sesekali tu boleh tahan jugalah tapi kalau itulah hari-hari...tak ada kerja ke?

Wednesday, February 29, 2012

CERITA GAMBAR

Saya lebih suka letak gambar dan bercerita sedikit sahaja. Itu lebih baik sebabnya dengan sekeping gambar sahaja banyak yang dapat ditafsirkan. Tapi...line internet saya ni lambat sangat, ibaratnya kalau kereta bergerak tu 20 kmj rasanya.

Jadi...menjadilah saya seorang pembebel. Di dalam blog saja, di luar tidak begitu ( ye ke? ). Download gambar sekeping saja pun kadang2 mengambil masa sehingga setengah jam. Waduh-waduh lambat bangat.

Banyak yang perlu dibuat untuk mencantikkan dekorasi blog saya ini. Tetapi mungkin buat masa ini belum sesuai lagi. Lagipun saya bukannya siapa-siapa lagi. INSYAALLAH akan sampai masanya akan dibuat juga tu.

Mungkin cerita-cerita dalam blog ini hanyalah cerita biasa bagi kebanyakan orang. Untuk diri saya sendiri, ada sebab kenapa saya menulis di blog ini. Apakah sebab itu tidak perlu dijelaskan kerana ianya akan menjadi jelas juga pada hari-hari mendatang. 

POLITIK

Saya telefon mak, tanya dia tentang BR1M tu. Alah...bantuan duit RM500 tu. Legalah rasa hati mendengar mak dapat duit itu akhirnya...itupun setelah berulangkali turun naik sekejap ke LHDN sekejap ke pejabat UMNO dan berakhir di dewan dekat Sungai Kayu. Memanglah bergerak guna kereta sendiri. Tapi sempat jugalah kami bergurau di telefon, balik modal juga setelah ditolak duit minyak dan makan untuk uruskan RM500 tu.

Macam-macam reaksi negatif dan positif tentang BR1M ni. Tapi lantaklah, orang politik punya kerja biar dia buatlah. Ada bantuan ambil dan kalau diorang gaduh pun, itu asam garam orang berpolitik.
 Kita cuma orang kecil. Kalau nak jadi orang besar pun, biarlah mampu dari segi kewangan dan pengaruh.

Bercakap pasal politik, di mana-mana pun sentiasa ada unsur politik, di dalam rumahtangga, di tempat kerja malah di tempat belajar di dalam kelas itupun ada unsur politik. Hanya situasinya sahaja yang berbeza.

Saya cakap macam tu sebab anak buah saya yang berumur setahun lebih tu yang selalu kami panggil kinit cepat sahaja berubah perasaannya. Dia boleh menangis sakan tetapi sekejap lagi boleh ketawa sesuka hati. Sampaikan kami cakap kinit ni pandai berlakon dan  minta diberi perhatian lebih. Biasalah tu budak-budak kan. Sama macam potician jugakan?

Mak dia suapkan nasi dan lauk yang sama dengan makcik dan pakciknya, tapi kadang2 dia menggeleng tidak mahu makan, dan dalam masa yang sama dia lebih berminat dengan makanan pakcik dan makciknya...padahal piring saja yang  berlainan tapi isinya sama juga. Unsur politik lah tu...hehe

Gurau-gurau saja...

Pendapat peribadi : politik memang tidak dapat dielakkan di kebanyakan negara di dunia ini. Ada di pihak menyokong dan menentang. Memang begitulah...sentiasa ada pro dan kontranya.

TUTUP TINGKAP

Sukar untuk mengubah kebiasaan yang sudah berakar umbi di dalam diri. Tetapi akan ada masa-masa tertentu kita perlu keluar dari kebiasaan. Sering kita mendengar bangun pagi dan buka tingkap rumah akan memudahkan rezeki datang bertandang.

Kalau di kampung yang persekitarannya masih belum tercemar memang patutlah buka tingkap rumah seawal pagi. Malah udara segar itu bagus untuk kesihatan diri. Mengimbas pengalaman lalu sejak mula duduk di rumah ini, saya sering batuk, selsema dan demam malah alahan. Penat bah jumpa doktor. Sudahlah saya ni jenis yang tak suka makan ubat.

Selepas tukar langsir, saya tidak buka tingkap hadapan rumah. Sebelum ini bangun pagi dan usai saja solat subuh saya akan terus buka tingkap. Hasilnya dalam tempoh dua minggu ini setiap kali saya menyapu rumah, habuk berkurangan tidak seperti dahulu sewaktu saya membuka tingkap rumah. Bahkan kalau tidak disapu selama dua hari pun, masih bersih lagi. Tapi saya usahakan juga sapu rumah hari-hari.

Tak dapat siang, malam. Rumahku syurgaku... Bayangkan ada satu restoran yang tidak jauh dari rumah kami dan kami suami isteri selalu juga menjamu selera di situ...setiap kali datang ke sana memang jelas habuk melekat di kerusi dan mejanya yang terletak pada bahagian tepi restoran.

Restoran ini pula mula beroperasi lewat petang sehingga lewat tengah malam. Oklah tu. Kalau beroperasi mula pada waktu siang, rasanya habuk bukan alang-alang lagi kan.

Waktu malam pula sejuk sikitlah. Dan kami pun buka tingkap sekejap untuk aliran udara jugakan. Lagipun waktu malam lori-lori besar yang bawa pasir dan konkrit tu sudah berkurangan. Walaupun tutup tingkap rumah pada waktu siang, tetapi tingkap di bahagian dapur saya buka sebabnya tingkap itu tidak bertentangan dengan jalan menghala ke jalan raya utama. Itupun nasib baik ada rumah di hadapan rumah kami ini, kalau rumah inilah yang betul-betul berhadapan dengan jalan raya...banyaknya habuk.

Pembangunan bukan main rancak lagi di kawasan ini. Kena pula tu berhampiran dengan kilang simen dan kilang papan. Mengenangkan ini membuatkan saya merindukan suasana di kampung halaman di Sabah yang  persekitarannya masih bersih.

Jauh di sudut hati saya sentiasa berdoa dan mengharapkan akan ada peluang kami suami isteri menetap semula di Sabah. Menyambung kehidupan berumahtangga yang dimulakan di bumi Semenanjung Malaysia ini. Tidak mudah untuk melakukannya tapi bilang orang tua-tua...agi hidup agi ngelaban!

MASAK

saya suka tengok rancangan masakan sama seperti kebanyakan wanita lainnya. walaupun tidak semestinya saya akan ikut 100% langkah serta ramuan yang digunakan. tapi yang tak bestnya...ada segelintir rancangan masakan di tv saya kurang berkenanlah, walaupun nama masakan mengancam.

bukan tentang masakan yang diwar-warkan tetapi penampilan chef yang berkuku panjang dan pakai pengilat kuku. rambut yang dihurai, menyuap makanan guna tangan kiri.pakai sudu atau garfu itu ok sikit jugalah. make up? bukan main tebal lagi sampaikan saya terfikir tidak cairkah solekannya itu dek haba dari masakannya. memanglah dapur moden ada alat khas untuk menyerap asap dan bau masakan tapi saya tetap tidak berkenan kalau penampilan chefnya macam model malah kadang2 tu ketara sangat bukannya pandai masak pun.

serta-merta selera menjadi tumpul. mak dan arwah bapa saya akan bising kalau mereka nampak kami menyediakan makanan dengan rambut terhurai, kuku panjang. memang bingit telinga tetapi kerana leteran mereka itulah mendidik dan menyedarkan kami betapa pentingnya kebersihan makanan.

samalah macam kita makan di restoran, tiba-tiba kita nampak tukang masaknya kotor, sudah tentu kita akan cepat-cepat keluar dan cari restoran yang lebih bersih dan meyakinkan.

ada sekali saya berjalan di belakang deretan bangunan kerana hendak cepat ke tempat yang dituju. secara kebetulan saya melintasi bahagian belakang beberapa restoran. ternampak tukang masaknya ada yang masak sambil merokok dan meludah, sisa makanan bertaburan di lantai, malah bahan makanan tidak dibasuh, terus dimasukkan ke kuali. confirm selepas itu saya tidak akan masuk di restoran berkenaan.



Friday, February 24, 2012

AZAN

Alhamdulillah, di kawasan perumahan ini azan sentiasa berkumandang pada setiap waktu. Memang itu antara faktor yang saya pentingkan semasa mula-mula menduduki rumah ini. Walaupun masih banyak kekurangan yang perlu saya pelajari untuk membaiki diri terutama sekali hal ehwal agama...sekurang-kurangnya seruan azan sentiasa bergema di halwa telinga sebaik sahaja masuk waktu solat.

Ada satu laungan azan yang tidak dapat saya lupakan sehingga ke hari ini. Masa tu saya sedang bekerja 'part time' di kilang elektronik sewaktu cuti semester. Setiap subuh suara yang yang sama akan melaungkan azan. Kadang-kadang saya terlewat bangun...suara azan yang merdu itu yang membuatkan saya terbangun. Tidak jauh dari asrama pekerja sebenarnya terbina sebuah kuil yang sangat besar, sering sahaja suara loceng dan acara keagamaan mereka bertembung dengan suara azan.

Bukan semata-mata laungan azan itu sahaja. Tetapi mendengarnya membuatkan perasaan saya sayu, tenang dan saya begitu tersentuh mendengarnya kadang-kadang tanpa sedar air mata menitis.
Pada masa tu saya selalu terfikir, siapa dan bagaimanakah rupa individu yang selalu azan subuh itu? Sudah tentulah saya tiada jawapannya. Bertuahnya dia memiliki suara yang lunak dan suara itu digunakan untuk melaungkan azan.

Sampai ke hari ini kalau saya melalui jalan yang berhampiran dengan masjid itu, saya mesti teringat tentang azan subuh tu....

Di kampung halaman kami di Sabah pula, ada satu suara yang kami panggil 'wak-wak'. Apa sebenarnya 'wak-wak' itu tidaklah kami pasti sebenarnya, tetapi ianya sering dikaitkan dengan mereka yang terlibat dengan ilmu hitam. Bunyinya seperti itik menyudu air di lopak, kadang-kadang boleh menjadi kuat malah menjadi perlahan seolah-olah berbisik di telinga.

Ada sekali tu bunyi 'wak-wak' kedengaran sewaktu menghampiri maghrib, tetapi sebaik sahaja azan maghrib berkumandang... terdengar seperti suara orang berlari ke arah belakang rumah dan suara itu pun tidak kedengaran lagi. Kami cakap 'wak-wak' itu takut dengar bunyi azan.

Pengalaman adik saya yang bekerja sebagai 'security' pula, masa tu lebih kurang jam 6 :30 petang... sewaktu azan maghrib kedengaran, tidak semena-mena adik saya itu ternampak ada banyak orang kecil berpusu-pusu keluar dari dalam tanah yang membentuk busut. Ada seorang yang membelakang sedang duduk mencangkung, bogel sebenarnya sibuk mengarahkan orang-orang kecil itu keluar dari busut. Selesai sahaja azan, orang-orang kecil itu masuk semula ke 'rumah' mereka dan yang sedang mencangkung itu pun tidak kelihatan lagi.

Mendengar cerita adik saya itu kami bergurau walaupun ada rasa takut, mungkin itu penjaga busut tersebut. Mungkin orang-orang kecil itu kepanasan mendengar suara azan. Kata kami adik-beradik yang mendengar ceritanya itu. Asalkan jangan dikacau busut itu. Buat kerjamu saja, terus menjaga kawasan sekolah. Sememangnya kalau menjadi pengawal keselamatan...selalunya akan nampak dan diuji dengan bermacam-macam perkara. 


monalizahrais