Friday, February 24, 2012

LANGSIR BARU


sengaja pilih warna ni. snap sikit sajalah, asalkan nampak coraknya. saya suka warna yang terang, kuat dan nampak menyerlah dari jauh. tetapi kali ini saya pilih warna hijau untuk 'meredupkan' ruang tamu dan bilik utama yang bersebelahan.

sebelum ini warna langsir 'kuning diraja', memang meriah. tapi silau amat setiap kali menjelang tengah hari. matahari terbit dari arah dapur bahagian belakang rumah kami, jadi tengah hari ke petang tu yang tak tahan silau dan panas tambahan lagi kalau musim kemarau dan hujan pun sesekali sahaja...dekat waktu maghrib persekitaran kadang-kadang menjadi 'oren'.

ilham untuk memilih langsir warna hijau ni bermula sewaktu kami sekeluarga berkunjung ke rumah saudara mara. tiada kaitan dengan warna langsirnya, tetapi makcik saya yang seorang ni jenis tak tahan panas, dia sudah terbiasa duduk dalam bilik berhawa dingin. dia sering membawa kipas tangan setiap kali dia berkunjung ke majlis dan kenduri kendara keluarga, katanya panas.

memang betul apa yang dikatakannya itu. kalau di kampung kan rumah papan. rumah besar pula tu berkumpul ramai-ramai selalunya suasana panas, walaupun kipas siling putar 'gear lima'. ramai orang.

saya berseloroh dengan suami, kalau tengah panas terik kan memang kita rasa selesa berteduh di bawah pokok yang rendang. rasa sejuk saja. jadi kononnya langsir baru ni lebih kurang macam pokok rendang tu, sebab tu pilih warna hijau. hehe...

beli kain saja, gunting dan jahit sendiri woo...
bolehlah sikit-sikit, buat yang simple saja kan...
terpenting sekali rumah dapat diredupkan...
tidaklah panas sangat
lagipun warna hijau elok untuk mata.

Monday, February 20, 2012

TEKNOLOGI

Teknologi terlalu pantas bergerak, sentiasa ada yang baru. Pergi sahaja ke pasaraya mahupun premis yang menjual gadget elektronik, bermacam bentuk dan tentunya bermacam RM juga.

Cantik dipandang apatah lagi kalau yang dipamer di sebalik kaca pameran. Promoter tidak jemu malah tidak pernah sunyi mempromosi barangan tersebut. Dah memang kerja diorang, tak boleh komplen sangat. Tepuk diri sendiri tanya apa yang dihajatkan. Dan jangan lupa jenguk RM yang ada kat akaun.

Penangan teknologi...kalau diikutkan nafsu tu, semuanya hendak dibeli. Tapi berbaloikah? Pertanyaan untuk diri sendiri sebenarnya. Ianya seperti fesyen baju juga. Sekejap sahaja panas di pasaran tetapi lambat laun ianya akan tenggelam dengan 'design' yang lebih canggih.

Lumrah dan begitulah aturannya. Terkejarkah kita seiring usia yang semakin meningkat.
Citarasa kita selalunya berbeza dan sering berubah. Yang masih bujang dan masih memikirkan dirinya sendiri mungkin tiada masalah up to date gadget kegemarannya, ditambah pula dengan kewangan kukuh.

Tetapi yang sudah berkahwin dan beranak pinak...kebanyakannya saya percaya lebih banyak perhatian ditumpukan kepada keperluan yang penting dan barangkali tabungan kewangan untuk masa hadapan, contohnya seperti pendidikan anak-anak, rumah, tanah, kereta malah mungkin melancong ataupun menunaikan haji.

Puas melihat segala yang canggih manggih tu, tengok sajalah untuk santapan mata. Ingatan untuk diri saya sendiri...tak elok membazir. Lagipun bukannya guna sangat pun. Yang ada sekarang pun tak terlarat menggunanya, takkan nak yang baru pula? Isk isk...membazir rasanya, lebih baik beli barang dapur...hehe

Dan...duit yang ada dan ianya berlebihan daripada perbelanjaan keperluan...lebih baik disimpan untuk tabungan masa hadapan. (bikin beli tiket flight pun ok juga tu...haha)





 

Friday, February 17, 2012

ANAK

 Assalamualaikum...


Peristiwa yang berlaku beberapa tahun sudah, cuma sesekali teringat dan ianya mengundang  rasa lucu dan simpati...setiap kali saya dan suami mengimbas kisah ini.

SEHARI selepas majlis perkahwinan kami, macam pasangan yang lain jugalah akan berziarah ke rumah saudara mara. Adat? langgar begitu sahaja, maklum tarikh berangkat ke semenanjung berbaki kurang seminggu. Kalau diikutkan adat, pasangan yang baru berkahwin dilarang pijak tanah untuk beberapa hari. Adat yang berbaloi hanya pada zaman nenek moyang kita, tapi tidak pada zaman ini.

Kami bertandang ke rumah salah seorang keluarga sebelah suami yang terletak di Batu Putih, Sandakan. Kebetulan isterinya baru melahirkan anak kurang sebulan. Kiranya masih dalam pantang lagilah, malah bayi comel itu masih merah kulitnya. Baby sangatlah tu.

Di luar jangkaan, bayi itu hendak diserahkan kepada kami suami isteri. Waduh...waduh...kami datang untuk berziarah bertanya khabar, bukannya hendak ambil bayi. Ibu bayi itu bersungguh-sungguh ingin menyerahkan bayinya. Pada masa itu juga dia akan menyerahkan bayinya sekiranya kami bersetuju, dan tanpa dipinta dia berjanji tidak akan menuntut haknya sebagai ibu kandung pada masa hadapan.

Kesian bayi itu yang tidak tahu apa-apa, sudah dinafikan haknya oleh ibu kandungnya sendiri. Tidak sayangkah dia pada anaknya? Apa yang mendorong dia berbuat demikian? Baru kahwin sehari sudah diberi bayi percuma? Tak logik di akal tapi itulah yang terjadi. Agaknyalah kalau dia jual bayi itu kat sindiket bayi...mahunya dapat banyak duit kan?

Kami suami isteri menolak secara baik tawaran wanita itu. Takkanlah baru kahwin sehari, masih mood pengantin baru lagi, tiba-tiba balik rumah bawa baby. Bukankah itu mengundang kontroversi? Lainlah kalau dah kahwin bertahun dan belum ada cahayamata lagi, itu lain ceritalah.

Rupa-rupanya bayi dan wanita itu serta suaminya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. Bahkan sewaktu mengandung dan berklinik, di kad klinik tertulis status ibu tunggal. Silap yang dicatur oleh mereka suami isteri. Lebih dari 20 tahun menetap di Sabah, kenapa tidak buat IC? Tahun 80-an, 90-an kan senang untuk berurusan di JPN.

Hidup dalam ketakutan dan sentiasa memandang gelap ke masa hadapan. Takkan itu yang perlu diwariskan terhadap anak-anak mereka? Rasa simpati itu memang ada, tapi hendak
 menolong macam mana? 


love,
monalizahrais 


Thursday, January 12, 2012

X FILE

Mood : gembira+tenang,suspen
Skala mood (low,medium,high) : medium

Tajuk X File pula tu. Lain macam saja bunyinya. Sebetulnya saya sedang menyiapkan sesuatu... 'sesuatu' yang sangat saya gemari. Sepatutnya saya mulakan sejak tujuh tahun yang lalu tapi sayangnya belum ada kesedaran+dorongan+rangsangan, belum serius lagi.
Ternyata tidak mudah menyiapkan X File ini.
Apapun ianya perlu diteruskan juga. Harapan tu biasalah, semoga dimudahkan semua urusan...aminn....
kadang2 tu terfikir, bilalah mau siap ni tau..isk..isk..apa boleh buat..buat sajalah..
yg ptg jgn jadi betul2 X -FAIL, tidak ada kesudahannya, penuh misteri lagi!

Siang dan malam tidak pernah jemu silih berganti, walaupun cuaca sering berubah. Seharusnya saya pun perlu tegar menyiapkan aktiviti kesukaan saya itu.

Saturday, December 31, 2011

JALAN-JALAN


Cerita tentang anak perantau…
Lebih dari sepuluh tahun saya menjadi perantau di luar negeri Sabah. Tetapi itu bukanlah bermakna saya tahu semua perkara. Ada banyak lagi orang di luar sana yang punya pengalaman lebih berbanding diri saya sendiri. Apabila kita merasakan diri sendiri hebat, sebenarnya ada banyak lagi orang lain yang lebih hebat yang tidak kita ketahui.
Bayangkan kita sedang memandang sebuah bangunan yang masih dalam proses pembinaan. Bangunan itu waktu siapnya dinamakan ‘shopping complex’. Pastinya apa yang berlegar di fikiran saya tidak sama dengan orang lain, berdasarkan kepada latar belakang dan situasi individu pada masa itu.
Seorang tua yang selalu sakit dan memikirkan dia akan menemui ajalnya tidak lama lagi barangkali berkata seperti ini : “sempatkah aku melihat bangunan ini siap sepenuhnya?.”
Peniaga yang premisnya berhampiran dengan bangunan : “hmm…siap sahaja bangunan ini, sudah tentu duit aku juga bertambah, dan sudah tentu itu sesuatu yang bagus untuk bisnes aku, kalaulah aku dapat buka cawangan di bangunan itu nanti,” dan bla bla bla…imaginasinyanya semakin panjang di awang-awangan.
“hujung minggu bolehlah lepak sama kawan-kawan duduk di tepi tangga 'cuci mata',” fikir seorang remaja, agaknya lah.
Kaki shopping yang ‘fashionable’ tidak sabar untuk ‘menghulurkan derma’ sambil mengharap akan ada jenama yang terbaru dan terkini di pasaran.
Mungkin kalau Jackie Chan pula akan terfikir untuk membuat aksi stunt di bangunan tersebut. (amboi! Sampai ke situ pula kau fikir ya Mona)
Seorang yang menganggur dan sedang mencari pekerjaan ataupun seorang pekerja yang bercadang untuk tukar kerja akan ligat berfikir jenis kerja bakal diiklankan nanti.
Seorang pencuri ?, apa saja sama ada lampu, wayar, besi, emas selagi menghasilkan duit, duit, duit…
Mereka yang berada di pihak Majikan? Agamawan? Intelektual? Penguatkuasa?
Dan bermacam fikiran lagi kan. Setiap kali balik ke kampung halaman, telinga saya tidak sunyi dengan isu merantau ini. Biasalah tu ada yang negatif dan positifnya. Pendapat yang sedap didengar pastinya saya balas dengan senyuman tetapi kalaupun saya mendengar yang negatif, kena senyum jugalah. Takkan hendak berbalas kata berdebat yang tidak ada kesudahannya. Yang penting hasil yang dibuahkan, tidak kira apa jua jenis pekerjaan yang dilakukan. Dan…tidak gagal untuk menjadi seorang manusia.
Ingatan untuk diri saya sendiri, jangan cepat menghukum sesuatu tanpa tahu letak perkara yang sebenarnya. Apa yang dilihat oleh mata kepala kita tidak seratus peratus menggambarkan situasi sebenar. Spontan memang akan tercetus bermacam andaian di fikiran, tetapi selagi masih menari-nari di ruang fikir selagi belum disuarakan dan didengar oleh telinga orang lain yang akan menyampaikannya kepada yang lainnya pula…apa yang ada di otak kita itu tidak dapat dicuri dan didengar oleh orang lain, fail yang lebih selamat berbanding buah fikiran yang ada di laptop/notebook/pen drive/handset/blog/laman sosial dan yang sama jenis dengannya.
Ada yang bekerja, belajar, berkahwin dan mengikut pasangannya berhijrah ke tempat lain. Takkan selamanya kita kekal di satu tempat sahaja. Walau tegar sekalipun tidak mahu keluar dari lingkungan persekitaran yang sudah sebati, mendarahdaging dalam diri, sampai masanya akan berpindah juga ke alam lain. Itulah lumrah kehidupan.
Sememangnya rujukan tepat adalah Al-Quran dan himpunan hadis (yang sahih tentunya).
Dialah yang telah menjadikan bumi yang mudah kamu jalani (manfaatkan), maka berjalanlah ke segenap penjurunya dan makanlah rezekinya. Dan kepadaNyalah kamu akan kembali. (Surah Al-Mulk, ayat 15).
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah satu kaum mengejek kaum yang lain, kerana boleh jadi yang diejek itu lebih baik dari yang mengejek dan tidak pula wanita-wanita mengejek wanita-wanita lain, kerana boleh jadi wanita-wanita yang diejek itu lebih baik dari wanita-wanita yang mengejek. Dan janganlah kamu mencela diri kamu sendiri. Dan jangan panggil memanggil dengan gelaran yang buruk. Sebutan yang paling buruk selepas iman ialah fasik. Barangsiapa yang tidak bertaubat (sesudah ejek-mengejek itu), maka merekalah orang yang zalim. (Surah Al-Hujurat, ayat 11).
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhi kebanyakan prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Apakah salah seorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Tentu kamu tidak menyukainya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-Hujurat, ayat 12).
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang wanita. Dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenal (hidup rukun damai). Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali. (Surah Al-Hujurat, ayat 13).





Monday, October 24, 2011

DI SEBALIK TABIR

Hari ini, tengah hari ini saya masih ingin menceritakan...atau lebih tepat lagi meluahkan perasaan. Biasalah perempuan kan, sinonim dengan luahan perasaan. Tetapi seboleh mungkin saya cuba tapis dan saring setiap kata-kata yang bakal ditaip, kerana adanya banyak pihak yang perlu difikirkan perasaannya.

Pemergian bapa kami sebenarnya menyedarkan saya banyak perkara. Maksud saya perkara yang berkaitan dengan kehidupan, adat orang tua-tua, pandangan orang kampung, kisah sedih dan menyakitkan hati. Banyak peristiwa tersingkap yang membuatkan saya selaku anak sulung lapan beradik itu perlu berfikir dari setiap sisi sesuatu perkara tersebut.

Oh ya, ini bukan cerita tentang berebut harta dan sewaktu dengannya. Alhamdulillah kami adik-beradik dan ibu kami, ikatan kasih sayang dan persefahaman begitu teguh padu, tersimpul kukuh erat, sama seperti sewaktu arwah bapa kami masih hidup.

Dan namanya pun di sebalik tabir...apa sahaja yang berada di balik tabir itu biarlah dirungkaikan di tempat yang sepatutnya, hanya sesekali angin bertiup menyelak tabir rahsia...

Allah Maha Adil dan Maha Berkuasa. Mudah-mudahan keluarga kami sentiasa berada di dalam lindunganNya...Amin...



Wednesday, October 19, 2011

BELIAU

Isnin, 10 Oktober 2011 lebih kurang jam 1245, ayahanda kami Rais Bin Taki telah meninggal dunia disebabkan barah paru-paru.

"Janganlah kamu mencari BELIAU BARU, tapi kamulah yang berfikir macam beliau." Salah seorang rakan bapa kami bercakap seperti itu. Dengar macam biasa-biasa saja nasihat tu, tapi ada betulnya juga kan.

Alhamdulillah semua urusan dipermudahkanNya. Kami semua adik-beradik serta keluarga terdekat dapat berkumpul dan menatap wajah ayahanda tercinta kami untuk kali terakhir sebelum dikebumikan. Setiap yang hidup akan mati. DaripadaNya kita datang dan kepadaNya juga kita akan dikembalikan.

Bersedih itu normal cuma jangan keterlaluan, sebagai penanda aras kasih sayang. Kata-kata yang ditujukan lebih kepada diri sendiri. Memanjatkan doa dan memohon untuk kesejahteraan orang yang sudah meninggal dunia itu yang lebih utama.

Mudah-mudahan roh ayahanda kami dicucuri rahmat...amin...