Friday, August 5, 2011

PERANGKAP

Macam biasalah kalau ada tetamu datang ke rumah, mesti dihidangkan makanan dan minuman, sambil bersembang. Tetamu X tinggal semalam dua di rumah kami. Dia bekerja di luar Malaysia. Macam-macam cerita yang diperdengarkan. Semuanya menarik sampaikan saya pun terfikir, baguslah kalau macam tu. Merantau jauh cari rezeki, berbaloi dengan gaji yang diterima.

Dari satu cerita beralih kepada cerita yang lain, sambil minum-minum depan tv.

Tetamu:Aku ni selalu juga pi pejabat pos hantar barang sama mak bapa aku.
Saya:Samalah kita, ada-ada saja yang mau dihantarkan?
Tetamu:Selalunya berapa kos delivery?
Saya:Setakat ni kurang dari RM50. Alah, barang biasa-biasa ja.
Tetamu:Ada sekali tu aku tertinggal dompet di rumah, masa tu aku dari pejabat pos naik teksi balik rumah, baru buka beg rupa-rupanya dompet tinggal. Akupun cakap sama pakcik teksi tunggu sekejap, ambik duit dulu. Nasib baik aku selalu simpan duit di rumah, dalam beberapa ratus jugalah. Malas pi bank.

Mendengar dia bercakap sedemikian, spontan saya terfikir corak perbualan kami. Saya rasa tidak sedap hati. Setiap yang dikatakannya seolah-olah jawapan saya pun lebih kurang sama. Secara kebetulan duit ada beberapa ratus dalam dompet saya.

Saya:Oh, ya...kami pula simpan cukup-cukup saja di rumah. Sebab jiran sebelah rumah selalu cerita, jangan simpan duit banyak-banyak, sini banyak pencuri.

Kemudian dia bercerita tentang isu yang lain. Sudahnya dia ingin meminjam wang daripada kami. Bukan bersifat kedekut tetapi saya terdengar dia berbohong dengan seseorang di telefon. Tingkah lakunya juga mencurigakan sepanjang berada di rumah kami.

Thursday, August 4, 2011

TONG SAMPAH




Lokasi:Sekitar kawasan Pasar Seni,Kuala Lumpur.

Saya suka tengok tong sampah ni, unik. Tiba-tiba rasa macam mau buat satu di rumah, hehe...siap ada bumbung lagi, colour purple. Salah satu warna kesukaan saya.
Yang putih-putih di bumbung dan lantai tu, 'taik' burung.

Tong sampah punyalah cantik, itupun masih ada juga yang membuang sampah merata-rata. Jom kita buang sampah di tong sampah...

Waduh-waduh, macam berkempen pula saya hari ini. Ingatan untuk diri sendiri.


Wednesday, August 3, 2011

MIMPI


Semua orang pernah bermimpi. Pelbagai cerita berkaitan dengan mimpi. Ada yang menakutkan tidak kurang juga melucukan dan ada yang menjadi kenyataan di alam nyata. Saya pernah terbaca dalam sebuah buku, mimpi berwarna dan mimpi hitam putih. Rupa-rupanya dengan membaca kita akan melangkaui banyak sempadan fikiran.

Saya pernah mengalami kedua jenis mimpi tersebut; hitam putih dan berwarna. Apabila bermimpi yang colour itu, memang warna warni, seperti menonton tv berwarna.

Beberapa minggu lepas saya bermimpi seorang rakan yang saya kenali mengajak saya keluar rumah berjalan-jalan. Dalam mimpi tersebut dia membawa saya bersiar-siar di tempat yang indah, menghidangkan makanan yang sedap-sedap. Air mukanya sentiasa manis, senyuman tidak lekang di bibirnya.

Dia menjemput saya di rumah dan menghantar pulang semula ke rumah setelah keluar bersamanya. Katanya lagi, dia seronok keluar bersama dengan saya. Dia berharap supaya satu hari nanti dia akan dapat keluar bersama-sama lagi dengan saya.

Bangun sahaja dari tidur, saya tersenyum-senyum sendirian. Boleh pula mimpi macam tu. Biasalah tu mimpi kan mainan tidur, seperti yang selalu kita dengar.

Saya kenal orang dalam mimpi itu, tapi setakat kenal sahaja. Kami tidak pernah bertegur sapa di alam realiti. Tiba-tiba mimpi macam tu, saya terasa lucu pula. Mimpi oh mimpi... 

PESTA BUKU SELANGOR


Saya kurang minat membaca buku yang tebal-tebal, terutamanya novel. Tetapi saya suka membaca buku bergambar. Saya suka membaca buku kanak-kanak. Tetapi akhirnya minat membaca itu beralih perlahan-lahan terhadap novel dewasa. Lagi tebal lagilah saya suka. Apa saja genre saya tidak kisah yang penting seronok membacanya.

Walaupun begitu, minat terhadap buku kanak-kanak tetap tidak dilupakan. Oh ya, saya hendak bercerita tentang dua buku yang begitu terkesan di hati saya, seterusnya membawa kepada pertemuan dengan penulisnya untuk mendapatkan tandatangannya.

Seorang ayah yang bekerja sebagai tukang kayu, tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah tetapi dia tidak jemu berusaha untuk menunaikan tanggungjawabnya terhadap anak-anaknya. Kadang-kadang dia tidak dibayar upah tetapi dia tidak pernah bermusuhan dengan orang tersebut. Sangat penyabar, sentiasa sarat dengan nasihat terhadap anak-anaknya, berpandangan jauh serta mementingkan nilai-nilai Islam. 

Kisah yang kedua pula ada kaitan dengan negara Jepun, konflik antara anak dengan ibu bapanya. Tetapi yang membuatkan ianya terkesan di hati saya, ada satu peristiwa yang sama dan berulang pada hari tertentu, tanpa sedar ianya berlanjutan sehingga beberapa bulan.

Apabila saya selesai membaca novel-novel tersebut, saya berazam akan menemui penulisnya untuk mengucapkan tahniah kerana watak tukang kayu itu 80% sama dengan watak bapa saya yang juga seorang tukang kayu.

Kisah yang kedua pula ada satu peristiwa yang saya alami,kisah yang berlainan dengan novel tersebut tetapi yang samanya cara ianya terjadi iaitu berulang pada hari tertentu dan berlanjutan beberapa bulan.

Tetapi apabila berhadapan dengan penulis tersebut, saya tidak dapat menyatakan seperti yang telah saya rancang. Tiba-tiba rasa sedih menerpa mengingatkan ayah saya yang sedang sakit. Sudahnya saya hanya mendapatkan tandatangannya dan membeli bukunya yang terbaru.

Tuesday, August 2, 2011

SENTIMENTAL VALUE

Muka hadapan buku


Muka belakang buku

Buku ini bertajuk The Meaning Of The Glorious Qur'an Part XXX. Hadiah daripada seorang ustaz kerana saya dapat menghafal surah-surah pendek yang terdapat di dalam Al-Quran.Nama ustaz tersebut Ustaz Mohd Ghazali Hj Shafiee. 01 Julai 1992, tarikh yang saya tulis pada bahagian dalam muka surat pertama buku ini. Tapi gambarnya tidak dapat di download, entahlah kenapa. Berulangkali saya cuba download... tetap tidak berjaya.Menurut ustaz tersebut, asalnya buku ini dari Lubnan, kawannya yang bagi. Kemudian dijadikan hadiah kepada saya. Terjemahan surah-surah pendek yang terdapat di buku ini, daripada Bahasa Arab ke Bahasa Inggeris. Pada masa itu saya rasa sangat pelik kenapa ustaz ni bagi buku macam ni, kenapa tidak bagi terjemahan dalam Bahasa Melayu? Berada di sekolah menengah, sesekali saya akan mencari kamus dan cuba memahami terjemahan yang terdapat di dalam buku ini. Tanpa saya sedar, rupa-rupanya buku ini sentiasa berada dengan saya dari zaman kanak-kanak sehinggalah dewasa.

Pencil case ini dibeli pada tahun 1999, masa tu tingkatan enam atas di SMK Elopura Sandakan, Sabah. Sampai ke hari ini saya masih menggunakan pencil case ini. Masih dalam keadaan elok. Tapi harganya sudah lupa. Kalau tak silap saya, dibeli di Gentingmas, Sandakan menggunakan duit biasiswa.Boleh dicuci dan dikeringkan seperti kain baju juga. Kainnya jenis kain payung. Saya suka melihat bunga-bunga pada pencil case ini,sebab  itulah dibeli.




Monday, August 1, 2011

JOM NYANYI



senang nak hafal niat puasa melalui kaedah nyanyian
terutama sekali kanak-kanak yang
baru belajar tentang puasa
 orang dewasa pun selalu terlupa
 bulan puasa cuma setahun sekali
sedangkan puasa boleh sahaja sepanjang tahun
cuma tidak setiap hari
terpulang kepada diri sendiri
puasa sunat Isnin & Khamis
puasa nazar
qada puasa
apa pun yang paling penting
niat untuk berpuasa
serta
cara yang bagaimana
untuk
melalui proses berpuasa itu
ingatan untuk diri sendiri


SAKIT

Sudah hampir seminggu saya batuk. Sakit badan dibuatnya. Yalah, asyik batuk siang malam. Sebelum ini saya mengalami alahan, terpaksa menghadap doktor di POLYKLINIK KOO & Quay. Bab klinik dan hospital ni saya kurang suka, kecuali kalau betul-betul terpaksa. Bukannya apa, tidak suka sakit tetapi yalahkan...sebagai manusia takkan sihat sepanjang masa. Akan ada masa-masa tertentu kesihatan kita kurang memuaskan. Sejak akhir-akhir ini memang cuaca tidak menentu. Berselang seli hujan dan panas. Itu antara faktor batuk ini. Ditambah dengan udara di kawasan ini yang saya agak sedikit tercemar. Ini dapat dipastikan melalui tingkap yang cepat saja berhabuk walaupun selalu dibersihkan. Oh ya, selepas ini saya perlu menyediakan face mask untuk kegunaan semasa membersihkan rumah. Fikir saya sendiri. Kedengaran juga suara batuk dari rumah jiran saya. Nampaknya bukan saya seorang saja yang batuk.

Cepatlah sembuh!. Niat saya menelefon ke rumah mak bapa terbantut kerana batuk ini. Memang menjadi kebiasaan, saya akan menelefon ke rumah setiap kali menjelang bulan puasa. Tetapi yang lucunya kalau saya tidak dapat balik rumah semasa hari raya saya tidak akan call rumah. Sebabnya saya tak nak menangis dalam telefon. Waduh-waduh, ada pula macam tu. Begitu juga kalau kesihatan kurang memuaskan, saya tidak akan call rumah. Tidak mahu mereka bimbang sebenarnya. Maklumlah berjauhan dengan family dan kampung halaman. Saya teringat semasa masih bergelar pelajar di IPT dulu. Masa tu saya demam dan doktor suspek denggi. Perlu menunggu ujian darah untuk pengesahan sama ada perlu atau tidak masuk hospital. Seluruh kawasan perumahan yang didiami ketika itu memang telah dikenalpasti kawasan wabak denggi. Bunyi ambulans sentiasa kedengaran setiap hari. Keluarga saya di Sabah bimbang yang teramat. Nasib baik saya cuma suspek denggi dan tidak perlu masuk hospital.

Seperti orang lain juga, harapan saya semoga kesihatan diri bertambah baik bebas penyakit. Lagi satu, kena jaga makan, itu antara yang penting. Makan dan perut selalunya punca segala penyakit.

monalizah rais